Harta Negara bukan Harta Bapak Kita

Bagi sebuah negara membangun yang mencapai kemerdekaan kira-kira 55 tahun dahulu, kejayaan Malaysia menjalankan pilihan raya tanpa gagal setiap 4 atau 5 tahun sekali boleh dibanggakan. Jiran kita Thailand, yang tidak pernah dijajah, mengalami beberapa siri kudeta (rampasan kuasa oleh pihak tentera). Malah, Korea Selatan juga pernah mengalami tempoh sukar mereka. Meskipun ketika Pilihan Raya Umum ke-3 berlaku sedikit ketegangan sehingga Parlimen terpaksa digantung dan kuasa diserahkan kepada Majlis Gerakan Negara (Mageran), namun setelah situasi kian pulih pada tahun 1971, kuasa diserahkan semula kepada Parlimen – ini antara kejayaan besar negara, memulangkan kembali kuasa kepada rakyat.

PRU13

Di sebalik kejayaan ini, perjalanan pilihan raya di Malaysia menerima sejumlah kritikan yang besar. Demokrasi adalah hak rakyat untuk menaik dan menurunkan sesebuah kerajaan dan jelas di Malaysia – diperingkat kerajaan pusat, kita hanya berjaya menaikkan kerajaan yang sama, namun belum lagi berjaya menggantikannya, apatah lagi menggilirkannya. Bagi sebuah parti yang memerintah selama lebih 50 tahun, UMNO-Barisan Nasional sebenarnya layak memegang rekod dunia – antara parti paling lama memerintah melalui jalan ‘demokrasi’ di dunia. Sebagai rekod, Parti Indian National Congress di India yang memerintah semenjak India merdeka pada tahun 1947, hanya berjaya bertahan selama 48 tahun manakala Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun, yang memerintah (hampir secara berterusan) semenjak 1955 telah diturunkan oleh rakyatnya pada tahun 2009. Dunia telah menyaksikan perubahan, tetapi tidak di Malaysia. Kerajaan yang lebih lama memerintah daripada UMNO adalah kerajaan komunis di Korea Utara dan China.


Parti yang terlalu lama memerintah bukanlah pertanda demokrasi yang sihat. Buat sekian lama, analisa klasik kejayaan UMNO-Barisan Nasional ini dirumuskan melalui penguasaan mereka terhadap tiga elemen utama; money, media and machinery (wang, media massa, dan jentera kerajaan). Resepi kejayaan yang bukan rahsia. Ramai pemerhati politik menyifatkan manipulasi UMNO-Barisan Nasional ini sebagai bentuk salahguna kuasa, malangnya, oleh kerana telah lebih 50 tahun kecurangan ini berjalan, rakyat seakan tidak mempedulikannya.

Sudahkah kita lupa bagaimana media melaporkan pada 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, terselamat daripada nahas apabila helikopter Nuri milik TUDM yang dinaikinya terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran disebabkan cuaca buruk? Namun, yang tidak diberikan perhatian adalah Muhyiddin menaiki helikopter Nuri milik TUDM tersebut untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu setelah selesai merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kudat. Pada petang hari yang sama, Muhyiddin dijadual akan merasmikan pula Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Penampang. Meskipun berita ini dilaporkan oleh media, tidak ramai yang melihat ini sebagai suatu kesalahan menggunakan harta kerajaan untuk tujuan parti. Beliau ke Sabah atas kapasiti Timbalan Presiden Umno, bukan Timbalan Perdana Menteri, dan bukan atas tugas rasmi kerajaan.

Baiklah, mungkin kisah 2009 terlalu jauh untuk dikenang kembali, sempena kempen PRU13 ini, mari kita fokuskan perbincangan ini kepada peranan kerajaan sementara (interim government atau caretaker government). Istilah ini merujuk kepada kerajaan sementara yang berperanan menjalankan tanggungjawab dan urusan harian pemerintahan setelah parlimen dibubarkan, sementara kerajaan baru ditubuhkan. Oleh kerana mandat kerajaan lama telah habis, kerajaan sedia ada hanya bertindak sebagai caretaker dan tidak boleh menggubal, mengumumkan apa-apa dasar, projek serta menjalinkan apa-apa perjanjian dengan mana-mana pihak. Alasannya mudah, tempoh mereka berkuasa telah habis dan kini mereka hanya rakyat biasa sebagaimana kita.

Namun begitu, hal ini seakan tidak pernah cuba difahami oleh parti pemerintah, khasnya yang telah berkuasa lebih 50 tahun sehingga garis pemisah antara parti dan kerajaan hampir tiada. Sebagai contoh, UMNO-Barisan Nasional tanpa rasa bersalah menggunakan saluran televisyen kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan secara langsung manifesto mereka! Seolah-oleh mereka masih lagi kerajaan. Malah, jika alasannya untuk menyampaikan maklumat kepada umum, mengapa parti politik lain tidak dibenarkan melakukan perkara yang sama? Malah, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, dengan penuh ‘cool’, menawarkan 10 minit kepada parti politik lainnya untuk berkempen di televisyen nasional! Sedangkan tidak ada sekatan yang sama kepada UMNO-Barisan Nasional. Lebih daripada itu, Najib Razak, Presiden UMNO-Barisan Nasional masih lagi berkempen di seluruh negara sebagai Perdana Menteri dan baru-baru ini tanpa rasa setitik berdosa pun, Najib Razak mengumumkan peruntukan bernilai RM3.8 juta untuk diagihkan kepada 10 pertubuhan kaum Sikh. Jika bukan salahguna kuasa, lalu apakah namanya perbuatan ini?

Sebagai kerajaan sementara, UMNO-Barisan Nasional juga dilarang menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan berkempen. Larangan ini jelas kerana tugas kakitangan kerajaan yang dibiayai oleh duit cukai rakyat, adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, untuk negara, bukan untuk mana-mana parti politik. Mereka seharusnya dilihat neutral. Namun, bukanlah suatu rahsia yang menggemparkan apabila kebanyakkan petugas parti adalah kakitangan KEMAS, Jabatan Penerangan, dan JASA. Malah, salah seorang sahabat penulis yang bekerja di RTM dengan penuh naif meletakkan gambar dia dan rakan-rakan sekerjanya di facebook beserta caption; jentera kempen Barisan Nasional!

Selain itu, Menteri yang sama juga mempertahankan tindakan UMNO-Barisan Nasional menggunakan khidmat Jabatan Penerangan dalam acara anjuran parti itu, seperti yang dikesan dalam satu majlis di Kuala Lumpur, pada bulan April lalu. Salahguna kuasa secara terang-terangan ini tidak seharusnya berlaku jika kita memahami tugas dan fungsi kerajaan serta perbezaannya dengan parti politik yang memerintah. Namun kelihatannya, di negara ini, secara sistematik, terdapat usaha untuk menggambarkan bahawa UMNO-Barisan Nasional adalah kerajaan dan kerajaan adalah UMNO-Barisan Nasional.

Syukurlah, kelihatannya salah guna kuasa ini tidak dituruti oleh kerajaan sementara di Selangor dan Pulau Pinang. Kedua-dua kerajaan sementara negeri ini telah memulangkan semula kenderaan rasmi yang diperuntukan kepada mereka sebagai kakitangan kerajaan. Maka, dalam tempoh berkempen ini,  Saudara Lim Guan Eng dan Saudara Khalid Ibrahim beserta barisan bekas EXCO mereka akan menggunakan kenderaan parti atau kenderaan peribadi masing-masing. Ini adalah usaha yang jika dilihat melalui lensa UMNO-Barisan Nasional adalah remeh. Namun, ini menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mempunyai iltizam menghormati harta kerajaan. Kepada sesiapa pun, tidak kira parti politik apa pun, besar harapan penulis agar mereka memahami bahawa harta negara, bukan harta bapak kita.

One Response

  1. Saya amat menyukai artikel ini. Izinkan saya kongsikan semula diblog saya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: