Pasca PRU13 Siri 4: Dilemma Pilihan Jalanraya

 which one

Seperti mana yang telah saya nyatakan di dalam tulisan saya yang lepas, pilihan jalanraya adalah suatu tindakan politik yang sangat efektif di dalam menyediakan wadah terbaik untuk kuliah politik baik secara praktis mahu pun teoritis bagi meradikalisasikan pemikiran politik rakyat. Namun begitu apa yang didesak, apa yang dituntut melalui pilihan jalanraya tidak semestinya akan berjaya diperolehi. Kalau berjaya pun, desakan atau tuntutan yang kita kemukakan itu umumnya akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

Walau pun gagal atau lama untuk memperolehi kejayaan tetapi saya percaya satu perkara yang kita tidak akan gagal dan akan memperolehinya serta merta ialah – memori bersama. Kita pasti akan memperolehi memori bersama melalui pilihan jalanraya. Memori adalah antara unsur emosi dan sosio-psikologi yang penting di dalam pembinaan bangsa.

Untuk memahami memori bersama sebagai unsur penting untuk membina bangsa Malaysia sila baca tulisan saya yang terdahulu yang bertajuk “Pilihan Jalanraya Pembina Memori Bersama”.

Namun begitu setelah meneliti perkembangan semasa khususnya pasca PRU13 ini, pilihan jalanraya dihadapkan dengan dilemma. Terdapat dua pihak yang sedang menghadapi dilemma berhubung dengan pilihan jalanraya ini.

Pihak yang pertama adalah pemimpin-pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat. Daripada pemerhatian saya di dalam menanggapi persoalan pilihan jalanraya ini pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terpecah kepada tiga kelompok iaitu:

  1. Kelompok pemimpin PR yang menyokong tindakan jalanraya
  2. Kelompok pemimpin PR yang mengambil sikap berdiam diri
  3. Kelompok pemimpin PR yang secara terang-terangan menyatakan tidak bersetuju dengan pilihan jalanraya ini

Sebahagian daripada kelompok yang menyokong tindakan jalanraya ini umumnya adalah kelompok yang memang “kaki demo”. Sebahagian lagi adalah terdiri daripada mereka yang kalah bertanding di dalam PRU13 yang lepas.

Ada daripada mereka ini yang “kaki demo” dan juga kalah bertanding. Ada juga yang menang bertanding tetapi gagal untuk mencapai hajat yang lebih tinggi. Jadi mereka ini membentuk kelompok yang paling lantang mengajukan pilihan jalanraya.

Continue reading

Pilihan Jalanraya Pembina Memori Bersama

auntie bersih

Sebahagian daripada pendidikan politik saya adalah di jalanraya. Sebahagian lagi adalah melalui pembacaan dan kuliah serta diskusi kedai kopi yang sering saya ikuti. Saya adalah antara generasi muda yang terlibat di dalam siri-siri demonstrasi dan protes jalanraya pada tahun 1998.

Tahun 1998 merupakan tahun penting di dalam sejarah gerakan sosial di Malaysia di mana benih-benih perlawanan yang diperolehi dari kesinambungan sejarah silam mula ditanam.

Sebahagian daripada hasilnya sudah dapat kita tuai pada hari ini. Sedikit demi sedikit ruang demokrasi dan kebebasan mula terbuka. Semakin hari semakin ramai orang menjadi berani. Takut pula sedikit sebanyak sudah berjaya ditundukkan.

Sebahagian besar daripada penglibatan saya di jalanraya pada ketika itu hanyalah sebagai peserta sahaja. Namun terdapat juga sebilangan kecil daripada protes dan demonstrasi jalanraya yang berbentuk kecil-kecilan di sekitar tahun 1998 – 2003 di kota Kuala Lumpur ini yang saya bersama beberapa orang kawan anjurkan, gerakkan dan laksanakan.

Bila mengingat kembali penglibatan saya di dalam protes dan demonstrasi jalanraya ini saya sering jadi nostalgia dan sentimental. Suatu memori yang tersulam kejap ke dalam ingatan.

Continue reading

Pasca PRU13 Siri 3: Kalau Tsunami Cina Pun Apa Hal?

Image

Sebenarnya agak melucukan apabila strategis-strategis daripada DAP beriya-iya mengajukan hujah bahawa PRU13 ini bukanlah “tsunami Cina”. Mereka mengutip data-data tertentu yang terpilih dan dari data-data tersebut dihujahkan bahawa bukan hanya orang Cina sahaja yang bangkit untuk cuba mengubah kerajaan melalui pilihanraya tetapi etnik-etnik lain turut sama menyertai kebangkitan ini.

Dari petikan beberapa data terpilih ini mereka mengajukan terma baru untuk memadamkan terma tsunami Cina yang mereka hujahkan sebagai kurang tepat untuk menanggapi keputusan PRU13 ini. Sebagai lawan kepada terma tsunami Cina ini maka diajukanlah terma-terma baru seperti “tsunami Malaysia”, “tsunami rakyat”, “tsunami bandar” “tsunami kelas menengah” dan sebagainya.

Terma-terma dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh strategis-strategis DAP ini memang ada benarnya. Etnik-etnik lain, kelas menengah, orang bandar dan sebagainya memang turut bangkit untuk cuba menumbangkan Barisan Nasional (BN) melalui PRU13 kali ini. Hakikat itu memang tidak dapat dinafikan.

Namun begitu kebangkitan mereka ini tidaklah ketara, jelas dan menonjol seperti mana kebangkitan etnik Cina untuk menolak Barisan Nasional di dalam PRU13 kali ini. Ini jelas dibuktikan dengan kemenangan DAP di semua kerusi Parlimen majoriti Cina yang ditandinginya kecuali di Parlimen Labis.

Continue reading

Pasca PRU13 Siri 2: Pilihanraya Tipu?

proses-dalam-bilik-mengundi

Saya adalah salah seorang daripada PACA (Polling Agent and Counting Agent) untuk Pakatan Rakyat di salah satu kawasan bandar di Wilayah Persekutuan. PRU13 ini adalah kali kedua saya menjadi PACA. Kali pertama ialah pada 2008 di PRU12. Di kedua-dua pilihanraya ini saya bertindak sebagai polling agent (agen pengundian) dan counting agent (agen pengiraan).

Setelah dua kali menjadi PACA dan mengikuti proses pengundian dan pengiraan undi dari mula sampai akhir, saya berpandangan agak sukar penipuan dibuat ketika proses pengundian di hari mengundi sebenar dijalankan. Oleh kerana itu saya tidak faham apabila terdapat ramai suara-suara yang mengatakan bahawa pilihanraya tipu, undi hantu, undi Bangla dan sebagainya.

Sebelum saya lanjutkan biar saya letakkan kaveat. Pengalaman saya ini hanyalah tertakluk kepada pengalaman peribadi saya di PRU12 dan PRU13 di tempat dan saluran mengundi yang saya ditugaskan menjadi PACA sahaja. Di tempat-tempat lain mungkin berbeza. Di saluran-saluran lain mungkin berbeza. Pengalaman PACA-PACA lain juga mungkin berbeza. Tapi ini pengalaman peribadi saya.

Dari pengalaman peribadi ini saya memutuskan bahawa di saluran yang saya jaga untuk kedua-dua PRU ini, hampir mustahil penipuan dapat dilakukan. Justeru itu, saya jadi kurang yakin dengan tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa adanya beribu undi hantu, beribu undi Bangla dan banyak penipuan-penipuan lain yang telah berlaku.

Biar saya kongsikan kenapa saya rasa penipuan hampir tidak mungkin dapat dilakukan ketika proses membuang dan mengira undi dijalankan dengan meneliti bagaimana proses pengundian dibuat di tempat mengundi.

Continue reading

Pasca PRU13 Siri 1: Memang Tsunami Cina La Bodoh!

Image

Memang pola pengundian kali ini jelas menunjukkan bahawa majoriti daripada orang Cina mengundi Pakatan Rakyat khususnya menerusi DAP. Pengundi Cina memang turut mengundi PKR dan PAS tetapi lebih ramai yang mengundi DAP tentunya kerana pembahagian kerusi di dalam pilihanraya di negara kita ini cenderung mengikut komposisi etnik di sesuatu kawasan.

Ini memang tak dapat dielakkan kerana banyak kawasan-kawasan penempatan di negara kita ini walau pun di dalam bandar, relatifnya masih terpecah mengikut garis etnik contohnya Gombak kawasan majoriti Melayu manakala Cheras pula kawasan majoriti Cina dan banyak lagi kawasan-kawasan penempatan lainnya yang seperti itu.

Maka tidak hairanlah jika sekiranya kebanyakan daripada calon-calon DAP khususnya di Semenanjung Malaysia memang ditempatkan di kawasan-kawasan penempatan yang jumlah pengundi Cinanya adalah majoriti.

Jumlah kerusi parlimen yang ditandingi oleh DAP adalah 51. Daripada 51 kerusi itu, 37 daripadanya adalah di kawasan majoriti pengundi Cina dan hanya 14 kawasan sahaja yang bukan majoriti Cina. Daripada 14 kawasan bukan majoriti Cina itu, 8 daripadanya adalah di Sabah dan Sarawak.

Berikut adalah senarai kawasan-kawasan parlimen yang ditandingi oleh DAP:

Kawasan Parlimen Dengan

Pengundi Majoriti Cina

Kawasan Parlimen Dengan Pengundi Bukan Majoriti Cina

Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Taiping, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar, Teluk Intan, Serdang, Puchong, Petaling Jaya Utara, Klang, Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, Cheras, Rasah, Kota Melaka, Labis, Bakri, Kluang, Gelang Patah, Kulai, Kota Kinabalu, Sandakan, Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu. Cameron Highlands, Raub, Bentong, Seremban, Alor Gajah, Tanjung Piai, Putatan, Sepanggar, Mas Gading, Serian, Mukah, Kapit, Bintulu, Lawas

Jumlah: 37 Kerusi

Jumlah: 14 kerusi

Sumber: Malaysian Election Data by Malaysiakini (http://undi.info)

DAP menang di semua kawasan majoriti Cina kecuali satu iaitu di Labis. Calon MCA Chua Tee Yong menang di parlimen Labis hanya dengan majoriti tipis 353 undi. Kalau tidak kerana undi Melayu dan India di Labis yang saya yakin sebahagian besarnya diberikan kepada calon MCA itu, DAP pasti akan menyapu bersih semua kawasan majoriti Cina yang ditandinginya. Kalau ini bukan tsunami Cina apa lagi yang perlu kita namakan?

Continue reading

Meninjau PRU13 Siri 5: 77% Melayu Atas Pagar Penentu Kemenangan

Image

Berikut adalah petikan dari laporan terkini sebuah kajian pilihanraya yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insider:

The UMCEDEL survey, which polled 1,407 voters in the peninsula from the day Parliament was dissolved (April 3) to nomination day (April 20), showed that the percentage of Malay fence-sitters increased from 53 per cent in March to 77 per cent in April, while the percentage of Chinese fence-sitters fell to just 17 per cent this month from 35 per cent last month.

Terjemahannya: “Kajian UMCEDEL yang melibatkan 1,407 pengundi di Semenanjung Malaysia dari hari Parlimen dibubarkan (3 April 2013) sehinggalah ke hari penamaan calon (20 April 2013) menunjukkan peratus pengundi Melayu atas pagar meningkat daripada 53% di bulan March kepada 77% di bulan April. Manakala peratus pengundi Cina atas pagar menurun daripada 35% kepada 17% di dalam tempoh yang sama”.

Pengundi Cina nampaknya sudah menetapkan pendirian mereka siapa yang akan mereka undi pada 5 Mei 2013 nanti. Pada pandangan saya, kalau tiada apa-apa kejadian besar dan memeranjatkan berlaku yg boleh mengubah pendirian masyarakat Cina sehingga hari mengundi, 70-80% undi masyarakat Cina akan masuk ke dalam peti undi Pakatan Rakyat.

Continue reading

Meninjau PRU13 Siri 4: Mitos Melayu Johor Hilang Kuasa

Image

Seorang teman berbangsa Tionghua menelefon saya tengahari kelmarin. Dia sedang giat berkempen untuk PRU13 di kampung halamannya. Dia meminta nombor kontak aktivis pekerja daripada saya. Katanya dia ingin mendapatkan pandangan dari aktivis pekerja tersebut tentang tuntutan-tuntutan kaum pekerja. Dia ingin melobi calon sokongannya untuk memasukkan agenda kaum pekerja ke dalam manifesto dan juga janji kempen calon tersebut.

Dari corong telefon saya dapat mendengar bunyi bising seperti di dalam bilik gerakan. Bunyi bising yang bersemangat itu kadang-kala meredam suara teman saya sehingga saya terpaksa memintanya untuk menguatkan suara. Berbanding dengan saya yang hanya meninjau tanpa mengeluarkan setitik peluh pun melalui ruang siber, teman saya ini adalah antara aktivis politik akar umbi yang paling gigih.

Perbualan kami pendek sahaja kerana dia sedang sibuk di dalam kegitan-kegiatan kempen dan memancing undi. Namun dia sempat memberitahu saya ketika saya tanya, “Shifu, macam mana kat sana? Ada peluang?”

“Ada…ada. Boleh menang. Ada harapan. Kalau ini negeri menang, aku rasa Pakatan akan pegang Putrajaya. Undi Cina sudah ok. Kena tambah sikit undi Melayu saja”, jelas teman saya itu dengan nada yang yakin di dalam pelat Cinanya yang tebal.

Saya mengakhiri perbualan itu dengan mengucapkan selamat berjaya kepadanya. Saya tidaklah seyakin teman saya itu tentang peluang Pakatan Rakyat di negeri itu. Bagi saya negeri itu adalah negeri yang paling sukar untuk ditawan oleh Pakatan Rakyat. Malahan strategi Pakatan Rakyat untuk menawan negeri itu saya rasa hanya akan berakhir dengan “menang bertarung, kalah berperang”.

Continue reading