Pasca PRU13 Siri 4: Dilemma Pilihan Jalanraya

 which one

Seperti mana yang telah saya nyatakan di dalam tulisan saya yang lepas, pilihan jalanraya adalah suatu tindakan politik yang sangat efektif di dalam menyediakan wadah terbaik untuk kuliah politik baik secara praktis mahu pun teoritis bagi meradikalisasikan pemikiran politik rakyat. Namun begitu apa yang didesak, apa yang dituntut melalui pilihan jalanraya tidak semestinya akan berjaya diperolehi. Kalau berjaya pun, desakan atau tuntutan yang kita kemukakan itu umumnya akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

Walau pun gagal atau lama untuk memperolehi kejayaan tetapi saya percaya satu perkara yang kita tidak akan gagal dan akan memperolehinya serta merta ialah – memori bersama. Kita pasti akan memperolehi memori bersama melalui pilihan jalanraya. Memori adalah antara unsur emosi dan sosio-psikologi yang penting di dalam pembinaan bangsa.

Untuk memahami memori bersama sebagai unsur penting untuk membina bangsa Malaysia sila baca tulisan saya yang terdahulu yang bertajuk “Pilihan Jalanraya Pembina Memori Bersama”.

Namun begitu setelah meneliti perkembangan semasa khususnya pasca PRU13 ini, pilihan jalanraya dihadapkan dengan dilemma. Terdapat dua pihak yang sedang menghadapi dilemma berhubung dengan pilihan jalanraya ini.

Pihak yang pertama adalah pemimpin-pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat. Daripada pemerhatian saya di dalam menanggapi persoalan pilihan jalanraya ini pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terpecah kepada tiga kelompok iaitu:

  1. Kelompok pemimpin PR yang menyokong tindakan jalanraya
  2. Kelompok pemimpin PR yang mengambil sikap berdiam diri
  3. Kelompok pemimpin PR yang secara terang-terangan menyatakan tidak bersetuju dengan pilihan jalanraya ini

Sebahagian daripada kelompok yang menyokong tindakan jalanraya ini umumnya adalah kelompok yang memang “kaki demo”. Sebahagian lagi adalah terdiri daripada mereka yang kalah bertanding di dalam PRU13 yang lepas.

Ada daripada mereka ini yang “kaki demo” dan juga kalah bertanding. Ada juga yang menang bertanding tetapi gagal untuk mencapai hajat yang lebih tinggi. Jadi mereka ini membentuk kelompok yang paling lantang mengajukan pilihan jalanraya.

Motif mereka pada pandangan saya dipengaruhi oleh dua tesis penghujahan iaitu:

  1. Regim pemerintah di negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia contohnya takkan mungkin dapat dijatuhkan melalui jalan pilihanraya. Mereka mengambil contoh Suharto di Indonesia, Marcos di Filipina, Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia yang digulingkan melalui jalanraya. Hanya selepas penggulingan barulah suatu sistem pilihanraya yang adil dapat dilaksanakan.
  2. Sistem pilihanraya di Malaysia takkan memungkinkan Pakatan Rakyat menang kerana ianya dipenuhi dengan tipu-muslihat yang tersusun-rapi yang telah dirancang oleh institusi-institusi negara melalui Suruhanjaya Pilihanraya yang dituduh sebagai berat sebelah. Penghujahan mereka ini disertakan dengan bukti-bukti seperti daftar pemilih yang kotor, akses media yang berat sebelah, persempadanan kawasan pilihanraya yang tidak adil, rasuah, politik wang, undi awal, undi pos, dakwat tidak kekal, pengundi hantu, black-out, pengundian dua kali, peti undi bertambah dan pelbagai hujah-hujah tentang penipuan pilihanraya yang lainnya.

Kelompok pemimpin PR yang menyokong pilihan jalanraya ini bukanlah menolak kaedah pilihanraya. Yang mereka tolak adalah pilihanraya yang menipu, berat-sebelah dan tidak adil. Mereka hanya menyokong pilihanraya yang bersih, adil dan saksama sahaja.

Pada pandangan mereka pilihan jalanraya adalah salah satu daripada kaedah untuk menukar sistem pilihanraya di Malaysia yang mereka tuduh sebagai tidak adil ini kepada suatu sistem pilihanraya yang lebih adil, telus, bersih dan saksama.

Kelompok kedua adalah mereka yang berdiam diri. Kelompok ini mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat terlebih dahulu. Sebahagian besar daripada mereka adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin PR yang menang di dalam PRU13 baru-baru ini. Mereka akan cuba menunjukkan yang mereka tidak terlibat dengan mana-mana faksi di dalam politiking dalaman parti masing-masing.

Terdapat kecenderungan oportunis di kalangan mereka ini kerana itu mereka mengambil posisi tunggu dan lihat – iaitu melihat dahulu faksi mana yang lebih berkemungkinan akan menang di dalam pergelutan memilih antara dua jalan ini. Mereka hanya akan menyertai faksi yang mereka jangkakan akan menang walau pun kecenderungan mereka yang sebenar adalah untuk memilih jalan yang lebih selamat.

Motif mereka kemungkinan besar bersifat peribadi untuk diri sendiri. Nama, pangkat, status, gelar, penghormatan, wang ringgit dan harta untuk dikumpulkan buat kepentingan diri sendiri, keluarga dan kroni.

Matlamat mereka hanyalah untuk menjadi YB. Menjadi YB adalah akhir kepada perjuangan politik mereka walau pun di dalam retorik harian kata-kata seperti “untuk rakyat”, “demi rakyat” “kebebasan”, “keadilan” “kebenaran” dan sebagainya sering digunakan.

Memandangkan mereka tidak punya idea-idea yang bersifat utilitarian dan ideologikal maka berdiam diri tunggu dan lihat adalah pendirian yang paling selamat.

Manakala kelompok yang terakhir adalah mereka yang terang-terangan tidak bersetuju dengan pilihan jalanraya. Dari pemerhatian saya mereka ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin PR yang memenangi pilihanraya baru-baru ini. Memandangkan mereka sudah menang kerusi yang akan menjamin kesinambungan karier politik bergaji mereka, pilihan jalanraya dilihat sebagai tidak perlu untuk dilakukan.

Nama, pangkat, status, gelar, penghormatan, wang ringgit dan harta untuk tempoh 5 tahun yang akan datang sudah pun terjamin dan tidak perlu diperjudikan lagi. Silap haribulan pilihan jalanraya boleh menyebabkan mereka hilang kerusi, kedudukan, nama, penghormatan dan wang ringgit jika sekiranya mereka tertangkap atas dakwaan menghasut atau terlibat di dalam aksi jalanraya dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Dengan terus menjadi YB sumber cari makan mereka untuk menyara diri sendiri, keluarga dan anak isteri sudah tidak perlu dirisaukan lagi. Manakala peruntukan kewangan yang akan diagihkan kepada mereka sebahagiannya boleh digunakan sebagai sumber penting untuk memperbesarkan kuasa mereka melalui pengambilan dan pembelian sokongan, pengikut, pekerja dan gurkha-gurkha politik mereka bagi menghadapi pertarungan politik dalaman parti dan juga luar parti.

Melalui pilihan rasional (yang terbatas tentunya) setelah mempertimbangkan untung rugi, mereka tidak memilih jalanraya. Pilihan jalanraya bagi mereka adalah pilihan yang lebih berisiko kepada kedudukan ekonomi dan kuasa mereka.

cost and benefit

Namun begitu kelompok yang tidak memilih jalanraya ini juga punya hujah-hujah yang munasabah yang mereka ajukan kepada publik. Mungkin hujah ini adalah untuk melindungi kepentingan ekonomi dan kuasa mereka tetapi mungkin juga mereka benar-benar percaya dengannya. Hujah-hujah mereka ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu, satu yang bersifat ideologikal dan dua yang bersifat strategis.

  1. Secara ideologikalnya mereka memang tidak percaya kepada metod melawan melalui jalanraya sebagai cara untuk mengubah kerajaan. Bagi mereka kaedah untuk mengubah kerajaan hanya boleh dilakukan melalui “constitutional means” atau mengikut cara-cara yang telah ditetapkan oleh perlembagaan. Dengan kata lain mereka berpandangan perubahan kerajaan hanya boleh dilakukan melalui cara yang dibenarkan oleh perlembagaan iaitu menerusi pilihanraya dan bukannya jalanraya.
  2. Secara strategisnya, mereka berhujah bahawa pilihan jalanraya bukan pilihan yang terbaik buat masa sekarang. Menurut mereka sekarang adalah masa untuk muhasabah diri. Sekarang adalah masa untuk merenung dan meneliti kembali kelemahan-kelemahan parti dan memperbaikinya untuk pilihanraya yang akan datang. Mereka juga berhujah bahawa sekarang masanya adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja mengurus, mentadbir dan memperbaiki kehidupan rakyat di kawasan dan negeri yang mereka menangi. Justeru, pilihan jalanraya bukanlah pilihan yang terbaik. Oleh kerana itu mereka tidak terlibat di dalam kerja-kerja menyusun dan memobilisasi massa.

Namun begitu, saya agak pasti yang dua kelompok terakhir ini, yang berdiam diri dan yang tidak bersetuju dengan pilihan jalanraya akan segera mengubah pendirian mereka jika sekiranya mereka dapati ombak sokongan daripada rakyat melimpah ruah membanjiri jalanraya.

Janganlah kita terperanjat jika sekiranya kita dapati mereka yang berdiam diri dan menolak pilihan jalanraya ini tiba-tiba muncul di tengah lautan rakyat memberi pidato yang berapi-api menyokong tindakan jalanraya. Pemimpin politik yang sebegini memang punya kecenderungan oportunis yang tinggi dan kita sebagai rakyat harus berhati-hati dengan mereka ini.

Setakat ini saya perhatikan hanya sebahagian sahaja daripada pemimpin parti PKR yang cenderung untuk memilih pilihan jalanraya. Sebahagian lagi mengambil sikap berdiam diri dan sebahagian yang lain secara terang-terang menolak pilihan jalanraya.

Manakala parti PAS dan DAP pula saya perhatikan secara umumnya di peringkat kepimpinan tinggi mereka menolak pilihan jalanraya. Ini dapat dilihat daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang pemimpin tinggi PAS dan DAP yang menyatakan bahawa parti mereka tidak menyokong sebarang usaha-usaha untuk menjatuhkan kerajaan melalui cara yang mereka hujahkan sebagai tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan.

Namun begitu saya yakin seperti mana golongan oportunis politik yang lainnya, pemimpin-pemimpin PKR, PAS dan DAP yang kononnya hanya menyokong tindakan-tindakan mengikut lunas perlembagaan ini akan turut mengaut keuntungan dan menonjolkan diri mereka di barisan kepimpinan jalanraya jika sekiranya lautan rakyat Malaysia turun ke jalanraya.

Namun begitu dilemma pilihan jalanraya ini bukan sahaja dihadapi oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat semata-mata. Satu lagi pihak yang turut mengalami dilemma pilihan jalanraya ini adalah rakyat sendiri.

Mengikut jumlah undi popular yang diterima pada PRU13 yang lepas, 51% rakyat Malaysia memilih Pakatan Rakyat. Maknanya terdapat 49% lagi rakyat Malaysia yang menolak Pakatan Rakyat. Suatu jumlah penolakan yang relatifnya besar. Undi popular yang diterima oleh Pakatan Rakyat bukanlah undi majoriti yang dominan. Ia hanya merupakan jumlah undi majoriti minima sahaja.

undi popular pru13

Daripada 51% undi majoriti minima itu, berapa ramai pula yang menyokong pilihan jalanraya?

Daripada pemerhatian saya tidak semua penyokong Pakatan Rakyat yang menyokong tindakan politik melalui jalanraya.  Penyokong Pakatan Rakyat yang tidak menyokong pilihan jalanraya ini boleh dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu:

  1. Kelompok orang tua
  2. Kelompok kelas menengah berkepentingan ekonomi
  3. Kelompok yang masih percaya kepada pilihanraya

Kelompok orang tua ini bukan bermaksud umur tetapi sikap dan atitud. Namun begitu terdapat juga situasi yang tertentu di mana sikap dan atitud ini selari dengan umur. Kelompok orang tua ini melihat pilihan jalanraya adalah pilihan yang menakutkan yang boleh membawa kepada tindakan kekerasan, keganasan, pembakaran, kecederaan, kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Imej-imej demonstrasi dan protes jalanan yang keras, ganas dan melibatkan huru-hara serta rusuhan yang mereka lihat di kaca televisyen atau internet sentiasa menjadi igauan ketakutan mereka. Sebagai kelompok tua mereka mahu pilihan untuk menukar kerajaan biarlah dijalankan dengan cara yang damai dan aman supaya kehidupan seharian mereka tidak terganggu.

Gangguan terhadap kehidupan seharian ini juga menjadi punca kepada kelompok kedua iaitu kelompok kelas menengah yang berkepentingan ekonomi mengambil pendirian untuk tidak menyokong pilihan jalanraya. Kelompok kelas menengah ini umumnya akan berhujah dengan hujah-hujah perlembagaan di mana prosedur membantah keputusan PRU13 perlu dilakukan dengan menghantar petisyen ke mahkamah dan bukan dengan tindakan protes di jalanraya.

Hujah mereka ini akan diajukan bersama-sama jargon-jargon perundangan dan perlembagaan yang disertakan dengan bukti-bukti bahawa petisyen di mahkamah tidak selalunya memihak kepada Barisan Nasional semata-mata. Malahan menurut mereka pihak pembangkang pernah memenangi petisyen di mahkamah dan Barisan Nasional juga pernah kalah di mahkamah.

Hujah-hujah mereka ini ada rasionalnya tetapi bagi saya hujah-hujah ini adalah hujah yang digunakan untuk menyembunyikan rasional ekonomi kelas menengah yang melibatkan perlindungan ke atas kepentingan-kepentingan ekonomi mereka.

social climber

Memandangkan status ekonomi mereka berada di tengah maka terdapat keperluan untuk memastikan aktiviti ekonomi berjalan lancar tanpa diganggu-gugat oleh protes jalanan atau rusuhan. Protes jalanan yang berpanjangan boleh menghalang mereka daripada mengumpulkan lebih banyak modal. Pilihan jalanraya hanya akan mengganggu aktiviti pengumpulan modal dan menghalang mobiliti sosial mereka ke kelas yang lebih tinggi. Justeru itu, melalui pilihan rasional yang terbatas mereka cenderung untuk tidak memilih jalanraya sebagai alternatif kepada pilihanraya.

Kelompok yang ketiga adalah kelompok yang masih percaya kepada pilihanraya. Mereka yakin bahawa Pakatan Rakyat masih boleh menumbangkan Barisan Nasional melalui pilihanraya. Keyakinan mereka itu datang kemungkinan besarnya daripada realiti bahawa kerajaan Barisan Nasional mampu dikalahkan di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Perak dan Terengganu pula hampir jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Daripada bukti-bukti kemenangan di dalam pilihanraya ini mereka merasakan bahawa pilihanraya masih boleh dipercayai sebagai jalan untuk ke Putrajaya.

Hakikat bahawa daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) itu kotor, persempadanan kawasan pilihanraya yang tidak munasabah, akses media yang tidak diberikan kepada Pakatan Rakyat, undi awal dan undi pos yang diragui kesahehannya, politik wang yang berleluasa, penggunaan jentera kerajaan yang melampau, dakwat kekal yang tidak kekal dan berbagai lagi tuduhan penipuan yang dikemukakan, tidak mereka perkirakan kerana mereka yakin kalau rakyat disedarkan dengan kerja-kerja politik yang lebih gigih dan strategi pilihanraya yang lebih baik Barisan Nasional mampu ditumbangkan melalui pilihanraya.

Kelompok yang masih percaya kepada pilihanraya ini umumnya turut terdiri daripada kelompok orang tua dan kelompok kelas menengah yang berkepentingan ekonomi. Namun begitu ketiga-tiga kelompok ini juga seperti mana kelompok-kelompok pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak menyokong pilihan jalanraya, akan kembali menyokong pilihan jalanraya jika sekiranya mereka melihat ombak kebangkitan rakyat melawan penipuan PRU13 bertukar menjadi tsunami yang besar.

Buat saya sendiri, pilihan jalanraya bukanlah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional kerana saya percaya Malaysia sebagai sebuah negara atau state dengan segala macam institusi kuasa dan kuatkuasanya terlalu kuat untuk ditumbangkan dengan kaedah jalanraya. Apatah lagi dengan kondisi ekonomi Malaysia yang relatifnya tidak terlalu teruk dan jumlah kelas menengahnya yang agak besar menjadikan pilihan jalanraya hanya sebagai pendesak bukan pengubah kerajaan.

roas less traveled

Apa pun pilihan yang kita buat, suatu perkara yang pasti adalah dengan memilih pilihan jalanraya kita secara langsung terlibat di dalam usaha membina memori bersama dan mencipta mitos buat bangsa Malaysia yang masih di dalam proses untuk dijelmakan ini.

Namun pilihan jalanraya ada kawannya dan ada musuhnya. Kawan kepada jalanraya adalah marah. Musuh kepada marah adalah masa.

Semakin lama kita mengambil masa untuk turun ke jalanraya akan semakin reda marah kita. Semakin reda marah kita semakin payah untuk kita turun ke jalanraya. Semakin payah untuk kita turun ke jalanraya semakin sukar untuk kita bikin memori bersama!

One Response

  1. stail klas menengah berdemo – lepas kena tembak ngan air kimia dan makan bom asap balik lepak kat starbuck ato coffe bean sambil mengutuk polis dan BN sambil menghirup kopi berharga rm10 secawan!😉

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: