Enam Belas Hari Berlalu

Mas,

Maaf banyak kerana sudah lama tidak menulis. Susah untuk menulis sekarang. Terlalu banyak yang difikirkan. Terlalu banyak sehingga susah hendak diluahkan dengan kata-kata.

Bagaimana Mas di sana? Masih lagi kerja di kafe?

Moga Mas tidak kepenatan dan masih senang hati melihat burung-burung yang singgah di depan kedai. Kerja sebegini memang waktunya panjang. Tetapi apa yang boleh kita lakukan. Sememangnya pasaran pada hari ini tidak mengenal manusia mahupun barang. Ia hanya mengambil kira keuntungan. Tetapi saya selalu yakin semangat yang ada pada kita, manusia, dapat mengatasi tentangan berat ini.

Dalam bas pagi tadi saya terdengar seorang budak muda bercakap kepada dirinya sendiri.

Saya terus teringat. Masih ingat lagi dulu di sekolah. Cikgu Tansuha selalu menengking Jymy kerana bercakap seorang-seorang? ‘Gila!’, kata Cikgu Tansuha. Jymy memang nampak sedikit pelik. Tetapi sifat peliknya selalu menyamarkan kecerdasannya.

Saya ingat lagi kata-kata Puan Noriani. Dia pernah beritahu tidak mengapa kalau bercakap seorang-seorang.

‘Bercakap dengan diri sendiri itu penting untuk kita mengenal diri dan dunia.’

Masa itu kita di kelasnya bersama dengan Jymy. Mas ingat?

Saya tidak faham maksudnya pada masa itu. Malah sampai hari ini saya tidak mengerti maksudnya yang sebenar. Tapi Mas pernah bercerita dulu kalau nak hidup yang sebenar-benarnya, perlu kita berusaha untuk mengenal diri kita. Bagaimana susah pun hidup kita, yang penting kita memilih jalan hidup yang kita inginkan.

‘Tidak pelik kalau kita cakap seorang-seorang. Kita perlu berfikir, dan bertanya diri kita, apa yang kita mahu dalam hidup? Kalau tidak boleh bercakap, bagaimana hendak wujud. Bagaimana hendak menentukan masa depan kita?’

Saya masih tidak jelas sebenarnya. Mungkin sebab itu sebaik Mas balik dari Jerman sahaja Mas menolak tawaran universiti? Tetapi asalkan Mas gembira kiranya itu yang penting, iya? Dan paling penting, Mas mengenali diri yang sebenar, begitu?

Yang kelakar, seorang wanita di sebelah kemudian menjentiknya. Mungkin ibunya.

‘Jangan perangai tak senonoh. Kenapa bergumam?! Semua orang melihat awak. Nanti polis tangkap awak!’

Itu yang membuat saya terkenang waktu di sekolah dulu.

‘Masing-masing sudah tua. Mana mungkin hendak bisu? Berapa lama boleh kita bisu? Sampai umur 31 tahun? 41 tahun? 51 tahun?’

Benar kata Nasr dulu.

‘Adanya guru-guru seperti Cikgu Tansuha yang membuat kita sampai hari ini tidak pernah membesar untuk mengenal diri kita yang sebenar.’

Mujurnya kita tidak begitu. Antara kita memangnya Mas yang paling keras kepala dan menentang cakap cikgu. Saya rasa sikap itu yang Mas pegang sampai hari ini.

Sudah terlalu panjang saya berkata.

Jangan lupa untuk menulis. Jaga diri.

 

Lya

 

p/s-budak muda itu bercakap dalam bas, ‘Negaraku, tanah tumpahnya darahku. Rakyat hidup, bersatu dan maju. Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan, Raja kita, selamat bertakhta.’

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: