Pasca PRU13 Siri 5: Momen Yang Terlepas

Image

Kawan kepada aksi jalanraya adalah marah. Musuh kepada marah adalah masa. Ternyata semakin lama masa berganjak semakin reda marah orang. Semakin reda marah orang, semakin rakyat menjadi kurang.

Itulah yang terjadi pada kemuncak siri Perhimpunan Suara Rakyat “Blackout 505” bagi membantah penipuan PRU13 pada hari Sabtu, 25hb Mei 2013 yang lepas. Padang Amcorp Mall tidak penuh. Terdapat banyak ruang-ruang kosong di atas padang.

Dari kiraan saya, kalau rakyat yang turun pada hari itu berdiri rapat-rapat, hanya separuh lebih sedikit sahaja padang yang akan penuh. Paling ramai pun tiga puluh ribu orang. Tapi kalau kita ikuti di blog-blog propaganda, pasti ada yang menyatakan jumlah kehadiran yang lebih tinggi.

Berbanding dengan hari pertama  Perhimpunan Suara Rakyat “Blackout 505” yang diadakan pada 8hb Mei 2013 di Stadium Kelana Jaya, “Blackout 505” di padang Amcorp Mall ternyata sudah kehilangan stim.

Di Kelana Jaya padat dengan lautan manusia sehingga melimpah ruah ke luar stadium. Di Amcorp Mall ruang kosong bersepah di keliling padang. Di stadium Kelana Jaya orang datang dengan marah. Di padang Amcorp Mall orang datang sambil membeli-belah. Ternyata momen sudah pun terlepas.

Apa itu momen?

Continue reading

Pasca PRU13 Siri 4: Dilemma Pilihan Jalanraya

 which one

Seperti mana yang telah saya nyatakan di dalam tulisan saya yang lepas, pilihan jalanraya adalah suatu tindakan politik yang sangat efektif di dalam menyediakan wadah terbaik untuk kuliah politik baik secara praktis mahu pun teoritis bagi meradikalisasikan pemikiran politik rakyat. Namun begitu apa yang didesak, apa yang dituntut melalui pilihan jalanraya tidak semestinya akan berjaya diperolehi. Kalau berjaya pun, desakan atau tuntutan yang kita kemukakan itu umumnya akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

Walau pun gagal atau lama untuk memperolehi kejayaan tetapi saya percaya satu perkara yang kita tidak akan gagal dan akan memperolehinya serta merta ialah – memori bersama. Kita pasti akan memperolehi memori bersama melalui pilihan jalanraya. Memori adalah antara unsur emosi dan sosio-psikologi yang penting di dalam pembinaan bangsa.

Untuk memahami memori bersama sebagai unsur penting untuk membina bangsa Malaysia sila baca tulisan saya yang terdahulu yang bertajuk “Pilihan Jalanraya Pembina Memori Bersama”.

Namun begitu setelah meneliti perkembangan semasa khususnya pasca PRU13 ini, pilihan jalanraya dihadapkan dengan dilemma. Terdapat dua pihak yang sedang menghadapi dilemma berhubung dengan pilihan jalanraya ini.

Pihak yang pertama adalah pemimpin-pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat. Daripada pemerhatian saya di dalam menanggapi persoalan pilihan jalanraya ini pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terpecah kepada tiga kelompok iaitu:

  1. Kelompok pemimpin PR yang menyokong tindakan jalanraya
  2. Kelompok pemimpin PR yang mengambil sikap berdiam diri
  3. Kelompok pemimpin PR yang secara terang-terangan menyatakan tidak bersetuju dengan pilihan jalanraya ini

Sebahagian daripada kelompok yang menyokong tindakan jalanraya ini umumnya adalah kelompok yang memang “kaki demo”. Sebahagian lagi adalah terdiri daripada mereka yang kalah bertanding di dalam PRU13 yang lepas.

Ada daripada mereka ini yang “kaki demo” dan juga kalah bertanding. Ada juga yang menang bertanding tetapi gagal untuk mencapai hajat yang lebih tinggi. Jadi mereka ini membentuk kelompok yang paling lantang mengajukan pilihan jalanraya.

Continue reading

IN METAL WE BLAST: SOROTAN KONSERT KLMETAL CAMP VI & KELANGSUNGAN KOMUNITI METAL MALAYSIA

klmetal camp2013

…”Music serves as both balm and excitant, soothing the savage or awakening dormant passions.  In spiritual terms, music is a magical operation, a vehicle for man to communicate with the God”. (Moynihan & Soderlind: 1998)

Muzik secara umumnya merupakan saluran yang berkesan bagi manusia untuk menzahirkan perasaan mereka terhadap sesuatu.  Tanpa muzik, kehidupan boleh diibaratkan seperti tanpa warna dan membosankan.  Seperti juga ilmu-epistemologi yang terpecah kepada banyak disiplin dan sub-disiplin, muzik juga terbahagi kepada beberapa kategori.

Kadangkala terdapat kecenderungan dalam masyarakat untuk membahagikan status sosial dan kelas menerusi genre muzik yang didengari.  Sebagai contoh, genre Jazz dan muzik klasik (Beethoven, Mozart, Paganini & Bach misalnya) seringkali dikaitkan dengan status sosial pendengar yang kononya daripada kelas Bourgeoisie.  Sementelahan itu, muzik genre Metal seringkali pula dianggap sebagai halwa telinga kelas bawahan.

Pembahagian kategori muzik mengikut kelas sebegini tidak dinafikan melanggar ‘nature’ muzik itu sendiri yang bersifat universal.  Sebagai contoh, di Amerika Syarikat suatu masa dahulu (sebelum era pergerakan hak sivil 50 an), muzik blues seringkali dianggap muzik kelas bawahan berikutan menjadi pilihan hiburan kaum kulit hitam.  Dalam menanggapi hal ini, Burr (1995:3) menjelaskan bahawa pendirian yang kritikal begitu perlu agar kita tidak menerima sesuatu secara borong (taken for granted).  Beliau menjelaskan:

…..”For example, just because we think of some music as ‘classical’ and some as ‘pop’ does not mean we should assume that there be divided up in that particular way”.

Perkara ini bermaksud, kita tidak seharusnya membiarkan diri kita terperangkap dalam sesuatu yang telah ‘ditetapkan’ oleh autoriti dan norma masyarakat, yang sudah semestinya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang lain.  Sebagai contoh, pembahagian genre muzik mengikut kelas masyarakat misalnya, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima pakai dan mencabuli ‘hakikat’ muzik itu sendiri yang bersifat universal dan tidak terbatas kepada rangkuman kelas, status, bangsa dan benua.

Continue reading

Pilihan Jalanraya Pembina Memori Bersama

auntie bersih

Sebahagian daripada pendidikan politik saya adalah di jalanraya. Sebahagian lagi adalah melalui pembacaan dan kuliah serta diskusi kedai kopi yang sering saya ikuti. Saya adalah antara generasi muda yang terlibat di dalam siri-siri demonstrasi dan protes jalanraya pada tahun 1998.

Tahun 1998 merupakan tahun penting di dalam sejarah gerakan sosial di Malaysia di mana benih-benih perlawanan yang diperolehi dari kesinambungan sejarah silam mula ditanam.

Sebahagian daripada hasilnya sudah dapat kita tuai pada hari ini. Sedikit demi sedikit ruang demokrasi dan kebebasan mula terbuka. Semakin hari semakin ramai orang menjadi berani. Takut pula sedikit sebanyak sudah berjaya ditundukkan.

Sebahagian besar daripada penglibatan saya di jalanraya pada ketika itu hanyalah sebagai peserta sahaja. Namun terdapat juga sebilangan kecil daripada protes dan demonstrasi jalanraya yang berbentuk kecil-kecilan di sekitar tahun 1998 – 2003 di kota Kuala Lumpur ini yang saya bersama beberapa orang kawan anjurkan, gerakkan dan laksanakan.

Bila mengingat kembali penglibatan saya di dalam protes dan demonstrasi jalanraya ini saya sering jadi nostalgia dan sentimental. Suatu memori yang tersulam kejap ke dalam ingatan.

Continue reading

Pasca PRU13 Siri 3: Kalau Tsunami Cina Pun Apa Hal?

Image

Sebenarnya agak melucukan apabila strategis-strategis daripada DAP beriya-iya mengajukan hujah bahawa PRU13 ini bukanlah “tsunami Cina”. Mereka mengutip data-data tertentu yang terpilih dan dari data-data tersebut dihujahkan bahawa bukan hanya orang Cina sahaja yang bangkit untuk cuba mengubah kerajaan melalui pilihanraya tetapi etnik-etnik lain turut sama menyertai kebangkitan ini.

Dari petikan beberapa data terpilih ini mereka mengajukan terma baru untuk memadamkan terma tsunami Cina yang mereka hujahkan sebagai kurang tepat untuk menanggapi keputusan PRU13 ini. Sebagai lawan kepada terma tsunami Cina ini maka diajukanlah terma-terma baru seperti “tsunami Malaysia”, “tsunami rakyat”, “tsunami bandar” “tsunami kelas menengah” dan sebagainya.

Terma-terma dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh strategis-strategis DAP ini memang ada benarnya. Etnik-etnik lain, kelas menengah, orang bandar dan sebagainya memang turut bangkit untuk cuba menumbangkan Barisan Nasional (BN) melalui PRU13 kali ini. Hakikat itu memang tidak dapat dinafikan.

Namun begitu kebangkitan mereka ini tidaklah ketara, jelas dan menonjol seperti mana kebangkitan etnik Cina untuk menolak Barisan Nasional di dalam PRU13 kali ini. Ini jelas dibuktikan dengan kemenangan DAP di semua kerusi Parlimen majoriti Cina yang ditandinginya kecuali di Parlimen Labis.

Continue reading

Pasca PRU13 Siri 2: Pilihanraya Tipu?

proses-dalam-bilik-mengundi

Saya adalah salah seorang daripada PACA (Polling Agent and Counting Agent) untuk Pakatan Rakyat di salah satu kawasan bandar di Wilayah Persekutuan. PRU13 ini adalah kali kedua saya menjadi PACA. Kali pertama ialah pada 2008 di PRU12. Di kedua-dua pilihanraya ini saya bertindak sebagai polling agent (agen pengundian) dan counting agent (agen pengiraan).

Setelah dua kali menjadi PACA dan mengikuti proses pengundian dan pengiraan undi dari mula sampai akhir, saya berpandangan agak sukar penipuan dibuat ketika proses pengundian di hari mengundi sebenar dijalankan. Oleh kerana itu saya tidak faham apabila terdapat ramai suara-suara yang mengatakan bahawa pilihanraya tipu, undi hantu, undi Bangla dan sebagainya.

Sebelum saya lanjutkan biar saya letakkan kaveat. Pengalaman saya ini hanyalah tertakluk kepada pengalaman peribadi saya di PRU12 dan PRU13 di tempat dan saluran mengundi yang saya ditugaskan menjadi PACA sahaja. Di tempat-tempat lain mungkin berbeza. Di saluran-saluran lain mungkin berbeza. Pengalaman PACA-PACA lain juga mungkin berbeza. Tapi ini pengalaman peribadi saya.

Dari pengalaman peribadi ini saya memutuskan bahawa di saluran yang saya jaga untuk kedua-dua PRU ini, hampir mustahil penipuan dapat dilakukan. Justeru itu, saya jadi kurang yakin dengan tuduhan-tuduhan yang mengatakan bahawa adanya beribu undi hantu, beribu undi Bangla dan banyak penipuan-penipuan lain yang telah berlaku.

Biar saya kongsikan kenapa saya rasa penipuan hampir tidak mungkin dapat dilakukan ketika proses membuang dan mengira undi dijalankan dengan meneliti bagaimana proses pengundian dibuat di tempat mengundi.

Continue reading

Harta Negara bukan Harta Bapak Kita

Bagi sebuah negara membangun yang mencapai kemerdekaan kira-kira 55 tahun dahulu, kejayaan Malaysia menjalankan pilihan raya tanpa gagal setiap 4 atau 5 tahun sekali boleh dibanggakan. Jiran kita Thailand, yang tidak pernah dijajah, mengalami beberapa siri kudeta (rampasan kuasa oleh pihak tentera). Malah, Korea Selatan juga pernah mengalami tempoh sukar mereka. Meskipun ketika Pilihan Raya Umum ke-3 berlaku sedikit ketegangan sehingga Parlimen terpaksa digantung dan kuasa diserahkan kepada Majlis Gerakan Negara (Mageran), namun setelah situasi kian pulih pada tahun 1971, kuasa diserahkan semula kepada Parlimen – ini antara kejayaan besar negara, memulangkan kembali kuasa kepada rakyat.

PRU13

Di sebalik kejayaan ini, perjalanan pilihan raya di Malaysia menerima sejumlah kritikan yang besar. Demokrasi adalah hak rakyat untuk menaik dan menurunkan sesebuah kerajaan dan jelas di Malaysia – diperingkat kerajaan pusat, kita hanya berjaya menaikkan kerajaan yang sama, namun belum lagi berjaya menggantikannya, apatah lagi menggilirkannya. Bagi sebuah parti yang memerintah selama lebih 50 tahun, UMNO-Barisan Nasional sebenarnya layak memegang rekod dunia – antara parti paling lama memerintah melalui jalan ‘demokrasi’ di dunia. Sebagai rekod, Parti Indian National Congress di India yang memerintah semenjak India merdeka pada tahun 1947, hanya berjaya bertahan selama 48 tahun manakala Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun, yang memerintah (hampir secara berterusan) semenjak 1955 telah diturunkan oleh rakyatnya pada tahun 2009. Dunia telah menyaksikan perubahan, tetapi tidak di Malaysia. Kerajaan yang lebih lama memerintah daripada UMNO adalah kerajaan komunis di Korea Utara dan China.

Continue reading