Membaca Alif Lam Lam Ha

‘Bagaimana kita mengubah dengan buku?’ Soalan ini, walaupun penting, tidak sepenting pandangan hidup atau paradigma yang mendasari soalan ini. Barangkali dorongan untuk mengajukan soalan sedemikian pasti mesti datang daripada kesedaran etika-moral yang kuat. Dan bagi saya itu yang paling menggerakkan saya ketika membaca buku ini, Alif Lam Lam Ha.

Dan tulisan-tulisan dalam buku ini dihasilkan tanpa pretensi. Sekadar pandangan yang datang jujur daripada hati, selain timbul daripada rasa etika-moral yang kuat dan tidak berbelah bahagi. Pembaca sememangnya akan merasakan kejujuran dan sikap etika-moral ini dari saat membuka halaman pertama, sehingga dia menutup halaman yang terakhir. Bermula dengan tulisan yang pertama, iaitu prakata. Bagi saya tidak akan seorang pembaca menemui seorang penulis prakata yang lebih jujur daripada Rahmat Haron.

Di awal sekali, Rahmat sudah menulis ‘Barangkali, jikalau tidak kerana terdesak secara kewangan, saya mungkin tidak menulis prakata ini.’ Dan kejujuran ini disertai dengan sikap yang cukup rendah hati, ‘Tanpa sebarang kelayakan, lantaran keciciran pengajian, maka terpaksalah saya percaya universiti yang sebenar-benarnya ialah alam raya (Universe).’ Dan sambungnya lagi, ‘Saat saya membaca sketsa biodata masing-masing penulis UTAM ini, saya berasa amat kerdil kedudukan keilmuannya…Ternyata para penulis UTAM ini beragam latar belakang pendidikannya…dari berbagai universiti di pelusuk dunia.’

Tapi kita kerap kali diingatkan. Jangan menilai sesuatu secara luarannya. Dan di sini ternyata benar dan tepat sekali kata-kata ini. Kerana jika kita membaca halaman yang seterusnya kita melihat kecerdasan pemikirannya dalam meringkaskan himpunan tulisan yang ada serta mengajukan isu-isu yang pembaca sewajarnya memberi perhatian. Sudah pasti tulisan sebegini yang penuh dengan kejujuran, kesedaran etika-moral, dan budi yang cerdas tidak datang daripada seorang yang menulis semata-mata hanya kerana ‘terdesak secara kewangan.’

Saya menimbulkan perkara ini kerana pembaca akan melihat bahawa leitmotif berkenaan datangnya daripada leitmotif sama yang terdapat dalam kesemua tulisan dalam Alif Lam Lam Ha ini.

Ciri jujur ini juga yang menjadikan kesemua tulisan yang disajikan oleh buku ini bersifat romantik. Pemikiran aliran romantik menekankan kepada ekpresi yang jujur dan ikhlas dalam semua manifestasinya. Ini yang membezakan antara satu karya yang romantik dengan yang tidak. Paling umum untuk kita mengenalpasti pengertian romantik adalah dengan membuat perbandingan dengan lawannya – moden. Dalam pemikiran moden yang diketengahkan adalah kebenaran dan keaslian. Sehingga yang tidak benar dan tidak asli diketepikan sebagai salah dan tidak baik. Implikasinya adalah bahawa untuk setiap kondisi manusia hanya ada satu penjelasan dan satu jawapan sahaja yang betul. Akan tetapi pemikiran romantik tidak menegaskan kebenaran, tetapi menghargai keikhlasan sikap dan kejujuran hati. Dan jelas sekali tulisan-tulisan yang ada di sini mempunyai ciri kejujuran dan keikhlasan ini.

Keikhlasan dan kejujuran ini yang menjadikan setiap tulisan asli. Bukan asli dalam erti kata moden seperti yang dikatakan di atas sebagai yang benar, mutlak, sempurna dan universal. Yang membawa maksud dalam erti kata authentic. Tetapi di sini asli adalah bermaksud datangnya daripada niat dan sanubari paling mendalam penulis. Atau dalam erti lain, original. Sama ada dalam tema: cinta dan pencarian makna seperti dalam Surat kepada Bekas Kekasih, Asing dan Pelangi Petang; agama dan Tuhan seperti Anma Machiavelli, Bangunkan Dia, Persoalan Bertuhan, Paradoks, Alif Lam Lam Ha Ha Ha Ha, Di Doha Bicara Pemikiran Islam dan Dialog Si Pengemis; atau ilmu, masyarakat dan perubahan seperti Bergelap, Perpustakaannya Dia, Ini Dunia Melayu Ini Dunia Cina, Walid, Intelektualisme dan Anak Muda, Sebuah Perjalanan, Demonstrasi kerana Harga Buku Mahal, dan P.T.M.

Dan membangun daripada unsur asli atau original ini kita kemudiannya bersentuhan dengan realiti atau ‘concreteness’ setiap tulisan. Ambil sebagai contoh suasana yang digambarkan dalam Dialog Si Pengemis:

Cuaca mendung di Bandar Manchester. Matahari yang mula beransur mengatur langkah untuk beredar dari tatapan manusia mula mengalih suluhan cahayanya dari dinding langit. Awan juga sudah berarak perlahan, mengusung segala macam kenangan dan penyaksian akan ragam setiap manusia yang berjalan di dataran bumi ini.”

Lihat bagaimana gambaran tentang keadaan cuaca di Manchester cukup menangkap dan nyata. Dan pada masa sama seolah kita bergerak mengikut awan yang ‘berarak perlahan, mengusung segala macam kenangan’ dan ‘manusia yang berjalan…’

Atau dalam Bangunkan Dia:

Kakiku makin basah. Hatiku kian resah…Aku cuba berdamai dengan butiran-butiran nirmala yang turunnya hari ini seakan membalas dendam. Perlahan-perlahan tangan yang makin kebas direntangkan, tanda ikhlas salam perdamaian. Mata kututup rapat, sebahagiannya kerna dinding yang menorah-noreh kulit muka yang serasa bisa membutakan mata…”

Di sini ‘permusuhan’ dan ‘perdamaian’ antara ‘aku’ dan rebut salji digambarkan dengan intim. Bukan sahaja secara gambaran alam. Bukan sahaja subjek dan objek yang terasing dan bersendirian. Tetapi pada masa saling interaksi antara manusia dan alam yang memberikan deskripsi seakan dalam gerakan dan masih lagi bergerak.

Dan lagi dalam Pelangi Petang:

Aku tersenyum lalu membalasnya dengan kerdipan mata. Sebuah pelukan yang menghangatkan kuterima. Dia memberitahuku dengan suara terlunak yang pernah kudengar, ‘Kamu satu-satunya anak lelaki Mak, and I love you no matter what.”

Gambaran yang dilakar tentang alam dan bandar, manusia dengan alam, dan manusia dengan manusia begitu intim dan peribadi. Tanpa ditunjangi perasaan dan sifat kejujuran yang mendalam pelukisan yang sedemikian tidak mungkin terjadi.

Tulisan-tulisan yang bersifat romantik bukan sahaja mempunyai ciri kejujuran dan keikhlasan, tetapi juga kreatif. Masing-masing tulisan di sini juga kreatif, sama ada daripada segi bentuk ataupun isi.

Mungkin antara narratifnya yang paling kreatif adalah Alif Lam Lam Ha Ha Ha Ha. Satu esai perbincangan tentang perkelahian untuk menggunakan perkataan Allah penulis bukan sahaja dapat meringankan perkara yang dibincangkan. Tetapi mentertawakan dan menyindir pertelingkahan tentang nama Tuhan dalam Islam dengan mengaitkannya dengan kisah semasa di bangku sekolah dulu. Dan diungkap melalui memorinya aktiviti melukis gambaran negara pada tahun 2020 dalam kelas lukisan bersama kawan-kawannya. ‘Kebenaran adalah hal yang harus ditertawakan,’ penulis mencatat, merujuk kata-kata Baudrillard.

Dengan Intelektualisme dan Anak Muda, Di Doha Bicara Pemikiran Islam dan Sebuah Perjalanan, kita menemui tulisan kreatif dalam bentuk esai-autobiografi dan cerpen-autobiografi. Yang pertamanya merencanakan perkembangan intelektual penulis dan perjumpaannya dengan kawan-kawan dan bacaan-bacaan ilmiah yang mempengaruhi dan membentuk pandangan hidupnya pada hari ini. Baginya perubahan sebenar hanya datang melalui pemupukan dan pembangunan ilmu di kalangan masyarakat. Di Doha Bicara Permikiran Islam menceritakan bagaimana keinginan untuk mengembangkan ilmu pengetahuannya membawa penulis untuk berjumpa dengan beberapa tokoh dan sarjana Islam. Yang serupa dalam kedua Di Doha Bicara Pemikiran Islam dan Sebuah Perjalanan adalah penceritaan kisah penjelajahan. Baik secara fizikal ataupun mental. Dimana masing-masing dengan menjelajah memperolehi dan memperhalusi ilmu yang ada. Bahkan apabila atas motosikal sekalipun.

Antara tulisan-tulisan lain yang kreatif yang harus dibaca – kerana sayang sekali ruang sangat tidak mengizinkan – adalah Surat kepada Bekas Kekasih kerana penggunaan format surat dan upayanya untuk membawa kita melangkaui ruang dan waktu, seperti sama juga Asing yang tetapi dalam bentuk catatan; Walid kerana kreativitinya daripada segi penggunaan dan bentuk bahasa yang intens, sengit dan padu; Demonstrasi kerana Harga Buku Mahal kerana tenornya dalam mengejek dan menyindir punca dan konflik isu-isu semasa; dan P.T.M yang menceritakan tentang obsesi masyarakat moden dengan teknologi dan absurditas yang dibawanya.

Tetapi unsur yang paling penting barangkali adalah kesedaran etika-moral. Kejujuran hati dan daya kreativiti tidak membawa apa-apa jika tidak didasarkan atas kesedaran etika-moral yang kukuh. Ini bermaksud pengajuan nilai-nilai seperti kemanusiaan, solidaritas, keadilan sosial, kesamarataan, menjunjung martabat manusia, dan pendirian menyanggah sifat dan kondisi manusia yang paling kejam dan jahat seperti penindasan, eksploitasi, kemiskinan, diskriminasi, ekstremisme, rasisme, otoritarianisme, dan tindakan serta proses dehumanisasi.

Dan di sini setiap esai dan cerpen keras menentang setiap sifat dan kondisi yang kejam sebegini. Baik dalam persoalan agama dan Islam seperti Persoalan Bertuhan yang cuba mengembalikan nilai ilmu dan semangat untuk berfikir dalam hubungan manusia, Tuhan dan Islam, dan Paradoks yang mengkritik tajam dan terang pemimpin-pemimpin politik dan agama yang hipokrit dan menyalahgunakan agama untuk kepentingan mereka sendiri. Amna Machiavelli memperlihatkan pertembungan pandangan dunia material dan keagamaan, dan bagaimana kedua-dua dimensi ini memaknai cinta dengan nilai dan bentuk yang berlainan. Ini Dunia Melayu, Ini Dunia Cina mengangkat nilai kepelbagaian, penerimaan dan persatuan nasional dalam pengaturan kehidupan masyarakat yang pelbagai kaum di Malaysia. Bergelap membangkitkan isu-isu keterasingan, teknologi dan consumerisme yang menimpa masyarakat moden. Keadaan ini berlaku berpunca daripada budaya meniru dan mengkonsumsi. Dan tiadanya pembangunan budaya intelektual dan pemikiran yang kukuh. Seiring dengan pembangunan budaya intelektual yang diperlukan, harus juga disertai pemupukan nilai etika dan solidaritas.

Dan yang paling akhir, jika ada satu tulisan yang melambangkan ketabahan, keteguhan dan semangat tekad tidak berputus asa untuk mempertahankan dan menegakkan nilai etika-moral, ia adalah Perpustakaannya Dia. Tulisan ini merangkumi semua; kejujuran hati yang putih jernih, kesedaran etika-moral yang keras padu, dan budi yang tajam. Dan pada masa sama kaya daripada segi isi, dan cantik daripada segi bahasa. Dialog-dialognya cukup memikat dan setiap satu daripadanya mempunyai makna yang mendalam serta merangsang minda dan jiwa kita. Dan walaupun segalanya dalam cerpen ini nampak seperti sudah lengkap dan kukuh daripada segi pendirian dan kesedaran, namun masih ada sedikit ketidakpastian dan ketidakyakinan oleh wataknya akan tindakan dan makna hidup. Ini yang pada pandangan saya menjadikan tulisan ini sangat nyata dan ‘concrete’, dan pada masa sama menjadikan tulisan ini sangat ‘manusia’. Kerana menonjolkan sisi manusia kita yang serentaknya kuat dan lemah, cerdik dan bodoh, baik dan jahat, dan optimis dan pessimis. Dan jikalau boleh izinkan saya untuk berkongsi kutipan beberapa ayat daripada tulisan ini yang pada saya sangat revolusioner dan mempesonakan:

Ilmu tidak sekadar dapatan daripada aktiviti akal namun, prosesnya melibatkan hati nurani yang bersih…Jangan bergantung dengan lelaki. Kata Zaaba, perangai bergantung pada diri sendiri…Sungguh, manakan bisa Mandala ini merdeka jika jiwa yang membangunnya pun tidak merdeka?

Dalam setiap tulisan, selain asas etika-moral yang kukuh, pada pandangan saya perlu ada juga kebolehan menulis secara ringkas dan bebas. Yang saya maksudkan dengan ringkas adalah kebolehan untuk menggunakan perkataan yang mudah, dan dengan penggunaan perkataan yang mudah ini memliki kebolehan untuk mengajukan sesuatu idea, visi atau gagasan dengan jelas dan tepat. Kebolehan untuk menulis dengan ringkas ini berkait rapat dengan penulisan yang bebas. Bebas di sini ertinya untu menulis tanpa merujuk kepada siapa-siapa nama besar. Atau untuk mengangkat ide-ide mereka dengan mengutip kenyataan-kenyataan atau mengikuti gaya dan struktur bahasa mereka. Sememangnya dalam keadaan tertentu perkara ini dipraktik kerana ingin memberi kredibiliti kepada hujah-hujah yang diutarakan atau ide-ide yang diapungkan. Tetapi perkara ini harus dilakukan dengan hati-hati dan terhad. Penulisan bebas membolehkan kita menjadi kreatif dan asli (original) atau inventif. Dan seterusnya akan mengupayakan kita untuk kemudiannya menulis dengan lebih jelas dan tepat.

Perkara ini tidak mudah. Dan semestinya untuk saya sendiri sekalipun. Tetapi ia adalah satu matlamat yang kita sentiasa ingin mencapai sebagai satu proses.

Sekiranya Rahmat mengatakan bahawa dia tercicir pengajian dan hanya bergantung kepada Universe, saya ingin mengatakan. Bahawa yang membezakan seorang penulis dengan penulis yang lain, bukan universiti, bukan kepandaian akal. Sebaliknya ia datang daripada hati yang jujur dan kesedaran etika-moral yang kukuh. Visi yang jelas, teguh dan humanistik hanya boleh wujud jika memiliki kedua-dua ini. Contoh terbaik adalah Usman Awang. Tidak sempat pun untuk habiskan sekolah rendah, ditambah kehidupannya dalam keadaan serba miskin papa, Usman masih lagi dapat menghasilkan karya-karya yang indah, cantik, romantis dan jelas. Hatinya yang jujur jernih dan kesedaran moral yang luar biasa kukuh berupaya menawan hati, mengerakkan akal minda, dan menyemarakkan api jiwa dimana sahaja:

 

Sepinya tanah kelahiran untukku dari kota,

Dalam serba gelisah berpura sesuai merasa,

Di sinilah, O Kuala Sedili, tangisku pertama bergema.

 

Pada rumput menghijau seperti kesuburan kasih ibu,

Ah, kenangan ketika kecil di bumi Tanjung Lembu,

Sampai kini Sungai Sedili terbentang seperti dulu.

 

Dari sini kulihat payang dengan layar memutih,

Di dalamnya ikan-ikan segar bukan milik mereka lagi,

Ayahku di tiang layar, bersama paman jurumudi.

 

Siapa bisa mengerti bahawa hidup demikian membara,

Dalam kepahitan menyesak masih jua terdengar tertawa;

Itulah kebanggaan mereka menyarai usus-usus keluarga.

 

Tapi derita bagi mereka apakah erti,

Bila mereka di dalamnya, tak merasa lagi,

Sebab tak dilihat mata, menjadi pusaka untuk kami.

 

Dari pemergian subuh-subuh sampai pulang,

Tanpa keluhan pada matahari dan laut menggeram,

Selain wajah-wajah menggelepar dari kepahitan mendalam.

 

Apakah yang mendorong ketabahan seperti batu karang,

Kalau hati yang pengasih itu sentiasa menyatakan,

Segempal nasi bagi kami anak-anak penyambung kemiskinan?

 

Tidak ada kesedihan, barangkali hanya kematian,

Sebab dalam kesakitan mereka bisa mengemudi payang;

Semua telah berpadu seperti air dan garam di lautan.

 

Hanya wajah-wajah tua ketika musim tengkujuh,

Serupa daun-daun berguguran seluruh jadi rapuh,

Pintu maut sedang terbuka dari perut laut gemuruh.

 

O tanah kelahiran, betapa kau mimpikan elektrik,

Sinar menyinar gemilang yang menghidupkan pekat malam,

Sebab kau bumi nelayan yang berhak menerima kesuraman.

 

Mana rumah sakit dan ubat manis untuk kita,

Anak-anak nelayan tak bisa mengenalnya, ah, bukan kota:

Segala jadi biasa dan pendusta berulang bicara.

 

Alangkah megahnya pemimpin dari kota berkata-kata,

Yang sekali datang ketika masa empat tahun berulang;

Ah, Kuala Sedili, gadis desa mentah-mentah diperkosa!

 

Jadi kita berakhir, sebagaimana kita bermula: ‘Bagaimana kita mengubah dengan buku?’

2 Responses

  1. Untuk tulisan yang ini dan dua sebelumnya, banyak betul bezanya ya? Setidak-tidaknya, yang ini lebih jelas, tak lewah dalam memilih kata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: