Pasca PRU13 Siri 3: Kalau Tsunami Cina Pun Apa Hal?

Image

Sebenarnya agak melucukan apabila strategis-strategis daripada DAP beriya-iya mengajukan hujah bahawa PRU13 ini bukanlah “tsunami Cina”. Mereka mengutip data-data tertentu yang terpilih dan dari data-data tersebut dihujahkan bahawa bukan hanya orang Cina sahaja yang bangkit untuk cuba mengubah kerajaan melalui pilihanraya tetapi etnik-etnik lain turut sama menyertai kebangkitan ini.

Dari petikan beberapa data terpilih ini mereka mengajukan terma baru untuk memadamkan terma tsunami Cina yang mereka hujahkan sebagai kurang tepat untuk menanggapi keputusan PRU13 ini. Sebagai lawan kepada terma tsunami Cina ini maka diajukanlah terma-terma baru seperti “tsunami Malaysia”, “tsunami rakyat”, “tsunami bandar” “tsunami kelas menengah” dan sebagainya.

Terma-terma dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh strategis-strategis DAP ini memang ada benarnya. Etnik-etnik lain, kelas menengah, orang bandar dan sebagainya memang turut bangkit untuk cuba menumbangkan Barisan Nasional (BN) melalui PRU13 kali ini. Hakikat itu memang tidak dapat dinafikan.

Namun begitu kebangkitan mereka ini tidaklah ketara, jelas dan menonjol seperti mana kebangkitan etnik Cina untuk menolak Barisan Nasional di dalam PRU13 kali ini. Ini jelas dibuktikan dengan kemenangan DAP di semua kerusi Parlimen majoriti Cina yang ditandinginya kecuali di Parlimen Labis.

Manakala jumlah undi majoriti kemenangan di kawasan-kawasan majoriti Cina ini relatifnya adalah besar dan punya korelasi dengan jumlah pengundi Cina yang berdaftar di kawasan-kawasan tersebut. Sila rujuk rencana saya yang berjudul Memang Tsunami Cina La Bodoh!

Keputusan PRU13 kali ini juga agak sukar untuk dikatakan sebagai tsunami Malaysia kerana daripada fakta majoriti daripada kerusi-kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dimenangi oleh Barisan Nasional.

Malahan Sabah dan Sarawak adalah negeri yang menyumbang kerusi Parlimen paling banyak untuk Barisan Nasional iaitu sebanyak 47 kerusi Parlimen atau 35% daripada keseluruhan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional pada PRU13 ini. Sabah menyumbang 22 kerusi Parlimen dan Sarawak pula menyumbang 25 kerusi Parlimen buat Barisan Nasional.

Manakala di pihak Pakatan Rakyat pula hanya 9 kerusi Parlimen yang dimenangi di Sabah dan Sarawak. Hanya 2 kerusi yang dimenangi oleh PKR, satu di Sabah dan satu lagi di Sarawak. PAS pula tidak memenangi sebarang kerusi di dua negeri Borneo ini. Sekali lagi seperti mana di Semenanjung, DAP memenangi kerusi terbanyak buat Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak dengan 7 kerusi Parlimen yang ditandinginya di kawasan-kawasan yang semuanya mempunyai jumlah pengundi Cina majoriti.

Kegagalan Pakatan Rakyat untuk memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dan kejayaan Barisan Nasional memenangi 47 kerusi di dua negeri Borneo ini menyebabkan terma tsunami Malaysia agak kurang tepat untuk digunakan melainkan Sabah dan Sarawak tidak kita anggap sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Berikut adalah jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN, PKR, PAS dan DAP di Sabah dan Sarawak:

NEGERI

BN

PKR

PAS

DAP

Sabah

22

1

0

2

Sarawak

25

1

0

5

JUMLAH

47

2

0

7

Maklumat di dalam jadual di atas boleh diperolehi di: http://resultpru13.spr.gov.my/module/keputusan/paparan/5_KerusiDR.php

Begitu juga dengan hujah yang mengatakan bahawa PRU13 kali ini adalah tsunami bandar. Hujah ini sebahagiannya memang benar tapi sebahagian lagi agak kurang tepat kerana daripada fakta terdapat sejumlah kawasan Parlimen bandar yang gagal dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Malahan kawasan-kawasan bandar yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat hampir kesemuanya adalah kawasan majoriti Cina (kecuali di negeri-negeri Pantai Timur). Terdapat hubung-kait yang jelas antara kawasan bandar majoriti Cina dengan kemenangan calon Pakatan Rakyat baik daripada DAP, PKR mahu pun PAS.

Satu fakta yang menarik ialah di kawasan-kawasan Parlimen bandar yang dimenangi oleh UMNO/BN pula pengundinya adalah majoriti Melayu. Walau pun majoriti Melayu di kawasan-kawasan bandar ini tidaklah besar seperti di kawasan bandar yang majoriti pengundinya Cina tetapi UMNO/BN masih berjaya memenangi kawasan tersebut walau pun dengan undi majoriti yang lebih kecil. Undi majoriti lebih kecil yang dimenangi oleh UMNO/BN di kawasan-kawasan bandar ini pada pandangan saya adalah kerana sebahagian besar daripada masyarakat Cina memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat.

Berikut adalah beberapa kawasan-kawasan Parlimen bandar yang dimenangi oleh UMNO/BN di kawasan yang pengundi Melayu/Bumiputeranya adalah majoriti:

 

Kawasan Parlimen Bandar Yang Dimenangi oleh UMNO/BN

 

Kangar, Perlis
Kulim Bandar Baharu, Kedah
Tambun, Perak
Kuala Kangsar, Perak
Setiawangsa, Kuala Lumpur
Titiwangsa, Kuala Lumpur
Johor Baharu, Johor
Pasir Gudang, Johor
Tebrau, Johor
Muar, Johor
Pulai, Johor
Tanjung Piai, Johor
Labuan, Sabah
Petrajaya, Sarawak

Hujah tentang tsunami bandar ini juga sebenarnya agak bersifat parokial, chauvinis bandar dan penghinaan kerana hujah ini seolah-olah menggambarkan bahawa penduduk-penduduk di kawasan-kawasan luar bandar, kampung dan desa tidak memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat.

Sedangkan fakta menunjukkan lebih daripada separuh kawasan Parlimen di Kelantan dan Terengganu yang berada di kawasan luar bandar telah turut juga di menangi oleh Pakatan Rakyat melalui parti PAS. Begitu juga dengan kawasan-kawasan luar bandar di daerah Kerian, Perak dan di kampung saya yang terletak di utara Perak yang secara konsisten memberi undi mereka kepada PAS setiap kali PRU berlangsung.

Kejayaan PAS mengekalkan kerusi DUNnya di Kelantan sebanyak enam kali berturut-turut, kejayaan Pakatan Rakyat Terengganu menafikan majoriti 2/3 UMNO di Terengganu yang sebahagian besar dari kawasan-kawasan pengundiannya terletak di luar bandar dan kecenderungan penduduk-penduduk luar bandar, desa dan kampung di Perak utara, Kedah, Kelantan dan Terengganu memberikan undi mereka kepada calon PAS, menunjukkan bahawa terma tsunami bandar yang parokial, chauvinis bandar dan menghina ini kurang tepat untuk digunakan bagi menghuraikan keputusan PRU13 ini.

Begitu juga dengan terma tsunami kelas menengah yang sebenarnya agak sukar untuk diperolehi buktinya kerana di dalam daftar pengundi tidak terdapat butir-butir tentang pendapatan atau status ekonomi pengundi. Di dalam buku daftar pengundi, butir-butir yang boleh kita kenal-pasti dengan jelas hanyalah etnik, umur, jantina dan kawasan penempatan sahaja. Butir-butir tentang status ekonomi dan pendapatan memang tidak ada.

Jadi, apakah asas hujahnya apabila kita mengatakan keputusan PRU13 ini sebagai tsunami kelas menengah sedangkan butirnya tidak terdapat di dalam buku daftar pemilih?

Malahan terma kelas menengah itu sendiri adalah bermasalah kerana tidak terdapat ukuran yang standad tentang siapakah yang terangkum di dalam kategori kelas menengah itu. Di manakah bermulanya ukuran untuk kategori kelas menengah dan bilakah ukuran kelas menengah ini berakhir?

Saya percaya ramai daripada kelas menengah yang datang daripada kelas birokrat Melayu dan kelas kontraktor Melayu yang bergantung kontrek dan projek daripada UMNO telah memberikan undi mereka kepada UMNO di dalam PRU13 kali ini. Kerana itu kita dapat melihat dengan jelas bagaimana kawasan-kawasan Parlimen seperti di bandar Putrajaya, Titiwangsa dan Setiawangsa yang merupakan kawasan-kawasan kelas menengah Melayu bandar telah gagal dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Justeru itu, terma tsunami kelas menengah ini juga agak kurang tepat pelabelannya.

Namun begitu usaha-usaha yang dilakukan oleh strategis-strategis DAP ini untuk menafikan wujudnya tsunami Cina ini boleh difahami. Mereka tidak mahu PRU13 ini hanya diprojeksikan sebagai suatu kebangkitan daripada masyarakat Cina semata-mata. Mereka mahu memprojeksikan keputusan PRU13 ini adalah suatu manifestasi perlawanan daripada seluruh rakyat Malaysia yang merentasi garis etnik.

Namun begitu memandangkan mereka ini adalah strategis-strategis DAP, jadi hujah-hujah mereka tentulah tidak dapat lari daripada cubaan untuk melindungi kepentingan-kepentingan strategik DAP walau pun fakta menunjukkan sebaliknya. Ini wajar sahaja kerana sebagai strategis parti tugas utama mereka adalah untuk melindungi, mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan-kepentingan strategik parti dan terma tsunami Cina memang tidak strategik buat parti DAP.

Tapi bagi saya apa masalahnya untuk kita mengatakan bahawa keputusan PRU13 kali ini adalah tsunami Cina? Daripada fakta memang terang lagi bersuluh bahawa terdapat kebangkitan dan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat Cina untuk menghumbankan Barisan Nasional yang telah terbukti korup ini ke dalam tong sampah sejarah.

Daripada fakta juga di semua kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi majoriti Cina termasuk yang ditandingi oleh PKR dan PAS kecuali di Labis, Johor, semuanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat! Kalau ini bukan tsunami Cina, apa lagi yang harus kita namakannya?

Lagi pun, kalau tsunami Cina pun apa hal? Saya secara peribadi salut dan tabik kepada masyarakat Cina kerana berani membuat keputusan dengan tegas. Pada PRU13 kali ini sebahagian besar daripada masyarakat Cina telah menunjukkan jari tengah kepada kerajaan Barisan Nasional.

Yang jadi masalahnya adalah sebahagian daripada masyarakat Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang masih terus memberi sokongan kepada UMNO/Barisan Nasional walau pun telah terbukti yang UMNO/Barisan Nasional adalah sebuah regim yang korup, rasuah, menyalahgunakan kuasa yang diberi untuk mengkayakan diri, keluarga dan kroni serta telah gagal di dalam usaha untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi antara-etnik, intra-etnik dan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Justeru itu, kalau kita masih percaya pada sistem pilihanraya ini, maka kita perlu menyelidiki dan memahami kenapa sebahagian daripada pengundi-pengundi Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak masih menyokong UMNO/Barisan Nasional.

Ini sangat perlu dilakukan kerana hakikatnya di dalam sistem pilihanraya berbentuk first past the post ini, tanpa jumlah undi yang besar daripada masyarakat Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak di setiap kawasan Parlimen, sampai kiamat pun Pakatan Rakyat tak akan menang. Ternyata tsunami Cina di dalam sistem pilihanraya kita tidak cukup untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

11 Responses

  1. bkn tsunami cina la bodo! cuba tngok undi popular. bn dpt 46% je. pakatan dpt 51%. rkyat msia tk kira bangsa semua tolak bn la bodo! kalo tak apsal undi popular bn hnya 46% je?

  2. najib guna perkataan tsunami cina tu nak takutkan melayu. yang tuju malbaru ni lurus bendul apehal?

  3. aku setuju dgn penulis nie..mmg tsunami cina..dan apa mslh nya??terima la hakikat..kekurangan sokongan dr bangsa lain mmg ketara..PR kna usaha lbh lagi..terbaik bro!!

  4. memang lawak la strategis dap ni bro. yg rancang berlakunya tsunami cina ni dia orang tapi bila dah berlaku mati-mati nak nafikannya. lawak…lawak. kalo dah berani buat berani la hadapi kesannya. dah buat pastu tak nak mengaku! jangan cuba-cuba nak mengelak pulak! orang skrg dah pandai. UMNO kelentong ke, PAS kelentong ke, PKR kelentong ke, DAP kelentong ke, semua tak kwemana sebabb maklumat dah ada hujung jari. silap kelentong memang akan kena belasah punya

  5. “UMNO kelentong ke, PAS kelentong ke, PKR kelentong ke, DAP kelentong ke, semua tak kwemana sebabb maklumat dah ada hujung jari. silap kelentong memang akan kena belasah punya”

    inilah orang buta politik. tak kenal mana satu lawan mana satu kawan. yang mana musuh yang mana rakan seperjuangan. memang PR bukan semua betul tapi yang mana kau nak lawan sebenarnya? PR atau UMNO-BN? atau kau memamang selesa tinggal dan hidup dibawah pemerintahan BN sebab kepentingan ekonomi kau terjaga? memang celaka lah intelektual petty bourgeois macam korang ni.

    • bro DBS….yg nk dilawan tu pembodohan la. umno memang la membodohkan rakyat tapi kalo pakatan pon nak bodohkn rakyat dgn kenyataan dn hujah yg lembik, tak brdsarkn fakta dn bodo, takan nak diamkan je bro. org jdi buta politik sbb dibodohkn. dan org akn jadi buta, pekak dn tuli politik bila pakatan turut brsubahat membodohkn rakyat🙂

      • habis tu kau ingat rakyat boleh jadi cerdik ke kalau kau “lawan pembodohan” tapi umno tetap kekal berkuasa? aku rasa kau silap la. mungkin kau tak faham makna kuasa tu sendiri. rakyat amerika yang kononnya mempunyai demokrasi yang luas – orang boleh berhujah, menyatakan pandangan pun bodoh sebab kuasa masih lagi ditangan kelas memerintah yang reaksionari. bila kuasa tu masih ditangan kelas memerintah yang lama lagi reaksionari itu maka mereka boleh mengawal fikiran rakyat mereka.

  6. Pandai-pandai saja penulis diskopi ni cakap org bodo! Kalau betul tsunami cina, jadi apa masalahnya?????

  7. mamat DBS….umno tak berkuasa di kelantan dah 6 penggal bro. tu dekat hampir 30 tahun umno tak memerintah kelantan. ko ada nampak yg rakyat di kelantan lagi cerdik?

    lawan pembodohan ni bukan hanya lawan umno atau pakatan bro. lawan pembodohan adalah lawan idea-idea yang membodohkan dan membebalkan.

    umno memerintah malaysia dah lebih 50 tahun bro. tapi orang “cerdik” macam ko masih je ada. so, umno berkuasa pon ko tak jugak jadi bodoh aku nampak…. tak gitu? hihihihi

    • alahai bangangnya hujah kau. kelantan tu kerajaan negeri la bangang. dari segi ekonomi, politik dan perundangan dalam negara seperti malaysia ini kerajaan negeri hanya memainkan peranan minimal. akta mesin cetak, akta rahsia rasmi, akta hasutan, dan segala macam akta lagi yang dikuatkuasakan melalui badan kerajaan tu la alat pembodohan. kerajaan negeri ada kuasa ke nak ubah semua tu?

      “umno memerintah malaysia dah lebih 50 tahun bro. tapi orang “cerdik” macam ko masih je ada. so, umno berkuasa pon ko tak jugak jadi bodoh aku nampak…. tak gitu?”

      gelak guling-guling aku baca ni kahkahkah

  8. kah kah kah kah kah. aku pon gelak guling-guling bila mamat rentap cakap ko ni cerdik! kah kah kah. tergolek dawg aku. nak pecah perot rasa. kah kah kah kah kah. inilah bahananya bila terlalu lama di bwh UMNO sampai tak reti nak bezakan antara cerdik dgn bodoh. cerdik ko ckp mamat DBS ni? kah kah kah kah kah. kalo mamat DBS ni cerdik, maknanya pak pandir tu genius! kah kah kah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: