Manusia dan agama

Tatkala semua yang di sekeliling kita kian merosot, tidak menghairankan kalau kita bergerak mencari nafas dan semangat baru. Itu merupakan sebahagian daripada sifat manusia. Semakin lama unsur-unsur otoriter dan dogmatis di kalangan kita berkembang dan menguasai segala ruang awam termasuk dengan ungkapan bahasa, maka makin perlu untuk kita menyatakan perikemanusian kita bagi melawan unsur-unsur gelap ini.

Unsur-unsur ini merosakkan dan perlu ditentang kerana ia melahirkan dan melindungi tiga amalan atau tindakan yang menafikan kewujudan kita sebagai manusia. Pertamanya eksploitasi, keduanya pemaksaan dan ketiganya pengecualian.

Kejadian-kejadian kebelakangan ini hanya menguatkan kepercayaan ini. Sudah menjadi kebiasaan untuk kita perhatikan bahawa adanya pihak-pihak tertentu yang mempergunakan komuniti masyarakat ataupun bangsa dan agama tertentu untuk kepentingan politik dan ekonomi mereka sendiri.

Amalan ini berleluasa, walaupun amat jelas bahawa ekploitasi oleh manusia atas manusia lain tidak boleh diterima dan harus ditentang dalam apa keadaan sekalipun.

Perkara ini juga tidak kurang bezanya dengan tindakan paksaan dan juga pengecualian. Apabila manusia dipaksa untuk mengikut peraturan-peraturan tertentu dan seterusnya dihukum, dikutuk dan dihina apabila tidak mengikutnya, ia hanya membinasakan ciri-cirinya itu yang menjadikan seseorang itu manusia.

Ini berkait rapat dengan pemahaman dan amalan pengecualian. Seseorang yang tidak ingin dipaksa dan memilih untuk menjalankan kehidupan hariannya mengikut nilai-nilai yang dipercayainya, akan diasingkan sebagai termasuk dalam kumpulan sosial yang ‘sesat’ atau ‘berbahaya’.

Pengasingan ini berlaku di beberapa tingkat sama ada teologi, politik, dan sosial, dan seterusnya membawa kepada penghukuman yang sistematik, prosedural dan rasmi.

Semua ini – eksploitasi, pemaksaan dan pengecualian – tidak harus diterima kerana ia bertentangan dengan apa yang seharusnya dipegang oleh kita sebagai manusia yang mempercayai nilai-nilai kemanusiaan. Manusia adalah istimewa di dunia ini kerana kedudukannya sebagai insan.

Dan sebagai insan, manusia mempunyai tiga ciri penting, yakni pertamanya mempunyai kesedaran, keduanya bebas dan boleh membuat pilihan dan ketiganya sentiasa menuju atau mengejar kesempurnaan.

Apa yang menjadikan amalan-amalan eksploitasi, pemaksaan dan pengecualian salah secara moralnya adalah kerana ia bertentangan dengan ketiga-tiga ciri asasi manusia ini.

Manusia mempunyai kesedaran, dan oleh itu boleh berfikir, memikir, dan dapat melakukan renungan dan cerminan akan keadaan alam dan masyarakat sekelilingnya. Daripada ini wujud kepedulian manusia atas keadaan masyarakat dan dunia ini segalanya.

Pada masa sama manusia adalah bebas, dan daripada kebebasan ini dapat membuat pilihan untuk dirinya sendiri. Dan ini juga yang membezakan antara haiwan dan manusia. Jika haiwan didorong oleh naluri dan sifat semulajadinya, manusia tidak dipandu oleh struktur dan keperluan semulajadinya semata-mata. Bahkan manusia dapat memilih untuk menolak daripada memenuhi keperluan-keperluan ini.

Keinginan dan kebolehan untuk beriman hanya mungkin sekira adanya pilihan.

Keinginan dan kemampuan untuk tidak makan dan menafikan badan daripada pengisian khasiat fizikal hanya boleh dilakukan dengan adanya pilihan.

Tidak dilupakan termasuk bahawa keingkaran dan penentangan adalah satu tanda bahawa kita boleh membuat dan mempunyai pilihan. Maka untuk ingkar dan menentang adalah untuk menegaskan sifat kemanusiaan kita dan kemampuan kita untuk memilih – yang tidak kurang bezanya, bahkan sama, sepertimana seseorang yang memilih untuk beriman.

Akhirnya, ciri yang ketiga, yakni sentiasa menuju dan mengejar kesempurnaan. Manusia, sebagai insan, sentiasa berusaha dan bergerak ke arah mencapai sesuatu yang lebih sempurna.

Dalam erti kata lain, manusia sentiasa mencari dan melaksanakan kebaikan. Bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk segala manusia, masyarakat, haiwan dan alam dan apa sahaja yang wujud di dunia ini.

Ia adalah perjuangan dan gerakan untuk mempertahankan yang benar, yang adil dan yang indah.

Ini yang mengambarkan ciri-ciri manusia dan menunjukkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang mempertahankan martabat manusia, tidak kira di mana dan untuk sesiapa sekalipun.

Apa gunanya agama dan segala-gala upacara, sembahyang dan doanya, adat-istiadatnya, dan adabnya jika tidak menuju ke matlamat ini?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: