Tanda Putera dan Kebebasan Media

Tanda putera

Saya mungkin tidak bersetuju dengan percakapan kamu, tapi saya akan pertahankan dengan nyawa saya akan hak kamu untuk menzahirkannya – I do not agree with what you have to say, but I’ll defend to the death your right to say it – ini adalah intipati idea Voltaire mengenai kebebasan bersuara yang menjadi asas kepada tegak tumbangnya demokrasi.

Apakah itu kebebasan bersuara? Kebebasan bersuara bererti kebebasan untuk menyatakan dan menzahirkan pandangan, buah fikiran dan idea. Fikiran ini dimanifestasikan dalam bentuk kata-kata, penulisan, lukisan, ukiran, foto, filem dan lain-lain. Mengapa kebebasan untuk menerbitkan buku ini penting dan apa hubungannya filem dengan demokrasi?

Pertamanya, premis kepada demokrasi adalah setiap warga yang sihat akalnya mampu berfikir secara rasional apa yang terbaik untuk mereka dan komuniti mereka. Bagi memastikan setiap orang dapat mencernakan keputusan terbaik, maka mereka mesti didedahkan dengan semua maklumat. Maklumat ini hadir dalam segala bentuk buku, akhbar, majalah, TV, radio dan pastinya filem!

Maka, kebebasan untuk bersuara dan berekpresi ini mesti dijamin bagi memastikan kelangsungan demokrasi. Namun, dalam masa yang sama timbul soalan; bagaimana jika maklumat yang diperolehi itu dusta dan curang? Jawapannya, biar masyarakat yang tentukan! Mereka mempunyai akal yang merupakan masterpiece Tuhan untuk berfikir apa yang terbaik segala tiada maklumat disekat. Demikan, dalam perjuangan demokrasi, yang dilaungkan bukan menuntut saringan maklumat lebih cekap tetapi kebebasan lebih luas.

Kini, dengan adanya internet yang sering digandingkan dengan jolokan maklumat tanpa sempadan, memungkinan untuk masyarakat lebih bijak dan cermat dalam membuat keputusan untuk diri mereka.

Selama ini, kerajaan kita ada untuk 56 tahun terakhir ini sering mengatakan bahawa mereka tahu apa yang terbaik untuk rakyat apabila mengharamkan buku itu dan filem ini. Malah, pembangkang yang paling banyak membantah tindakan ini kerana hampir tiada ruang untuk mereka menyatakan pandangan.

Namun, nampaknya sikap pembangkang ini ternyata berbeza kini. Apakah mereka kini terperangkap dalam logik Umno-Barisan Nasional apabila mahu mengehadkan (mengharamkan?) tayangan Tanda Putera hanya atas alasan filem ini memiliki pandangan berat sebelah dalam memaparkan sejarah negara?

Sememangnya, semua karya dalam apa juga bentuk – filem, cerpen, novel – yang berasaskan sesuatu kejadian sejarah akan dipersoalkan faktanya. Harus diingat, sedangkan buku teks sejarah Tingkatan 4 pun tidak terlepas daripada perdebatan intepretasi dan olahan, apatah lagi karya kreatif. Malah, perkara yang mesti difaham jelas-jelas, filem tidak akan pernah menjadi perakam sejarah yang jujur, termasuk filem dokumentari kerana sejarah itu sendiri tidak akan pernah objektif.

Oleh itu, sebarang bentuk intepretasi filem harus dirayakan – meskipun tidak cocok dengan selera kita. Ya, pasti akan wujud sangkaan bahawa sesebuah filem itu ada agendanya yang tersendiri dan memang itulah tujuan filem – menzahirkan sesuatu idea melalui jalan kreatif yang kemas dan halus. Tambahan pula, mengharapkan Tanda Putera untuk memaparkan sejarah yang ‘objektif’ samalah dengan mengharapkan suatu hari kelak Utusan Malaysia akan bersikap neutral dalam laporan berita mereka – yang tidak mungkin berlaku!

Janganlah kita terperangkap dengan propaganda dan logik pemerintah selama ini yang mahu menentukan apa yang harus kita lihat dan percaya. Jika kita mengimani doktrin kebebasan media dan yakin bahawa rakyat negara ini sudah cukup bijak untuk menilai, maka janganlah dihalang sebarang filem daripada ditayangkan, sebaliknya rayakan dengan kritikan yang kritis, bukan mengharamkannya.

Tanda Putera dan The New Village adalah usaha merebut takrifan terhadap naratif sejarah bangsa Malaysia. Sejarah punya banyak intepretasi dan dalam media yang bebas, setiap takrifan ini akan dibincang, didebat, direbutkan dan pastinya takrifan dengan hujah paling rasional dan wibawa akan lebih kukuh diterima dan lemah akan ditolak. Ini adalah hukum dialektika paling asas. Maka yang harus kita perjuangkan bukan mengharamkan mana-mana filem, tetapi kebebasan media yang lebih besar melangkaui kebebasan menerbitkan akhbar mana-mana parti politik semata-mata.

Tindakan meminta pawagam tidak menayangkan filem ini amat mengelirukan kerana apakah selepas ini, kerajaan negeri Pulau Pinang juga akan mengharamkan pengedaran DVD filem ini di negeri ini? Bagaimana pula jika filem ini ditayangkan di Astro First? Jelas, tindakan kerajaan negeri ini sangat ceroboh dan tiada asas prinsip yang jelas.

Jika ini sikap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditunjangi oleh DAP yang selama ini dilihat pro kebebasan bersuara, ramai akan khuatir DAP mengirimkan isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia akan rupa dan masa depan negara ini di tangan pembangkang. Apakah jika menjadi Kerajaan Persekutuan kelak, Lembaga Penapisan Filem akan kekal dipolitikkan sebagaimana kini? Apakah kerajaan akan kekal ikut campur mengenai urusan tiket wayang rakyatnya? Bagaimana dengan kebebasan artis yang berpendirian berbeza dengan mereka?

Sudahlah selama ini kita dalam dilema dengan sikap Pas dalam isu pawagam ini, kini DAP pula mengambil langkah yang tidak jauh bezanya. Penulis tidak berminat untuk menilai sama ada tindakan ini hanya menguntungkan Suhaimi Baba dan menjadikan beliau sebagai hero. Itu percaturan politik parti yang harus mereka sendiri fikirkan, yang ingin penulis tekankan adalah kita harus kembali kepada prinsip.  Demokrasi bukan setakat menjatuhkan Barisan Nasional tetapi menegakkan kedaulatan dan harga diri rakyat.

Meminjam nada Voltaire , penulis ingin tegaskan; saya mungkin tidak bersetuju dengan filem Suhaimi Baba ini, tetapi atas nama demokrasi yang selama ini kita perjuangkan, saya akan pertahankan hak filem ini untuk ditayangkan, sebagaimana filem lainnya juga.

Nota: Tulisan ini pertama kali disiarkan di Malaysian Insider

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: