Universiti Kampung Malaysia: Siapa Salah?

Apabila seseorang pelajar menghadapi masalah, apakah puncanya? Pelajar itu sendiri? Atau struktur dan hubungan sosial yang menyokong pembentukan pelajar itu, yakni sistem dan pensyarah universiti dalam konteks ini?

Masyarakat kita ada satu sifat buruk. Sifat ini adalah untuk sentiasa menyalahkan, menghakimi dan menghukum mereka yang menghadapi masalah dan ingin menyuarakan permasalahan mereka. Keadaannya sama di universiti.

Apabila pelajar-pelajar menyuarakan dan menyampaikan permasalahan mereka, yang dibincang dan diselesaikan bukan masalah itu. Tetapi pelajar-pelajar mereka sendiri. Makanya kesannya mereka yang menjadi topik perbincangan dan masalah itu sendiri! Sehingga dipinggirkan begitu sahaja masalah-masalah kritikal yang sepatutnya ditangani – ketiadaan hala tuju universiti, kedudukan universiti yang mundur, ketidakwujudan universiti di peringkat antarabangsa, penyelidikan dan pengajaran yang daif, penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang lemah, dan kepayahan pelajar untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tetapi setiap kali isu-isu ini berbangkit, yang menjadi mangsa dan masalah, adalah pelajar mereka sendiri.

Apakah peranan kepimpinan universiti dan fakulti-fakulti dan jabatan-jabatan yang di bawahnya, dan pensyarah-pensyarah di universiti? Punca utama kegagalan dan kelesuan kita adalah mereka. Mereka yang menjadi masalah terbesar kita. Continue reading

‘Keadilan dan Kepengagihan serta Tanggungjawab Intelektual Muslim’ oleh Hazman Baharom, Sebuah Ulasan

Oleh Razan Rose’

Tulisan yang agak lewat ini merupakan sebuah ulasan (dan balasan) ringkas terhadap pembentangan Hazman Baharom berjudul ‘Keadilan dan Kepengagihan serta Tanggungjawab Intelektual Muslim’ di UKM baru-baru ini—ditumpukan kepada beberapa bingkisan penting yang saya kira, perlu untuk kita sama-sama fikirkan semula.

Hazman bermula dengan hal yang abstrak dan sejagat iaitu ‘keadilan’. Pendekatan yang diambil oleh beliau sekaligus mengandaikan bahawa keadaan bernegara adalah sebuah kenescayaan buat manusia—yang bertentangan dengan penegasan beliau bahawa keadaan bernegara adalah tidak alami (unnatural). Secara sederhana, dapat kita perhatikan bahawa kefahaman tentang moral yang dipersetujui oleh masyarakat seperti ‘keadilan’, ‘baik—jahat’, ‘sah—tidak sah’ dll hanya dapat diwajarkan selepas tertubuhnya negara—yang tidak dapat tidak, mensyaratkan kewujudan sebuah masyarakat dengan latar sejarahnya yang tersendiri.

Sepintas lalu, teori-teori liberal klasik seperti yang dikemukakan oleh Hobbes, Locke, dan Rosseau menanggapi negara sebagai hasil daripada sebuah kontrak sosial antara individu yang menghidupi sesebuah masyarakat. Idealnya, negara sebagai sebuah autoriti kekuasaan harus memperoleh keabsahannya—untuk ‘menghalalkan’ tindakan-tindakan represif—lewat pengakuan yang diberikan oleh ahli-ahli dalam masyarakat tersebut. Hal ini bertujuan untuk membolehkan pewujudan sebuah tatanan masyarakat yang tersusun dengan darjah kekerasan yang paling rendah mampu ditawarkan oleh autoriti kekuasaan tersebut.

Namun, permasalahan timbul apabila Hazman melihat negara sebagai seadanya; atau dalam erti kata lain, negara sebagai sebuah entiti yang telah sedia wujud—mendahului masyarakat itu sendiri. Kekaburan Hazman ini menyebabkan beliau gagal untuk menempatkan dirinya dalam konteks masyarakat yang ditanggapinya. Hal ini terlihat dalam sepanjang pembentangan beliau, yang mana Hazman cenderung untuk menimpakan hujah-hujah beliau berkenaan ‘keadilan’ yang bersifat sejagat tanpa memahami latar masyarakat yang ditanggapinya. Saya akan huraikannya kemudian. Terlebih dahulu, bagi memperjelas kekaburan Hazman berkenaan hal ini, adalah menjadi suatu keharusan untuk menyingkap kembali sejarah pembentukan sebuah negara-bangsa (secara amat ringkas, tentunya). Continue reading