Mahathir Betul! Ini Kalilah!

 

Facebook-Personality-Mahathir-vs-Najib

 

Saya adalah pengkagum Mahathir. Beliau seorang yang berani. Di masa-masa krisis seperti sekarang ini, kita sebenarnya memerlukan lebih ramai orang-orang yang berani. Walau pun sudah berumur 90 tahun tetapi Mahathir telah menyatakan kesanggupan beliau untuk didakwa dan dipenjara di dalam penentangan beliau tehadap regim Najib (dan Rosmah).

Keberanian Mahathir mengalahkan kita yang muda.

Sebagai seorang politisi yang berpengalaman, Mahathir adalah seorang yang pintar, licik dan strategis di dalam menggunakan kedudukan dan kuasanya serta alat-alat negara untuk menundukkan musuh-musuh beliau khususnya ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Tetapi pada masa yang sama beliau juga seorang pemimpin yang punya wawasan jelas untuk negara dan bangsa Malaysia yang dipimpinnya. Sama ada kita setuju atau tidak dengan wawasan dan jalan yang dipilih oleh Mahathir untuk merealisasikannya itu satu perkara yang lain.

Namun begitu rekod ketrampilan Mahathir sebagai seorang pemimpin yang hebat dan dikagumi dunia dirosakkan khususnya di mata ramai orang Melayu dengan tindakan beliau memecat Anwar Ibrahim melalui tuduhan yang sampai sekarang diragui kesahehannya.

Walau pun kerosakan yang dilakukan oleh Mahathir khususnya dalam soal-soal kehakiman, kebebasan media, hak asasi manusia dan demokrasi mendahului tindakannya memecat Anwar Ibrahim, namun di mata ramai orang Melayu kesalahan terbesar beliau adalah kerana memecat dan mengaibkan Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Apa pun satu hal yang kita perlu akui Mahathir adalah seorang nasionalis. Malahan buat saya tindakan beliau memecat Anwar Ibrahim pada waktu itu salah satu daripada faktornya adalah kerana dorongan sentimen nasionalisme beliau.

Konteksnya adalah krisis kewangan 1997/1998 yang telah meranapkan ekonomi banyak negara-negara di Asia Tenggara.

Anwar dilihat lebih cenderung menyebelahi kapitalis global dan internasional yang diwakili oleh IMF, World Bank dan Amerika Syarikat manakala Mahathir cenderung mengambil sikap menyebelahi kapitalis nasional dalam krisis kewangan tersebut. Mahathir adalah nasionalis yang mendukung sistem kapitalis dan pasar tetapi ia mestilah menguntungkan Malaysia (baca: kapitalis nasional).

Konflik yang bermula dari dua pandangan ekonomi yang berbeda itu akhirnya berlarutan kepada konflik politik dan kuasa yang seterusnya melahirkan Gerakan Reformasi 1998. Mahathir adalah ikon kebencian Gerakan Reformasi. Kerana itu Mahathir dijuluki sebagai Mahafiraun, simbol makhluk terkutuk.

Tapi kebencian kepada Mahathir pada waktu itu rata-ratanya hanya dikongsi oleh orang Melayu. Orang bukan Melayu terutamanya orang Cina tidak berkongsi rasa yang sama. Mereka (bukan Melayu) masih melihat bahawa Gerakan Reformasi yang lahir daripada pemecatan Anwar Ibrahim itu sebagai konflik dalaman Melayu. Kebencian terhadap Mahathir juga lebih tertumpu di Semenanjung.

Di Sabah dan Sarawak kebencian terhadap Mahathir tidaklah begitu meluas.

Dengan kata lain kebencian terhadap Mahathir tidak menyeluruh mencakupi majoriti rakyat Malaysia dan tidak sepenuhnya merentasi batas etnik dan tidak melangkaui hingga ke negeri-negeri Borneo.

Kerana itu pada Pilihanraya 1999, walau pun Barisan Nasional kalah undi Melayu, tetapi dengan sokongan besar undi bukan Melayu dan undi dari Sabah serta Sarawak, Barisan Nasional yang dipimpin Mahathir masih berjaya mengekalkan dua pertiga kerusi parlimen dan menang di semua negeri kecuali Kelantan.

Kisah seterusnya kita sudah sedia maklum. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya pada tahun 2003 setelah beliau merasakan yang krisis ekonomi 1997/1998 yang melanda negara sudah pun sebahagian besarnya diselesaikan dan visi negara Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020 kembali semula ke trek asalnya.

Namun seorang Mahathir yang nasionalis tidak mampu berdiam diri walau pun sudah melepaskan jawatan kekuasaan yang formal. Campurtangan Mahathir di era pemerintahan Abdullah Badawi sudah diketahui umum. Motifnya berbagai tapi salah satunya adalah kerana jiwa nasionalis Mahathir itu sendiri.

Dan kini di era pemerintahan Najib, Mahathir sekali lagi campurtangan. Dan sekali lagi juga salah satu daripada motifnya adalah nasionalisme, iaitu keinginan untuk memastikan Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa tidak menuju kehancuran khususnya dari sudut perkembangan ekonominya.

Dan Najib dilihat oleh Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Malaysia menuju kepada kehancuran, baik dari sudut ekonomi mahu pun maruah serta nama baik Malaysia di mata dunia. Daripada tuduhan skandal korupsi yang melibatkan kes pemindahan wang bernilai 2.6 billion ringgit ke dalam akaun peribadi beliau, kegagalan dan hutang berbillion ringgit yang ditanggung oleh 1MDB sehinggalah kepada misteri pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibu yang hingga sekarang masih menjadi tandatanya.

Skandal-skandal Najib (dan juga isterinya Rosmah) adalah skandal yang sudah menjadi bicara umum dan telah pun menimbulkan kebencian yang amat sangat di kalangan rakyat terhadap dua sosok ini.

Berbeda dengan kebencian yan ditunjukkan oleh rakyat kepada Mahathir di tahun Reformasi 1998 yang lebih tertumpu kepada orang Melayu, kebencian (dan juga kemarahan) rakyat terhadap Najib kelihatannya hampir menyeluruh.

Najib (dan Rosmah) nampaknya dibenci oleh semua orang, tidak kira orang Melayu, Cina, India, Sabah dan juga Sarawak.

Mungkin yang masih menyukai Najib hanyalah orang UMNO. Itu pun tidak semua. Sebahagian orang UMNO yang terdiri daripada beberapa pemimpin di peringkat cawangan sudah pun menuntut supaya Najib berundur. Bekas Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yasin dan Naib Presiden UMNO, Shafie Afdal juga turut menentang kepimpinan Najib.

Sebuah institut kajian independen, Merdeka Centre baru-baru ini melaporkan bahawa populariti Najib di kalangan orang Melayu sendiri sudah pun jatuh di bawah 50%. Tahap kepuasan orang Melayu terhadap kepimpinan Najib hanyalah mencapai 31% sahaja menurut kajian tersebut. Maknanya 69% orang Melayu tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib.

Mahathir juga pada tahun-tahun 1998/1999 dibenci oleh ramai orang Melayu tapi beliau masih mendapat dukungan daripada bukan Melayu khususnya pada Pilihanraya 1999. Tetapi situasi kali ini jauh berbeza di mana Najib dibenci oleh majoriti rakyat Malaysia.

Memandangkan kebencian (dan kemarahan) rakyat terhadap Najib hampir merangkumi seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai etnik dan juga merentasi negeri dari Perlis hingga ke Sabah, maka seruan Mahathir untuk semua pihak yang menentang kepimpinan Najib (dan Rosmah) bergabung serta bersatu dalam satu gerakan adalah yang paling munasabah, wajar dan strategis.

Cadangan Mahathir untuk membangunkan sebuah barisan bersatu rakyat Malaysia yang menggabungkan parti-parti pembangkang, NGO-NGO, kelompok-kelompok masyarakat dan juga orang-orang persendirian yang berpengaruh untuk menjatuhkan Najib (dan Rosmah) adalah suatu cadangan yang wajib disokong oleh mereka yang mahukan perubahan.

Mahathir betul! Ini kali-lah!

Krisis yang melanda Malaysia ini sebenarnya membawa satu peluang yang sangat besar. Di dalam sejarah mana-mana bangsa, peluang yang sebegini tidak selalunya wujud. Kondisi yang terjadi sekarang ini sangat jarang sekali tiba.

Malahan dalam sejarah Malaysia moden, peluang seperti ini tidak pernah datang. Inilah kali pertama kondisi yang melahirkan peluang ini hadir dan menunggu masa untuk digunakan. Kondisi di mana terdapatnya dua sosok iaitu Najib dan isterinya Rosmah yang telah pun menjadi ikon paling dibenci oleh hampir semua rakyat Malaysia.

Tidak pernah sebelum ini wujud pemimpin Malaysia berserta isterinya yang dibenci sebegitu rupa oleh sebahagian besar rakyat dari pelbagai keturunan, kaum dan latarbelakang.

Mahathir sendiri tidak mencapai tahap sebegini. Dan Siti Hasmah isteri Mahathir pula dengan segala sifat kerendahan hati dan keibuannya gagal dijadikan ikon kebencian rakyat di era-era Reformasi 1998.

Memilih untuk menunggu dua tahun lagi bagi menjatuhkan Najib pada Pilihanraya yang ke-14 adalah pilihan yang terlambat.

Dalam tempoh dua tahun berbagai perkara boleh terjadi. Melihat kepada cara Najib (dan Rosmah) memimpin Malaysia sekarang ini, tidak mustahil untuk dikatakan bahawa sebelum dua tahun itu tiba, Malaysia sudah pun menjadi negara gagal!

Sebelum dua tahun sampai, ekonomi Malaysia berkemungkinan besar akan jatuh merudum, nilai tukaran matawangnya menjadi semakin rendah, pengangguran meningkat tinggi, kemiskinan bertambah dan jenayah semakin berleluasa.

Dan dalam tempoh dua tahun yang panjang itu juga, kemungkinan besar dengan sumber kewangan yang dipunyainya, UMNO akan berjaya untuk menyusun dan mengukuhkan dirinya kembali melalui politik wang.

Justeru itu, masa untuk bergabung di bawah satu barisan adalah sekarang. Ketika UMNO lemah, berpecah dan bertempur sesama sendiri. Tapi yang lebih penting lagi ialah jika sekiranya tidak sekarang, Malaysia kemungkinan besar akan tenggelam sebelum sampai PRU-14.

Dan bila Malaysia tenggelam, semua kita (kecuali mereka yang super-kaya) tidak kira Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, yang berbahasa Melayu, yang berbahasa Inggeris, yang di kota, yang di desa, semuanya akan tenggelam bersama-sama.

Justeru, masanya adalah sekarang! Ini kalilah!

Tapi pertanyaan yang mungkin bermain di fikiran setiap orang ialah apa selepas Najib? Siapa yang akan mengganti Najib?

Ini adalah pertanyaan yang wajar.

Dengan kekuatan barisan bersatu yang merangkumi berbagai elemen dalam masyarakat, perkara pertama yang perlu dibuat selepas Najib (dan Rosmah) dijatuhkan ialah pembubaran Parlimen dan Pilihanraya Umum yang ke-14 diadakan untuk memilih kepimpinan Malaysia yang baru.

Tetapi sebelum Pilihanraya Umum yang ke-14 ini diadakan, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlulah direformasikan secara total dengan memastikan bahawa PRU-14 itu nanti dijalankan dengan bebas, bersih dan adil. Tuntutan-tuntutan BERSIH wajib dipenuhi.

Dengan pilihanraya yang bebas, bersih dan adil, kepimpinan baru yang terpilih itu nanti wajib dituntut untuk memansuhkan semua undang-undang yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia.

Ini adalah tiga tuntutan jangka pendek yang wajar dan munasabah untuk dilaksanakan selepas Najib (dan Rosmah) dijatuhkan. Dan tiada kompromi terhadap tiga tuntutan yang paling mendasar ini.

Sekarang peluang sudah di depan mata. Memberi berbagai alasan adalah cara untuk menyembunyikan kebaculan kita. Mengajukan bermacam halangan hanya akan melambatkan perubahan untuk Malaysia yang kita cinta.

Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air. Berkayuhkah kita atau membiar lama sehingga perahu hanyut dibawa arus dan dayung reput dimamah masa.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: