Deklarasi Rakyat 2016: Takkan Melayu Hilang Kuasa Politik

takkan melayu

Sejak dari dahulu lagi kelihatannya bangsa Melayu ini dirundung oleh ketakutan akan kehilangan. Takut hilang identiti. Takut hilang jatidiri. Takut hilang ekonomi. Takut hilang budaya. Takut hilang bahasa. Takut hilang agama. Takut hilang bangsa dan bermacam lagi ketakutan yang lain.

Tapi dewasa ini ketakutan yang lebih ketara sekali ialah takut hilang kuasa politik. Mungkin hanya ada satu bangsa sahaja dalam dunia ini yang punya ungkapan, “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”.

Menurut sejarah dikatakan ungkapan lagenda ini muncul dari mulut Laksmana Melayu yang terbilang iaitu, Hang Tuah. Tetapi bila, di mana dan dalam situasi apa ungkapan itu disebut tidaklah pula diketahui.

Ungkapan ini boleh ditafsirkan sebagai sebuah manifestasi ketakutan akan kehilangan. Kerana itu ianya diungkapkan dengan sebegitu rupa. Ketakutan akan kehilangan kuasa politik ini secara umumnya timbul apabila terjadinya krisis, konflik dan perpecahan dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

Dan sekali lagi manifestasi ketakutan kehilangan kuasa politik ini muncul kembali dengan lebih menonjol di psiki Melayu dalam krisis terbaru politik Malaysia apabila Mahathir keluar dari UMNO dan melancarkan Deklarasi Rakyat 2016, 4 March yang lepas.

Ini boleh dilihat dari respon-respon yang diberikan khususnya oleh penulis-penulis di blog-blog pro-UMNO yang rata-ratanya bertemakan takut Melayu hilang kuasa politik.

Apa yang lebih menarik ialah ketakutan tentang Melayu hilang kuasa politik ini biasanya akan dikaitkan dengan bukan Melayu, khususnya Cina yang diperlihatkan sebagai suatu komuniti yang dominan dan agresif dalam penguasaan ekonomi negara.

Kalau Melayu hilang kuasa politiknya, Cina akan lebih mendominasi Malaysia dan kedudukan ekonomi orang Melayu akan menjadi lebih teruk lagi. Melayu akan merempat di bumi sendiri. Bangsa Melayu akan terpinggir, bertambah miskin dan hilang dari tanah airnya sendiri. Begitulah antara hujah yang dikemukakan.

Tapi hujah ini tidak berhenti setakat itu. Ianya disambung dengan propaganda bahawa untuk memastikan Melayu tidak hilang maka seluruh sokongan dan dukungan orang Melayu wajib diberikan kepada Najib-Rosmah.

Kehadiran Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP yang lain bersama-sama Mahathir di Majlis Deklarasi Rakyat 2016 itu dieksploitasi sepenuhnya oleh beberapa pemimpin UMNO dan penyokong Najib-Rosmah.

Mereka menyatakan bahawa Deklarasi Rakyat 2016 itu adalah usaha untuk melemahkan kuasa politik Melayu dan memecah-belahkan kesatuan orang Melayu kerana pemimpin-pemimpin DAP (baca: Cina) terlibat dengannya.

Maka kekesalan, cemuhan dan kutukan pun bertalu-talu dilontarkan kepada Mahathir kerana bersekongkol dengan Lim Kit Siang, pemimpin DAP yang dituduh sebagai chauvinis, anti-Melayu dan tidak boleh dipercayai itu.

Dihujahkan lagi bahawa Melayu akan hilang kuasa politik jika sekiranya orang Melayu menyokong usaha-usaha Mahathir untuk menjatuhkan Najib-Rosmah. Persekongkolan antara Mahathir dan Lim Kit Siang dipropagandakan sebagai suatu pengkhianatan kepada bangsa Melayu.

Di sebalik hujah ini ialah suatu bentuk eksploitasi yang licik ke atas psiki ketakutan akan kehilangan kuasa politik yang wujud dalam fikiran ramai orang Melayu.

Ketakutan akan kehilangan kuasa politik ini dibalut dan dibungkus dengan nama Melayu. Nama Melayu dipergunakan untuk melahir dan menambah ketakutan kolektif orang Melayu dengan memunculkan momok-momok tentang Cina.

Walhal yang sebenarnya ditakuti bukanlah kehilangan kuasa politik orang Melayu, melainkan kehilangan kuasa politik Najib-Rosmah serta pemimpin-pemimpin UMNO sekutu mereka.

Tanpa kuasa politik Najib-Rosmah tiadalah lagi sekutu-sekutu mereka dalam UMNO ini akan menerima habuan kedudukan kuasa, projek dan kontrek. Justeru itu, Najib-Rosmah perlu dipertahankan di atas nama Melayu.

Begitulah nama Melayu secara terang-terang dilacurkan untuk mempertahankan kepentingan kuasa Najib-Rosmah dan sesetengah pemimpin UMNO yang oportunis.

Sebenarnya kalau diteliti dengan kritis, ketakutan akan kehilangan kuasa politik Melayu ini adalah suatu ketakutan yang tidak munasabah sama sekali. Kalau Najib-Rosmah jatuh, bukan kuasa politik Melayu yang hilang tetapi kuasa politik Najib-Rosmah itu sendiri yang hilang.

Malahan takkan mungkin kuasa politik Melayu hilang kerana teras politik negara ini adalah Melayu baik dari sudut sejarahnya, budayanya, demografinya, mahu pun pegangan institusi-institusi kuasa dan penguatkuasaan yang kepimpinannya dipegang oleh ramai orang Melayu.

Begitu juga dengan lembaga tertinggi yang memayungi negara kita iaitu Perlembagaan Persekutuan di mana perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Melayu, Islam dan bumiputera lain tidak boleh dipinda melainkan dengan mendapat sokongan daripada dua pertiga anggota Parlimen dan juga persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

Justeru, adalah sangat tidak munasabah jika kejatuhan Najib-Rosmah disamakan dengan kehilangan kuasa politik dan kepentingan Melayu.

Lagi pula, politik Melayu tidak hanya monopoli Najib-Rosmah serta pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong beliau semata-mata. Mereka ini tidak mewakili keseluruhan orang Melayu.

Politik Melayu turut diwakili oleh pemimpin Melayu dalam PKR dan PAS misalnya, serta pemimpin pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu dan Islam yang ada di seluruh Malaysia pada hari ini. Survival orang Melayu tidak terletak pada Najib-Rosmah dan sekutu-sekutunya.

Malahan Najib-Rosmah dan sekutu-sekutunya inilah yang sebenarnya telah merosakkan dan membodohkan orang Melayu. Najib-Rosmah dan pemimpin UMNO yang menyokong mereka telah mengeksploitasi sentimen keMelayuan untuk menimbulkan rasa takut dan tidak percaya kepada bukan Melayu, khususnya kepada orang Cina.

Momok-momok bahawa orang Cina akan merampas kuasa politik negara Malaysia sering disebarkan oleh mereka untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Ketika momok-momok Cina ini disebarkan, pada masa yang sama mereka turut menjahanamkan negara kita dengan tanggungan hutang berbillion ringgit melalui kegagalan 1MDB, rasuah dan korupsi yang segala macam, nilai ringgit yang semakin menjunam jatuh serta skandal wang 2.6 billion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Dan sampai sekarang masih tiada akauntabiliti dan ketelusan tentang ke mana duit 2.6 billion itu disalurkan. Yang jelasnya duit 2.6 billion itu tidak disalurkan kepada orang Melayu tetapi ke tembolok sesetengah pemimpin UMNO (dan Rosmah) untuk memastikan Najib terus berkuasa. Manakala kita rakyat disuruh membuat dua kerja dan makan kangkung.

Momok-momok tentang Cina ini adalah suatu bentuk tipu-daya yang digunakan oleh Najib-Rosmah dan sebahagian dari pemimpin UMNO untuk terus kekal berkuasa agar mereka dapat merembat dan menjarah harta serta kekayaan tanah air kita Malaysia yang tercinta ini.

Propaganda yang mengatakan bahawa kuasa politik Melayu dan kepentingan Melayu akan hilang jika sekiranya Najib-Rosmah dijatuhkan adalah sangat tidak munasabah.

Menyokong Deklarasi Rakyat 2016 dan terlibat dengan gerakan untuk menjatuhkan Najib-Rosmah tak akan menyebabkan kuasa politik Melayu hilang. Yang hanya akan hilang hanyalah kuasa politik Najib-Rosmah.

Malahan maruah dan harga diri Malaysia di peringkat antarabangsa dan kepentingan Malaysia yang di dalamnya terkandung kepentingan Melayu dan bumiputera serta kaum-kaum lain akan lebih selamat dan terjamin tanpa Najib-Rosmah dan sekutu-sekutunya.

 

One Response

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: