Sang Pendongeng dan Si Lipas

Batang Batu terkenal dengan karya-karya seni dan sasteranya. Semua penulis dan pelukis berkumpul di sana. Sepertimana Melaka dahulu menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang dari seluruh dunia, Batang Batu menjadi pusat pameran hasil seni dan sastera.

Di Batang Batu ada seorang pencerita yang terkenal. Namanya Taykar. Setiap malam semua orang datang untuk mendengarnya bercerita. Budak-budak kecil juga datang mendengar ceritanya. Pelbagai jenis cerita Taykar. Adakalanya magis. Kadang-kadang tragis. Sekali-sekala romantis. Dan ada juga yang fantasi.

“Awak pernah dengar cerita Hutan Merakuning”, tanya Taykar kepada budak-budak yang berkerumun di seklilingnya.

‘Tidak pernah!’

‘Baik,’ senyum Taykar.

Ceritanya bermula begini.

Suatu masa yang lalu ada satu tempat dipanggil Hutan Merakuning. Ada seekor lipas, namanya Dosi. Dosi ini sangat rajin dan suka berjalan. Dosi ini juga mempunyai rasa ingin tahu yang kuat. Dosi selalu hairan. Kenapa semua binatang di Hutan Merakuning tidak boleh memandang ke atas. Kawan-kawannya selalu memberitahunya ia dilarang kerana kalau buat begitu boleh jadi buta.

Tapi Dosi tidak pernah senang dengan jawapan kawan-kawannya.

‘Pernah awak terfikir apa warna langit di atas kita ini?’ tanya Dosi kepada kawan baiknya Mosi, seekor cacing.

“Tidak pernah.’

‘Langsung tidak?’

‘Tidak.’

Begitu sahaja jawapan Mosi kepada Dosi.

‘Lagipun awak sudah lupa hukum di hutan ini? Perintah Jara semua binatang di sini tidak boleh melihat langit.’

Jara merupakan binatang paling besar dan hodoh di Hutan Merakuning. Jara seekor biawak berkaki dua. Hanya Jara yang tahu warna langit dan rahsia-rahsianya kerana dua kakinya membantu Jara melihat ke atas dengan senang. Di Hutan Merakuning semua binatang mempunyai kerja dan tugas. Hanya Jara sahaja yang tidak perlu kerja. Kerana Jara yang paling besar, hodoh dan mempunyai dua kaki. Setiap hari Jara hanya menunggu binatang-binatang lain membawa makanan kepadanya.

Beberapa hari kemudian Hutan Merakuning kecoh. Dosi dibawa ke Palasyastiz.

Semua binatang yang melakukan kesalahan dibawa ke Palasyastiz. Di sana tempat Nuatkimah. Seekor binatang berkaki ayam, kepala ketam, tangan katak dan ekor singa. Tugas Nuatkimah ini untuk menentukan hukuman bagi binatang-binatang yang melakukan kesalahan.

‘Inilah pesalah yang melanggar hukum Hutan Merakuning,’ kata Dakraya kepada Nuatkimah.

Dakraya ini binatang kepala burung dan berbadan ular. Tugas Dakraya ini untuk menjelaskan kesalahan setiap binatang yang melanggar hukum di Hutan Merakuning.

‘Nuatkimah, kesalahannya memandang langit, dan kerana mengatakan bahawa langit berwarna biru.’

Palasyastiz terus menjadi senyap. Hukum di Hutan Merakuning adalah Jara sahaja yang boleh memandang langit. Dan hanya Jara sahaja yang tahu warna langit, iaitu putih. Semua binatang di Hutan Merakuning mematuhi perintahnya.

‘Kerana awak melanggar hukum Hutan Merakuning maka awak harus diseksa,’ kata Nuatkimah.

‘Selepas ini bawa pesalah ke sungai, dan rendamnya sehingga menjadi hitam.’

‘Itu tidak cukup, Nuatkimah. Pesalah perlu dihukum lagi berat kerana mengelirukan semua binatang dan mengganggu keselamatan awam binatang-binatang di Hutan Merakuning.’

‘Ya Dakraya. Bukan itu sahaja. Bermula dari bulan purnama yang pertama, awak akan tumbuh sepasang kaki dan sepasang sayap. Supaya nanti awak akan merayap tanpa henti dalam timbunan sampah dan semua yang awak akan nampak sahaja adalah sampah. Ini sebagai pengajaran kepada binatang-binatang yang lain supaya tidak ikut tindakan awak.’

‘Sebagai lipas awak sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada binatang-binatang yang lain.’

Bermula dari bulan purnama yang pertama Dosi menjadi hitam. Dan tambah lagi sepasang kaki dan sepasang sayap. Dan sejak itu Dosi merayau-rayau di timbunan-timbunan sampah di Hutan Merakuning dengan tiga pasang kakinya dan sepasang sayapnya.

Kerana menjalankan tugas mereka dengan ulung sekali, Jara menganugerahkan hati yang busuk dan perangai yang tamak haloba kepada kedua-dua Nuatkimah dan Dakraya.

Untuk Jara, dia menunggu sahaja. Untuk makanan dihantar kepadanya.

One Response

  1. hebat penulisan ini. sepertinya penulis berada dalam ruang waktu itu. ternyata bedanya sama sekali dengan tulisan “mas” sebelumnya. hmmm… kayaknya perlu dilanjutkan lagi tulisan sebergini. nescaya pasti kaget penguasa diluar sana. yuk! lanjutkan….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: