‘Keadilan dan Kepengagihan serta Tanggungjawab Intelektual Muslim’ oleh Hazman Baharom, Sebuah Ulasan

Oleh Razan Rose’

Tulisan yang agak lewat ini merupakan sebuah ulasan (dan balasan) ringkas terhadap pembentangan Hazman Baharom berjudul ‘Keadilan dan Kepengagihan serta Tanggungjawab Intelektual Muslim’ di UKM baru-baru ini—ditumpukan kepada beberapa bingkisan penting yang saya kira, perlu untuk kita sama-sama fikirkan semula.

Hazman bermula dengan hal yang abstrak dan sejagat iaitu ‘keadilan’. Pendekatan yang diambil oleh beliau sekaligus mengandaikan bahawa keadaan bernegara adalah sebuah kenescayaan buat manusia—yang bertentangan dengan penegasan beliau bahawa keadaan bernegara adalah tidak alami (unnatural). Secara sederhana, dapat kita perhatikan bahawa kefahaman tentang moral yang dipersetujui oleh masyarakat seperti ‘keadilan’, ‘baik—jahat’, ‘sah—tidak sah’ dll hanya dapat diwajarkan selepas tertubuhnya negara—yang tidak dapat tidak, mensyaratkan kewujudan sebuah masyarakat dengan latar sejarahnya yang tersendiri.

Sepintas lalu, teori-teori liberal klasik seperti yang dikemukakan oleh Hobbes, Locke, dan Rosseau menanggapi negara sebagai hasil daripada sebuah kontrak sosial antara individu yang menghidupi sesebuah masyarakat. Idealnya, negara sebagai sebuah autoriti kekuasaan harus memperoleh keabsahannya—untuk ‘menghalalkan’ tindakan-tindakan represif—lewat pengakuan yang diberikan oleh ahli-ahli dalam masyarakat tersebut. Hal ini bertujuan untuk membolehkan pewujudan sebuah tatanan masyarakat yang tersusun dengan darjah kekerasan yang paling rendah mampu ditawarkan oleh autoriti kekuasaan tersebut.

Namun, permasalahan timbul apabila Hazman melihat negara sebagai seadanya; atau dalam erti kata lain, negara sebagai sebuah entiti yang telah sedia wujud—mendahului masyarakat itu sendiri. Kekaburan Hazman ini menyebabkan beliau gagal untuk menempatkan dirinya dalam konteks masyarakat yang ditanggapinya. Hal ini terlihat dalam sepanjang pembentangan beliau, yang mana Hazman cenderung untuk menimpakan hujah-hujah beliau berkenaan ‘keadilan’ yang bersifat sejagat tanpa memahami latar masyarakat yang ditanggapinya. Saya akan huraikannya kemudian. Terlebih dahulu, bagi memperjelas kekaburan Hazman berkenaan hal ini, adalah menjadi suatu keharusan untuk menyingkap kembali sejarah pembentukan sebuah negara-bangsa (secara amat ringkas, tentunya).

Jika kita berbalik kepada kontrak sosial yang telah disentuh sebelumnya, dapat ditemukan bahawa kontrak yang telah termeterai tidak sahaja memperuntukkan urusan-urusan teknikal melibatkan pengagihan hak dan jaminan keselamatan; melainkan didasari oleh nilai-nilai kesejarahan masyarakat tersebut. Misalnya, Perlembagaan Persekutuan sebagai jantung kepada negara Malaysia tidak sahaja terinstitusi sebagai sebuah tatacara bernegara kepada warga Malaysia. Lebih daripada itu, ianya merupakan sebuah manifestasi terhadap ‘konsep moral’ masyarakat majmuk di Malaysia yang diwajarkan lewat persetujuan yang telah diperoleh oleh wakil-wakil daripada pelbagai segmen masyarakat pada ketika itu. Sudah tentu, jika kita telusurinya dengan lebih jauh, ‘konsep moral’ tersebut merupakan hasil daripada hubungan-hubungan nyata melibatkan pemilikan ekonomi dan politik antara segmen-segmen dalam masyarakat tersebut—yang tidak akan saya lanjutkan dalam ulasan ini.

Hazman barangkali terlepas pandang akan nilai kesejarahan yang mendasari proses pembentukan kontrak sosial itu sendiri; sekaligus dapat dilihat sebagai peringkat awal kepada penubuhan sesebuah negara-bangsa. Justeru, dengan menjadikan konsep ‘keadilan’ yang bersifat sejagat sebagai pendorong kepada perbahasan, beliau—yang menempatkan masyarakat sebagai subjek perbahasannya—secara tidak langsung telah meminggirkan masyarakat itu sendiri.

Kekaburan ini selanjutnya terpapar dalam hujah-hujah beliau yang terkemudian; memperuntukkan dua implikasi besar lewat cara pandang yang sebegini. Pertama, pengandaian bahawa negara merupakan sebuah keseluruhan (totality)—yang tidak disyaratkan oleh kewujudan masyarakat. Kedua, keterputusan masyarakat daripada nilai kesejarahannya.

Saya dahulukan implikasi yang kedua. Tanpa Hazman sedari, dengan meletakkan ‘keadilan’—berserta kesejagatannya—sebagai dasar kepada bangunan kritiknya terhadap gerakan Islam pada masa kini, beliau secara tanpa sedar sedang mengulangi ‘perangai’ gerakan Islam yang dikritiknya, iaitu: mengandaikan bahawa masyarakat bertumbuh di dalam ruang yang vakum-sejarah. Hal ini, saya kira, jelas terpapar dalam kritiknya terhadap PAS yang menghentikan agenda ‘Negara Berkebajikan’ yang menjadi manifesto parti tersebut dalam PRU.

Hazman menyatakan bahawa beliau hairan akan tindakan PAS yang tidak meneruskan usaha tersebut, malah kembali kepada cara politik lama yang memperuntukkan konservatisme agama. Penyataan tersebut sekaligus memperlihatkan keterputusan antara analisanya dengan nilai kesejarahan masyarakat setempat—yang tidak dapat direngkuh begitu sahaja lewat pensejagatan. PAS sebagai sebuah parti politik Islam-Melayu yang hampir kesemua pengundinya datang daripada golongan Melayu-Islam (terutamanya di luar bandar) perlu mengimbangi kepentingan realpolitik-nya berdasarkan keadaan yang paling menguntungkan. Dalam keadaan masyarakat Melayu sekarang yang begitu menebal dengan rasa rendah diri (inferiority) dan tidak terjamin (insecurity), kembali kepada cara politik lama dapat dilihat sebagai langkah yang paling menguntungkan parti usang tersebut. Selain itu, pendorong lain bagi parti tersebut sudah tentulah ideologi Islamnya yang agak keras (rigid)—yang didoktrinkan ke atas setiap ahlinya.

Selanjutnya, Hazman menjalankan kritik terhadap sikap romantisis gerakan-gerakan Islam yang terjerat dalam khayalan tentang zaman kegemilangan Islam. Dalam mengajukan jalan keluar bagi penyakit tersebut, beliau cuba menarik perhatian kita untuk kembali meneliti metod-metod yang digunakan oleh ahli-ahli falsafah Islam terdahulu—berkenaan cara mereka membangunkan teori bernegara lewat bacaan terhadap teks suci—berbanding sekadar berkhayal tentang zaman yang sudah berlalu tersebut. Begitupun, cubaan Hazman untuk keluar daripada kerangka fikir ‘pensejagatan’ tersebut masih lagi terbelenggu dengan dua kemungkinan iaitu: penarikan/penempelan nilai kesejarahan yang asing ke atas masyarakat dan; kebarangkalian yang besar untuk turut terjatuh ke dalam jerat romantisisme.

Implikasi yang pertama merupakan kesan dampak daripada cara fikir yang melihat bahawa keadaan bernegara merupakan suatu kenescayaan bagi manusia. Hal ini sekaligus mengacu kepada pandangan yang melihat bahawa sistem bernegara beroperasi dalam kerangka top-down—secara implisitnya, yang mana negara bertanggungjawab untuk menguruskan sepenuhnya tatanan masyarakat—membabitkan persoalan-persoalan yang terangkum dalam ranah ekonomi, politik, dan sosial seperti kebebasan, hak, pembayaran upah, globalisasi dll. Lebih daripada itu, negara sebagai pemula kepada masyarakat. Fungsi dan struktur negara mengambil tempat paling hadapan dalam perbahasan tersebut.

Pertamanya, dengan melihat negara sebagai sebuah keseluruhan yang berupaya untuk menentukan segala aspek dalam masyarakat seperti darjah kebebasan dan kepatuhan politik—ianya secara tidak langsung telah membuka ruang yang besar kepada unsur totalitarian untuk menyusup masuk ke dalam struktur negara (hal ini telah dibahaskan dalam sesi pembentangan tersebut). Keduanya, walaupun wujud penyertaan warga ke dalam proses-proses politik yang berlangsung (ruang awam), saya kira ianya tidak lebih sekadar sebuah ‘ilusi demokrasi’—seperti juga ‘ilusi kapitalisme’ yang membuatkan kita berfikir bahawa kita mempunyai pilihan—yang memperuntukkan kita dengan khayalan-khayalan tentang kebebasan dan keadilan. Hal ini kerana, sejauh kebebasan itu dibenarkan adalah sejalan dengan setakat mana kebebasan tersebut tidak mendatangkan ancaman kepada negara.

Dalam suatu hal yang berasingan, Hazman turut membandingkan konsep negara moden dengan kerajaan Melayu tradisional terdahulu. Hujahnya, keprihatinan negara moden terhadap warganya terpapar lewat rekod-rekod pendaftaran, pewajiban pendidikan, dll terhadap warganya—berbanding kerajaan Melayu tradisional yang tidak pernah mengambil tahu perihal subjeknya. Balasan ringkas saya, rekod-rekod pendaftaran dan pewajiban pendidikan tersebut tidak lebih sekadar proses persediaan untuk warga menjadi komoditi buruh bagi memastikan kelangsungan pasaran.

Sebagai nota akhir; tugas memahami ‘keadilan’ harus terlebih dahulu dimulakan dengan memahami pergerakan masyarakat itu sendiri. Kebolehfungsian negara adalah terletak pada keberfungsian struktur dan pemikiran masyarakat yang dinaunginya. Dalam satu hal, masyarakat harus diberdayakan agar mampu untuk terus menjadi pengimbang kepada autoriti kekuasaan yang dipilihnya. Dalam hal yang lain, masyarakat harus memberdayakan dirinya dengan membangunkan falsafah pemikirannya di atas nilai-nilai kesejarahannya sendiri. Lantas, mengupayakan satu jalan keluar daripada himpitan-himpitan pasaran yang tak kunjung selesai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: