Politik Demografi: Penggelapan Khalid Jaafar

Dalam perjalanan masa, memiliki pembaharuan pemikiran bukanlah suatu yang asing. Akan tetapi, memiliki pertentangan pemikiran—dengan sebelumnya—boleh membangkitkan keraguan akan tabiinya untuk berfikir sungguh-sungguh. 

Malah, tidak salah untuk turut dibangkitkan akan niat yang mungkin tersorok di balik setiap pandangannya yang baharu. Inilah yang saya kesan daripada tulisan Khalid Jaafar, Pengarah IKD, merangkap penasihat kepada Azmin Ali, seperti yang termuat dalam Sinar Harian (Sampai bila PKR, Amanah mahu jadi boneka DAP?, 6 Mac 2020).

Dalam tulisannya, Khalid, atau teman-teman dekat memanggilkan dengan panggilan hormat Pak Khalid telah mempersembahkan cerapannya terhadap perkembangan politik mutakhir negara. Baginya, dan inilah amat-amatannya yang paling utama, bahawasanya perubahan demografi Malaysia menuntut kepada corak baharu dalam menanggapi setiap pencak politik. 

Dengan demografi orang Melayu yang bakal melebihi 70 peratus pada tahun 2040-an, sepertimana unjuran yang dipercayainya, maka politik yang berteraskan Melayu adalah suatu yang munasabah untuk dipertimbangkan.

Secara ringkasnya, apa yang diutarakan oleh Pak Khalid adalah suatu gesaan kepada politik demografi. Dengan penekanan ini, maka setiap keputusan politik bakal dicatur berasaskan identiti etnik.

Tanpa menafikan politik demografi sebagai salah satu pendekatan politik yang penting, akan tetapi, dengan meletakkan politik demografi semata-mata dalam pembuatan keputusan politik adalah gambaran pemikiran yang tidak sungguh-sungguh: ringkas dan malas. Lebih kepada mendramatikkan suatu yang belum tuntas. Walhal, dengan menggunakan alasan politik demografi, ia sama sekali tidak boleh secara terus disamakan dengan kebijaksanaan berpolitik. Sebaliknya, politik juga mengandungi unsur moral, yang sewajarnya kekal menjadi tandingan kepada politik demografi.

Demografi vs Moral

Moral, biarpun ia boleh bersifat abstrak dan ideal, tetap berperanan sebagai pengimbang sejagat (universal) kepada demografi yang kononnya bersifat konkrit, real dan bijagat (particular). 

Tanpa moral, setiap pencak politik akan menjadi terlalu nisbi sehingga menimbulkan kesukaran dalam menyukat tahap kemajuan sesebuah masyarakat. Dalam kata lain, politik moral perlu terus menjadi salah satu pengimbang kepada setiap keputusan politik, bersekali dengan politik demografi.

Persoalannya: bagaimana untuk melakukan keseimbangan ini? Bagaimana untuk kita manfaatkan pertentangan antara politik demografi dengan politik moral sebagai suatu teori dan konsep yang berguna untuk masyarakat? 

Sudah tentu, kita takkan dapat melihat pengamatan ini daripada Pak Khalid—kerana pemikirannya, maaf, sudah jatuh taksub kepada politik demografi.

Tiga Sanggahan

Sebelum kita menekuni bagaimana politik demografi dan politik moral dapat ‘bekerjasama’ dalam suatu kerangka politik yang dinamik, yang mana ini suatu usaha sukar, maka eloklah dahulu kita bentangkan betapa rapuhnya berpegang kepada politik demografi semata-mata. Sekurang-kurangnya terdapat tiga perihal yang diabaikan oleh Pak Khalid.

Pertama, dengan menyamakan bahawa lebih 70 peratus politik unjuran demografi Malaysia pada tahun 2040 adalah terdiri daripada orang Melayu, maka Pak Khalid dengan mudah menyatakan bahawa politik yang berpusatkan kepada kepentingan orang Melayu adalah perlu diutamakan. Dalam hal ini, jelas sekali pemikiran Pak Khalid adalah terlalu mudah serta gentar kepada kerumitan.

Katakan kita mengambil pakai unjuran tersebut sebagai benar dan sahih, maka itu hakikatnya belum tentu lagi tepat dan bernas. Ini terbukti tatkala kita boleh mempersoalkan akan sejauh mana Pak Khalid yakin bahawa idea orang Melayu tentang bentuk dan kehendak politik adalah seragam dan sekata? 

Adakah setiap etnik tidak memiliki kerumitannya yang tersendiri? 

Kalau ikut ingatan Pak Khalid, jawapannya mestilah “tidak.” Namun, kalau ikut sejarah alam, jawapannya boleh sebaliknya. Dengan menggunakan pembahagian politik mudah seperti petikan Pak Khalid sendiri—liberal dan konservatif (yang mana pembahagian ini boleh kita bincang lagi)—maka adakah semua anggota kepada suatu etnik memang pada akhirnya terlekat dengan satu identiti tunggal, sama ada liberal ataupun konservatif?

Tentu sekali, Pak Khalid takkan menyatakan begini secara terang-terang. Ia akan menjadi penyataan yang sudahnya akan menekup mukanya sendiri. Akan tetapi, bukankah ini maksud tersirat daripada bacaan kita terhadap penegasan politik demografinya?

Padahal, Pak Khalid terlupa, bahawa setiap etnik memiliki perbezaan dan kerumitan yang tersendiri. Tindakan menyamakan semua orang Melayu dalam satu bakul kehendak adalah mencerminkan suatu tahap kecuaian berfikir yang sama sekali menyedihkan. 

Namun, kesedihan ini bukanlah suatu yang perlu dibimbangkan. Sebaliknya, apa yang perlu lebih dibimbangkan ialah tujuan sebenar daripada manipulasi dan ekploitasi penghujahannya. Tidakkah dengan membakulkan semua Melayu ini suatu lagi percubaan untuk membonsaikan khalayak pembaca? Atau, dalam ungkapan lain, bertujuan untuk terus memperbodohkan rakyat. Itulah yang boleh kita boleh duga, setakat ini.

Kedua, dengan mengutamakan politik demografi, yang sudah tentu hanyalah suatu unjuran masa depan, maka tidakkah Pak Khalid sedar bahawa hujahnya ini sudah terperangkap dalam permainan propaganda? Politik yang membahagi dengan ketara antara kami dan mereka; kami yang benar dan mereka yang salah.

Di sini, kita tidak dapat melihat perbezaan pemikirannya dengan setiap gerakan kanan, yang menaikkan nama seperti Donald Trump dan Boris Johnson, juga ISMA, dengan pemikiran Pak Khalid. 

Kesemua gerakan kanan sentiasa berasaskan kepada propaganda—menakut-nakutkan masyarakat tentang masa depan, juga mengapi-apikan masyarakat tentang masa lalu.

Sekalipun politik demografi, kononnya, adalah politik konkrit dan real, kerana ia berasaskan kepada keperluan semasa, malangnya, politik demografi juga sebenarnya adalah politik yang boleh jadi apa saja; hatta boleh bernisbah kepada citarasa individu. Lebih parah, ia boleh menjelma menjadi suatu politik yang prinsipnya hanyalah semata-mata “demi kuasa” dengan mengatasnamakan “demi rakyat.”

Mungkin Pak Khalid melihat hujah sanggahan ini terangkum dalam kategori lemah. Kalau tebakan ini betul, Pak Khalid boleh saja membalasnya, dan kali ini dengan lirik senyumannya yang dirindukan, bahawa bukankah politik sememangnya berteraskan kuasa? Memang, akui sahaja, politik adalah kuasa.

Kalau inilah benar yang dikatakannya, maka ini memang mengesahkan kebimbangan kita. Sebab, politik yang semata-mata kerana kuasa adalah unsur asas kepada setiap gerakan fasisme. Hitler, Mussolini dan Stalin, semuanya berorientasikan kepada kuasa. Tetapi, apa natijahnya daripada semua gerakan ini?

Kita belajar daripada lipatan sejarah betapa ini adalah tanda kegagalan manusia secara keseluruhannya. Masing-masing, Hitler, Mussolini dan Stalin, telahpun menggunakan politik demografi demi merebut, mempertahan dan memanipulasi kuasanya. Dan, ini ternyata adalah suatu penggelapan kepada perjuangan kemanusiaan itu sendiri.

Sebaliknya, pencerahan, suatu kosa kata yang dipopularkan sendiri oleh Pak Khalid, adalah musuh utamanya. Jadi, tampaknya politik demografi semata-mata, adalah lembah neraka kepada para pencinta kemerdekaan dan kemurnian berfikir. Politik demografi semata-mata, hanyalah satu lagi bentuk propaganda yang terhias lunak dalam penyataan, “demi rakyat,” “menyelamatkan negara,” dan “kerana tuntutan keadaan.”

Namun kita boleh bersangka baik. Bukanlah suatu pekerjaan sukar untuk memiliki sangkaan ini. Mungkin saja Pak Khalid mempunyai alasan lain yang mewaraskan politik semata-mata demi kuasa ini. Dalam hal ini, seni politik yang membawa kepada kekuasaan boleh juga dilihat daripada perspektif estetik. 

Tidakkah tindakan Muhyiddin Yassin, Azmin Ali dan puak-puaknya itu suatu yang menarik, indah serta halus? Buah langkah yang cantik? Bidak catur yang mengena? Tidakkah ini tanda betapa geliganya mereka sebagai politikus? 

Barangkali kata Pak Khalid, kita semua patut mengagumi ketelitian permainan politik kekuasaan mereka ini. Biarpun mungkin tidak bermoral, tetapi ianya sama sekali tidak menyalahi mana-mana perundangan. Tetapi, memperoleh kuasa dengan helah adalah suatu seni? Dengan helah dan pengkhianatan? Biar betul.

Estetik semata-mata memanglah menghiburkan. Ia menghiburkan kerana estetik lebih mengarah kepada keindividualan. Akan tetapi, untuk memajukan suatu masyarakat, moral diperlukan kerana ia memiliki unsur pengikat yang lebih tulen. Justeru, moral dan estetik, perlu seiringan sebagai suatu dinamik yang penting dalam memajukan suatu masyarakat. 

Mengamati kedinamikan moral-estetik ini, adalah tugas yang jauh lebih penting daripada bermalas-malasan dengan sandaran hujah politik demografi yang “estetik” semata-mata.

Pertanyaannya: adakah para politikus sanggup mengamati kedinamikan ini sehingga dapat menghasilkan suatu konsep yang lebih jelas? Ini pasti bukan soalan yang tepat untuk politikus yang kemaruk kuasa.

Dan ketiga, sebagai sanggahan kepada pengutamaan politik demografi oleh Pak Khalid, ialah hakikat perkembangan dunia global yang semakin rumit. Justeru, rumus mudah yang menyamakan satu etnik dengan satu kehendak adalah sama sekali perlu dielakkan untuk kita berdepan dengan kerumitan dunia global dewasa ini. 

Pak Khalid yang mencadangkan pengutamaan politik demografi, sekali lagi, telahpun menyanggah dirinya sendiri yang pernah beriman dengan kosmopolitanisme. 

Bagaimana orang Melayu boleh menjadi kosmopolitan sekiranya masih bertakuk dengan politik demografi? Adakah Pak Khalid Tua kini sedang melawan Pak Khalid ‘Muda’?

Faktanya, dunia global menjadi makin rumit kerana terdapatnya ketersesaran identiti. Kita bukan sahaja dibahagikan lagi dengan etnik, akan tetapi juga dengan struktur-struktur lain yang tidak kurang pentingnya—sekali gus mengubah dengan ketara keseluruhan tingkah-laku dan tingkah-fikir kita. 

Dengan idea ini, maka tidakkah dengan bergayut kepada hujah politik demografi semata-mata dapat menggambarkan tingkah-laku dan tingkah-fikir segerombalan elit tertentu? Gerombalan yang melihat rakyat, negara dan masa depan dari atas? Seolah-olah yang bawah adalah barang yang tidak bernyawa? Itu yang boleh kita selami daripada keseluruhan tulisan Pak Khalid.

Dunia global yang makin rumit memerlukan kita meletakkan asas yang betul kepada struktur politik kita. Memiliki kesendengan terhadap politik demografi, hanyalah membuatkan struktur politik kita semakin herot. Perlu disedari bahawa dengan membenarkan ruang kepada permainan kuasa, maka struktur politik juga mestilah turut sama membenarkan ruang kepada permainan moral.

Justeru itu, contoh tindakan seperti tindakan memberi label seperti pengkhianat, bukanlah suatu yang langka yang boleh diperlekehkan dengan semudahnya. Setiap kosakata hadir dengan naratifnya yang tersendiri. Gelaran pengkhianat sangat membantu membina naratif yang jelas dan cepat.

Dalam kata lain, membina naratif adalah membina makna tanpa memerlukan terlalu banyak pengungkapan. Dengan kata “khianat” sahaja, sudah memadai untuk menjelaskan suatu tindak balas semerta yang boleh menimpa mereka yang tidak memiliki politik moral. 

Jadi, sekiranya Pak Khalid ingin menegaskan peri pentingnya politik demografi, maka itu sama sekali tidak melepaskan dirinya daripada terus terjebak dengan politik moral. Tidakkah ini mengambarkan terdapat dua bentuk politik—yang setara penting—yang perlu kita akui keberadaannya?

Malah, mereka yang terus berpegang kepada politik moral juga boleh dilihat sebagai estetik, sama kononnya mereka yang berpegang kepada politik demografi. Tidakkah kesabaran, ketekalan, ketekunan, itu juga suatu keindahan? Kita sering memberi nilai mulia kepada mereka yang geliga, licik dan tangkas, tetapi kita sering pula terlupa untuk melihat mereka yang sabar, tekal dan tekun sebagai memiliki kemuliaan yang tersendiri. Dalam hal ini, kita sepatutnya dengan lebih tepat menghargai sisi politik sebegini.

Justeru itu, apa yang boleh kita rumuskan daripada perbincangan ini ialah betapa politik demografi semata-mata adalah tanda kepada (1) suatu pemikiran yang ringkas dan malas, (2) berunsur fasisme serta (3) tidak akur kepada kerumitan global. Inilah yang dapat diamati daripada keseluruhan bangunan pemikiran mutakhir Pak Khalid.

Kembali kepada Moral

Namun, kaum pencerahan tidak perlu bernestapa. Pemikiran adalah suatu labirin, yang tidak terhenti pada satu sosok. Tugas kita, pasca Pak Khalid, ialah terus kekal kepada semangat pencerahan, yakni terus berfikir mencari keasalan dan kejelasan.

Lantaran itu, apa yang perlu kita usahakan ialah untuk melihat bagaimana bentuk politik moral dan politik demografi dapat dihuraikan dalam satu konsep yang dapat menjelaskan realiti politik Malaysia dan antarabangsa. Sudah tentu, apa yang dimaksudkan politik moral ini, bukan sahaja merujuk kepada politik kebaikan, tetapi juga menyedari bahawa politik kejahatan turut dengan mudah menyelinap masuk dalam setiap bait-bait muluk para politikus.

Politik—sama ada baik dan jahat—akan terus mewarnai dunia politik, zaman-berzaman. Malah, mereka yang menguar-uarkan politik demografi juga sebenarnya sedang menyeludup masuk politik moral dengan anggapan bahawa nilai pandangnya lebih baik, benar dan agung berbanding dengan kelompok lawannya.

Justeru itu, sekali lagi, tugas terpenting kita bukannya memberi laporan perkembangan politik ataupun menebak masa depan dengan satu data statistik semata; sebaliknya ialah merangka, memeta dan memakna suatu struktur politik yang dapat menjernih setiap tindakan politik. 

Penyusunan struktur yang rumit ini adalah tugas yang lebih mencabar berbanding bertakuk dengan satu sisi ekstrim: sama ada demografi mahupun moral. Ia mencabar kerana menuntut untuk kita memahami yang zahir dan batin sekali gus; emosi kolektif dan tingkah kolektif sekaligus. Namun, sudah tentu, kerja rumit ini bukanlah suatu yang digemari kerana ianya tidak dramatik, sensasi dan popular.

Meskipun begitu, sekali lagi, betapa politik demografi sudahpun tercatat pekat dalam lipatan sejarah seperti yang dilakukan oleh Hitler, Stalin dan Mussolini, akan tetapi, ia tetaplah menjadi titik gelap yang melambangkan kegagalan kemanusiaan sejagat.

Lantas, persoalan yang ingin ditanyakan di sini: Apakah Khalid Jaafar—yang satu ketika dianggap sebagai sosok liberal, pencerah dan kosmopolitan—kini sedang terperangkap dalam penggelapan yang beliau pancarkan tanpa disedarinya sendiri? Ataupun, ia memangpun disedari dan disengajakannya?

AQIL FITHRI merupakan anggota kepada Diskopi, sebuah perkumpulan perbincangan yang berpangkalan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Manakala versi pertama esei ini pula pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada 9 Mac 2020.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.