Pilihan Jalanraya Pembina Memori Bersama

auntie bersih

Sebahagian daripada pendidikan politik saya adalah di jalanraya. Sebahagian lagi adalah melalui pembacaan dan kuliah serta diskusi kedai kopi yang sering saya ikuti. Saya adalah antara generasi muda yang terlibat di dalam siri-siri demonstrasi dan protes jalanraya pada tahun 1998.

Tahun 1998 merupakan tahun penting di dalam sejarah gerakan sosial di Malaysia di mana benih-benih perlawanan yang diperolehi dari kesinambungan sejarah silam mula ditanam.

Sebahagian daripada hasilnya sudah dapat kita tuai pada hari ini. Sedikit demi sedikit ruang demokrasi dan kebebasan mula terbuka. Semakin hari semakin ramai orang menjadi berani. Takut pula sedikit sebanyak sudah berjaya ditundukkan.

Sebahagian besar daripada penglibatan saya di jalanraya pada ketika itu hanyalah sebagai peserta sahaja. Namun terdapat juga sebilangan kecil daripada protes dan demonstrasi jalanraya yang berbentuk kecil-kecilan di sekitar tahun 1998 – 2003 di kota Kuala Lumpur ini yang saya bersama beberapa orang kawan anjurkan, gerakkan dan laksanakan.

Bila mengingat kembali penglibatan saya di dalam protes dan demonstrasi jalanraya ini saya sering jadi nostalgia dan sentimental. Suatu memori yang tersulam kejap ke dalam ingatan.

Memori yang bukan hanya sekadar kenangan tetapi suatu unsur emotif dan sosio-psikologis yang sebahagiannya membentuk pemikiran, pandangan dunia dan keperibadian diri saya. Memori di dalam konteks ini bukan sekadar perakam peristiwa tetapi suatu  kesedaran (consciousness) emosi dan sosio-psikologi yang kompleks yang menjadikan wujudiah kita sepertimana kita wujud sekarang ini.

Apabila saya katakan bahawa aksi jalanraya adalah suatu memori buat saya bukanlah bermakna saya tidak turun lagi ke jalanraya bila ada demonstrasi dan protes. Turun tetap turun. Cumanya saya sudah tidak aktif lagi di dalam kerja-kerja menggerakkannya.

Jalanraya tetap menjadi pilihan saya sebagai kaedah perlawanan yang paling efektif di dalam gerakan politik. Jika tidak ada jalanraya, SUHAKAM tidak akan ditubuhkan. Jika tidak ada jalanraya ISA tidak akan dimansuhkan. Jika tidak ada jalanraya AUKU tidak akan dipinda. Jika tidak ada jalanraya Anwar Ibrahim tidak akan dibebaskan. Jika tidak ada jalanraya Mahathir tidak akan undur. Jika tidak ada jalanraya Pakatan Rakyat tidak akan mungkin mengecapi kejayaannya seperti sekarang ini. Sebahagian besarnya adalah kerana politik jalanraya.

anwar reformasi 98

Pilihan jalanraya ini cukup efektif tetapi sentiasa mendebarkan. Apa sahaja yang berisiko dan tidak selamat tentu akan mengundang debaran.

Tapi debar ketika di jalanraya adalah debar yang mengasyikkan. Kadang-kadang ia menjadi rindu yang ditagihi. Seperti cinta pilihan jalanraya adalah menyakitkan tetapi perlu. Cinta menjadi lebih bermakna jika kita merasa sakit kerananya. Politik menjadi lebih bermakna jika kita turun ke jalanraya kerananya.

Politik yang tidak ke jalanraya adalah politik orang tua. Politik orang muda adalah politik ke jalanraya. Umumnya di mana-mana negara di belahan dunia mana pun polanya sama. Politik jalan raya adalah politik orang muda. Muda di sini bukan bermaksud umur tetapi sikap dan atitud.

Kemudaan itu bagi saya dinilai dengan berahi dan ghairah melawan yang tinggi. Menjadi muda adalah menjadi pelawan dan salah satu daripada manifestasi perlawanan orang muda adalah dengan turun ke jalanraya.

Jalanraya adalah suatu pendidikan politik yang paling jujur. Kejujuran yang terdalam hanya dapat kita temui di dalam keadaan di mana keselamatan diri kita menjadi taruhan. Di aksi jalanraya keselamatan diri akan sentiasa menjadi taruhan kerana kita akan berhadapan dengan alat-alat negara yang tidak punya nurani.

Di jalanraya inilah kita akan belajar bahawa negara atau state diterasnya yang paling dalam adalah suatu bentuk organisme mekanikal yang terdiri daripada institusi-institusi kekuasaan dan penguatkuasaan tanpa nurani yang bermatlamat mempertahankan dirinya sendiri daripada terbubar. Kerana itu negara tidak pernah terbubar. Yang terbubar hanyalah kerajaan.

Namun sebelum sesuatu kerajaan itu terbubar, alat-alat negara akan dikerah, digembeling dan digunakan semaksima yang mungkin oleh kerajaan yang berkuasa untuk memastikan dirinya terus survive.

Berhadapan dengan alat-alat negara di aksi jalanraya inilah kita akan belajar untuk menjadi berani. Kita akan belajar untuk bersetiakawan. Kita akan belajar untuk bersolidariti. Kita akan belajar untuk berlawan. Kita akan belajar untuk mengenal siapa musuh siapa kawan. Kita akan belajar tentang pengkhianatan. Kita akan belajar tentang persahabatan. Kita akan belajar tentang persaudaraan. Kita akan belajar untuk menjalin hubungan kebersamaan di waktu-waktu keperihan, kesakitan dan kesengsaraan.

Dengan kata lain, aksi jalanraya adalah rangkuman tindakan, hubungan, pemikiran dan perasaan yang kita jalin bersama-sama dengan peserta-peserta lain untuk membina memori bersama yang seterusnya melahirkan mitos bangsa yang ceritanya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

anti-isa rally

Di dalam kesemua tindakan persaudaraan dan kesetiakawanan yang kita lakukan ketika aksi di jalanraya kita sebenarnya membina hubungan dan menjalin ikatan-ikatan kecil antara sesama kita yang jalinannya membentuk memori bersama walau pun kita tidak kenal antara satu sama lain. Ini adalah kerana pengalamannya, ceritanya dan naratifnya adalah sama.

Asap pemedih mata yang kita hidu, semburan air kimia yang membasahi tubuh kita, cotar yang memukuli badan kita, tumbukan dan tendangan daripada but Polis yang menghentak rusuk kita, larian yang kita lakukan bila dikejar oleh FRU dan Polis – semuanya membentuk naratif memori yang sama.

Memori bersama punya tarikan emosi dan sosio-psikologi yang kuat yang mampu untuk melahirkan rasa kekitaan sebagai satu bangsa yang sama. Walaupun kita berlainan etnik, agama dan bahasa tetapi kita adalah sebangsa, bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia yang diikat dengan memori bersama yang dilalui ketika aksi di jalanraya.

memori bersama

Bagi saya turun ke jalanraya bukanlah tujuan utamanya untuk menumbangkan kerajaan atau menunjuk perasaan atau mengajukan tuntutan atau melakukan desakan. Kemungkinan besar di Malaysia ini kerajaan takkan tumbang dengan aksi jalanraya atau tunjuk perasaan.

Malaysia sebagai sebuah negara atau state terlalu kuat untuk ditumbangkan oleh peserta-peserta demonstrasi yang sebahagian besarnya adalah kelas menengah yang selesa. Tuntutan dan desakan juga kemungkinannya akan mengambil masa yang lama untuk diterima.

Tetapi ada satu tujuan turun ke jalanraya yang kita tidak nampak. Tujuan ini tidak diajukan oleh politisi atau aktivis politik ketika mereka menghasut kita untuk turun ke jalanraya. Tujuan ini terselindung di sebalik retorik-retorik perlawanan.  Tetapi ia tetap merupakan tujuan yang sangat penting buat kita semua.

Kita sendiri mungkin tidak sedar tetapi selain daripada untuk meluahkan perasaan kita dan juga bermain kejar-kejar dengan FRU, kita  turun ke jalanraya untuk membina memori bersama.

Memandangkan struktur sosial masyarakat Malaysia ini secara relatifnya terpisah mengikut garis etnik, bahasa dan agama maka peluang dan ruang untuk membina memori bersama itu sangat kurang. Kita tidak perlu melihat jauh. Lihat sahaja diri kita dan teman-teman di keliling kita.

Di dalam lingkungan aktivis-aktivis politik yang dikategorikan sebagai progresif sendiri pun secara umumnya saya perhatikan masih terpisah mengikut garis etnik, bahasa dan agama. Apatah lagi masyarakat awam di luar sana pemisahannya tentulah lebih ketara.

Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana tingkat integrasi antara etnik di negara kita ini umumnya masih rendah disebabkan pemisahan struktural mengikut garis etnik, bahasa dan agama yang kita sendiri pilih secara sukarela.

Pemisahan sukarela ini boleh kita lihat daripada keinginan masyarakat kita sendiri untuk menubuhkan dewan-dewan perniagaan mengikut etnik, mewujudkan sekolah-sekolah mengikut bahasa vernakular dari peringkat tadika sehinggalah sekolah menengah, mengkonsumsi media dan budaya popular mengikut garis etnik dan bahasa serta memilih penempatan perumahan yang juga cenderung mengikut etnik.

Pada masa yang sama kita juga dihadapkan dengan pemisahan yang bukan sukarela yang diwarisi oleh kita melalui perlembagaan yang memberikan keistimewaan serta layanan yang berbeza kepada etnik dan agama tertentu.

Justeru itu, di dalam kondisi keterpisahan yang sebegini rupa dengan kurangnya institusi sosial yang wujud di negara kita yang memberi ruang dan peluang untuk kita menjalin hubungan antara etnik yang lebih dalam, intim dan akrab maka pilihan jalanraya adalah merupakan wahana terpenting untuk kita membina memori bersama sebagai satu bangsa di tanah air Malaysia milik kita semua ini.

Tidak ada memori yang lebih kuat daripada memori bersama-sama mengharungi suka-duka simbahan air kimia, tembakan asap pemedih mata, pukulan cotar FRU dan tumbukan serta tendangan daripada but keras FRU dan Polis yang dilawan dengan semangat persaudaraan, kesetiakawanan dan tolong-menolong yang tidak berbelah-bagi tanpa mengira etnik, bahasa atau agama.

Memori bersama mengharungi suka-duka keperihan, kesengsaraan dan kesakitan di aksi jalanraya ini akan menjadi cerita, naratif dan akhirnya mitos yang akan diperturunkan kepada anak cucu kita dari satu generasi ke satu generasi yang lain yang akan mengikat kita sebagai satu bangsa yang berkongsi nasib dan masa depan yang sama.

Seperti mana cinta, memori yang paling menyakitkan itulah yang paling diingati. Begitu jugalah dengan pilihan jalanraya, memori persaudaraan dan kesetiakawanan di waktu-waktu yang paling perih, sengsara dan sakit itulah yang menjadi kenangan yang akan mengikat kita di dalam jalinan emosi dan sosio-psikologis yang kompleks yang akan membantu di dalam usaha untuk melahirkan bangsa Malaysia yang masih belum siap pembikinannya ini.

bangsa malaysia

4 Responses

  1. Tuju Malbaru, gua rindu zaman2 dulu, reka lagu2 demonstrasi kat rumah Kecik. Hehe. Wei aku hilang no hp kau. (Shark)

    • aloooo shark! sorry lambat reply. aku wkend tak online la. wkend adalah hari berkaseh sayang. so segala aktiviti online aku tinggalkan. hidup bkn hanya politik. tubuh memerlukan riadah-riadah yg lain jugak. hahaha

      ko pe kabar shark? anak dah brape org? hahaha. aku doakan ko beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat serta tetap kental di dlm semangat revolusioner seperti dulu. jgn jadi mcm aku. aku dah tua. sejak makan gaji ni aku dah kureng revolusioner! hahaha

      aku maseh simpan ko pnye fone number. nombo ko maseh yg ini kan…01*-***7140?

      orait shark! selamat!

      • Aku sekarang kat UK. Wife aku buat Phd kat Manchester. No tu dah tak valid dah. No aku sekarang +447449450677. Kau emelkan no hp kau ke sharkpmc@gmail.com boleh? Aku nak simpan.

  2. tulisan yang menarek…. membakar gelora jiwa si anak muda.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: