IN METAL WE BLAST: SOROTAN KONSERT KLMETAL CAMP VI & KELANGSUNGAN KOMUNITI METAL MALAYSIA

klmetal camp2013

…”Music serves as both balm and excitant, soothing the savage or awakening dormant passions.  In spiritual terms, music is a magical operation, a vehicle for man to communicate with the God”. (Moynihan & Soderlind: 1998)

Muzik secara umumnya merupakan saluran yang berkesan bagi manusia untuk menzahirkan perasaan mereka terhadap sesuatu.  Tanpa muzik, kehidupan boleh diibaratkan seperti tanpa warna dan membosankan.  Seperti juga ilmu-epistemologi yang terpecah kepada banyak disiplin dan sub-disiplin, muzik juga terbahagi kepada beberapa kategori.

Kadangkala terdapat kecenderungan dalam masyarakat untuk membahagikan status sosial dan kelas menerusi genre muzik yang didengari.  Sebagai contoh, genre Jazz dan muzik klasik (Beethoven, Mozart, Paganini & Bach misalnya) seringkali dikaitkan dengan status sosial pendengar yang kononya daripada kelas Bourgeoisie.  Sementelahan itu, muzik genre Metal seringkali pula dianggap sebagai halwa telinga kelas bawahan.

Pembahagian kategori muzik mengikut kelas sebegini tidak dinafikan melanggar ‘nature’ muzik itu sendiri yang bersifat universal.  Sebagai contoh, di Amerika Syarikat suatu masa dahulu (sebelum era pergerakan hak sivil 50 an), muzik blues seringkali dianggap muzik kelas bawahan berikutan menjadi pilihan hiburan kaum kulit hitam.  Dalam menanggapi hal ini, Burr (1995:3) menjelaskan bahawa pendirian yang kritikal begitu perlu agar kita tidak menerima sesuatu secara borong (taken for granted).  Beliau menjelaskan:

…..”For example, just because we think of some music as ‘classical’ and some as ‘pop’ does not mean we should assume that there be divided up in that particular way”.

Perkara ini bermaksud, kita tidak seharusnya membiarkan diri kita terperangkap dalam sesuatu yang telah ‘ditetapkan’ oleh autoriti dan norma masyarakat, yang sudah semestinya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang lain.  Sebagai contoh, pembahagian genre muzik mengikut kelas masyarakat misalnya, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima pakai dan mencabuli ‘hakikat’ muzik itu sendiri yang bersifat universal dan tidak terbatas kepada rangkuman kelas, status, bangsa dan benua.

Poster KLMetal Camp 2013

Poster KLMetal Camp 2013

Walaubagaimanapun, dalam konteks genre muzik Heavy Metal, seringkali ia dikaitkan dengan kesalahan moral, biadap dan devians.  Terdapat hujah sesetengah pihak yang mengatakan genre Heavy Metal merupakan biasan kebudayaan barat (western culture) yang merosakkan budaya tempatan (local culture).  Namun, perlu difahami bahawa genre ini juga menerima tentangan daripada pihak yang mendakwa polis moral (self appointed moral police) di benua Eropah dan Amerika.   Jelas di sini bahawa, penolakan terhadap genre Heavy Metal dan sub-genrenya bukanlah disebabkan oleh kebudayaan tempatan, namun lebih kepada ‘dikotomi’ (dichotomy) dalam pemikiran masyarakat mengenai moral dan kelas dalam citarasa muzik yang berimpak daripada kepesatan kapitalisme industri muzik.

Tekanan yang dihadapi oleh peminat genre sebegini menyebabkan mereka lebih senang bergaul dalam ‘komuniti bayangan’ yang dicipta sendiri. Komuniti muzik yang bersifat mandiri (self reliance) dan mencipta dunia eskapisme mereka yang tersendiri.

Artikel penulis pada kali ini akan membincangkan mengenai sorotan konsert genre Metal di Malaysia iaitu KLMetal Camp 2013 dan bagaimana komuniti genre muzik ini mampu bertahan di tengah-tengah masyarakat yang konservatif seperti di Malaysia.

KLMETAL CAMP VI: SOROTAN KONSERT

Majalah Karisma

Majalah Karisma

KLMetal camp VI (KLMVI) pada kali ini agak signifikan, kerana ia diadakan pada malam sebelum hari membuang undi untuk Pilihan Raya Umum 13.  Penganjur KLMVI pada kali ini menampilkan beberapa buah band yang tidak asing lagi dalam arena muzik underground di Malaysia.  Antara band genre Metal tempatan yang tampil membuat persembahan ialah Hereafter, Humiliation, Nekrad, Storming Steels,Stomping Ground dan band kebanggaan Malaysia, Sil Khannaz.  Untuk siri KLMVI pada kali ini, sebuah band Black Metal telah didatangkan khas dari Thailand, Zygoatsis.  Seperti kebanyakan konsert genre metal yang lain, akan didatangkan khas band terkenal untuk menjadi kemuncak acara, maka penganjur KLMVI telah berusaha membawa band Teutonic Thrash Metal dari Jerman iaitu Destruction.

Destruction mungkin kurang diminati oleh peminat muzik genre metal dalam kategori komersial (sebagai contoh ‘meminati’ Metallica hanya kerana mendengar lagu ‘Nothing Else Matters’ atau ‘Enter the Sandman’).  Namun, jika anda merupakan peminat tegar genre muzik ekstrim ini, menonton persembahan Destruction secara ‘live’ di Malaysia merupakan peluang seumur hidup yang tidak harus dilepaskan.  Situasi sama seperti seorang peminat tegar filem Kollywood, menyaksikan ‘Rajnikanth’ berada di depan mata!

Pada peringkat awalnya, KLMVI dijadualkan berlangsung di Stadium Chin Woo, namun ditukarkan ke Black Box@Publika, Solaris-Dutamas beberapa hari sebelum konsert berlangsung.  Penganjur mengatakan bahawa, perubahan lokasi merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  Walaupun secara teknikalnya, Black Box merupakan tempat yang baik untuk sebarang penganjuran konsert.  Sebagai contoh, ia merupakan kawasan tertutup yang berkapasiti mungkin 1000 orang atau lebih dalam satu masa.  Namun, perlu penulis nyatakan di sini, Publika merupakan tempat yang sinonim dengan masyarakat kelas menengah atas dan lebih kepada tempat kawasan santai keluarga.  Selain itu, kawasan ini juga agak sukar untuk dicapai (unaccesible) oleh mereka yang menggunakan pengangkutan awam (kecuali teksi).   Walaubagaimanapun, ia masih merupakan tempat yang sesuai untuk menjadi lokasi sebarang konsert.

Penulis sampai ke kawasan Publika tepat pada pukul 3 petang.  Kelihatan peserta konsert sudah ramai yang memenuhi ruang luar Black Box, mungkin jika dapat dianggarkan secara kasar dalam 300 lebih orang dan kesemuanya memakai baju T berwarna hitam dengan logo band genre metal kesukaan masing-masing (penulis sendiri memakai baju T Iron Maiden).  Umum sedia maklum, ini merupakan pakaian rasmi setiap kali seseorang itu hadir menonton konsert genre metal.  Konsert dimulakan oleh ‘emcee’ Andy Flop Poppy yang begitu bersahaja dan bijak mengawal acara melalui komunikasinya dengan peserta konsert.

Band pertama yang membuka acara ialah Storming Steels yang berasal dari Kedah.  Menurut maklumat yang penulis terima, band ini ditubuhkan pada tahun 2007 dan telah berjaya menghasilkan 3 album (2 split dan 1 full album).  Persembahan band ini agak memberangsangkan dengan vokalis yang pandai memainkan peranan berkomunikasi dengan penonton (walaupun pekat dengan loghat utara).  Walaupun konsert masih diperingkat awal, namun penonton sudah memulakan aksi mosh dengan agresif.  Setelah slot untuk Storming Steels tamat, band kedua mula mengambil ruang di pentas iaitu Zygoatsis.  Sesuai dengan genre black metal yang menjadi ‘disiplin muzik’ mereka, persembahan band dari Thailand ini dimulakan dengan gimik seram.  Persembahan Zygoatsis agak tipikal seperti band black metal yang lain.  Penulis berpendapat, persediaan band ini terlalu mengambil masa yang lama dan menyebabkan mood penonton menurun untuk terus berhibur.  Selain itu, ditambah pula dengan ‘sound’ yang tidak seimbang antara gitar, bass dan vokal, sedikit sebanyak mencacatkan persembahan band ini.  Sebagai contoh, kadangkala bunyi ‘buzzing’ keterlaluan oleh gitar sangat menjengkelkan.

Persembahan diteruskan oleh band genre Melodic Black Metal dari Ipoh iaitu Nekrad.  Penulis merasakan band ini sangat berbakat. Paduan antara bunyi agresif gitar, drum dan bass diseimbangkan dengan vocal tajam, halus dan tinggi serta harmoni-melodik keyboard.  Jika dilihat daripada sudut berpakaian dan gaya persembahan muzik, sememangnya ia terlalu kuat dipengaruhi oleh Cradle of Filth.  Namun, perkara yang paling menarik ialah, Nekrad menutup persembahan dengan sebuah lagu ‘cover’ daripada siri televisyen yang popular era 80-an ‘Gaban’ yang diubah susunan muziknya kepada melodic black metal. Sangat kreatif!  Syabas Nekrad!

Hereafter, sebuah band ‘3 piece’ yang membawakan genre Thrash Metal.  Persembahan mereka begitu bertenaga, sehingga menyebabkan kabel gitar ‘Redza Hellbullets’ tercabut kesan terlalu energetiknya beliau di atas pentas.  Penulis tertarik dengan dua buah lagu yang mereka persembahkan, bertajuk ‘Orang Jahat’ dan ‘Secrecy of the Government’.  Penulis akui adalah tidak adil penulis membandingkan band ini dengan pemuzik Thrash Metal antarabangsa, namun, penulis tidak dapat melupakan ‘sensasi’ band Thrash Metal ‘Bay Area’ saat mendengar dan melihat persembahan Hereafter.  Jujur penulis katakan persembahan oleh Hereafter sememangnya menarik. Tahniah penulis ucapkan kepada mereka.  Namun, satu pesanan penulis kepada ‘Redza Hellbullets’, jika mahu beraksi ‘liar’ atas pentas, silalah gunakan gitar yang dilengkapi ‘wireless system’, agar persembahan tidak terhenti gara-gara kabel gitar tercabut!

Tools of Trade mengambil tempat untuk meneruskan kegilaan ‘moshpit’ penonton dengan genre experimental death metal-grindcore.  Band yang ditubuhkan pada tahun 2004 dan menerbitkan 2 album studio, 1 demo dan 1 split ini tidaklah mengecewakan.  Pada saat ini, kehadiran penonton sudah mula bertambah dan keadaan di hadapan pentas utama sudah mula sesak.  Hal ini mungkin kerana kebanyakan mahu menonton persembahan Stomping Ground, lagenda muzik underground yang berasal dari Singapura.  Terdapat sesetengah peminat yang mengatakan ini merupakan persembahan terakhir oleh Stomping Ground.  Namun, tidaklah dapat penulis memastikan kebenarannya.  Stomping Ground  yang ditubuhkan pada tahun 1988 memberikan persembahan bertenaga yang begitu menarik sekali, sehinggakan walaupun persembahan mereka sudah tamat, peminat masih melaungkan nama mereka untuk lagu ‘encore’.  Tanpa mahu mengecewakan peminat yang menyokong karier mereka selama hampir 23 tahun, Stomping Ground kembali ke pentas dan memainkan lagu terakhir.

Sejurus selepas tamatnya slot Stomping Ground, penganjur meminta agar kesemua peserta konsert untuk keluar sebentar bagi membolehkan krew KLMVI menyusun kembali struktur pentas, khususnya ‘barrier’ antara peminat dan pentas persembahan yang semakin ‘runtuh’ berikutan asakan ketika mereka melakukan ‘moshpit’.  Selepas mungkin hampir 20 minit, peminat kembali dibenarkan memasuki ruang utama Black Box untuk persembahan seterusnya oleh band yang tidak asing lagi di kalangan peminat muzik underground tempatan iaitu Hummiliation.  Band yang membawakan muzik genre Old School Death Metal ini ditubuhkan pada tahun 2009.  Penulis berkesempatan mendengar album studio mereka yang berjudul ‘From Strength to Strength’ terbitan tahun 2012.  Tatkala Hummiliation beraksi di pentas, ‘moshpit’ oleh peminat semakin menggila (seorang peminat yang tidak berbaju naik ke atas susunan rak ‘speaker’ dan headbang).  Penulis begitu tertarik dengan persembahan Hummiliation, selain daripada persembahan yang bertenaga, penulis berpendapat, susunan muzik band ini begitu teliti, seperti dalam album mereka! Walaupun pada dasarnya, muzik mereka sangat ringkas dalam konteks ‘musical arrangement’, namun ia masih memukau. Tahniah Hummiliation!

Dalam usaha menjimatkan masa untuk acara kemuncak iaitu persembahan Destruction, slot seterusnya diisi oleh ‘hero Metal negara’, Sil Khannaz yang terus mengambil tempat di pentas untuk meneruskan acara.  Sebelum Sil Khannaz memulakan persembahan, Jaie telah membuat pengumuman bahawa Sil Khannaz akan bermain hanya beberap buah lagu, kerana mahu menjimatkan masa agar Destruction mempunyai masa yang lebih untuk ‘menyusun set pentas’ dan menghiburkna peminat.  Tidak banyak perkara yang boleh penulis katakan mengenai persembahan ‘Hero Metal negara’ ini, kerana mereka sememangnya sentiasa memberikan persembahan terbaik.  Sil Khannaz memulakan slot mereka dengan lagu cover daripada band lagenda ‘Bay Area Thrash Metal’ Slayer melalui lagu ‘Raining Blood’.  Penulis berpendapat, kemungkinan lagu ini dipilih sebagai memperingati kematian pemain gitar Slayer, Jeff Hanneman 2 hari sebelum itu.  Walaupun persembahan Sil Khannaz agak pendek berbanding band lain, namun mereka berjaya menghangatkan lagi arena ‘moshpit’ dengan lagu berhantu mereka ‘Gerbang Kayangan’.

Tamatnya persembahan mantap daripada Sil Khannaz menandakan bermulanya kemuncak KLMVI.  Tiba masanya untuk Destruction menghiburkan para peminat genre metal yang kelihatannya sudah mula memenuhi ruang hadapan pentas di Black Box.  Namun, bagi membolehkan Destruction memberikan persembahan yang terbaik kepada peminatnya di Malaysia, krew band ‘Teutonic Thrash Metal’ perlu melakukan persiapan terakhir seperti ‘set up’ pentas dan persediaan teknikal.  Walaupun persediaan pentas oleh krew Destruction mengambil masa hampir 1 jam, namun peminat nampaknya sabar menunggu.  Mungkin kerana faham, untuk mendapatkan kepuasan yang maksimum, maka persediaan rapi perlu dilakukan walaupun mengambil masa yang agak panjang.  Sementara menanti segala persiapan dilakukan, peminat dihiburkan dengan siaran lagu-lagu rock klasik, antara lagu yang sempat penulis perasan adalah karya band hard rock lagenda Jerman, Scorpions seperti ‘Always Somewhere’ dan ‘Blackout’.  Sedikit sebanyak ia mengekalkan mood peminat yang sabar menanti kemunculan Destruction.

Setelah menanti dengan penuh sabar, akhirnya Destruction mula mengambil tempat di pentas.  Kelibat gitaris utama, Mike Sifringer disambut dengan sorakan padu oleh para peminat.  Sorakan semakin bertambah padu bilamana bassist/vokalis Destruction, Marcel Schirmer mula mengambil posisinya dipenjuru kanan pentas.  Dengan ucapan dalam bahasa Melayu ‘apa khabar semua?’, Destruction kemudiannya memulakan slot mereka dengan lagu ‘Thrash Till Death’ yang dipetik daripada album ke 7 mereka ‘The Antichrist’.  Pada saat ini, ‘moshing’ dan ‘body surfing’ oleh peminat semakin menggila.  Penulis merasakan, signifikan lagu ini dijadikan lagu pembukaan oleh Destruction bagi menggambarkan mengenai falsafah genre Thrash Metal itu sendiri.

Mike Sifringer

Mike Sifringer

Destruction walaupun merupakan sebuah band Thrash Metal, namun kebanyakan lagu-lagu mereka berkisar tentang tema alam gelap.  Sedikit sebanyak, band ini membantu perkembangan pengaruh muzik dalam sub-genre Black Metal.  Berikutan itu, mereka meneruskan persembahan dengan lagu kedua (daripada album yang sama ‘The Antichrist’) yang bertema anti agama iaitu ‘Nail to the Cross’.  Ketepikan maksud liriknya, penulis secara peribadi berpendapat susunan muzik lagu ini sememangnya begitu ‘catchy’ yang mana ia membolehkan peminat untuk menyanyikan chorus secara bersama (sing along).

Destruction membawakan banyak lagu-lagu klasik mereka pada malam itu.  Antara lagu yang penulis kesan ialah seperti anthem klasik mereka ‘Mad Butcher’, Total Disaster’, Invicible Force, Release From Agony, Black Mass dan banyak lagi.  Suara Schirmer yang ‘growl’ dan halus-tajam sememangnya menjadi trademark kepada Destruction.

Destruction beraksi!

Destruction beraksi!

Persembahan Destruction yang mungkin melebihi 1 jam sememangnya sangat berbaloi, khususnya kepada peminat Teutonic Thrash Metal seperti penulis! Kerana, peluang menyaksikan persembahan Destruction secara langsung ini merupakan peluang sekali seumur hidup!  Penulis dimaklumkan bahawa kehadiran Destruction bagi memeriahkan KLMVI merupakan salah satu rancangan dalam tour mereka bagi mempromosikan album terbaru ‘Spiritual Genocide’.  Jikalau tidak silap, mereka sudah menjayakan satu persembahan di Indonesia pada beberapa hari sebelum itu.  Apa-apa pun, penulis memberikan 5 bintang kepada penganjur KLMVI kerana berjaya menganjurkan konsert yang begitu menarik, khususnya dalam konteks pemilihan band yang mantap.

KOMEN DAN SARANAN MENGENAI KLMVI

Namun, terdapat beberapa perkara yang penulis rasakan perlu untuk dipertimbangkan oleh pihak penganjur di masa hadapan.  Di antara perkaranya ialah susun letak (positioning) pentas konsert yang agak ‘tidak bijak’.  Penulis berpendapat, kedudukan pentas yang agak rendah mengakibatkan peminat yang berada di bahagian belakang tidak berpuas hati kerana keterbatasan pemandangan.  Seharusnya, pihak penganjur menyediakan pentas yang lebih tinggi untuk KLMetal Camp 2014 nanti.  Selain itu, kedudukan rak ‘speaker’ disebelah kiri dan kanan pentas menyebabkan keadaan bertambah rumit.  Sudahlah kedudukan pentas rendah, kedudukan ‘speaker’ telah menyebabkan pandangan terus ke pentas bertambah mengecil.  Hal ini menyebabkan mereka yang berada dibahagian belakang, kiri dan kanan pentas agak tidak berpuas hati kerana tidak dapat melihat persembahan setiap band dengan lebih jelas.

Komen lain pula berkisar dengan lokasi.  Penulis memahami kadangkala komuniti metal menghadapi dan berhadapan dengan pelbagai masalah untuk mendapatkan tempat bagi menganjurkan konsert mahupun gigs.  Black Box, secara umumnya merupakan tempat yang bagus dan selesa, namun lokasi Publika yang sukar ‘dicapai’ dengan pengangkutan awam menyukarkan ‘metallers’ untuk menghadiri konsert.  Bayangkan, bas RapidKL B115 dari Pasar Seni hanya berhenti di kompleks Masjid Wilayah. Hal ini menyebabkan para ‘metallers’ terpaksa menapak mungkin hampir 2 kilometer ke Publika.

Walaupun hal ini bukanlah sesuatu yang besar, namun penulis percaya jika KLMetal Camp yang seterusnya diadakan di Ibu Kota yang mempunyai kemudahan capaian pengangkutan awam, maka jumlah kehadiran akan lebih bertambah besar.  Selain itu, kita harus mengakui bahawa sememangnya Publika bukanlah tempat yang sesuai untuk komuniti metal, lantaran ia merupakan kawasan para ‘hipster’ dan ‘borjuis’ bersantai dihujung minggu!  Jikalau tidak keberatan, harap pihak penganjur dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kelancaran penganjuran sesi di masa akan datang.

KOMUNITI METAL UNDERGROUND: AUTONOMI MUZIK YANG DIPERTAHANKAN

Mungkin ramai daripada kalangan mereka yang mengaku meminati muzik genre Thrash Metal yang tidak mengenali Destruction.  Penulis merasakan hal ini terjadi lantaran mereka hanya melihat genre Thrash Metal itu hanya berlegar kepada band terkenal seperti Metallica, Anthrax, Slayer dan Megadeth.  Band yang digelar ‘Big Four of Thrash’ seperti ini yang mendapat kejayaan komersial merupakan kelompok Thrash Metal yang berasal daripada ‘mazhab’ Bay Area & East Coast Thrash Metal yang berasal dari Amerika Syarikat.

Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa ‘mazhab’ yang lain seperti Teutonic Thrash metal (Sodom, Destruction, Kreator, Holy Moses), Brazillian Thrash Metal (Sepultura) dan British Thrash Metal (Onslaught).  Namun, mazhab (Bay area & East Coast) yang berasal dari Amerika Syarikat lebih dikenali diseluruh dunia kesan daripada impak komersialisasi yang dijana oleh kapitalisme industri muzik.  Penulis seringkali tertanya-tanya, bagaimanakah genre Thrash Metal underground mampu mempertahankan kelansungan ‘karier’ mereka sehingga berpuluh tahun. Sebagai contoh, di Malaysia sahaja, Sil Khannaz yang hampir 25 tahun berada dalam scene ini.

Umum mengetahui bagaimana komuniti muzik yang dianggap ‘devians’ dan ‘blasphemy’ sebegini berhadapan dengan pelbagai tekanan bukan sahaja oleh masyarakat tetapi juga dengan pihak berkuasa.  Masihkah kita ingat bagaimana kerajaan suatu masa dahulu melancarkan operasi membanteras ‘kerosakan akidah’ oleh genre Black Metal?  Impak tekanan ini bukan sahaja terarah kepada genre Black Metal, bahkan turut kena kepada genre Metal yang lain.  Pihak ‘Polis moral’ sebegini seringkali mencari alasan dengan mendominasi ‘adab’ dan ‘tatasusila’ masyarakat.  Sebagai contoh, jika anda mendengar irama genre Pop, setinggi mana anda terkinja-kinja, anda tidak akan dikenakan apa-apa tekanan daripada pihak berkuasa.

Mengapakah hal ini terjadi? Pada pendapat penulis, definisi ‘moral’ yang menjadi garis panduan para ‘Polis moral’ diluar sana berdasarkan definisi kapitalisme.  Sebagai contoh, mana-mana genre muzik yang tunduk kepada ‘kehendak pasaran’ akan diterima umum.  Sebagai contoh, tarian ‘kuda mabuk’ oleh artis Korea Selatan, Psy bukan hanya mendapat perhatian peminat muzik (sebenarnya mangsa ‘trend’ muzik) di Negara kita, bahkan ‘keabadian’ genre K-Pop ini diiktiraf oleh pihak kerajaan dengan menjemput pelopor-pelopornya membuat persembahan dalam mana-mana program anjuran kerajaan.  Komuniti Metal tidak berkehendakkan hal seperti ini.  Cukup sekadar tidak diganggu-guggat aktiviti kesenian yang mereka lakukan serta tiada sekatan yang merepek-repek oleh pihak berkuasa.

Contoh zine indipendent underground

Contoh zine indipendent underground

Scene-komuniti muzik underground mampu bertahan kerana ‘circulation of cultural political economy’ yang berpaksikan idea Do It Yourself (DIY).  Sebagai contoh, mereka menghasilkan produk mereka sendiri secara ‘indpendent’ (tanpa bantuan subsidi pihak kerajaan atau persatuan pembodek seperti SENIMAN, KARYAWAN dan sebagainya).  Produk yang mereka hasilkan ini (sama ada album, konsert-gigs, badges, patches, T-Shirt dan sebagainya) ‘dinikmati’ oleh kelompok mereka sahaja.  Hasilnya, lahirlah kelompok yang secara ‘ekonomi-politiknya’ bersifat mandiri (self reliance).  Impaknya, mereka mampu menghasilkan karya mengikut cita rasa mereka sendiri tanpa perlu ditunjuk oleh syarikat rakaman kapitalis muzik (major label).

Hal ini, menyebabkan mereka mempunyai autonomi dalam kelompok mereka sendiri.  Bebas menghasilkan produk tanpa perlu tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mengikut kehendak pasaran (market demand).  Berdasarkan hal ini, penulis merasakan pihak berkuasa tidak perlu menekan komuniti muzik sebegini, kerana hasil ‘tekanan kuasa’ hanya akan menyebabkan ‘kelompok bayangan’ (imagine community) mereka selama ini menjadi lebih radikal berbanding apa yang seharusnya.

Autonomi yang mereka perolehi hasil ‘jaringan ekonomi-politik’ yang dipacu oleh semangat DIY serta ‘persaudaraan Metal’ sudah cukup bagi memastikan komuniti ini terus kekal wujud dan kekal bersifat mandiri.  Penulis tutup artikel ini dengan petikan buku ‘Lord of Chaos: The bloody Rise of Satanic Metal Underground, karya Michael Moynihan & Didrik Soderlind (2003)…

“Rumors of its demise are greatly exaggerated, however, as the metal underground boils and seethes worldwide”…

Kredit gambar:Terima kaseh kepada Majalah Karisma & sumber-sumber terbuka internet..

3 Responses

  1. Artikel panjang, pemerhatian teliti. Bahagian komen tu ada mencadangkan tempat lagi sesuai, dulu ada One Cafe tapi dah lama tutup. Tempat tu paling senang nak pergi sebab betul-betul dekat Lorong Haji Taib ja. Metalkamp dulu pun dekat sana. Chin Woo besar sangat kalau dikira crowd yang ada, lagipun ramai Metalhead nak balik kampung mengundi atau yang dah tengok Destruction minggu sebelumnya di Hammersonic, Indonesia. Ini hanya andaian marhaen macam gua ni. Kalau nak berbincang bab-bab gig/concert Metal dengan Organizer/Promoter/Ejen/Apa-apa Metal boleh join group FB Konsert Yang Gagal tanya ja orang sana mereka tak sombong punya.

  2. Betul le hari tu mengundi esok. Najib le bingai umum 5 mei bakpe? memang nok kasi jahanam metal scene le

  3. Thrash Metal boleh minat rock n’ roll dan punk tak?? Kalu boleh, lihat kisah salah satu pelopor rock n’roll dan punk perempuan disini (klik)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: