Surat Anwar Ibrahim Dari Penjara: Peluru Selamatkan Najib

surat anwar

 

Surat panjang Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buluh sudah pun dipublikkan. Tafsiran tentang isi kandungannya tidak terbendung lagi. Sekali ia terlepas ke ruang awam, ia bebas untuk ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran.

Begitulah umumnya sifat sebuah teks – tidak mati. Selagi ada yang membacanya ia akan terus hidup dan bernafas. Nyawa sebuah teks itu diberikan oleh wacana-wacana baik melalui tulisan mahu pun lisan, secara rasmi mahu pun tidak rasmi yang mengangkat, menganalisa dan mentafsirkannya.

Dalam konteks budaya Malaysia yang lebih cenderung kepada wacana lisan, teks hidup bernafas dan berkembang di warung-warung kopi, restoren-restoren mamak serta kafe-kafe kelas menengah bilamana ia disembang dan dibincangkan oleh khalayak awam, aktivis politik dan kelompok inteligensia masyarakat.

Teks yang dibaca dan diangkat di dalam wacana-wacana lisan atau tulisan atau kenyataan media akan dimaknai sesuai dengan kepentingan kelompok yang mentafsirkannya. Dari sudut ini makna teks tersebut sudah tidak mungkin seperti asal lagi kerana ia tertakluk kepada pembacaan dan pentafsiran yang diberikan oleh pembaca-pembacanya sendiri. Pembacanyalah yang menentukan makna teks tersebut.

Begitu juga dengan teks surat Anwar ini. Ia telah pun, sedang dan akan terus dibincangkan dan dimaknai mengikut pandangan masing-masing. Sekurang-kurangnya dalam tempuh sebulan dua ini ketika isu ini masih panas atau sehingga Anwar membuat penjelasan yang lebih tuntas.

Apa pun tafsiran dan makna yang diberikan, sebuah teks yang dinukilkan oleh seorang Anwar Ibrahim pasti akan mencetuskan gejolak politik khususnya dalam PKR, Pakatan Harapan dan Gerakan Deklarasi Rakyat.

Ini tak terelakkan. Kerana Anwar adalah sosok kepimpinan yang punya wibawa tinggi di mata pendukungnya. Iitizam beliau di dalam memperjuangkan keadilan untuk Malaysia sudah teruji dan beliau terus komited dengan agenda reformasi dan demokrasi untuk Malaysia.

Tambahan pula dengan seksaan penjara yang dilalui dan aib yang dilemparkan ke atas beliau dan keluarganya dengan tuduhan yang diragui kesahehannya, status Anwar sebagai pahlawan yang dizalimi terpasak kejap di dalam sejarah bangsa Malaysia.

Dan bagi ramai pendukung Anwar, Anwar adalah insan yang hampir tiada cacat-celanya. Kata-kata Anwar hampir berstatus sabda. Justeru itu, setiap fraksi-fraksi politik khususnya dalam PKR akan mengeksploitasi sepenuhnya surat Anwar ini mengikut kepentingan masing-masing. Tafsiran terhadap isi kandungan surat akan dibuat untuk mengukuhkan kedudukan fraksi sendiri dan menyerang fraksi lawan.

Bukan PKR sahaja akan terkesan dengan polemik yang dihasilkan oleh surat Anwar ini tapi turut menerima kejutan ialah Pakatan Harapan dan juga Gerakan Deklarasi Rakyat. Dalam 4-5 hari ini sahaja kita sudah melihat bagaimana kepimpinan dalam parti-parti politik pembangkang dan tokoh-tokoh masyarakat sivil (NGO) sudah pun bercanggah pendapat khususnya tentang Deklarasi Rakyat dan penglibatan Mahathir di dalam deklarasi tersebut.

Dari satu sudut hal ini menunjukkan betapa penting dan berpengaruhnya sosok Anwar di dalam gerakan politik di Malaysia walau pun tubuhnya terpenjara. Tapi gema suaranya yang disalurkan melalui surat beliau itu mampu menggoncangkan hala tuju dan strategi yang telah diambil oleh gerakan.

Tapi dari sudut yang lain pula ini menunjukkan betapa politik Malaysia masih bergantung kepada politik sosok. Suatu ciri feudalisme yang masih kuat. Iaitu kebergantungan kepada sosok untuk mendorong atau mengubah sesuatu gerakan politik.

Ia juga menunjukkan bahawa politik Malaysia khususnya di pihak pembangkang ketandusan sosok kepimpinan yang punya wibawa tinggi sehinggakan terpaksa bergantung kepada seorang pemimpin yang masih mendekam di penjara. Pimpinan yang sedia ada di kalangan pembangkang tidak mampu untuk memberi kepimpinan jitu yang mampu menggabungkan kekuatan massa rakyat yang pelbagai itu untuk menjatuhkan regim yang memerintah.

Dan di pihak pemerintah pula surat Anwar ini seperti hujan yang turun setelah berlakunya kemarau yang panjang. Surat Anwar ini menjadi peluru buat Najib untuk menembak, menghuru-harakan dan memecah-belahkan politik dalaman PKR, Pakatan Harapan dan juga Deklarasi Rakyat.

Ketika Najib diasak dan dihujat dengan kes korupsi dan salahguna kuasa yang melibatkan billion wang rakyat melalui hutang yang perlu ditanggung oleh 1MDB, tiba-tiba surat Anwar didedahkan kepada umum.

Ketika Deklarasi Rakyat sudah berjaya menghimpunkan 1.27 juta tandatangan rakyat Malaysia yang menyokong tuntutan supaya Najib meletakkan jawatan sebagai PM dan beberapa institusi negara direformasikan, tiba-tiba surat Anwar disebarkan dengan meluas di kalangan rakyat.

Dan peluang ini nampaknya telah digunakan sepenuhnya oleh pendukung Najib untuk mencetuskan perbalahan khususnya di dalam PKR dan juga memecah-belahkan kesatuan yang wujud di dalam Pakatan Harapan dan Gerakan Deklarasi Rakyat.

Dan peluru yang digunakan untuk menembak Gerakan Deklarasi Rakyat ialah peluru yang dinamakan Mahathir.

Dari pemerhatian saya di media sosial dan blog-blog politik, peluru yang dinamakan Mahathir ini telah diolah dengan licik oleh pendukung Najib di dalam bentuk yang lebih kurang begini:

 

Menyokong Deklarasi Rakyat = Menyokong Mahathir = Mengkhianati Anwar

 

Dari olahan ini, pendukung-pendukung Najib yang selama ini menyerang dan mengaibkan Anwar tanpa belas tiba-tiba berubah menjadi lunak terhadap Anwar.

Tujuannya cukup jelas. Peluru Mahathir ini dibidik untuk menimbulkan keraguan terhadap wibawa Deklarasi Rakyat dan pimpinan-pimpinan parti serta NGO yang menyokongnya. Dari keraguan yang ditimbulkan ini pendukung Najib berharap momentum yang sudah pun terhasil dari Gerakan Deklarasi Rakyat (1.27 juta rakyat sudah pun menunjukkan jari tengah pada Najib) dapat dipatahkan.

Dan yang lebih utama lagi ialah melalui olahan wacana awam yang memusatkan kepada Mahathir sebagai objek serangan, pendukung Najib berharap fraksi-fraksi yang wujud khususnya di dalam PKR dan umumnya di dalam Pakatan Harapan akan bertempur sesama sendiri. Ini adalah kerana tidak semua pimpinan baik di dalam parti-parti pembangkang mahu pun NGO yang bersetuju dengan kerjasama bersama Mahathir di dalam Gerakan Deklarasi Rakyat ini.

Dengan tersebarnya surat Anwar kepada khalayak awam titik perbedaan ini telah dieksploitasi sepenuhnya oleh Najib untuk mengadu-domba fraksi-fraksi yang terdapat di dalam PKR khususnya dan Pakatan Harapan serta pimpinan NGO amnya.

Dan pertempuran sesama sendiri ini nampaknya sudah pun bermula kalau dilihat daripada percanggahan pandangan antara mereka. Inilah tujuan akhir Najib iaitu supaya kesatuan yang sudah digalang dari pelbagai elemen masyarakat ini (termasuk elemen anti-Najib di dalam UMNO sendiri) roboh, berbalah sesama sendiri dan akhirnya pecah.

Di dalam olahan wacana awam “Menyokong Deklarasi Rakyat = Menyokong Mahathir = Mengkhianati Anwar” ini, nama Najib tiba-tiba saja hilang (atau dialihkan ke tempat selamat). Dan inilah yang telah dilakukan oleh pendukung Najib. Mempertembungkan Mahathir dan Anwar serta menghilangkan Najib dari wacana perlawanan masyarakat awam terhadap regim pemerintah. Dan nampaknya misi Najib ini telah pun berjaya mengkucar-kacirkan PKR, Pakatan Harapan dan Gerakan Deklarasi Rakyat.

Muncung senapang yang sebelum ini dihalakan ke arah Najib kini telah beralih kepada seorang tua yang berumur 92 tahun yang tidak lagi memegang sebarang jawatan atau mempunyai kuasa politik mahu pun pengaruh terhadap institusi-institusi kuasa dan penguatkuasaan.

Surat Anwar ini walau pun niatnya cukup mulia dan peringatan yang terkandung di dalamnya wajar tapi kini sudah menjadi peluru yang digunakan oleh Najib dan pendukungnya untuk memperparahkan lagi konflik fraksi yang terdapat dalam PKR, memecah permuafakatan Pakatan Harapan dan memperlemahkan penggalangan kesatuan masyarakat yang terdapat di dalam Gerakan Deklarasi Rakyat.

Di dalam era internet dan teknologi maklumat yang bebas dan tak berbatas ini, sekali teks terlepas ke ruang awam, ia akan diberi pelbagai makna mengikut kepentingan kelompok yang mentafsirkannya. Malahan ia juga bisa dieksploitasi oleh musuh dan dijadikan peluru untuk menembak dan mengadu-domba fraksi-fraksi yang terdapat di dalam PKR, Pakatan Harapan dan Gerakan Deklarasi Rakyat.

Surat Anwar sudah pun terlepas ke ruang awam. Mempersoalkan sama ada surat ini sepatutnya bersifat dalaman dan bukan untuk konsumsi publik sudah tidak menjadi penting lagi. Hakikatnya ia sudah pun dikonsumsi oleh publik dan telah pun menimbulkan polemik, kekeliruan dan keretakan dalam PKR, Pakatan Harapan dan Gerakan Deklarasi Rakyat.

Kekeliruan yang terjadi ini masih boleh dibetulkan dan keretakan yang berlaku masih boleh ditampal dengan kembali menghala muncung senapang yang telah dialihkan itu kepada Najib semula.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: