Buana mana yang ditujui?

Banyak yang telah dibicarakan tentang soal hudud. Saya tidak berkeinginan untuk terlibat dalam perbahasan sama ada hudud harus dibenarkan atau tidak, atau ianya wajib dan mesti dipatuhi atau tidak. Kiranya ramai sudah memberi pandangan mereka untuk sama ada menyokong atau mengkritik pendirian masing-masing.

Sekadar ringkasnya di sini saya hanya ingin menimbulkan satu perkara, yakni adakah pertanyaan atau perbalahan sama ada undang-undang hudud wajar atau wajib dilaksanakan atau tidak adalah suatu persoalan yang bermakna dan tepat?

Dalam erti kata lain yang lain, adakah kita membahaskan suatu persoalan yang relevan?

Bagi Syed Hussein Alatas pengajuan permasalahan itu sendiri adalah satu masalah intelektual – ‘the posing of problems is itself an intellectual problem’.

Soalan wajarkah atau sama ada undang-undang hudud wajib dilaksanakan itu sendirinya datang daripada persoalan yang lebih asas dan besar. Namun disembunyikan dan tenggelam di tengah-tengah lautan pertengkaran. Ini termasuk sekali persoalan lebih besar dan asas lainnya yang walaupun berbeza setanding dan bersaing dengannya.

Persoalan-persoalan yang lebih besar dan mendasar inilah yang harus ditonjolkan kepada khalayak ramai. Bukan aksi terjun ke dalam api bahang gelanggang untuk melihat siapa lebih terserlah kepahlawanannya dan kesuciannya dan terkedepan.

Barangkali persoalan yang paling asasi dan perlu untuk dipertanyakan adalah apakah jenis hubungan yang membentuk ikatan persaudaraan dan persatuan sesama manusia dalam kehidupan bermasyarakat?

Dan seterusnya apakah prinsip yang mendasari dan membimbing hubungan ini, yang dapat diterapkan dan diterima oleh semua?

Apakah bentuk dan susunan masyarakat yang kita inginkan dalam kehidupan bernegara yang akar tunjangnya adalah hubungan sosial sesama manusia tanpa mengira perbezaan ras, agama, jantina, latar belakang, umur dan gelaran?

Ini persoalan asas dan mengikutinya soalan-soalan yang berikutnya yang perlu diperhalusi dan dijelaskan.

Ini menjadi titik permulaan.

Perlu saya menambah di sini bahawa bukan persoalan ini sahaja yang paling mustahak kepada semua dan hanya ini yang mesti dibincangkan oleh semua orang. Tetapi ini sekadar untuk menerangkan bahawa setiap perkara yang timbulkan di belakangnya wujud persoalan yang satu lagi dan lebih besar. Dan perbincangan yang mengikutnya dan implikasinya adalah pelbagai. Persoalan berlainan yang ditonjolkan akan membawa kepada pertanyaan-pertanyaan berikutnya yang berbeza dan implikasinya yang turut berbeza.

Bagi saya setidaknya hubungan dan kondisi sosial dan ikatan persaudaraan sesama manusia menjadi ciri terpenting yang perlu mencorak dan membimbing kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Supaya akhirnya akan membawa kepada suatu pandangan falsafah sosial dan politik yang lebih menyeluruh, adil dan saksama.

Persoalan ini yang paling asasi dan perlu untuk bincangkan. Dan pada pendapat saya harus menjadi kerangka bagi mengungkap dan menjelaskan pelbagai isu yang terbit sekitar masyarakat kita pada hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: