Ethnicity and Race Do Not Exist !

Peringatan: Tulisan ini tidak akan memberi sebarang senjata atau agama pada bayi-bayi yang baru lahir. Harap maklum.

Bangsa bukan bererti “nation”. Menterjemahkan bangsa sebagai “nation” agak kurang tepat. Sudah tentu juga bangsa bukan bererti kaum, entik atau ras. Perkataan kaum (atau aslinya “qoum”) adalah perkataan Arab yang muncul di dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu selepas kedatangan Islam. Begitu juga dengan perkataan “nation” (sering disalah-terjemahkan sebagai bangsa), “ethnic” (ditulis sebagai etnik) dan “race” (ditulis sebagai ras) muncul selari dengan kedatangan penjajah Inggeris.

Perkataan-perkataan ini tentunya tidak hadir dari ruang sosial yang kosong. Terkandung di dalamnya adalah makna-makna yang diperolehi hasil dari perkembangan sejarah hidup perkataan itu sendiri di ruang budaya asalnya. Di dalamnya sarat makna. Di dalam makna kata terangkum cara fikir dan pandangan dunia sesebuah masyarakat itu yang kemudiannya di bawa masuk ke wilayah budaya yang baru sama ada melalui persahabatan atau penjajahan.

Jikalau perkataan itu masuk melalui penjajahan di dalamnya turut terkandung makna dominasi, kekuasaan, perbezaan dan pemisahan. Antara yang menjajah dan dijajah. Kemasukan perkataan, istilah dan konsep baru ini bukan sahaja menambah perbendaharaan kata bahasa tempatan tetapi juga membawa perubahan di ruang epistemologi khususnya cara pandang dan cara fikir masyarakat tempatan.

Ketidakwujudan perkataan nasion, kaum, etnik dan ras di dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu adalah sesuatu yang menarik untuk difikirkan maknanya. Yang wujud di dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu sebelum kedatangan Islam dan Inggeris ialah kata “orang” dan “bangsa”.

Untuk tulisan ini kita hanya akan membincangkan kata “orang”. Kata “bangsa” akan dibincangkan di tulisan yang akan datang kerana ia melibatkan sedikit pembacaan lanjut khususnya karya-karya sastera Melayu klasik, hikayat-hikayat Melayu lama, cerita-cerita panji, pantun, peribahasa, seloka dan gurindam untuk melihat bagaimana kata “bangsa” diberikan pemaknaannya.

Kata “orang” umumnya digunakan untuk membezakan kelompok manusia berdasarkan tempat. Sehingga sekarang kata “orang” maseh digunakan dengan meluas. Sering kita dengar kata-kata seperti; “Kau orang mana?”. Orang di sini merujuk kepada tempat asal orang tersebut. Mungkin jawapannya ialah “Aku orang Perak” atau “Aku orang Johor”. Kalau sesama orang Perak pula yang bertanya, mungkin jawapannya ialah “Aku orang Selama (sebuah pekan kecil di utara Perak)”.

Begitu juga dengan kata-kata seperti “Orang Arab” yang membawa maksud orang yang berasal dari benua Arab; “Orang Cina”, orang yang berasal dari benua Cina; “Orang India”, orang yang berasal dari benua India; “Orang Putih”, orang yang berasal dari benua Eropah; “Orang Minang” dari ranah Minang; “Orang Acheh” dari tanah Acheh; “Orang Jawa” dari Pulau Jawa dan seterusnya.

Begitu juga dengan kata-kata seperti, “Aku orang Selangor tapi emak aku orang Kelantan, ayah aku orang Johor” adalah kata-kata yang maseh sering diucapkan sehingga kini. Kata “orang” ini umumnya dipadankan dengan tempat asal atau tempat lahir atau tempat seseorang itu membesar.

Malahan kalau kita merujuk kepada karya-karya sastera Melayu klasik, kita juga akan mendapati kata “orang” digunakan untuk merujuk kepada tempat asal atau tempat datangnya seseorang itu. Penanda perbezaan antara kelompok-kelompok di dalam masyarakat yang digunakan adalah tempat. Manakala penanda-penanda perbezaan yang lain seperti budaya, adat-resam, bahasa, agama dan rupa paras fizikal tidak begitu ditonjolkan secara ketara.

Memang tidak dinafikan selain daripada tempat, kata “orang” juga turut digunakan untuk membezakan kepercayaan atau agama seseorang seperti kata “Orang Islam”, “Orang Katolik”, “Orang Hindu”, “Orang Buddha”, “Orang Kristian” dan seumpamanya. Akan tetapi perbezaan yang berbentuk agama ini kemungkinan besar hanya muncul selepas kedatangan Islam ke Nusantara ini.

Namun begitu yang jelasnya di sini kata “orang” sebelum terserapnya kata-kata dari epistemologi dan budaya di luar Nusantara ini khususnya yang dibawa oleh penjajah Inggeris seperti kata “ethnic” dan “race”, kurang menekankan kepada perbezaan yang bersifat budaya, adat-resam, bahasa dan rupa paras fizikal. Penanda perbezaan umumnya ditandai melalui perbezaan tempat seperti mana yang telah dihuraikan sebelumnya.

Penanda perbezaan yang bersifat etnik (budaya, adat-resam, bahasa) dan ras (rupa paras fizikal) yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris melalui sistem pentadbiran dan penyusunan masyarakat yang terpisah-pisah antara satu sama lain secara sistematis menyerap ke dalam ruang epistemologi tempatan sehingga ianya menjadi sebahagian daripada cara fikir dan cara pandang yang dominan oleh kelompok-kelompok yang bernaung di bawah pemerintahan penjajah Inggeris.

Bukanlah di sini untuk mengatakan bahawa sebelum kedatangan penjajah Inggeris khususnya tidak ada langsung kesedaran tentang perbezaan yang berbentuk etnik (budaya, adat-resam, bahasa)  atau ras (rupa paras fizikal). Kemungkinan besar ia wujud tetapi ianya tidak ditekankan di dalam memberikan penanda identiti pada seseorang atau sesuatu kelompok.

Kemungkinan juga penanda identiti yang berbentuk etnik dan ras ini tidak perlu digunakan pada ketika itu kerana walau pun masyarakat di Nusantara ini rencam dan sudah sedia majmuk tetapi terdapat suatu pengikat budaya bersama yang mengurangkan kesedaran yang berbentuk etnik dan ras tentang “orang lain”.

Pengikat budaya bersama ini lahir melalui bahasa Melayu sebagai bahasa bersama, bahasa persuratan dan bahasa yang menjadi lingua franca kepada pelbagai masyarakat dan komuniti yang mendiami Nusantara ini. Adanya pengikat budaya di dalam bentuk bahasa bersama ini bermakna proses menjambatani pelbagai kelompok yang berbeza di Nusantara ini melalui komunikasi, perhubungan dan perkongsian dapat terus-menerus berjalan tanpa halangan.

Dari proses komunikasi, perhubungan dan perkongsian yang berterusan melalui bahasa bersama inilah kelompok-kelompok yang wujud di dalam masyarakat di Nusantara ini belajar untuk saling kenal-mengenal, saling faham-memahami dan saling mengerti antara satu sama lain sehingga kesedaran dan penanda identiti yang berbentuk etnik dan ras kurang diberi penekanan.

Jadi tidak hairanlah jika sejarah menunjukkan bahawa orang Bugis boleh menempati jawatan tinggi di dalam istana kerajaan Melayu Pahang dan Terengganu, orang Minang boleh menguasai istana kerajaan Negeri Sembilan, orang Palembang boleh membentuk kerajaan di Melaka, orang Patani punya pengaruh besar di dalam istana kerajaan Melayu Kelantan, orang Acheh punya hubungan rapat dengan kesultanan Melayu Kedah dan orang Riau pula boleh terlibat di dalam percaturan politik kerajaan Melayu Johor.

Ini menunjukkan bahawa hubungan sosial di antara kelompok-kelompok yang rencam yang wujud di dalam masyarakat Nusantara ini sebelum kedatangan penjajah Inggeris umumnya lebih cair. Sempadan budaya lebih mudah direntasi manakala mobiliti dan perpindahan dari satu kelompok ke satu kelompok yang lain juga lebih mudah dan encer.

Di sini bahasa bersama menjadi suatu wahana yang sangat penting di dalam meminima dan mengurangkan kesedaran yang berbentuk etnik serta ras sehinggakan etnik dan ras tidak diberi penekanan sebagai penanda identiti yang penting.

Yang lebih ditekankan sebagai penanda identiti adalah tempat. Kerana itu perkataan “orang” dan bukannya perkataan “etnik” dan “ras” yang menempati ruang pemikiran di dalam memandang “orang lain” pada zaman sebelum penjajahan Inggeris.

Kedatangan Inggeris bukan sahaja menjajah ruang fizikal, geografi, ekonomi dan politik tetapi ia juga turut melakukan penjajahan epistemologikal. Penjajahan epistemologi inilah yang menjadi titik tolak kepada peralihan daripada cara fikir dan cara pandang yang berteraskan epistemologi tempatan kepada epistemologi yang dibawa dan diterapkan oleh sang penjajah.

Terkandung di dalam epistemologi penjajah Inggeris ini adalah konsep-konsep seperti “ethnic”, “race” dan “nation” yang merupakan suatu istilah yang asing di dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu tetapi diterapkan oleh penjajah khususnya di dalam urusan birokrasi pentadbiran dan pengurusan masyarakat.

Konsep “orang” tidaklah hilang tetapi kepentingannya sebagai penanda identiti semakin kurang kerana ia tidak lagi menjadi relevan di dalam sistem pentadbiran penjajah yang berteraskan paradigma masyarakat plural yang memerlukan konsep-konsep seperti “ethnic” dan “race” untuk membezakan antara kelompok-kelompok manusia di dalam masyarakat artifisial yang dicipta oleh mereka. Yang mana satu tempatan, yang mana satu luar. Yang mana satu dijajah, yang mana satu menjajah. Yang mana satu rendah, yang mana satu tinggi. Yang mana satu dikuasai, yang mana satu menguasai.

Pemikiran yang berakar-umbi dari epistemologi yang diperkenalkan oleh penjajah inilah yang kita warisi sehingga sekarang ini. Dari ruang epistemologi ia berpindah ke dunia praktik nyata khususnya di dalam ruang pentadbiran dan pengurusan baik di tingkat negara mahupun di tingkat masyarakat sendiri sehingga akhirnya ia tertanam kejap sebagai sebahagian daripada cara pandang dan cara fikir masyarakat kita.

Cara pandang dan cara fikir berteraskan etnik serta ras ini begitu dominan sehinggakan masyarakat sendiri sukar untuk keluar daripada perangkap yang menghambat pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Tulisan ini tidak menawarkan sebarang jalan penyelesaian atau agama atau senjata untuk meruntuhkan paradigma masyarakat plural yang sedia ada. Tulisan ini hanya satu cubaan untuk memahami satu sisi daripada pelbagai sisi yang ada tentang bagaimana kita warganegara Malaysia berada di persimpangan yang sekarang ini.

Kemungkinan besar kita akan terus berada di persimpangan ini buat lima atau enam dekad lagi atau mungkin lebih. Suatu masa yang cukup lama untuk kita berfikir dan merumuskan kembali apakah kerangka paradigma masyarakat plural tinggalan penjajah ini maseh perlu diteruskan atau kita memerlukan suatu kerangka paradigma yang baru.

Nota: Perbahasan tentang konsep “bangsa” akan diajukan di dalam penulisan yang berikutnya.

6 thoughts on “Ethnicity and Race Do Not Exist !

  1. Setahu aku la perkataan “orang” adalah perkataan asli Melayu. “Orang” bukan saduran dari mana-mana bahasa lain sama ada sanskrit atau arab walau pun kebanyakan perkataan di dalam bahasa Melayu adalah daripada bahasa sanskrit.

    Perkataan “bangsa” itu sendiri adalah daripada bahasa sanskrit. Tetapi perkataan “orang” setakat pengetahuan aku yang terhad ini adalah asli bahasa Melayu.

    Kalau ada yang lain punya maklumat yang lebih saheh silalah perbetulkan pandangan aku ini.

    Terima kaseh.

  2. What’s this? Pseudo-science? Fuck epistemology.
    What’s important is the CURRENT meaning/understanding of the terms.

    Bangsa IS Nation.

    Kebangsaan = National.

    “Nasional” is a bastard translation of National.

  3. biadap sungguh mamat azfamy ni. ini dalam bahasa melayu dipanggil tak beradab. senang-senang je ek ko guna perkataan biadap seperti fuck. emak bapak ko tak ajar sopan santun budi bahasa ke. tak pon ko ni memang keturunan tak tahu cakap bersopan.

    ato ko ni memang bangsa tak reti bahasa? ato ko ni bangsa tak tahu adab?

    kalo aku guna ayat macam kat atas tu utk spesies-spesies biadap macam ko ni maknanya bangsa tu sama dgn nation lah ye?

    nampak sangat ko ni kurang membaca. kalo ko ni rajin membaca ko akan dapati yg perkataan bangsa dan nation ni sampai skrg diperdebatkan.

    sampai skrg tak ada kata putus yg mutlak di kalangan cerdik-pandai sains sosial tentang konsep bangsa dan nation ni.

    cakap orang putih macam bagus tapi kepala otak macam benak je. ato pon ko ni spesies tak fasih dan tak faham tulisan dalam bm? itu sbb cakap dan bahasa yg ko guna tu macam org biul je.

    takkan ko tak tahu dlm sains sosial ni banyak konsep2 ni yang maknanya relatif dan subjektif bergantung kpd ko ni dtg dari sekolah pemikiran mana.

    tapi dari jawapan ko, nampak sangat ko ni pendek akal. orang melayu cakap kalo kail panjang sejangkal elok la mengail di sungai yang dangkal. kalo tidak terserlah kebenakan kepala otak ko tu. sudahlah biadap sombong pulak tu!

    bagai jelongak kerbau rampung!

  4. “ato ko ni memang bangsa tak reti bahasa? ato ko ni bangsa tak tahu adab?”

    ayat di atas memang biasa digunakan di dalam perbualan sehari-hari khususnya ketika si penyampai rasa tersinggung, emosional atau marah. dalam ayat di atas memang agak lucu dan sangat tidak bersesuaian kalau perkataan bangsa ini kita terjemahkan sebagai nation.

    memang debat ilmu ini tak ada titik noktahnya.

  5. if Bangsa IS Nation, then:

    “bangsa tak reti bahasa” = stubborn nation/illiterate nation

    “bangsa tak tahu adab” = rude nation/uncultured nation

    kah kah kah kah.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.