Surat Anwar Ibrahim Dari Penjara: Peluru Selamatkan Najib

surat anwar

 

Surat panjang Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buluh sudah pun dipublikkan. Tafsiran tentang isi kandungannya tidak terbendung lagi. Sekali ia terlepas ke ruang awam, ia bebas untuk ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran.

Begitulah umumnya sifat sebuah teks – tidak mati. Selagi ada yang membacanya ia akan terus hidup dan bernafas. Nyawa sebuah teks itu diberikan oleh wacana-wacana baik melalui tulisan mahu pun lisan, secara rasmi mahu pun tidak rasmi yang mengangkat, menganalisa dan mentafsirkannya.

Dalam konteks budaya Malaysia yang lebih cenderung kepada wacana lisan, teks hidup bernafas dan berkembang di warung-warung kopi, restoren-restoren mamak serta kafe-kafe kelas menengah bilamana ia disembang dan dibincangkan oleh khalayak awam, aktivis politik dan kelompok inteligensia masyarakat.

Teks yang dibaca dan diangkat di dalam wacana-wacana lisan atau tulisan atau kenyataan media akan dimaknai sesuai dengan kepentingan kelompok yang mentafsirkannya. Dari sudut ini makna teks tersebut sudah tidak mungkin seperti asal lagi kerana ia tertakluk kepada pembacaan dan pentafsiran yang diberikan oleh pembaca-pembacanya sendiri. Pembacanyalah yang menentukan makna teks tersebut.

Begitu juga dengan teks surat Anwar ini. Ia telah pun, sedang dan akan terus dibincangkan dan dimaknai mengikut pandangan masing-masing. Sekurang-kurangnya dalam tempuh sebulan dua ini ketika isu ini masih panas atau sehingga Anwar membuat penjelasan yang lebih tuntas.

Apa pun tafsiran dan makna yang diberikan, sebuah teks yang dinukilkan oleh seorang Anwar Ibrahim pasti akan mencetuskan gejolak politik khususnya dalam PKR, Pakatan Harapan dan Gerakan Deklarasi Rakyat.

Ini tak terelakkan. Kerana Anwar adalah sosok kepimpinan yang punya wibawa tinggi di mata pendukungnya. Iitizam beliau di dalam memperjuangkan keadilan untuk Malaysia sudah teruji dan beliau terus komited dengan agenda reformasi dan demokrasi untuk Malaysia.

Tambahan pula dengan seksaan penjara yang dilalui dan aib yang dilemparkan ke atas beliau dan keluarganya dengan tuduhan yang diragui kesahehannya, status Anwar sebagai pahlawan yang dizalimi terpasak kejap di dalam sejarah bangsa Malaysia.

Continue reading

Advertisements

Solidariti Buat Isham Rais: Manusia “Kurang Ajar”

isham

Hishamuddin Rais seorang manusia “kurang ajar”. Tapi tindakan, bahasa dan kata-kata kurang ajar Isham itu bukan untuk berkurang ajar secara semberono. Kurang ajar Isham itu terancang. Isham memilih audiennya. Isham juga memilih konteksnya. Dan Isham memilih kata-kata dan tindakannya. Semua kurang ajar Isham itu terancang dengan tujuan yang khusus. Untuk mengejutkan bangsa Melayu terutamanya dari tidurnya yang panjang.

Meminjam kata “bongsai” yang dipopularkan oleh Isham, kurang ajar Isham itu adalah untuk menggoncangkan fikiran Melayu yang sudah lama dibongsaikan. Dibongsaikan oleh budaya bangsanya yang santun keterlaluan. Dibongsaikan oleh mentaliti feudalnya taat tak bertempat, patuh tak bersebab. Dibongsaikan oleh tafsiran agamanya yang sempit. Dibongsaikan oleh ikatan-ikatan adat, budaya serta resam Melayu yang tertib terlampau. Dan dibongsaikan oleh musuh Isham nombor satu, UMNO dengan projek, kontrek, pink form dan pembodohan.

Saya mengenali Isham sebelum beliau pulang ke Malaysia lagi. Berita tentang beliau akan pulang ke Malaysia setelah hidup sebagai buangan politik selama lebih kurang 20 tahun menjadi tajuk utama suratkhabar Utusan Malaysia.

Ketika itu saya masih membaca Utusan kerana di dalamnya setiap minggu ada tulisan Rustam Sani yang saya minati. Dan tentunya juga kerana gosip-gosip panas artis (retis) di ruang kelolaan Mama Juwie. Ya, selain politik, filem, seni, falsafah dan teori saya juga penggemar ruangan gosip retis-retis Malaysia. Hihihihi.

Dari berita di Utusan itu saya tahu tentang Isham tapi tiada langsung terlintas di fikiran saya pada waktu itu saya akan bertemu dengannya.

Tanggapan saya pada waktu saya membaca berita itu biasa-biasa saja. Tidak tergambar pada saya bagaimana keperibadian Isham, apatah lagi “kurang ajar”nya itu.

Tapi ketika kali pertama saya bertemu Isham secara berhadapan sudah terserlah kurang ajarnya. Tapi kurang ajarnya itu diajukan kepada seorang pelancung Mat Saleh yang kebetulan turut menginap di Marang Beach and Safari Resort, Terengganu.

Continue reading

Pilihanraya Sarawak 2016: Sarawak For Sarawakians

IMG_593232299808

“Kamu Malaya datang sini mau apa?”

Ini kata-kata yang ditanyakan pada saya lebih dari sepuluh tahun yang lepas. Yang bertanyakan soalan ini adalah seorang tuai rumah di sebuah kampung rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman Sarawak. Waktu itu saya berada lebih dari tiga bulan di Sarawak menjalankan penyelidikan untuk sebuah NGO yang berpusat di Kuching dan Sibu.

Saya ditugaskan untuk meliputi komuniti Melayu di Kampung Thambirat, beberapa komuniti rumah panjang Iban di kawasan sekitar Kota Samarahan, Bintulu, Sibu dan Sarikei (Sarikai kalau dalam sebutan Bahasa Iban) dan beberapa komuniti Kenyah serta Kayan di kawasan Belaga yang cukup luas dengan hutan hujan tropikanya yang tua dan berusia ribuan tahun (kini sebahagian besar hutan di kawasan Belaga itu telah dimusnahkan untuk tujuan pembalakan, sawit dan empangan hidro Bakun).

Penyelidikan itu memerlukan saya untuk masuk ke kawasan-kawasan yang jauh di pedalaman Sarawak dan tidur di rumah-rumah panjang Iban, Kenyah dan Kayan. Rumah-rumah panjang itu kebanyakannya hanya boleh dimasuki dengan menumpang lori balak atau menyewa kenderaan 4WD dan ada rumah panjang yang memerlukan saya menaiki sampan untuk sampai.

Nama-nama kampung rumah panjang seperti Ensika, Long Lawen, Long Bulan, Sang Anai adalah antara nama-nama yang terpahat dalam ingatan saya. Begitu juga apai-apai dan indai-indai yang baik-baik, ramah-ramah dan sanggup menerima saya serta menumpangkan saya tinduk, ngirup dan makai di rumah panjang mereka selama beberapa hari.

Anak jati Sarawak sendiri mungkin ramai yang masih belum pernah menjejaki kampung dan rumah-rumah panjang di pedalaman Sarawak ini. Begitu luasnya negeri Sarawak ini, ditambah dengan kemudahan infrastruktur dan perhubungan yang terhad, sukar untuk sesiapa saja meneroka keseluruhannya. Ini menjadikan komuniti-komuniti di Sarawak ini secara relatifnya terpisah antara satu sama lain khususnya antara komuniti yang di bandar dengan yang di pedalaman.

Ini belum difaktorkan lagi perbedaan bahasa, dialek, budaya, etnis, agama, pendidikan, penempatan mengikut sungai dan yang lain-lainnya yang situasinya jauh lebih rencam, pelbagai dan kompleks dari di Semenanjung. Kalau sesama orang Sarawak sendiri sudah terpisah, apatah lagi dengan orang Semenanjung seperti saya.

Kata-kata “kamu Malaya datang sini mau apa?” yang diajukan pada saya sehingga sekarang masih saya ingat. Kata-kata itu bukanlah diajukan dengan nada yang benci, marah atau kecewa. Sebaliknya ia diajukan dengan ramah, senyum dan penuh penerimaan serta rasa ingin tahu yang tinggi tapi pada masa yang sama jelas memperlihatkan yang saya adalah berbeda dari orang yang bertanya. Saya orang Semenanjung. Orang luar. Bukan orang tempatan Sarawak.

Malaya bagi orang yang bertanya itu adalah sebuah sosok tubuh asing seperti mana juga saya yang dilihat sebagai orang asing. Saya adalah representasi Malaya, sebuah wilayah di seberang Laut Cina Selatan yang terpisah dari Sarawak.  Kerana itu kata “Kamu Malaya” digunakan sebagai sebuah simbol representasi perbedaan dan keasingan diri saya daripada diri si penanya yang merupakan anak jati Sarawak.

Dan kata “Malaya” itu sendiri sudah menunjukkan bahawa sejarah silam tidak putus di dalam fikiran, imajinasi dan memori si penanya walaupun sebenarnya Malaya secara perlembagaan dan undang-undangnya sudah tidak wujud lagi apabila tertubuhnya Malaysia. Tetapi di dalam fikiran, imajinasi dan memori orang Sarawak yang mengajukan soalan pada saya ketika itu, Malaya masih tetap wujud.

Malaya bukan sekadar wujud di ingatan sejarah beliau tetapi juga dilihat sebagai asing. Kerana itu selepas kata “Kamu Malaya…” ayat yang seterusnya menyusuli adalah “…datang sini mau apa?”  Seolah-olah pertanyaan itu membayangkan bahawa kedatangan saya itu dicurigai. Kesemenanjungan saya itu menjadi tanda kelainan dan keasingan sehinggakan tujuan kehadiran saya perlu diselidiki dengan pertanyaan “…datang sini mau apa?”.

Tapi ini bukanlah menandakan saya ini musuh. Saya cuma orang asing yang datang ke Sarawak dengan tujuan yang baik-baik, bisa diterima menjadi kawan tapi tetap saja saya bukan sebahagian dari tubuh Sarawak. Saya tetap orang asing walau pun saya ulih mimit-mimit jako Iban.

Walau pun kejadian ini sudah berlaku lebih dari sepuluh tahun yang lalu, saya tidak fikir banyak yang berubah. Semenanjung masih lagi dianggap Malaya dan orang-orang yang datang dari Semenanjung masih dilihat sebagai orang asing tidak kira sama ada mereka ini dari parti pembangkang atau parti pemerintah.

Kerana itu UMNO tidak dibenarkan bertapak di Sarawak dan ura-ura untuk membawa masuk UMNO ke Sarawak mendapat tentangan keras dari sebahagian besar anak negeri Sarawak. Pemimpin UMNO boleh saja masuk ke Sarawak dan berkempen (itu pun kerana UMNO bawa wang untuk biaya pilihanraya) tapi tidak mungkin akan dibenarkan memimpin Sarawak. Sarawak adalah untuk orang Sarawak bukan untuk orang Semenanjung.

Kerana itu juga apabila pemimpin-pemimpin parti pembangkang dari Semenanjung dihalang memasuki Sarawak, tidak banyak kritik atau bantahan yang kedengaran daripada organisasi-organisasi dan pertubuhan-pertubuhan anak negeri Sarawak.

Dan apa yang menarik di dalam pilihanraya Sarawak ialah SEMUA parti politik di pihak pembangkang adalah parti yang berasal dan berpusat di Semenanjung. PKR, PAS, AMANAH dan DAP – semuanya adalah parti asal Semenanjung dengan pusatnya di Kuala Lumpur.

Manakala SEMUA parti politik yang membentuk parti pemerintah di Sarawak adalah parti tempatan Sarawak. PBB, SUPP, PRS, SPDP – semuanya adalah berasal dan berpusat di Sarawak.

Justeru itu dari sudut yang mudah dan nyata, Pilihanraya Sarawak memperlihatkan pertentangan antara parti pemerintah yang diwakili oleh parti-parti tempatan Sarawak melawan parti-parti pembangkang yang berasal dari Semenanjung (walau pun calon-calon mereka adalah anak tempatan Sarawak).

Dengan sentimen anti-Malaya dan pro-Sarawak untuk Sarawak yang kuat, saya menjangkakan Barisan Nasional Sarawak akan menang besar dalam pilihanraya kali ini. Parti-parti pembangkang akan kalah teruk dan DAP akan kehilangan beberapa kerusi yang dimenanginya pada pilihanraya negeri yang lepas.

Mungkin di masa-masa hadapan, apa yang Pakatan Harapan boleh lakukan adalah dengan menarik parti-parti tempatan Sarawak menjadi sebahagian daripada anggota Pakatan Harapan. Dan untuk menarik parti-parti tempatan Sarawak ini, tawaran yang dikemukakan juga seharusnya menggiurkan pemimpin politik dan rakyat Sarawak.

Dengan sentimen anti-Malaya dan pro-Sarawak yang kuat di kalangan anak-anak Sarawak maka wajar saja ditawarkan misalnya kalau BN tumbang dan Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, sebuah referendum akan dilakukan di Sarawak untuk anak-anak Sarawak menentukan nasibnya sendiri sama ada masih terus mahu bersama Malaysia atau mahu autonomi sahaja atau mahu merdeka sepenuhnya.