Die Mündigkeit dan AUKU

Oleh: Bukan Ameng Spring

Muhammad Idzuan Jamalludin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia sidang 2011/12

Pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakfahamannya yang dipikulnya sendiri. Ketidakmatangan merupakan ketidakupayaan seseorang untuk menggunakan kefahaman (fikirannya) tanpa bantuan (pedoman) orang lain. Beban ketidakmatangan ini bukanlah datang daripada ketidakfahaman, melainkan kerdilnya azam dan keberanian untuk menggunakan akal tanpa panduan orang lain.

Sifat malas dan pengecut ini merupakan sebab mengapa sebahagian besar mahasiswa masih ingin berada sepanjang hayat dalam keadaan tidak matang; sehingga mudah untuk pihak lain (baca: khususnya HEP) tanpa tentangan (malah dialu-alukan) menjadi ‘penjaga’ mereka. Ya, apa salahnya? Bukankah sangat selesa untuk berada dalam ketidakmatangan?

Saya mempunyai HEP dan biarlah mereka yang putuskan apa yang baik dan tidak untuk saya. Apa gunanya berfikir jika ada orang lain mahu melaksanakan kegiatan yang melelahkan itu?

Malah, HEP  yang selama ini telah menguasai (maha)siswa dengan ‘baik’ berjaya memastikan majoriti (maha)siswa – termasuk para pemimpin mereka – menganggap usaha menuju kematangan (kemampuan berfikir sendiri) adalah suatu yang amat susah dan merbahaya pula. Tidak percaya? Maka rujuk tulisan Muhammad Idzuan Jamalludin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia sidang 2011/12, yang bertajuk Usah Ganggu Siswa Dengan Isu Politik (Berita Harian 2011/11/10):

Saya tidak ada masalah dengan 15(1) dan 15(4) tetapi persoalan utama, siapa yang boleh beri jaminan IPT tidak akan digunakan oleh mana-mana parti politik sebagai markas dan medan politik mereka jika 15 (1) dan 15 (4) dihapuskan. Adakah jaminan ini diberikan Naib Canselor atau ahli politik BN, ketua pembangkang atau siapa? Tiada sesiapa mampu memberi jaminan tidak akan ada kekacauan oleh parti politik untuk masuk ke dalam kampus. Continue reading

Advertisements

Negara Bukan ibu bapa kita

……universiti umpama ibu bapa, bayangkan jika ibu bapa memberikan seluas-luas kebebasan kepada anaknya? Adakah ini baik? Universiti mengawal dan mengehadkan kebebasan kerana sayangkan (maha)siswa, bukan sebaliknya sebagaimana ibu bapa menyayangi anak-anak mereka…

Pengenalan

Kita sering ditemukan dengan hujah songsang (atau cuba menyongsangkan?) jalan fikir seperti pernyataan di atas. Dalam taxonomi falasi, kesesatan berfikir ini disebut sebagai argumentum ad populum – pernyataan yang kelihatan benar kerana disebut ramai dan sering pula diulang-ulang. Hujah begini juga boleh jadi  argumentum ad ignorantiam, dua premis yang tidak pernah diuji sebagai silap maka diterima sebagai benar. Oleh itu, mari kita selidiki kenyataan ini agar, kesesatan ini menemukan pedomannya.

Baiklah, pertamanya universiti dan ibu bapa adalah analogi yang tidak simetri – tak sepadan. Universiti (awam) merupakan sebahagian daripada negara dan ibu bapa merupakan sebahagian daripada keluarga, ruang peribadi. Maka, peranan universiti tidak akan boleh sama dengan peranan ibu bapa kerana negara tidak berhak untuk masuk ke ranah peribadi seseorang. Contohnya, negara melalui mekanisma manapun tidak berhak untuk menentukan jam berapa seseorang itu boleh keluar bermain bola sepak bersama rakan-rakannya. Tapi ibu bapa punya tanggungjawab untuk menasihati tingkahlaku si anak jika lewat azan maghrib pun masih di padang, contohnya. Apakah mungkin, negara menggunakan aparatusnya untuk memastikan anak-anak pulang ke rumah sebelum jam 6 petang, mandi dan makan malam bersama keluarga. Gila! Begitu juga negara tidak berhak menentukan hidangan meja makan. Jika si anak pulang lewat, keluar dengan kawan-kawan yang tidak disenangi oleh ibu bapa, maka itu tangungjawab ibu bapa untuk menegur anaknya, bukan negara. Continue reading