Solidariti Buat Isham Rais: Manusia “Kurang Ajar”

isham

Hishamuddin Rais seorang manusia “kurang ajar”. Tapi tindakan, bahasa dan kata-kata kurang ajar Isham itu bukan untuk berkurang ajar secara semberono. Kurang ajar Isham itu terancang. Isham memilih audiennya. Isham juga memilih konteksnya. Dan Isham memilih kata-kata dan tindakannya. Semua kurang ajar Isham itu terancang dengan tujuan yang khusus. Untuk mengejutkan bangsa Melayu terutamanya dari tidurnya yang panjang.

Meminjam kata “bongsai” yang dipopularkan oleh Isham, kurang ajar Isham itu adalah untuk menggoncangkan fikiran Melayu yang sudah lama dibongsaikan. Dibongsaikan oleh budaya bangsanya yang santun keterlaluan. Dibongsaikan oleh mentaliti feudalnya taat tak bertempat, patuh tak bersebab. Dibongsaikan oleh tafsiran agamanya yang sempit. Dibongsaikan oleh ikatan-ikatan adat, budaya serta resam Melayu yang tertib terlampau. Dan dibongsaikan oleh musuh Isham nombor satu, UMNO dengan projek, kontrek, pink form dan pembodohan.

Saya mengenali Isham sebelum beliau pulang ke Malaysia lagi. Berita tentang beliau akan pulang ke Malaysia setelah hidup sebagai buangan politik selama lebih kurang 20 tahun menjadi tajuk utama suratkhabar Utusan Malaysia.

Ketika itu saya masih membaca Utusan kerana di dalamnya setiap minggu ada tulisan Rustam Sani yang saya minati. Dan tentunya juga kerana gosip-gosip panas artis (retis) di ruang kelolaan Mama Juwie. Ya, selain politik, filem, seni, falsafah dan teori saya juga penggemar ruangan gosip retis-retis Malaysia. Hihihihi.

Dari berita di Utusan itu saya tahu tentang Isham tapi tiada langsung terlintas di fikiran saya pada waktu itu saya akan bertemu dengannya.

Tanggapan saya pada waktu saya membaca berita itu biasa-biasa saja. Tidak tergambar pada saya bagaimana keperibadian Isham, apatah lagi “kurang ajar”nya itu.

Tapi ketika kali pertama saya bertemu Isham secara berhadapan sudah terserlah kurang ajarnya. Tapi kurang ajarnya itu diajukan kepada seorang pelancung Mat Saleh yang kebetulan turut menginap di Marang Beach and Safari Resort, Terengganu.

Saya masih ingat benar. Waktu itu retreat MCOBA Concert tahun 1995. Ini juga bermakna sudah lebih daripada 20 tahun saya mengenali Isham. Saya mengenal Isham jauh sebelum dia melarutkan dirinya ke dalam Gerakan Reformasi 1998.

Isham pada waktu itu rapat dengan seorang lagi teman saya yang juga bernama Isham a.k.a Hishamuddin Nordin atau lebih dikenali dengan nama Isham Jambu. Ya! Isham juga memilih orangnya! Hahahaha.

Saya dibawa bertemu secara berhadapan dengan Isham melalui MCOBA Concert dan dapat berbicara secara langsung dengan Isham melalui Isham Jambu.

Isham mungkin lupa tentang kejadian pertemuan antara saya dengannya. Tapi saya maseh ingat kerana ia mengejutkan saya, seorang budak kampung dari keluarga Pak Imam di sebelah utara Malaysia yang memang sejak dari kecil diajar dan disemai dengan sopan-santun, budi-bahasa dan adab-tertib cara Melayu. Saya maseh ingat kejadian itu kerana ia mengejutkan sensibiliti Melayu saya.

“Are you taking a pornography video to send to your grandmother back in Amsterdam?” begitulah lebih kurang kata-kata yang terhambur dari mulut Isham dengan pelat Britishnya kepada seorang pelancung Mat Saleh yang kebetulan sedang mengambil video di resort tersebut. Intonasi suara Isham sarkastik, sinikal dan menjengkelkan.

Saya yang turut sama berada di situ terkejut, kaget dan terus timbul kegusaran dalam hati saya tentang kemungkinan akan berlakunya konfrontasi. Tapi mujur tiada apa yang terjadi kerana Mat Saleh itu kemudiannya berlalu pergi (mungkin kerana dia juga turut terkejut dihujat dengan kata sebegitu rupa).

Tapi kejadian itu melekat di ingatan saya kerana sensibiliti Melayu saya yang telah disosialisasikan oleh keluarga saya sejak dari kecil iaitu perlunya saya bersikap sopan-santun dan berbudi-bahasa kepada orang tiba-tiba diasak oleh tindakan Isham yang “kurang ajar” itu.

Saya sampai sekarang tidak tahu kenapa Isham menghamburkan kata-kata seperti itu. Waktu itu yang terlintas di fikiran saya ialah Isham baru pulang dan belum biasa dengan cara dan adab-tertib budaya di Malaysia yang sudah lama ditinggalkannya.

Tapi ternyata setelah lebih daripada 20 tahun saya mengenali Isham,“kurang ajar” Isham itu tidak hilang-hilang (walau pun sudah banyak berkurangan).

Namun satu perkara yang pasti, kurang ajar Isham tidak pernah hilang khususnya bila berhadapan dengan manusia, kerajaan dan sistem yang menindas rakyat serta mencemar alam sekitar. Isham akan berdiri teguh bersama-sama rakyat tertindas dan alam yang tercemar mengajukan perlawanan tapi dengan cara yang kasar, keras dan kurang ajar.

Mengingatkan kembali kejadian di pertemuan antara saya dan Isham itu serta membuat cerminan semula, Isham sebenarnya secara tidak sengaja telah menunjukkan pada saya bahawa dalam hidup ini kita jangan takut. Jangan takut untuk keluar dari zon selamat. Zon selamat cenderung memandulkan pemikiran kita. Kerana semuanya selamat maka kita tidak lagi mahu mencabar fikiran kita. Fikiran yang tidak dicabar adalah fikiran yang berpotensi mandul awal.

Dan dalam konteks kejadian di Marang Resort itu, Isham membuat satu pernyataan yang cukup jelas bahawa kita jangan mudah berasa takut dan tunduk walau kepada bangsa Mat Saleh yang kelihatannya lebih berkuasa, maju, pintar, punya senjata yang canggih dan pernah menjajah kita. Ini tanahair kita dan kitalah yang berhak menentukan halatujunya dan bukan bangsa lain apatah lagi bangsa Mat Saleh.

Dan dalam konteks yang lebih umum Isham mengajar saya supaya jangan takut menghadapi hidup. Jangan hanya terperuk di dalam zon selamat. Jangan takut untuk keluar dari zon selamat. Jangan takut untuk melawan keluarga, melanggar budaya, adat, hatta tafsiran agama dari ulamak sekali pun kerana ketakutan hanya akan memperpanjangkan perhambaan minda dan menyempitkan kebebasan manusia. Manakala kejahatan, penindasan dan sekatan terhadap kebebasan perlu dihadapi dengan cara berhadapan bukan bersembunyian. Dan Isham adalah manusia Melayu yang tidak pernah bersembunyi di dalam melakukan perlawanan.

Maseh segar di ingatan saya kejadian yang berlaku pada tahun 2003 sewaktu Isham dibebaskan dari tahanan ISA selama dua tahun di lorong belakang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Perkara yang pertama dilakukannya setelah diisytihar bebas oleh mahkamah adalah berpidato kepada khalayak awam yang menunggu.

Tidak ada langsung rasa kesal atau takut atau serik dengan hukuman penjara tanpa bicara yang telah dilaluinya itu. Tak sampai seminit selepas dibebaskan perkara pertama yang Isham lakukan adalah terus mengajukan – Lawan! Isham sememangnya seorang pemberani yang degil lagi tegar.

Dalam menjalani kelana hidupnya Isham melalui tindakan-tindakannya membenarkan kata-kata Pak Pramoedya Ananta Toer:

“Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya iaitu keberanian.

Kalau tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini?”

 

Saya tak mungkin menjadi seberani Isham. Dan secara jujurnya saya maseh punya rasa takut tentang banyak perkara tapi Isham telah membuka jalan untuk saya meneroka hidup dengan lebih berani. Saya juga tidak mewarisi “kurang ajar” Isham.

Tapi banyak hal-hal tentang pandangan hidup yang diangkat dan disosialisasikan oleh Isham dalam diskusi-diskusi panjang kami saban malam kadang-kadang hingga ke subuh bersama teh tarik dan kretek (kopi tanpa gula dan kretek Dji Sam Soe tanpa filter buat Isham) menjadi panduan buat saya dalam mengharungi hidup ini. Isham sebenarnya tanpa sedar telah menjadi ideolog penting dalam hidup saya.

Isham adalah manusia “kurang ajar” yang mulia. Kurang ajarnya itu diajukan untuk membela rakyat yang tertindas dan dizalimi. Kurang ajarnya itu adalah untuk membebaskan bangsa Melayu khususnya dari ikatan-ikatan budaya, adat dan tafsiran agama yang sempit, menyesakkan dan membongsaikan fikiran Melayu.

Isham mungkin adalah manifestasi sosok fizikal yang terjelma dari puisi Sasterawan Negara, Usman Awang yang berjudul “Kurang Ajar”.

Kurang Ajar

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar

 

Dan ternyata Usman Awang tidak salah, sekurang-kurangnya buat Isham. Nama Isham menjadi besar dan masyhur sebahagiannya adalah kerana kurang ajarnya itu. Kurang ajar yang terancang. Kurang ajar yang bukan dilakukan untuk berkurang ajar tetapi kurang ajar yang ditujukan kepada manusia, kerajaan dan sistem yang kurang ajar kepada nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, kesaksamaan dan kebebasan.

Di dalam ruang budaya Melayu yang sopan-santun dan beradab-tertib itu, sosok Isham menjelma dan menerjang dengan lantang garang mengajukan perlawanan dengan bahasa dan kata-kata yang kurang ajar agar bangsanya menjadi bangsa besar. Bangsa melawan bukan bangsa melutut.

Dan Isham adalah sosok bangsa Melayu yang melawan menyambung benang merah warisan sejarah Melayu dari Hang Jebat, Megat Seri Rama, Dol Said Naning, Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Tokku Paloh, Abdul Rahman Limbong, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Haji Sulong, Abu Zer, Yunus Ali, Said Zahari, Usman Awang, Syed Hamid, Syed Husin Ali dan benang-benang merah itu terus bersambung dan tidak putus-putus hinggalah sekarang ditenun dengan gaya santai tapi mengejutkan. Ditenun dengan jiwa dan semangat yang cekal oleh Hishamuddin Rais, manusia “kurang ajar” tapi mulia buat panduan generasi masa kini.

Namun begitu, walau pun Isham “kurang ajar” di hadapan khalayak ramai di ruang politik khususnya, tapi di ruang perasaan dan kamar tidur Isham sebenarnya seorang yang romantis. Malahan tahu pula merajuk panjang bila cintanya ditolak. Tapi itu cerita di lain kali. Dan bukan untuk tatapan ramai. Hihihi

Walau sudah mahsyur rupa

Sudi Tuan datang ke kampung

Walau sudah jarang jumpa

Budi Tuan melekat di jantung

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: