Akta Hasutan 1948: Hanya Retorik Politik

1948 – pada waktu itu pengaruh golongan kiri amat kuat, malah beberapa bulan sebelum itu – tepatnya 20 Oktober 1947 – rakyat di Semenanjung Tanah Melayu, tanpa mengira warna kulit, telah menunjukkan setiakawan yang tinggi untuk Merdeka bersama PUTERA-AMCAJA dengan melancarkan Hartal, salah satu bentuk keingkaran awam (civil disobedient) kerana membantah Perlembagaan Persekutuan yang disediakan oleh penjajah British. Tidak lama kemudian, pada Jun 1948, apabila bantahan terhadap pemerintahan British di Tanah Melayu semakin kuat, Darurat diisyitharkan; parti yang dilihat radikal ditahan, sesiapa yang disyaki dengan kegiatan komunis akan ditangkap, serta dibuang negeri dan hukuman bunuh dibuat untuk sesiapa yang dianggap bersuhabat dengan komunis.

Pada tahun yang sama, British memperkenalkan Akta Hasutan bagi membolehkan sesiapa sahaja yang dianggap menyebarkan elemen subversif ditahan – pada waktu itu, seruan Merdeka dianggap radikal, malah UMNO sendiri menggunakan slogan Hidup Melayu, bukan Merdeka pada ketika itu. Malangnya, setelah Darurat 1948 tamat pada tahun 1960 (ya, kita Merdeka pada tahun 1957, pada tempoh Darurat) Akta Hasutan ini tidak dihapuskan sama dan kekal hingga kini.zahid-hamidi-

Baik, kini kita telah faham konteks Akta Hasutan ini diwujudkan. Kini, Chin Peng telah lama tiada dan Komunis bukan lagi ancaman sejak runtuhnya Tembok Berlin yang mahsyur itu, malah negara China juga telah membuka pasarannya kepada dunia. Namun, akta ini tetap dipakai dan sering didakwa digunakan untuk menahan mereka yang mengancam status quo parti pemerintah – tindakan yang dilihat sebagai anti-kebebasan bersuara yang menjadi asas kepada demokrasi.

Terbaru, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melenting apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah mengusulkan sebuah Rang Undang-Undang Ahli Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) 2013. Malah Zahid Hamidi mengutuk hasrat untuk memansuhkan akta ini kerana menurutnya, jika Akta Hasutan dihapuskan keseluruhannya, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, Raja dan keistimewaan Orang Melayu, yang termaktub dalam Perlembagaan akan dipersoalkan semahunya. Tambah beliau lagi, beliau tidak akan berkompromi jika ada pihak yang menyentuh empat perkara tersebut. Lagak hero!

Malangnya, hero Melayu-Islam ini mungkin terlupa, kerana orang pertama yang harus Zaid Hamidi herdik adalah Perdana Menteri beliau sendiri, Najib Razak. Sebagaimana yang dikutip dalam kenyataan media Nurul Izzah, hampir setahun lalu, pada 11 Julai 2012, dalam sebuah majlis makan malam Pejabat Peguam Negara, Najib Razak telah mengumumkan keputusan kerajaan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

 

Berkecamuk

Apabila didapati rupa-rupanya Perdana Menteri najib Razak sendiri pernah menyatakan komitmen (janji politik?) untuk menghapuskan akta warisan penjajah British ini, para Menteri kabinet kelihatannya jadi kelam-kabut. Sebagai contoh, Menteri Kesihatan, S Subramaniam yang mungkin mahu enter-frame dalam isu ini tersilap langkah, apabila mengatakan bahawa hasrat kerajaan memansuhkan Akta Hasutan merupakan “cadangan” oleh Perdana Menteri Najib Razak semata-mata.

Maka, terpaksalah Nazri Aziz, Menteri Perlancongan (yang dulunya Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam soal undang-undang) bersilat lidah membetulkan ‘kesilapan’ Subra itu – mungkin Subra terlupa memandangkan banyak mesyuarat diadakan tahun lalu! Menurut Nazri, hasrat memansuhkan Akta Hasutan telah dibentangkan di mesyuarat kabinet dan telah dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji.

Anehnya, tidak pula Zahid Hamidi mengecam Najib Razak. Malah, bukan sahaja Zahid Hamidi buat tidak tahu, tiba-tiba datang pula Isa Samad yang mengeluarkan kenyataan yang mungkin menyebabkan masyarakat membuat spekulasi bahawa kapasiti otak beliau tidak sampai suku daripada otak manusia normal. Kata Isa Samad, hanya orang yang bersalah sahaja takut dengan Akta Hasutan. Apakah Isa Samad yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri dan pernah pula menjadi Ahli Parlimen cukup bebal untuk memahami bahawa tugas Parlimen adalah untuk mengubal, meminda dan memansuhkan undang-undang? Maaf, saya bukan menghasut, saya cuma bertanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim pula memberikan jawapan politik, jawapan selamat; keputusan berkaitan cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 perlu dilakukan dengan mengambil kira tuntutan-tuntutan semasa dan tidak berdasarkan emosi semata-mata. Apakh selama ini undang-undang negara ini digubal hanya berlandaskan emosi? Jelas, bahawa kabinet Najib Razak kini tidak memiliki kesepakatan – caca merba!

Sebagaimana biasa, Mantan Perdana Menteri yang amat kita kasihi, Mahathir – yang barangkali runsing dengan prestasi Najib Razak serta kabinetnya mengeluarkan kenyataan yang tidak berdasarkan fakta.

“Masing-masing akan cerca sesiapa sahaja. Saya nak undang-undang. Saya hidup dalam undang-undang. The rule of law (kedaulatan undang-undang). Itu pendapat PM. Saya berpendapat (kalau) kita nak pinda apa-apa akta, sehingga tidak berkesan, lebih baik tidak ada undang-undang. Kita bebas buat apa sahaja”.

Sekali lagi maaf dan saya tegaskan, jangan sesiapa tuduh Mahathir mudah lupa. Mungkin beliau tidak ingat sahaja, bahawa undang-undang seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang berkait fitnah jenayah (criminal defamation) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga wujud untuk membanteras jenayah fitnah.

Tidak Mampu Dipertahankan

 

Jika kita perhatikan dengan cermat, kita pasti akan dapat menjangkakan tidak lama lagi apabila undang-undang ini dihapuskan, maka berduyun-duyunlah yang akan menyatakan ucapan puji-pujian dan menyanjungi kebijaksanaan serta keprihatinan Perdana Menteri. Ini bukan tomahan, bukan tuduhan tetapi pelajaran daripada sejarah politik Malaysia yang penuh dengan tukang jilat berbanding dengan tukang fikir.

Penulis masih dapat mengingati dengan jelas pada beberapa tahun dahulu kami mengadakan satu forum di Komtar Walk, Georgetown Pulau Pinang berkenaan dengan penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Internal Security Act (ISA),. Forum terbuka, kehadiran tidaklah terlalu ramai. Macam biasa. Penalisnya yang saya ingat adalah Mat Sabu dan Hisyam Rais. Dalam kami sedang berforum, tiba-tiba datang sekumpulan orang memakai t-shirt (yang jelas baru di print) dengan tulisan YES TO ISA. Mereka datang membuat kecoh dan memanjat pentas. Terpekik-pekik mempertahankan ISA, kononnya demi keselamatan negara dan sesiapa yang mahu menghapuskannya merupakan pengkhianat negara. Beberapa bulan kemudian Perdana Menteri mengumumkan ISA dihapuskan, kumpulan ini bukan sahaja menikus, malah memuji Perdana Menteri! Demikian juga halnya dengan para Menteri yang sebelum ini mencemuh mereka yang mahu menghapuskan ISA sebagai tidak patriotik, terus senyap.

Begitu juga dengan kes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Meskipun AUKU tidak dihapuskan dan pindaan yang dibuat masih gagal memberikan autonomi akademik kepada universiti, pindaan tahun 2012 telah membolehkan para mahasiswa (dalam AUKU tiada istilah mahasiswa, hanya pelajar) untuk menyertai dan bergiat dalam parti politik. Apakah yang berlaku kemudiannya? UMNO yang bersungguh-sungguh mahu memisahkan mahasiswa dengan politik, kononnya demi memastikan mahasiswa dapat menumpukan perhatian dalam pengajian, langsung menubuhkan Kelab Penyokong UMNO IPTA!

Apakah yang ingin saya nyatakan sebenarnya? Apa kaitan antara Akta Hasutan, ISA dan AUKU? Pada saya, undang-undang harus digubal untuk kepentingan masyarakat, dan mesti dipertahankan. Sesuatu perkara itu mesti dipatuhi bukan hanya kerana tertulis dalam Perlembagaan, tetapi mesti ada alasan yang lebih fundemental di sebaliknya. Akta Hasutan, sebagaimana yang dibuktikan dalam kes ISA dan AUKU, tidak mempunyai dasar asas fundemental untuk dipertahankan – akta ini hanya kekal di situ kerana parti pemerintah tiada keupayaan politik untuk menghapuskan tinggalan kolonial ini. Selain daripada itu, hanya retorik politik murahan!

Tulisan ini pertama kalinya disiarkan dalam Prisma

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: