Universiti Kampung Malaysia: Siapa Salah?

Apabila seseorang pelajar menghadapi masalah, apakah puncanya? Pelajar itu sendiri? Atau struktur dan hubungan sosial yang menyokong pembentukan pelajar itu, yakni sistem dan pensyarah universiti dalam konteks ini?

Masyarakat kita ada satu sifat buruk. Sifat ini adalah untuk sentiasa menyalahkan, menghakimi dan menghukum mereka yang menghadapi masalah dan ingin menyuarakan permasalahan mereka. Keadaannya sama di universiti.

Apabila pelajar-pelajar menyuarakan dan menyampaikan permasalahan mereka, yang dibincang dan diselesaikan bukan masalah itu. Tetapi pelajar-pelajar mereka sendiri. Makanya kesannya mereka yang menjadi topik perbincangan dan masalah itu sendiri! Sehingga dipinggirkan begitu sahaja masalah-masalah kritikal yang sepatutnya ditangani ā€“ ketiadaan hala tuju universiti, kedudukan universiti yang mundur, ketidakwujudan universiti di peringkat antarabangsa, penyelidikan dan pengajaran yang daif, penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang lemah, dan kepayahan pelajar untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tetapi setiap kali isu-isu ini berbangkit, yang menjadi mangsa dan masalah, adalah pelajar mereka sendiri.

Apakah peranan kepimpinan universiti dan fakulti-fakulti dan jabatan-jabatan yang di bawahnya, dan pensyarah-pensyarah di universiti? Punca utama kegagalan dan kelesuan kita adalah mereka. Mereka yang menjadi masalah terbesar kita.

Universiti Kebangsaan ditubuhkan untuk tujuan menyumbang kepada pembangunan falsafah pendidikan kebangsaan, pembinaan negara-bangsa yang utuh dan bersatu, pengasuhan dan pemeliharaan semangat dan gerakan kebangsaan, dan kelompok pelajar, akademik dan masyarakat yang yakin dengan khazanah ilmu dan tradisi budayanya yang kaya dan kritikal di persada nasional dan antarabangsa.

Walaubagaimanapun yang tinggal hanya mimpi kosong. Kegagalan di semua peringkat dan dalam semua bidang. Baik dalam penyelidikan mahupun pengajaran. Dan apakah puncanya? Bukan pelajar. Tetapi kepimpinan dan pensyarah-pensyarah di universiti. Mereka puncanya. Mereka yang bersalah. Dan mereka yang patut dipersalahkan.

Daripada menulis perkara-perkara dan memberi komen-komen yang tidak berguna di Facebook, lebih baik mereka menumpukan perhatian kepada penyelidikan dan pengajaran yang lebih terkehadapan dan mendahului zaman. Daripada memantau dan dan menghakimi dan menghukum tulisan-tulisan pelajar di Facebook, lebih baik mereka menumpukan sepenuh tenaga kepada pembangunan fizikal dan teoretis universiti, termasuk bekalan air, jaringan internet dan jalan berlubang-lubang yang tidak pernah selesai.

Ini tidak lain tidak bukan kerana sikap mereka untuk setia kepada kekuasaan, mengampu pemimpin-pemimpin politik dan menjaga periuk nasi masing-masing. Sehingga yang tergadai adalah masa depan pelajar, masyarakat dan negara kita. Musnahnya nusa dan bangsa yang kita mencintai dan yang kita genggam sekerasnya dalam tangan setiap malam sebelum kita tidur dan apabila kita berdoa.

Di saat pelbagai cabaran ā€“ isu-isu ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan, budaya, politik ā€“ membantai khalayak pelajar dan masyarakat kita, dan adanya teriakan dan tangisan untuk hala tuju dan kepimpinan terutamanya daripada universiti, di situ kepimpinan dan pensyarah universiti kita diam menikus. Bersembunyi di penjuru belakang lorong berseleraknya sampah sarap yang busuk, mereput dan bercacing.

Seperti pengemis dan anjing yang mencari apa sahaja sisa dan saki baki yang tinggal yang dapat memberi makna kepada kehidupan mereka yang sepele.

Ya. Bukan pelajar yang bermasalah atau bersalah. Kepimpinan dan pensyarah universiti yang bermasalah. Dan bersalah.

Kamu yang meninggalkan mereka terkapai-kapai di saat mereka memerlukan dorongan dan satu perspektif kehidupan.

Ibarat golongan yang hilang keimanan dan makna hidupnya kerana ditinggalkan Tuhan dan ideologi. Kata-kata Kassim Ahmad membisik dan berair mata di hati kita:

Nanti akan padamlah dengan sendirinya,

Lampu dari menara tinggi,

Karena dibawahnya orang kian mabuk,

Dan Tuhan sudah mati.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: