Surat Anwar Ibrahim Dari Penjara: Peluru Selamatkan Najib

surat anwar

 

Surat panjang Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buluh sudah pun dipublikkan. Tafsiran tentang isi kandungannya tidak terbendung lagi. Sekali ia terlepas ke ruang awam, ia bebas untuk ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran.

Begitulah umumnya sifat sebuah teks – tidak mati. Selagi ada yang membacanya ia akan terus hidup dan bernafas. Nyawa sebuah teks itu diberikan oleh wacana-wacana baik melalui tulisan mahu pun lisan, secara rasmi mahu pun tidak rasmi yang mengangkat, menganalisa dan mentafsirkannya.

Dalam konteks budaya Malaysia yang lebih cenderung kepada wacana lisan, teks hidup bernafas dan berkembang di warung-warung kopi, restoren-restoren mamak serta kafe-kafe kelas menengah bilamana ia disembang dan dibincangkan oleh khalayak awam, aktivis politik dan kelompok inteligensia masyarakat.

Teks yang dibaca dan diangkat di dalam wacana-wacana lisan atau tulisan atau kenyataan media akan dimaknai sesuai dengan kepentingan kelompok yang mentafsirkannya. Dari sudut ini makna teks tersebut sudah tidak mungkin seperti asal lagi kerana ia tertakluk kepada pembacaan dan pentafsiran yang diberikan oleh pembaca-pembacanya sendiri. Pembacanyalah yang menentukan makna teks tersebut.

Begitu juga dengan teks surat Anwar ini. Ia telah pun, sedang dan akan terus dibincangkan dan dimaknai mengikut pandangan masing-masing. Sekurang-kurangnya dalam tempuh sebulan dua ini ketika isu ini masih panas atau sehingga Anwar membuat penjelasan yang lebih tuntas.

Apa pun tafsiran dan makna yang diberikan, sebuah teks yang dinukilkan oleh seorang Anwar Ibrahim pasti akan mencetuskan gejolak politik khususnya dalam PKR, Pakatan Harapan dan Gerakan Deklarasi Rakyat.

Ini tak terelakkan. Kerana Anwar adalah sosok kepimpinan yang punya wibawa tinggi di mata pendukungnya. Iitizam beliau di dalam memperjuangkan keadilan untuk Malaysia sudah teruji dan beliau terus komited dengan agenda reformasi dan demokrasi untuk Malaysia.

Tambahan pula dengan seksaan penjara yang dilalui dan aib yang dilemparkan ke atas beliau dan keluarganya dengan tuduhan yang diragui kesahehannya, status Anwar sebagai pahlawan yang dizalimi terpasak kejap di dalam sejarah bangsa Malaysia.

Continue reading

Advertisements

Solidariti Buat Isham Rais: Manusia “Kurang Ajar”

isham

Hishamuddin Rais seorang manusia “kurang ajar”. Tapi tindakan, bahasa dan kata-kata kurang ajar Isham itu bukan untuk berkurang ajar secara semberono. Kurang ajar Isham itu terancang. Isham memilih audiennya. Isham juga memilih konteksnya. Dan Isham memilih kata-kata dan tindakannya. Semua kurang ajar Isham itu terancang dengan tujuan yang khusus. Untuk mengejutkan bangsa Melayu terutamanya dari tidurnya yang panjang.

Meminjam kata “bongsai” yang dipopularkan oleh Isham, kurang ajar Isham itu adalah untuk menggoncangkan fikiran Melayu yang sudah lama dibongsaikan. Dibongsaikan oleh budaya bangsanya yang santun keterlaluan. Dibongsaikan oleh mentaliti feudalnya taat tak bertempat, patuh tak bersebab. Dibongsaikan oleh tafsiran agamanya yang sempit. Dibongsaikan oleh ikatan-ikatan adat, budaya serta resam Melayu yang tertib terlampau. Dan dibongsaikan oleh musuh Isham nombor satu, UMNO dengan projek, kontrek, pink form dan pembodohan.

Saya mengenali Isham sebelum beliau pulang ke Malaysia lagi. Berita tentang beliau akan pulang ke Malaysia setelah hidup sebagai buangan politik selama lebih kurang 20 tahun menjadi tajuk utama suratkhabar Utusan Malaysia.

Ketika itu saya masih membaca Utusan kerana di dalamnya setiap minggu ada tulisan Rustam Sani yang saya minati. Dan tentunya juga kerana gosip-gosip panas artis (retis) di ruang kelolaan Mama Juwie. Ya, selain politik, filem, seni, falsafah dan teori saya juga penggemar ruangan gosip retis-retis Malaysia. Hihihihi.

Dari berita di Utusan itu saya tahu tentang Isham tapi tiada langsung terlintas di fikiran saya pada waktu itu saya akan bertemu dengannya.

Tanggapan saya pada waktu saya membaca berita itu biasa-biasa saja. Tidak tergambar pada saya bagaimana keperibadian Isham, apatah lagi “kurang ajar”nya itu.

Tapi ketika kali pertama saya bertemu Isham secara berhadapan sudah terserlah kurang ajarnya. Tapi kurang ajarnya itu diajukan kepada seorang pelancung Mat Saleh yang kebetulan turut menginap di Marang Beach and Safari Resort, Terengganu.

Continue reading

Pilihanraya Sarawak 2016: Sarawak For Sarawakians

IMG_593232299808

“Kamu Malaya datang sini mau apa?”

Ini kata-kata yang ditanyakan pada saya lebih dari sepuluh tahun yang lepas. Yang bertanyakan soalan ini adalah seorang tuai rumah di sebuah kampung rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman Sarawak. Waktu itu saya berada lebih dari tiga bulan di Sarawak menjalankan penyelidikan untuk sebuah NGO yang berpusat di Kuching dan Sibu.

Saya ditugaskan untuk meliputi komuniti Melayu di Kampung Thambirat, beberapa komuniti rumah panjang Iban di kawasan sekitar Kota Samarahan, Bintulu, Sibu dan Sarikei (Sarikai kalau dalam sebutan Bahasa Iban) dan beberapa komuniti Kenyah serta Kayan di kawasan Belaga yang cukup luas dengan hutan hujan tropikanya yang tua dan berusia ribuan tahun (kini sebahagian besar hutan di kawasan Belaga itu telah dimusnahkan untuk tujuan pembalakan, sawit dan empangan hidro Bakun).

Penyelidikan itu memerlukan saya untuk masuk ke kawasan-kawasan yang jauh di pedalaman Sarawak dan tidur di rumah-rumah panjang Iban, Kenyah dan Kayan. Rumah-rumah panjang itu kebanyakannya hanya boleh dimasuki dengan menumpang lori balak atau menyewa kenderaan 4WD dan ada rumah panjang yang memerlukan saya menaiki sampan untuk sampai.

Nama-nama kampung rumah panjang seperti Ensika, Long Lawen, Long Bulan, Sang Anai adalah antara nama-nama yang terpahat dalam ingatan saya. Begitu juga apai-apai dan indai-indai yang baik-baik, ramah-ramah dan sanggup menerima saya serta menumpangkan saya tinduk, ngirup dan makai di rumah panjang mereka selama beberapa hari.

Anak jati Sarawak sendiri mungkin ramai yang masih belum pernah menjejaki kampung dan rumah-rumah panjang di pedalaman Sarawak ini. Begitu luasnya negeri Sarawak ini, ditambah dengan kemudahan infrastruktur dan perhubungan yang terhad, sukar untuk sesiapa saja meneroka keseluruhannya. Ini menjadikan komuniti-komuniti di Sarawak ini secara relatifnya terpisah antara satu sama lain khususnya antara komuniti yang di bandar dengan yang di pedalaman.

Ini belum difaktorkan lagi perbedaan bahasa, dialek, budaya, etnis, agama, pendidikan, penempatan mengikut sungai dan yang lain-lainnya yang situasinya jauh lebih rencam, pelbagai dan kompleks dari di Semenanjung. Kalau sesama orang Sarawak sendiri sudah terpisah, apatah lagi dengan orang Semenanjung seperti saya.

Kata-kata “kamu Malaya datang sini mau apa?” yang diajukan pada saya sehingga sekarang masih saya ingat. Kata-kata itu bukanlah diajukan dengan nada yang benci, marah atau kecewa. Sebaliknya ia diajukan dengan ramah, senyum dan penuh penerimaan serta rasa ingin tahu yang tinggi tapi pada masa yang sama jelas memperlihatkan yang saya adalah berbeda dari orang yang bertanya. Saya orang Semenanjung. Orang luar. Bukan orang tempatan Sarawak.

Malaya bagi orang yang bertanya itu adalah sebuah sosok tubuh asing seperti mana juga saya yang dilihat sebagai orang asing. Saya adalah representasi Malaya, sebuah wilayah di seberang Laut Cina Selatan yang terpisah dari Sarawak.  Kerana itu kata “Kamu Malaya” digunakan sebagai sebuah simbol representasi perbedaan dan keasingan diri saya daripada diri si penanya yang merupakan anak jati Sarawak.

Dan kata “Malaya” itu sendiri sudah menunjukkan bahawa sejarah silam tidak putus di dalam fikiran, imajinasi dan memori si penanya walaupun sebenarnya Malaya secara perlembagaan dan undang-undangnya sudah tidak wujud lagi apabila tertubuhnya Malaysia. Tetapi di dalam fikiran, imajinasi dan memori orang Sarawak yang mengajukan soalan pada saya ketika itu, Malaya masih tetap wujud.

Malaya bukan sekadar wujud di ingatan sejarah beliau tetapi juga dilihat sebagai asing. Kerana itu selepas kata “Kamu Malaya…” ayat yang seterusnya menyusuli adalah “…datang sini mau apa?”  Seolah-olah pertanyaan itu membayangkan bahawa kedatangan saya itu dicurigai. Kesemenanjungan saya itu menjadi tanda kelainan dan keasingan sehinggakan tujuan kehadiran saya perlu diselidiki dengan pertanyaan “…datang sini mau apa?”.

Tapi ini bukanlah menandakan saya ini musuh. Saya cuma orang asing yang datang ke Sarawak dengan tujuan yang baik-baik, bisa diterima menjadi kawan tapi tetap saja saya bukan sebahagian dari tubuh Sarawak. Saya tetap orang asing walau pun saya ulih mimit-mimit jako Iban.

Walau pun kejadian ini sudah berlaku lebih dari sepuluh tahun yang lalu, saya tidak fikir banyak yang berubah. Semenanjung masih lagi dianggap Malaya dan orang-orang yang datang dari Semenanjung masih dilihat sebagai orang asing tidak kira sama ada mereka ini dari parti pembangkang atau parti pemerintah.

Kerana itu UMNO tidak dibenarkan bertapak di Sarawak dan ura-ura untuk membawa masuk UMNO ke Sarawak mendapat tentangan keras dari sebahagian besar anak negeri Sarawak. Pemimpin UMNO boleh saja masuk ke Sarawak dan berkempen (itu pun kerana UMNO bawa wang untuk biaya pilihanraya) tapi tidak mungkin akan dibenarkan memimpin Sarawak. Sarawak adalah untuk orang Sarawak bukan untuk orang Semenanjung.

Kerana itu juga apabila pemimpin-pemimpin parti pembangkang dari Semenanjung dihalang memasuki Sarawak, tidak banyak kritik atau bantahan yang kedengaran daripada organisasi-organisasi dan pertubuhan-pertubuhan anak negeri Sarawak.

Dan apa yang menarik di dalam pilihanraya Sarawak ialah SEMUA parti politik di pihak pembangkang adalah parti yang berasal dan berpusat di Semenanjung. PKR, PAS, AMANAH dan DAP – semuanya adalah parti asal Semenanjung dengan pusatnya di Kuala Lumpur.

Manakala SEMUA parti politik yang membentuk parti pemerintah di Sarawak adalah parti tempatan Sarawak. PBB, SUPP, PRS, SPDP – semuanya adalah berasal dan berpusat di Sarawak.

Justeru itu dari sudut yang mudah dan nyata, Pilihanraya Sarawak memperlihatkan pertentangan antara parti pemerintah yang diwakili oleh parti-parti tempatan Sarawak melawan parti-parti pembangkang yang berasal dari Semenanjung (walau pun calon-calon mereka adalah anak tempatan Sarawak).

Dengan sentimen anti-Malaya dan pro-Sarawak untuk Sarawak yang kuat, saya menjangkakan Barisan Nasional Sarawak akan menang besar dalam pilihanraya kali ini. Parti-parti pembangkang akan kalah teruk dan DAP akan kehilangan beberapa kerusi yang dimenanginya pada pilihanraya negeri yang lepas.

Mungkin di masa-masa hadapan, apa yang Pakatan Harapan boleh lakukan adalah dengan menarik parti-parti tempatan Sarawak menjadi sebahagian daripada anggota Pakatan Harapan. Dan untuk menarik parti-parti tempatan Sarawak ini, tawaran yang dikemukakan juga seharusnya menggiurkan pemimpin politik dan rakyat Sarawak.

Dengan sentimen anti-Malaya dan pro-Sarawak yang kuat di kalangan anak-anak Sarawak maka wajar saja ditawarkan misalnya kalau BN tumbang dan Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, sebuah referendum akan dilakukan di Sarawak untuk anak-anak Sarawak menentukan nasibnya sendiri sama ada masih terus mahu bersama Malaysia atau mahu autonomi sahaja atau mahu merdeka sepenuhnya.

 

Deklarasi Rakyat 2016: Takkan Melayu Hilang Kuasa Politik

takkan melayu

Sejak dari dahulu lagi kelihatannya bangsa Melayu ini dirundung oleh ketakutan akan kehilangan. Takut hilang identiti. Takut hilang jatidiri. Takut hilang ekonomi. Takut hilang budaya. Takut hilang bahasa. Takut hilang agama. Takut hilang bangsa dan bermacam lagi ketakutan yang lain.

Tapi dewasa ini ketakutan yang lebih ketara sekali ialah takut hilang kuasa politik. Mungkin hanya ada satu bangsa sahaja dalam dunia ini yang punya ungkapan, “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”.

Menurut sejarah dikatakan ungkapan lagenda ini muncul dari mulut Laksmana Melayu yang terbilang iaitu, Hang Tuah. Tetapi bila, di mana dan dalam situasi apa ungkapan itu disebut tidaklah pula diketahui.

Ungkapan ini boleh ditafsirkan sebagai sebuah manifestasi ketakutan akan kehilangan. Kerana itu ianya diungkapkan dengan sebegitu rupa. Ketakutan akan kehilangan kuasa politik ini secara umumnya timbul apabila terjadinya krisis, konflik dan perpecahan dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

Dan sekali lagi manifestasi ketakutan kehilangan kuasa politik ini muncul kembali dengan lebih menonjol di psiki Melayu dalam krisis terbaru politik Malaysia apabila Mahathir keluar dari UMNO dan melancarkan Deklarasi Rakyat 2016, 4 March yang lepas.

Ini boleh dilihat dari respon-respon yang diberikan khususnya oleh penulis-penulis di blog-blog pro-UMNO yang rata-ratanya bertemakan takut Melayu hilang kuasa politik.

Apa yang lebih menarik ialah ketakutan tentang Melayu hilang kuasa politik ini biasanya akan dikaitkan dengan bukan Melayu, khususnya Cina yang diperlihatkan sebagai suatu komuniti yang dominan dan agresif dalam penguasaan ekonomi negara.

Continue reading

Mahathir Betul! Ini Kalilah!

 

Facebook-Personality-Mahathir-vs-Najib

 

Saya adalah pengkagum Mahathir. Beliau seorang yang berani. Di masa-masa krisis seperti sekarang ini, kita sebenarnya memerlukan lebih ramai orang-orang yang berani. Walau pun sudah berumur 90 tahun tetapi Mahathir telah menyatakan kesanggupan beliau untuk didakwa dan dipenjara di dalam penentangan beliau tehadap regim Najib (dan Rosmah).

Keberanian Mahathir mengalahkan kita yang muda.

Sebagai seorang politisi yang berpengalaman, Mahathir adalah seorang yang pintar, licik dan strategis di dalam menggunakan kedudukan dan kuasanya serta alat-alat negara untuk menundukkan musuh-musuh beliau khususnya ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Tetapi pada masa yang sama beliau juga seorang pemimpin yang punya wawasan jelas untuk negara dan bangsa Malaysia yang dipimpinnya. Sama ada kita setuju atau tidak dengan wawasan dan jalan yang dipilih oleh Mahathir untuk merealisasikannya itu satu perkara yang lain.

Namun begitu rekod ketrampilan Mahathir sebagai seorang pemimpin yang hebat dan dikagumi dunia dirosakkan khususnya di mata ramai orang Melayu dengan tindakan beliau memecat Anwar Ibrahim melalui tuduhan yang sampai sekarang diragui kesahehannya.

Continue reading

HUDUD: Satu Tinjauan Sejarah dan Kemahuan Demokratik Masyarakat Muslim Kelantan

“Unsur-unsur yang membentuk nasionalisme Melayu sama ada

rajanya, bangsanya, bahasanya atau pun agamanya 

umpama bara yang tak pernah padam. Ia mungkin malap

buat seketika tetapi bisa menyala semula jika dikipas-kipas.

Islam adalah sebahagian daripada aspirasi 

nasionalisme Melayu jalur Islamis yang terpendam 

tetapi tak pernah padam. Perlahan-lahan ia menjalar, 

mengakar dan mencengkam sehingga tak bisa lagi dibungkam”

(Tuju Malbaru ketika sedang bersuluk)

 

Apakah perlaksanaan hudud itu bisa adil di dalam masyarakat yang majmuk dan rencam seperti Malaysia ini? Bagaimana pula dengan kemahuan masyarakat Muslim itu sendiri yang menuntut perlaksanaan hudud? Apakah kemahuan mereka adil untuk ditolak atas nama ketidaksesuaian hudud di dalam mencapai keadilan sosial di dalam masyarakat majmuk? Atau diterima atas nama Tuhan yang diinterpretasikan oleh mereka yang punya klaim autoriti agama sebagai suatu kewajipan untuk setiap Muslim menerima hudud?

Ini adalah antara perkara yang berlegar-legar di dalam fikiran saya selepas usai diskusi anjuran MIG (Malaysian Interest Group, Australian National University) tentang “Islam in Malaysia” yang dibicarakan oleh Dr. Harith Roslizar, Presiden IKRAM Australia. Di dalam masa yang agak singkat (kurang lebih 2 jam sesi diskusi tersebut) Dr. Harith sebagai nara sumbernya telah menyampaikan topik diskusi yang besar dan rumit itu dengan cukup baik sekali. Pembicaraan Dr. Harith ini kemudiannya diikuti dengan sesi soal-jawab dan diskusi terbuka.

Kesinambungan daripada diskusi bersama Dr. Harith ini dan juga soalan-soalan kritis daripada salah seorang anggota aktif MIG, saudara Sum Dek Joe, telah mencetuskan pertanyaan, persoalan dan bahasan fikiran di dalam diri saya. Jadi saya fikir elok juga untuk saya menuangkan buah fikiran saya di dalam tulisan ini khususnya dari sisi sejarah dan wacana kemahuan demokratik masyarakat untuk sama-sama kita fikir dan bahaskan.

Continue reading

Pasca PRU13 Siri 5: Momen Yang Terlepas

Image

Kawan kepada aksi jalanraya adalah marah. Musuh kepada marah adalah masa. Ternyata semakin lama masa berganjak semakin reda marah orang. Semakin reda marah orang, semakin rakyat menjadi kurang.

Itulah yang terjadi pada kemuncak siri Perhimpunan Suara Rakyat “Blackout 505” bagi membantah penipuan PRU13 pada hari Sabtu, 25hb Mei 2013 yang lepas. Padang Amcorp Mall tidak penuh. Terdapat banyak ruang-ruang kosong di atas padang.

Dari kiraan saya, kalau rakyat yang turun pada hari itu berdiri rapat-rapat, hanya separuh lebih sedikit sahaja padang yang akan penuh. Paling ramai pun tiga puluh ribu orang. Tapi kalau kita ikuti di blog-blog propaganda, pasti ada yang menyatakan jumlah kehadiran yang lebih tinggi.

Berbanding dengan hari pertama  Perhimpunan Suara Rakyat “Blackout 505” yang diadakan pada 8hb Mei 2013 di Stadium Kelana Jaya, “Blackout 505” di padang Amcorp Mall ternyata sudah kehilangan stim.

Di Kelana Jaya padat dengan lautan manusia sehingga melimpah ruah ke luar stadium. Di Amcorp Mall ruang kosong bersepah di keliling padang. Di stadium Kelana Jaya orang datang dengan marah. Di padang Amcorp Mall orang datang sambil membeli-belah. Ternyata momen sudah pun terlepas.

Apa itu momen?

Continue reading