Pasca PRU13 Siri 5: Momen Yang Terlepas

Image

Kawan kepada aksi jalanraya adalah marah. Musuh kepada marah adalah masa. Ternyata semakin lama masa berganjak semakin reda marah orang. Semakin reda marah orang, semakin rakyat menjadi kurang.

Itulah yang terjadi pada kemuncak siri Perhimpunan Suara Rakyat “Blackout 505” bagi membantah penipuan PRU13 pada hari Sabtu, 25hb Mei 2013 yang lepas. Padang Amcorp Mall tidak penuh. Terdapat banyak ruang-ruang kosong di atas padang.

Dari kiraan saya, kalau rakyat yang turun pada hari itu berdiri rapat-rapat, hanya separuh lebih sedikit sahaja padang yang akan penuh. Paling ramai pun tiga puluh ribu orang. Tapi kalau kita ikuti di blog-blog propaganda, pasti ada yang menyatakan jumlah kehadiran yang lebih tinggi.

Berbanding dengan hari pertama  Perhimpunan Suara Rakyat “Blackout 505” yang diadakan pada 8hb Mei 2013 di Stadium Kelana Jaya, “Blackout 505” di padang Amcorp Mall ternyata sudah kehilangan stim.

Di Kelana Jaya padat dengan lautan manusia sehingga melimpah ruah ke luar stadium. Di Amcorp Mall ruang kosong bersepah di keliling padang. Di stadium Kelana Jaya orang datang dengan marah. Di padang Amcorp Mall orang datang sambil membeli-belah. Ternyata momen sudah pun terlepas.

Apa itu momen?

Di dalam konteks pilihan jalanraya, momen adalah apabila marah rakyat yang tinggi dan jumlah bilangan rakyat yang besar bertemu dan berpadu di dalam satu kesatuan utuh yang cukup menggegarkan sehingga berupaya untuk meradikalisasikan haluan perjuangan dan mengubah perjalanan sejarah bangsa.

Antara contoh momen yang mengubah perjalanan sejarah bangsa ialah apabila orang-orang Melayu yang marah turun ke jalan raya di dalam jumlah bilangan yang cukup besar sehinggakan cadangan untuk mewujudkan Malayan Union pada tahun 1946 terpaksa dimansuhkan.

Dua unsur penting yang membentuk momen ialah marah dan jumlah bilangan rakyat. Momen akan sampai bila tingkat kemarahan rakyat yang tinggi berpadu dengan jumlah bilangan rakyat yang besar turun ke jalanraya di waktu marah itu sedang memuncak.

Tingkat marah yang tinggi itu boleh diukur daripada kesanggupan rakyat untuk turun ke jalanraya walau pun berhadapan dengan berbagai ugutan dan ancaman dari aparatus negara. Manakala ukuran untuk menentukan jumlah bilangan rakyat yang besar di dalam konteks Malaysia ialah apabila jumlah rakyat yang turun adalah melebihi seratus ribu orang.

Image

Namun momen bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Kadang-kala momen itu datang hanya sekali dalam lima tahun. Kadang-kala ia datang sekali dalam sepuluh tahun. Malahan momen mungkin datang hanya sekali dalam dua puluh tahun. Sering kali juga momen tidak sampai-sampai walau pun sudah jenuh kita melakukan aksi di jalanraya.

Lebih malang lagi ialah apabila momen sudah sampai tetapi kita pula tidak menguruskannya dengan baik untuk meradikalisasikan gerakan dan menganjak perjuangan maju ke hadapan. Kegagalan untuk menggunakan sepenuhnya momen yang tiba itu umumya berpunca daripada kepimpinan parti politik, khususnya politisi-politisi utama Pakatan Rakyat yang mengundur ke belakang atau teragak-agak di dalam membuat keputusan.

Tindakan mengundur ke belakang dan teragak-agak di dalam membuat keputusan ketika momen itu sampai menyebabkan momen itu akhirnya terlepas pergi. Entahkan bila akan kembali lagi tiada siapa yang tahu. Momen pasti akan kembali jika momentumnya dibina tapi apakah kita dan pemimpin kita sedia untuk menggunakannya bila ia tiba?

Pertama kali saya turun berarak ke jalanraya ialah pada 20 September 1998. Dari pengalaman pertama itu, sudah tidak terhitung berapa kali saya telah turun ke jalanraya. Daripada sekecil-kecil demonstrasi sehinggalah sebesar-besar aksi. Dari yang dibikin oleh kawan-kawan dan saya sendiri sehinggalah yang dibikin oleh NGO dan parti.

Dari deretan demonstrasi jalanraya dan perhimpunan politik yang telah saya sertai ini sejak 20 September 1998 sehinggalah yang terakhir pada 25hb Mei 2013 yang lepas, pada saya momen itu sampai di tiga perhimpunan besar. Malangnya di ketiga-tiga perhimpunan ini momen yang sampai itu tidak digunakan sepenuhnya oleh kita.

Kegagalan kita menggunakan sepenuhnya momen itu sebahagiannya adalah kerana kita kurang pengalaman dan sebahagian lagi ialah kerana kepimpinan dari kalangan politisi yang mengambil pendirian untuk mengundur ke belakang dan teragak-agak di dalam membuat keputusan.

Pada saya momen yang sudah terlepas itu sampai di tiga perhimpunan berikut:

  1. Perhimpunan Reformasi pada 20 September 1998 di Dataran Merdeka
  2. Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 di sekitar Dataran Merdeka
  3. Perhimpunan “Blackout 505” pada 8hb Mei 2013 di Stadium Kelana Jaya

Tiga perhimpunan di atas pada pandangan saya momennya sudah sampai. Malangnya di dalam ketiga-tiga perhimpunan ini, kita (khususnya kepimpinan politisi-politisi) gagal menggunakan momen yang sampai itu sepenuhnya.

Bagaimana untuk menggunakan momen itu sepenuhnya?

Di sepanjang penglibatan saya di dalam aksi jalanraya dari 20 September 1998 sehinggalah pada hari ini, TIDAK PERNAH aksi jalanraya melebihi daripada sehari. Biasanya aksi jalanraya bermula pagi dan tengaharinya sudah selesai. Atau kalau bermula tengahari, petangnya sudah selesai. Atau pun kalau bermula petang, malamnya sudah tamat.

Justeru itu, kalau kita sudah mengumpulkan lebih daripada seratus ribu rakyat di stadium, padang atau di jalanraya pada masa akan datang, kita wajib menganjak perjuangan kita ke titik yang lebih tinggi.

Apa maknanya ke titik yang lebih tinggi?

Maknanya sudah terlalu jenuh kita berhimpun di padang dan di stadium. Sudah terlalu jenuh kita berada hanya sehari di jalanraya. Berkumpul, balik rumah, tidur dan tiada apa yang berubah. Atau berkumpul, bermain kejar-kejar dengan Polis dan FRU, basah kena sembur dengan air kimia, sesak nafas tersedut asap pemedih mata dan kemudian lepak di kedai mamak atau Starbuck sambil meneguk air kopi berharga RM12.00 secawan, balik rumah, tidur dan tiada apa yang berubah. Itulah pola yang saya perhatikan setiap kali kita turun ke perhimpunan atau jalanraya. Cukuplah!

Menganjak ke titik perjuangan yang lebih tinggi maknanya kalau lebih dari seratus ribu rakyat sudah turun ke padang atau stadium, langkah yang seterusnya ialah membawa rakyat yang turun ke padang dan stadium itu untuk berarak ke jalanraya. Kalau rakyat sudah berjaya di bawa ke jalanraya di dalam jumlah yang lebih daripada seratus ribu orang, maka langkah yang seterusnya untuk ke tingkat perjuangan yang lebih tinggi adalah dengan kekal berada di jalanraya sekurang-kurangnya selama TIGA HARI – ini paling minimum!

Ada berani? Ada sanggup? Berapa ramai yang berani? Berapa ramai yang sanggup? Keberanian dan kesanggupan rakyat sebahagian besarnya bergantung kepada kepimpinan, khususnya kepimpinan dari parti politik memandangkan di Malaysia ini parti politiklah yang punya kemampuan untuk membawa massa dalam jumlah ratusan ribu orang.

Pada Perhimpunan Reformasi, 20 September 1998 di Dataran Merdeka, lebih daripada seratus ribu rakyat sudah pun berjaya menduduki Dataran Merdeka. Pada ketika itu Dataran Merdeka sedang disiapkan untuk menyambut kedatangan Queen Elizabeth dari England sempena temasya Sukan Komanwel 1998.

Saya masih ingat lagi pada waktu itu selepas Anwar Ibrahim selesai menyampaikan pidatonya di anjung Masjid Negara, rakyat di dalam jumlah yang lebih daripada seratus ribu orang berbondong-bondong di dalam arus yang tiada henti bergerak ke Dataran Merdeka. Pagar-pagar besi yang dipasang mengelilingi Dataran Merdeka untuk menghalang rakyat daripada masuk telah berjaya dialihkan.

Image

Pada petang 20 September 1998 di Dataran Merdeka, momennya sudah sampai. Marah orang yang tinggi sudah berpadu dengan jumlah bilangan lebih daripada seratus ribu orang yang turun dan menduduki Dataran Merdeka.

Malangnya di ketika momen itu sampai, Anwar Ibrahim telah mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya di Bukit Damansara. Malam itu juga Anwar ditahan oleh pasukan Unit Tindak Khas (UTK) di kediamannya.

Bayangkanlah jika sekiranya pada petang 20 September 1998 itu, Anwar tanpa teragak-agak dan dengan tegas memberi arahan kepada rakyat untuk kekal duduk dan tidak berganjak daripada Dataran Merdeka.

Kemungkinan besar jika Anwar dan rakyat tidak berganjak daripada Dataran Merdeka, gelombang reformasi 1998 yang sudah terpadu antara marah dan jumlah rakyat yang turun pada ketika itu akan menjadi gulingan bola salji yang akan semakin membesar dan berupaya meradikalisasikan gerakan reformasi dengan lebih cepat dan pantas.

Malangnya Anwar mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan kita terpaksa menunggu hingga ke tahun 2012 untuk memperolehi satu lagi momen yang serupa. Tetapi kegagalan untuk menggunakan sepenuhnya momen yang tiba pada 20 September 1998 itu bukanlah salah Anwar. Salahnya adalah kerana kurang pengalaman memandangkan itulah pertama kali Anwar dan rakyat bertemu dengan momen yang sebegitu rupa di dalam bentuk ratusan ribu rakyat yang marah turun ke jalanraya.

Momen yang selanjutnya hanya tiba 14 tahun kemudian. Seorang teman baik saya yang terlibat dengan gerakan reformasi 1998 sempat berkahwin, beranak, bercerai, berkahwin kali kedua dan beranak seorang lagi, barulah momen kedua sampai. Bayangkanlah betapa lamanya menunggu momen itu sampai.

Selepas 14 tahun menunggu momen kedua sampai di dalam bentuk perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012. Sekali lagi malang menimpa di momen ini apabila terdapat sebilangan peserta yang terpancing dengan hasutan provokasi oleh agen-agen provokator untuk mengalih pagar yang diletakkan dan menyerbu masuk ke dalam Dataran Merdeka. Sayang sekali di waktu provokasi-provokasi itu berlaku sekali lagi kepimpinan tidak berada di depan massa untuk memberikan arahan yang jelas untuk tidak menyerbu masuk ke dalam Dataran Merdeka.

Bersih 3.0 yang sepatutnya menjadi perhimpunan aman menjadi ganas lantaran serbuan tersebut yang dibalas dengan tindakan kekerasan oleh pihak Polis. Bayangkan jika sekiranya peserta-peserta Bersih 3.0 yang berada di barisan hadapan tidak terpancing dengan provokasi dan kepimpinan memberi arahan yang tegas dan jelas, penganjur dan kepimpinan Bersih 3.0 berupaya untuk memanjangkan perhimpunan tersebut sehingga ke hari besoknya, hari Ahad.

PERHIMPUNAN BERSIH

Kalau ini yang berlaku pada 28 April 2012 itu, maknanya buat pertama kali dalam sejarah gerakan aksi jalanraya di Malaysia, ratusan ribu rakyat bermalam di jalanraya di tengah ibukota Kuala Lumpur. Namun momen untuk memanjangkan perhimpunan ke titik yang lebih tinggi dan seterusnya meradikalisasikan tindakan politik rakyat tidak kesampaian kerana kegagalan kita untuk mengurus, mengawal dan mengendalikan perhimpunan tersebut. Sekali lagi momen itu terlepas!

Momen ketiga dan yang terakhir yang kita terlepas ialah ketika berlangsungnya Perhimpunan “Blackout 505” pada 8hb Mei 2013 di Stadium Kelana Jaya yang dihadiri oleh ratusan ribu rakyat yang sedang memuncak kemarahannya.

Marah yang tinggi berpadu pula dengan jumlah bilangan rakyat yang mencecah ratusan ribu orang sekali lagi momen yang sampai itu gagal dimanafaatkan sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Setelah rakyat dibakar dengan pidato-pidato yang panas dan retorik-retorik perlawanan, kepimpinan Pakatan Rakyat akhirnya menyuruh rakyat bersurai.

Perhimpunan ratusan ribu rakyat di Stadium Kelana Jaya itu yang sepatutnya dimajukan ke hadapan menjadi suatu tindakan politik yang lebih radikal dengan perarakan di jalanraya gagal dimanafaatkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat.

Image

Kalau perarakan di jalanraya dilakukan pada malam 8hb Mei 2013 itu, saya percaya ia akan menjadi sekolah politik yang cukup penting buat mereka yang turun berarak.

Saya juga pasti ratusan ribu rakyat yang berarak itu akan menghadapi tindakan kekerasan dari pihak Polis dan FRU tetapi ia akan meradikalisasikan bukan sahaja tindakan politik tetapi pemikiran mereka di dalam memahami bagaimana negara (state), kuasa dan kekuasaan berfungsi.

Pendidikan politik di jalanraya ini akan memperkasa dan memberdayakan rakyat kita serta menajamkan lagi kontradiksi antara rakyat yang ditipu pilihanraya dengan penguasa yang berkuasa.

Saya yakin pendidikan politik yang sebegini akan kekal selama-lamanya di dalam fikiran mereka. Ia akan menjadi memori bersama yang diikat oleh rasa persaudaraan dan kesetiakawanan yang akan mengukuhkan rasa sebangsa, bangsa Malaysia walau pun kita berlainan etnik, agama dan bahasa.

Namun semua itu hanyalah angan-angan yang tidak kesampaian kerana 8hb Mei 2013 di Kelana Jaya telah berlalu pergi dan momen yang tiba itu sudah pun terlepas.

Image

Momen-momen yang terlepas ini hanya akan menjadi penyesalan jika kita tidak belajar daripadanya. Pada penggerak-penggerak aksi di jalanraya khususnya politisi-politisi belajarlah daripada kesilapan kita melepaskan momen-momen ini. Momen yang terlepas tidak akan kembali lagi. Akan tetapi momen yang baru pasti akan tiba. Soalnya ialah bila? Apakah kita perlu menunggu 14 tahun lagi untuk momen itu sampai?

Saya percaya jika kita berkerja keras membinanya momen tersebut pasti akan sampai. Cumanya kalau sudah terbina dan momennya sampai, apakah kita sudah bersedia? Apakah kita bersedia untuk TIGA HARI DI JALANRAYA?

Apakah kepimpinan sudah bersedia? Apakah rakyat sudah bersedia? Apakah politisi-politisi Pakatan Rakyat sudah bersedia? Atau pun kita hanya akan mengulangi kesilapan yang sama? Kesilapan melepaskan momen yang tiba.

One Response

  1. bole ke rakyat msia duduk kat jln raya 3 hari? 3 hari tu lama bro. kena sediakan segala mcm benda. makanan utk 3 hari, pakaian, tempat tidur. kalo tak hujan ok la. kalo hujan mcm mana?

    kena plan aktiviti sepanjang 3 hari tu…takkan nak dgr ceramah je 3 hari tu. bosan dowh!

    kena ada medical team, ubat-ubatan kalo ada yg sakit, cedera ato sesak nafas.

    kena sediakan jugak security utk jaga keselamatan peserta-peserta. kena ada team yg kawal dan pantau provokasi. agen-agen provokasi mesti giler punya ramai masa tu.

    dan jgn lupa…tempat buang sampah, tempat utk mandi, berak dan kencing. penting tu bro. 3 hari utk uruskan lebih dari seratus ribu peserta! giler rumit!

    volunteer memang kena sediakan ramai dan perlu ada centralised command ato arahan terpusat. kalo tidak boleh jadi kacau kalo byk kepala yg bagi arahan.

    memang rumit tapi kena cuba. kalo tak cuba mcm mana kita nak tahu. tak sabar nak turun nih! tapi boleh bikin ke? nak ke rakyat msia duduk kat jln raya 3 hari?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: