Pasca PRU13 Siri 2: Pilihanraya Tipu?

proses-dalam-bilik-mengundi

Saya adalah salah seorang daripada PACA (Polling Agent and Counting Agent) untuk Pakatan Rakyat di salah satu kawasan bandar di Wilayah Persekutuan. PRU13 ini adalah kali kedua saya menjadi PACA. Kali pertama ialah pada 2008 di PRU12. Di kedua-dua pilihanraya ini saya bertindak sebagai polling agent (agen pengundian) dan counting agent (agen pengiraan).

Setelah dua kali menjadi PACA dan mengikuti proses pengundian dan pengiraan undi dari mula sampai akhir, saya berpandangan agak sukar penipuan dibuat ketika proses pengundian di hari mengundi sebenar dijalankan. Oleh kerana itu saya tidak faham apabila terdapat ramai suara-suara yang mengatakan bahawa pilihanraya tipu, undi hantu, undi Bangla dan sebagainya.

Sebelum saya lanjutkan biar saya letakkan kaveat. Pengalaman saya ini hanyalah tertakluk kepada pengalaman peribadi saya di PRU12 dan PRU13 di tempat dan saluran mengundi yang saya ditugaskan menjadi PACA sahaja. Di tempat-tempat lain mungkin berbeza. Di saluran-saluran lain mungkin berbeza. Pengalaman PACA-PACA lain juga mungkin berbeza. Tapi ini pengalaman peribadi saya.

Dari pengalaman peribadi ini saya memutuskan bahawa di saluran yang saya jaga untuk kedua-dua PRU ini, hampir mustahil penipuan dapat dilakukan. Justeru itu, saya jadi kurang yakin dengan tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa adanya beribu undi hantu, beribu undi Bangla dan banyak penipuan-penipuan lain yang telah berlaku.

Biar saya kongsikan kenapa saya rasa penipuan hampir tidak mungkin dapat dilakukan ketika proses membuang dan mengira undi dijalankan dengan meneliti bagaimana proses pengundian dibuat di tempat mengundi.

Tulisan ini memang panjang tapi perlu saya huraikan satu persatu supaya orang ramai faham bagaimana proses pengundian di hari mengundi sebenar dilakukan supaya kita dapat menilai sama ada penipuan mungkin berlaku atau tidak.

  1. Di kawasan tempat saya ditugaskan menjadi PACA terdapat petugas-petugas parti yang akan mengawasi pengundi-pengundi yang masuk ke kawasan tempat mengundi (kawasan sekolah) untuk memastikan tiada warga asing yang dapat bolos. Oleh kerana itu tuduhan yang mengatakan bahawa terdapat ribuan warga asing khususnya daripada Bangladesh yang akan turun mengundi agak sukar untuk saya terima kerana petugas-petugas parti di tempat mengundi saya itu tidak berjumpa dengan seorang pun warga Bangladesh yang datang mengundi. Kenapa Bangla yang dikambing-hitamkan saya cukup tidak faham. Adakah kerana mereka berkulit lebih gelap daripada warga asing yang lain?
  2. Saya secara peribadi cukup tidak bersetuju dengan ceramah dan kempen yang dijalankan oleh parti-parti politik politik dan NGO yang secara halusnya menyebarkan rasa benci kepada warga asing. Kempen-kempen yang cuba menimbulkan syak-wasangka terhadap warga asing yang dituduh akan turun mengundi ini telah menimbulkan bukan sahaja paranoia yang berlebihan tetapi juga rasisme yang menjijikkan. Sudahlah mereka itu minoriti yang paling lemah dan sering dieksploitasi, dituduh pula sebagai cuba merampas hak mengundi kita dan disediakan pula pasukan untuk mengesan mereka seolah-olah mereka itu haiwan yang diburu!
  3. Apa pun, di kawasan tempat mengundi saya itu tidak terdapat sebarang insiden warga asing yang dikesan turun mengundi. Ini mungkin kerana adanya petugas-petugas parti yang mengawal pintu masuk ke kawasan tempat mengundi untuk memastikan pengundi yang disyaki warga asing tidak dapat masuk.
  4. Setiap daripada PACA dibekalkan dengan buku daftar pemilih mengikut saluran. Nama-nama yang sudah mengundi awal yang terdapat di dalam daftar pemilih sudah pun dipotong dengan garis oleh pasukan KETUA PACA. Jadi tidak mungkin orang ini akan mengundi sekali lagi kerana namanya sudah digariskan.
  5. Di dalam buku daftar pemilih itu akan tersenarai nama-nama pengundi berserta nombor undian, nombor kad pengenalan lama, nombor kad pengenalan baru, nama penuh, jantina dan alamat rumah.
  6. Buku daftar pemilih ini sudah diterima oleh KETUA PACA lebih awal daripada hari mengundi. Pasukan ketua PACA akan meneliti buku daftar pemilih ini terlebih dahulu untuk memastikan tiada sebarang keraguan di dalamnya seperti terdapat nama yang punya nombor kad pengenalan yang sama. Jika ada, aduan akan dibuat kepada SPR sebelum hari mengundi lagi untuk nama itu dipotong.
  7. Buku daftar pemilih yang saya terima untuk saluran yang saya jaga di kedua-dua PRU ini saya rasa bersih kerana tidak ada sebarang keraguan khususnya tentang kewujudan nombor kad pengenalan yang sama atau pertindihan nama atau kad pengenalan di dalam daftar pemilih untuk saluran saya.
  8. Namun begitu saya tidak menolak terdapat kemungkinan pengundi-pengundi baru dipindahkan dari kawasan lain ke kawasan saya itu dan nama mereka dimasukkan ke dalam daftar pemilih.  Ini mungkin sahaja berlaku. Ini juga mungkin dilakukan oleh kedua-dua belah pihak baik Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat. Tapi ini tidak melibatkan proses mengundi. Ini lebih merujuk kepada status daftar pemilih sama ada bersih atau meragukan. Daftar pemilih adalah hal yang seharusnya diselesaikan SEBELUM proses pengundian dijalankan. Pengalaman saya ini adalah KETIKA proses pengundian dijalankan.
  9. Dalam lebih kurang jam 7.00 pagi saya sudah masuk ke dalam bilik mengundi yang merupakan sebuah bilik darjah. Setelah memperkenalkan diri saya kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan menunjukkan surat perlantikan sebagai PACA saya mengambil tempat saya yang terletak berhadapan dengan peti undi.
  10. Sebelum pengundian bermula, saya akan memeriksa daftar pemilih yang dipunyai oleh KTM dan kerani SPR adalah daftar pemilih yang sama seperti saya.  Mana-mana nama di dalam daftar pemilih saya yang sudah dipotong kerana mengundi awal akan saya beritahu dan maklumkan kepada KTM dan kerani SPR terlebih dahulu supaya mereka bersedia jika saya membuat bantahan kalau orang itu datang mengundi sekali lagi.
  11. Kemudiannya saya memeriksa peti undi untuk memastikan ianya benar-benar kosong. Saya juga akan pergi ke petak membuang undi untuk memeriksa bahawa tiada kertas undi yang tersembunyi diletakkan di situ. Saya juga akan memeriksa kertas-kertas undi yang dibekalkan untuk memastikan semua kertas undi yang akan digunakan nanti bersih, tidak ada tanda, tidak rosak, tidak koyak, bertindik dan mengikut turutan nombor siri yang betul.
  12. Nombor siri di kertas undi ini sebenarnya penting untuk memastikan jumlah kertas undi yang diberikan kepada pengundi sama dengan jumlah undi yang dimasukkan ke dalam peti undi.
  13. Jika ada kertas undi yang rosak, nombor sirinya akan diambil, dicop dan tidak dimasukkan ke dalam peti undi. Jika sekiranya pengundi mendapati kertas undinya bertanda atau terkoyak, pengundi boleh meminta kertas undi baru. Kertas undi yang rosak ini akan dipegang oleh KTM dan direkodkan oleh PACA dan KTM di dalam Borang 13.
  14. Ramai orang merasa ragu-ragu dengan adanya nombor siri di kertas undi tetapi sebenarnya dengan adanya nombor siri pada kertas undi, kita boleh memastikan tiada kertas undi tambahan dibawa masuk kerana pada akhirnya jumlah kertas undi yang digunakan (disemak melalui nombor siri yg paling akhir) mesti sama dengan jumlah kertas undi yang ada di dalam peti undi.
  15. Kemudian setelah saya berpuas hati dengan keadaan di bilik mengundi dan kertas mengundi yang dibekalkan, saya akan mula mengisi borang 13. Borang 13 ini adalah untuk merekodkan jumlah kertas undi yang dikeluarkan, jumlah kertas undi yang digunakan, jumlah kertas undi rosak dan jumlah kertas undi yang tidak digunakan.
  16. Buat permulaan, hanya sebahagian sahaja daripada Borang 13 itu yang saya isi iaitu butiran tentang jumlah kertas undi yang dikeluarkan. Satu buku ada 50 helai kertas undi. Memandangkan di dalam daftar pemilih saluran saya ada lebih kurang 600 pengundi, maka terdapat 13 buku kertas undi yang dibekalkan atau 650 helai kertas undi.
  17. Setiap nombor siri yang pertama dan yang terakhir dari setiap buku akan direkodkan di dalam Borang 13 ini. Butir-butir lain seperti jumlah kertas undi yang digunakan, jumlah kertas undi rosak dan jumlah kertas undi yang tidak digunakan akan direkodkan setelah pengundian tamat pada jam 5.00 petang.
  18. Setelah selesai mengisi borang tersebut dan berpuas-hati dengan keadaan bilik mengundi saya duduk dan menunggu jam 8.00 pagi untuk pengundian dibuka.
  19. Semasa menunggu untuk pengundian dibuka saya berbual dengan PACA Barisan Nasional, kerani-kerani SPR dan KTM untuk membina hubungan yang baik dengan mereka supaya suasana di dalam pertandingan yang sengit itu tidak menjadi tegang.
  20. Dari pengalaman saya dapati kalau kita mesra, santun dan baik budi-bahasanya dengan kerani-kerani SPR, KTM dan PACA Barisan Nasional, proses bantahan atau pengiraan undi nanti akan lebih mudah dan akan banyak menyebelahi pihak kita. Kalau kita tidak berkira mereka pun tak berkira juga. Namun di dalam kesantunan kita juga perlu tegas khususnya ketika terdapat keraguan terhadap pengundi dan juga ketika proses pengiraan undi dijalankan. Tegas tapi santun.
  21. Dari perbualan juga saya dapat tahu bahawa PACA Barisan Nasional di kawasan saya itu dibayar RM100 seorang untuk menjadi PACA sedangkan saya berkhidmat secara sukarela. Ketua KTM saya adalah pegawai di Jabatan Perkhidmatan Awam dan seorang daripada kerani SPR di saluran saya itu adalah guru sekolah rendah. Manakala dua lagi kerani SPR adalah kakitangan awam.
  22. Apabila proses pengundian dibuka pada jam 8.00 pagi oleh KTM, saya sudah bersedia dengan kertas penanda jumlah pengundi, daftar pemilih, pembaris dan juga pensel.
  23. Tugas saya adalah untuk memastikan tiada sebarang keraguan, kecurigaan dan penipuan yang berlangsung ketika proses pengundian ini dilakukan.
  24. Kerani SPR akan membacakan muka surat daftar pemilih, nombor pengundi, kad pengenalan pengundi dan nama pengundi dan tugas saya adalah menggariskan nama pengundi sebagai tanda yang namanya sudah terpotong dari daftar pengundi.
  25. Pada setiap nama yang sudah saya potong akan saya tandakan ( / ) di kertas penanda jumlah pengundi untuk saya pastikan jumlah yang saya potong sama dengan jumlah yang ditanda.
  26. Dengan cara ini saya akan dapat pastikan tiada pengundi yang akan mengundi dua kali dan jumlah pengundi yang membuang undi sama dengan jumlah kertas undi yang ada di dalam peti undi. Dan jumlah kertas undi yang ada di dalam peti undi sama dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan (setelah disemak nombor siri akhirnya).
  27. Pada masa yang sama setelah memotong nama pengundi yang disebut oleh kerani SPR saya akan memerhatikan bahawa tiada sebarang tanda-tanda keraguan yang wujud pada diri pengundi. Kalau saya kurang yakin saya boleh mengangkat tangan dan menyuarakan kata-kata seperti, “Maaf tuan, saya mohon membuat bantahan. Boleh saya lihat kad pengenalan pengundi?”
  28. Pada PRU13 yang lepas terdapat dua kejadian yang saya bantah. Kedua-duanya melibatkan pengundi Mak Nyah yang nama dan jantinanya pada daftar pemilih adalah lelaki tetapi orang yang datang mengundi berupa perempuan. Memandangkan terdapat keraguan saya pun mengemukakan bantahan kepada KTM. Setelah saya memeriksa kad pengenalan mereka dan pasti bahawa orang yang tertera di kad pengenalan adalah orang yang mengundi, barulah saya menarik balik bantahan saya.
  29. Selain daripada memerhati tanda-tanda keraguan yang mungkin terdapat pada pengundi, saya juga akan memerhati sama ada jari mereka sudah ditanda dakwat atau belum dan juga memastikan hanya satu kertas undi yang diberikan oleh kerani SPR kepada pengundi.
  30. Setelah itu pengundi akan bergerak ke petak mengundi dan memangkah undi. Di sini tentulah saya tidak dapat melihatnya kerana petak mengundi itu dihadang untuk memastikan kerahsiaan di dalam mengundi. Akan tetapi saya akan memeriksa kembali pengundi bila mereka memasukkan kertas undi mereka ke dalam peti undi. Saya akan perhatikan hanya satu kertas undi yang dimasukkan. Memandangkan peti undi adalah telus, jadi agak senang untuk kita nampak kertas undi yang jatuh ke dalam peti undi itu.
  31. Begitulah proses seterusnya sehinggalah tamat mengundi pada jam 5.00 petang.
  32. Setelah tamat proses mengundi pada jam 5.00 petang, KTM akan mengumumkan bahawa proses mengundi sudah tamat dan KTM akan menutup bilik mengundi supaya tidak ada orang lain yang boleh masuk. Kemudian peti undi akan dikunci oleh KTM.
  33. Saya kemudiannya memeriksa peti undi yang sudah dikunci itu untuk memastikan ianya benar-benar selamat dan kejap.
  34. Pada waktu itu, yang ada di dalam bilik mengundi yang berkunci itu hanya 6 orang sahaja iaitu KTM, dua PACA dan tiga kerani SPR.
  35. Setelah saya pasti yang peti undi itu sudah dikunci dengan kejap dan selamat, saya pun mengisi kembali butiran-butiran yang selanjutnya di dalam borang 13. Setelah menyemak buku-buku kertas undi, saya pun merekodkan jumlah kertas undi yang digunakan, jumlah kertas undi rosak, jumlah kertas undi yang tidak digunakan dan jumlah kertas undi yang sepatutnya berada di dalam peti undi.
  36. Setelah Borang 13 diisi saya akan meminta KTM dan PACA parti lawan untuk menandatangani Borang 13 saya itu. KTM dan PACA pihak lawan juga akan mengisi borang 13 masing-masing. Saya juga akan menandatangani borang 13 KTM dan PACA pihak lawan.
  37. Jadi ada tiga borang 13 dengan butir-butir yang sama yang ditandatangani oleh ketiga-tiga kami.
  38. Setelah masing-masing berpuas hati dengan butiran yang terdapat di dalam borang 13 dan jumlah kertas undi yang sepatutnya berada di dalam peti undi itu, KTM meminta izin untuk memotong “kunci” peti undi dan memulakan kiraan.
  39. Peti undi akan dibuka kuncinya dan kertas-kertas undi akan dituang ke dalam bakul yang bertanda “undi belum dikira”. Terdapat lima bakul yang diletakkan di atas meja iaitu bakul undi belum dikira, bakul parti Pakatan Rakyat, bakul parti Barisan Nasional, bakul undi ragu, bakul undi ditolak.
  40. Ketika proses ini dilakukan saya dan PACA pihak lawan berada lebih kurang sedepa sahaja daripada bakul-bakul ini. Suatu jarak yang sangat dekat yang tidak memungkinkan sebarang kertas undi tambahan dimasukkan.
  41. Malahan kertas undi tambahan takkan mungkin boleh berlaku kerana jumlah kertas undi yang dituang ke dalam bakul undi belum dikira itu mestilah selari dengan jumlah undi yang sepatutnya berada di dalam peti undi seperti mana yang telah tercatat di dalam borang 13.
  42. Setelah kertas undi dituang ke dalam bakul undi belum dikira, kerani-kerani SPR akan mengira undi-undi tersebut di hadapan PACA. Jumlah yang dikira mestilah sama dengan jumlah “yang sepatutnya berada di dalam peti undi” seperti yang yang tertulis di dalam Borang 13.
  43. Kalau pada kiraan pertama tidak sama, PACA boleh meminta dikira sekali lagi. Dari pengalaman saya di PRU12 dan PRU13 yang lalu, jumlah yang terdapat di dalam peti undi pasti akan sama dengan jumlah “yang sepatutnya berada di dalam peti undi” seperti yang yang tertulis di dalam Borang 13.
  44. Setelah saya berpuas hati dengan jumlah kertas undi yang dikira itu sama dengan jumlah yang tertulis di dalam Borang 13, maka proses menentukan kertas undi mana yang akan masuk ke dalam bakul Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional dimulakan.
  45. Kerani akan mengutip kertas undi daripada bakul undi belum dikira satu persatu dan membaca parti mana yang dipangkah dan juga menunjukkan kepada PACA kertas undi tersebut. Kertas undi yang bertanda pangkah untuk Pakatan Rakyat akan dimasukkan ke dalam bakul Pakatan Rakyat manakala yang berpangkah untuk Barisan Nasional akan dimasukkan ke dalam bakul Barisan Nasional. Begitulah seterusnya hingga habis undi dikira.
  46. Pada waktu kiraan dibuat, jarak antara PACA dan kerani SPR hanyalah dalam lebih kurang sedepa sahaja. Jadi kita dapat melihat dengan jelas tanda pangkah tersebut sama ada memihak kepada parti kita atau parti lawan.
  47. Jika ada mana-mana kertas undi yang diragui, PACA boleh membuat bantahan dan meminta untuk dimasukkan kertas undi tersebut ke dalam bakul undi ragu.
  48. Kertas-kertas undi yang dimasukkan ke dalam bakul undi ragu ini kemudiannya akan dibahaskan satu persatu. Setiap PACA akan dibekalkan oleh Ketua PACA dengan buku panduan tentang undi ragu. Buku ini boleh kita rujuk semasa kita membahaskan hujah kita.
  49. Seboleh-bolehnya sebagai PACA kepada parti yang kita wakili, kita mesti memastikan undi ragu ini masuk ke dalam bakul parti kita dan tidak masuk ke bakul parti lawan. Kalau undi ragu itu seperti menyebelahi parti lawan, kita mesti berhujah untuk mohon undi itu ditolak. Lebih baik undi itu ditolak daripada masuk ke dalam bakul parti lawan.
  50. Jadi kalau kita punya PACA yang baik, mahir dan terlatih kita bukan sahaja akan dapat memastikan tiada penipuan yang berlaku tetapi juga kita akan dapat memastikan yang undi ragu menyebelahi calon parti kita bukan calon parti lawan.
  51. Setelah KTM mendengar hujah-hujah daripada kedua-dua PACA tentang kertas-kertas undi ragu ini, KTM akan memutuskan sama ada ianya akan diterima atau ditolak. Kertas undi yang diterima akan dimasukkan sama ada ke dalam bakul Pakatan Rakyat atau bakul Barisan Nasional bergantung kepada keputusan KTM. Manakala undi ragu yang ditolak akan dimasukkan ke dalam bakul undi ditolak.
  52. Setelah selesai undi ragu diputuskan, kiraan kertas undi untuk menentukan pemenang akan dilakukan. Setiap kertas undi yang ada di dalam bakul Pakatan Rakyat akan dikira satu persatu sambil diperhatikan oleh PACA. Setelah selesai kiraan kertas undi di dalam bakul Pakatan Rakyat, kiraan di dalam bakul Barisan Nasional pula akan dilakukan.
  53. Setelah kiraan selesai, jika perbezaan undi kurang daripada 4%, PACA berhak untuk meminta KTM membuat kiraan semula.
  54. Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan kiraan yang dibuat, KTM akan mengumumkan jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding dan jumlah-julah tersebut akan direkodkan di dalam BORANG 14.
  55. BORANG 14 ini merupakan borang TERPENTING. Di dalam borang inilah akan tertulis keputusan rasmi di setiap saluran. Di dalam borang ini akan direkodkan butir-butir seperti jumlah kertas undi yang dikeluarkan, jumlah kertas undi yang rosak, jumlah kertas undi yang sepatutnya berada di dalam peti undi, jumlah kertas undi yang diterima oleh setiap calon yang bertanding dan jumlah undi yang ditolak.
  56. Saya perlu mengisi borang 14 ini dengan lengkap dan kemudiannya meminta KTM untuk menandatangani borang 14 tersebut dan juga mengecopnya dengan cop SPR. Borang 14 ini juga akan ditandatangani oleh PACA parti lawan.
  57. KTM juga akan mengisi borang 14 beliau sendiri dan akan meminta PACA untuk menandatanganinya. Sebelum menandatanganinya saya perlu memastikan yang jumlah-jumlah yang tertera di atas borang 14 KTM adalah sama dengan borang 14 kepunyaan saya dan juga borang 14 kepunyaan PACA parti lawan. Jadi akan ada tiga borang 14 yang semua butir-butirnya adalah sama.
  58. Borang 14 WAJIB ditandatangani oleh KTM dan PACA perlu meminta KTM untuk mengecopnya dengan cop SPR. Cop SPR ini adalah cop yang tertera di atas kertas undi.
  59. Pengalaman saya pada PRU12 ialah KTM enggan menandatangani borang 14 saya. Namun setelah berhujah dengan santun tetapi tegas akhirnya KTM menurunkan juga tandatangan beliau di borang 14 itu.
  60. Untuk PRU13 ini saya tidak ada masalah untuk mendapatkan tandatangan dari KTM dan cop SPR daripada beliau.
  61. Borang 14 inilah yang akan menjadi BUKTI TERPENTING jika sekiranya berlaku sebarang keraguan tentang jumlah undi keseluruhan yang diterima di sesuatu kawasan DUN atau Parlimen. Kalau borang 14 ini tidak ditandatangani atau tidak dibawa keluar atau hilang, maka kita akan kehilangan bukti terpenting tentang jumlah undi yang calon kita terima di sesuatu saluran itu.
  62. Setelah saya selesai melengkapkan borang 14 dan memastikan ianya ditandatangani oleh KTM dan dicop dengan cop rasmi SPR, saya akan menunggu dan memastikan semua kertas-kertas undi yang telah dikira itu dimasukkan ke dalam sampul-sampulnya dan dilekapkan dengan pelekat SPR sebelum dimasukkan kembali ke dalam peti undi. Setiap pelekat SPR yang dilekapkan pada sampul-sampul ini akan ditandatangani oleh saya, PACA BN dan KTM.
  63. Peti undi yang berisi kertas-kertas undi yang sudah dimasukkan ke dalam sampul-sampulnya itu kemudiannya akan dikunci oleh KTM. Saya kemudiannya akan memeriksa peti undi tersebut untuk memastikan ianya dikunci dengan kejap dan selamat.
  64. Saya juga perlu memastikan borang 13 dan yang paling penting borang 14 kepunyaan KTM dimasukkan ke dalam sampulnya dan dilekapkan dengan pelekat SPR yang ditandatangani oleh saya, PACA BN dan KTM dan kemudiannya dibawa bersama-sama peti undi ke kereta SPR untuk di bawa ke pusat penjumlahan.
  65. Setelah saya pasti yang peti undi dan juga sampul yang berisi borang 14 KTM sudah dimasukkan ke dalam kereta, maka tugas saya sebagai PACA berakhir tetapi belum selesai.
  66. Tugas saya sebagai PACA hanya selesai setelah saya menyerahkan borang 14 saya kepada ketua PACA di tempat mengundi saya itu. Borang 14 ini kemudiannya akan dikumpulkan mengikut saluran oleh ketua PACA tempat mengundi sebelum diserahkan kepada Ketua PACA yang menjaga keseluruhan kawasan parlimen tersebut.

Daripada proses yang saya lalui ini sebenarnya saya tidak nampak bagaimana penipuan boleh berlaku jika sekiranya kita punya PACA yang baik, mahir dan terlatih. Pada pandangan saya penipuan KETIKA proses pengundian berlangsung di hari mengundi sebenar agak sukar untuk dilakukan kerana sistemnya sangat ketat dan pengiraan undi di setiap saluran pula dilakukan dengan sangat telus.

Pada hari mengundi di PRU13 yang lepas saya banyak menerima mesej-mesej yang cukup meresahkan saya. Antara mesej-mesej yang saya terima itu adalah tentang berbas-bas undi hantu sedang diangkut untuk di hantar ke tempat-tempat mengundi, beribu Bangla akan turun mengundi di merata tempat, black-out di beberapa tempat ketika kiraan undi dibuat, peti-peti undi hilang, PACA ditahan oleh KTM, PACA dikepung oleh gangster, peti undi dirampas dan pelbagai mesej-mesej yang memerihalkan betapa gila dan teruknya penipuan-penipuan yang sedang berlangsung di hari mengundi itu.

Tapi sampai sekarang saya tidak pasti sama ada kesemua berita-berita itu memang benar-benar berlaku atau paranoia melampau mob mentality atau pun ianya adalah suatu bentuk psywar dari pihak-pihak yang cuba membangkitkan kemarahan rakyat untuk menyah-absahkan atau delegitimise PRU13 kali ini.

Lagi banyak mesej tentang penipuan disebarkan lagi bertambah kemarahan rakyat, lagi mudah pula untuk mengajak rakyat turun berdemonstrasi kerana dari mesej-mesej provokatif ini akan terbentuk persepsi bahawa PRU13 adalah tidak sah. Di dalam gejolak rasa marah yang emotif itu persoalan sama ada mesej-mesej itu benar atau pun palsu tidak lagi diperkirakan. Di dalam perang politik, semuanya adalah halal termasuklah menipu. Baik menipu di pilihanraya mahu pun menipu tentang penipuan pilihanraya!

Apa pun ini bukanlah bermakna tiada penipuan di dalam PRU di Malaysia ini. Kemungkinan besar penipuan yang berlaku itu telah dibuat SEBELUM hari mengundi sebenar dan SELEPAS proses kiraan undi di setiap saluran dilakukan.

Penipuan SEBELUM hari mengundi ini mungkin di dalam bentuk daftar pemilih yang diragui kebenarannya, undi awal dan undi pos. Manakala penipuan SELEPAS proses kiraan undi di setiap saluran ialah apabila masuknya peti-peti undi yang belum dikira dari mereka yang mengundi awal dan yang mengundi secara pos ke tempat penjumlahan undi.

Sebenarnya pada pandangan saya peti-peti undi daripada saluran-saluran mengundi pada hari mengundi sebenar tidaklah begitu penting sangat kerana kiraan sudah pun dibuat dan setiap PACA mempunyai borang 14 yang telah mengesahkan jumlah undi yang diterima oleh setiap calon.

Borang 14 ini telah disahkan oleh KTM sendiri selaku wakil SPR. Jadi tidak akan mungkin berlaku sebarang penambahan undi pada peti-peti tersebut. Kalau peti-peti undi ini hilang sekali pun, kita masih ada borang 14 sebagai bukti yang sah.

Yang menjadi masalah ialah peti-peti undi yang di dalamnya terdapat undi-undi awal dan undi-undi pos. Proses pengundian awal dan pos memang dipantau oleh polling agent. Tetapi ianya hanya setakat dipantau sahaja proses pengundiannya tetapi tidak dikira di situ juga seperti mana kiraan di hari mengundi sebenar. Kertas-kertas undi awal dan pos ini kemudiannya disimpan dan dibawa keluar untuk dikira hanya pada hari mengundi sebenar.

Peti-peti undi inilah yang saya rasa menjadi kemusykilan kerana kita tidak tahu bagaimana proses penyimpanannya, siapa yang menjaganya dan bagaimana ia di bawa ke tempat penjumlahan undi untuk dikira. Undi-undi awal dan undi-undi pos ini hanya dibuka dan dikira di pusat penjumlahan undi. Jumlah undi yang diterima itu kemudiannya dicampur dengan undi-undi yang diperolehi daripada borang-borang 14 itu.

Untuk saya salah satu cara untuk menyelesaikan keraguan terhadap undi awal ini ialah dengan memastikan kiraan undi dibuat pada masa itu dan di situ juga. Manakala untuk undi pos pula saya berpandangan tidak ada keperluan untuk mengekalkannya. Undi pos ini sepatutnya dihapuskan sahaja dan dijadikan undi awal yang proses pengundian dan penngiraannya dibuat di masa itu dan di situ juga tanpa perlu menundanya ke hari mengundi sebenar.

Walau apa pun, antara perkara yang terpenting yang wajib diselesaikan sebelum PRU14 tiba adalah pembersihan daftar pemilih. Kalau daftar pemilihnya kotor maka pilihanrayanya juga adalah kotor. Kalau kita masih percaya pada sistem pilihanraya maka pembersihan daftar pemilih adalah antara agenda yang paling utama selain daripada akses media yang bebas, adil dan saksama dan persempadanan semula kawasan dengan ratio penduduk yang lebih munasabah.

Kalau kita sudah tidak percaya lagi pada pilihanraya yang berlangsung di Malaysia ini memandangkan ianya dikatakan penuh dengan ribuan undi hantu, ribuan undi Bangla, ratusan peti-peti undi hilang, ratusan peti-peti undi baru dibawa masuk, black-out di merata-rata tempat, KTM-KTM yang menindas PACA, ramai pengundi yang mengundi dua kali dan bermacam-macam penipuan lain lagi, maka kita masih ada pilihan lain untuk menumbangkan kerajaan yang kita tuduh sebagai sangat jahat, kejam dan zalim ini – turun jalanraya dan bikin perubahan cara Mesir, cara Tunisia!

Ada berani? Ada sanggup?

14 Responses

  1. Kalau dah sekali menipu tentu kemudian susah orang nak percaya… klik link dibawah ini utk mengetahui apa yg pernah berlaku dlm pilihanraya dahulu, iaitu sebelum PR13…

    http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4964-bekas-tentera-mengaku-tolong-pangkah-undi

  2. entah la..aku pun PACA utk PKR masa PRU13 aritu..aku pun xnmpak dr mana dtg penyelewengan masa hari mengundi..sblom hari mengundi mmg wujud..klu Borang 14 da sign,nak tmbah undi camana lagi??

  3. Sy pun tak tahu, maksud sy tuh ialah sekali menipu tentu kemudian susah orang nak percaya…. PRU13 mungkin telus kerana ramai orang telah sedar & berjaga-jaga, tetapi bagaimana pula dgn PRU lepas2 dulu-dulu?? Itulah sekali menipu susah orang nak percaya….

  4. Artikel-artikel macam inilah yang kita nak dipaparkan dalam Diskopi. Objektif dan tak terjebak dengan politik partisan. Kalau hitam dikatakan hitam dan kalau putih dikatakan putih. Inilah baru namanya bersikap kritikal. Bukannya asyik anti establishment tanpa ada bukti dan ikut emosi. Budak-budak Diskopi bagus kerana ada kapasiti intelektual. Cuma jangan terlalu ‘take sided’ dan self-serving’ serta terbukalah kepada kepelbagaian pandangan. Saya harap artikel sebegini akan jadi permulaan kepada wacana yang lebih seimbang dan akademik. Saya tak pernah mengulas di sini walaupun menjadi pengunjung setia blog ini. Ini kali pertama saya meletakkan komen kerana berasa kagum dengan kejujuran dan keazaman penulis mencatatkan secara terperinci pengalamannya. Bukankah budak-budak Diskopi sendiri merupakan antara mereka yang kerap menyanjung ungkapan Gramsci bahawa “telling the truth is always revolutionery”? Syabas!

  5. pengundi hantu adalah pengundi yang sah. mereka mempunyai kad pengenalan yang sah dan berdaftar sebagai pemilih. aku tak nampak pengundi hantu ini tak boleh wujud dengan prosedur yang SPR jalankan yang seperti kau terangkan itu. dan pengundi hantu ini bukan berlaku di semua kawasan. hanya dikawasan-kawasan tertentu yang dirasakan sesuai dan strategik untuk kemenangan BN. dan juga banyak kes PACABA parti telah ‘dibeli’ untuk menutup penipuan ini.

    • dd u can ask anwar how many PACABA he had bought. this is normal practice for american puppet leader.

      • if anwar is american puppet leader then what should we call to mahathir who have signed BITAC with Ronald Reagen administration? then what should we call to Rosmah husband who allowed US navy training in Malaysia with TLDM?

  6. Selagi media masa tidak memberikan liputan yang adil kepada PR dan berlakunya penyalahgunaan jentera kerajaan, selagi itulah mereka percaya pilihanraya kita tidak adil. Bila kita lihat pertandingan itu secara terangan berat sebelah pada 1 pihak, bagaimana kita nak percaya akan keputusan perlawanan.

  7. ‘Namun begitu saya tidak menolak terdapat kemungkinan pengundi-pengundi baru dipindahkan dari kawasan lain ke kawasan saya itu dan nama mereka dimasukkan ke dalam daftar pemilih. Ini mungkin sahaja berlaku. Ini juga mungkin dilakukan oleh kedua-dua belah pihak baik Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat. ‘

    Inikah yang dikatakan pengundi hantu dah adakah kaedah memindahkan pengundi ini dibenarkan oleh undang-undang? Apa pun,artikel ini sangat berinfomasi supaya kita lebih memahami proses pengundian dan pengiraan.Saya juga setuju supaya penambahbaikan di lakukan untuk undi pos dan undi awal supaya rakyat lebih yakin dengan SPR dan dapat menangkis tohmahan oleh mereka yang tidak bertaggung jawab.

  8. Terdapat insiden menghalang kertas undi dari memasuki pusat perjumlahan di banyak tempat khasnya Lembah Pantai.

    Sekiranya Borang 14 adalah borang yang terpenting, kotak undi tidak menjadi penting semasa pengiraan undi. Ini kerana telah disemak oleh ketiga tiga pihak, KTM, PACA BN dan PACA Pakatan.

    Mengapa terdapat prosedur yang membenarkan pengagihan kertas undi dari saluran ke pusat perjumlahan?

    Jika kotak undi itu tidak dibenarkan dibawa keluar dari saluran dan hanya Borang 14 digunakan, bukankah ini sudah memadai.

    Apakah kekurangnyan jika kotak undi itu “dikunci” di bilik saluran sehingga pengiraan tamat dan selesainya perjumlahan kiraan melalui Borang 14? Ini dapat mengurangkan “kotak” undi yang boleh disalah gunakan.

    2. Undi Terdahulu selalu dipertikaikan oleh pelbagai pihak.
    Mengapa tidak dikira serta merta selepas pengundian?
    Apakah kekurangannya jika dikira serta merta?
    Mengapa mesti disimpan dan dikira bersama pada hari pengundian?
    Bolehkan undi Terdahulu ini diketahui secara rasmi sebelum hari pilihanraya? Apakah kekurangannya jika keputusan rasmi undi terdahulu diketahui ramai.

    3. Undi POS
    Apakah proses undi pos? Bagaimana undi POS dikira? Apakah prosedurnya. Adakah prosedur ini telus dan tidak mudah disalahgunakan? Bolehkan undi pos ini diketahui secara rasmi sebelum hari pilihanraya?
    Jika pengiraan dikira serta merta, tiada ada salahguna “tambahan” peti undi dari pos pada hari mengundi.

  9. Lima rangkap terakhir adalah jawapan kepada tajuk rencana penulis ini sendiri. Jelasnya, rangkap ke-9 terakhir adalah persoalan.

    Sebelum dan selepas proses itu sendiri menjadi fobia atau dasar kepada tuduhan penipuan.

  10. apa yg saya lihat sebagai counting agent adalah…. kertas2 undi akan di kumpulkan dalam 50helai untuk satu kumpulan untuk memudahkan kiraan…..

    dan… mata saya hanya ada satu pasang… dan.. tangan kerani ada ada 3 pasang…

    adakah itu kesilapan saya membiarkan kertas2 undi itu di pegang oleh kerani-kerani…. ….ataupun..sepatutnya.. membiarkan KTM sahaja yg melakukan semua tugas mengumpulkan kertas2 undi

    42. Setelah kertas undi dituang ke dalam bakul undi belum dikira, kerani-kerani SPR akan mengira undi-undi tersebut di hadapan PACA. Jumlah yang dikira mestilah sama dengan jumlah “yang sepatutnya berada di dalam peti undi” seperti yang yang tertulis di dalam Borang 13.

    *tambahan kertas undi mustahil berlaku kerana sudah tertulis dalam borang 13… tapi… bagaimana dengan pertukaran?…. 50keping kertas undi yang bercampur antara parti A dan parti B.. di tukar dengan 50 keping kertas undi hanya untuk parti B….

    • bro…memang la tugas kerani spr tu utk bantu kira. kerani spr ni bkn berkerja ngan spr. mereka ni sukarelawan. byk drp dia org ni cikgu skolah. penyokong pakatan pon ada bro. kalau bro tak percaya pada kerani spr, bro boleh mohon jadi sukarelawan spr next election. hahaha

      bro, macam mana pertukaran boleh berlaku kalau PACA duduk hanya sedepa daripada bakul-bakul undi tu? kecuali la PACA tu buta atau PACA sudah kena beli. kalau PACA sudah kena beli itu bukan salah SPR. itu salah parti politik tu sendiri yang gagal utk melatih dan memilih PACA yg benar-benar beriman! hahaha

      lagi pon 50 keping kertas undi tu tebal bro, macam mana nak diletak dlm bakul kiraan kalau PACA dah duduk betol2 depan bakul tu? dan macam mana pulak nak buang 50 lagi kertas undi yang sudah sedia ada dalam bakul tu utk diganti dgn 50 keping yg baru tu? mustahil nak buat semua tu dlm keadaan PACA hanya sedepa sahaja di depan meja kiraan undi.

      BN memang membodohkan rakyat bro tapi BN tak lah sebodoh tu nak tipu secara terang-terangan macam tu.

  11. undi awal dan undi pos adalah untuk penipuan semata matanya….selepas jam 10 mlm pun peti undi awal masuk ke balai pengiraan…. mcm mana tu…? siapa tau apa terjadi dlm peti tu.. lagi2 pada masa masa terahir.. dan bila sudah terang2 tau BN dah nk kalah.. byk2 peti undi awal masuk… tu mc mana…??

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: