Meninjau PRU13 Siri 3: Lambakan Calon Bebas Manifestasi Kelemahan Struktural Sistem Pilihanraya Malaysia

Image

Salah satu daripada faktor utama “tsunami PRU12” yang lepas yang membawa kepada kejayaan Pakatan Rakyat (PR) di lima negeri dan berjaya pula menafikan dua per-tiga kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) adalah kerana PR berjaya membentuk pertandingan “satu lawan satu”. Malangnya pada kali ini kita dapat menyaksikan banyak daripada pertandingan di PRU13 ini akan melibatkan pertandingan pelbagai penjuru dengan penyertaan calon bebas yang paling ramai yang mencipta pula satu rekod sejarah.

Berdasarkan kepada keputusan pilihanraya-pilihanraya yang lepas calon bebas punya peluang yang sangat-sangat tipis untuk menang. Calon bebas bukan sahaja berdepan dengan kekalahan yang hampir pasti tetapi juga risiko kehilangan wang deposit. Jumlah wang deposit yang perlu diletakkan untuk menjadi calon bagi kawasan pilihanraya DUN ialah RM5,000 dan untuk kawasan Parlimen pula ialah RM10,000 – suatu jumlah yang relatifnya sederhana.

Pada PRU13 kali ini, jumlah calon bebas yang didaftarkan untuk bertanding adalah yang tertinggi sekali di dalam sejarah pilihanraya Malaysia. Walau pun berdepan dengan risiko wang deposit hangus tetapi masih tetap ramai calon bebas yang menawarkan diri untuk bertanding pada PRU13 ini. Suatu fenomena menarik yang wajar diteliti dengan lebih kritis. Tulisan saya ini adalah suatu percubaan untuk memahami kenapa wujudnya fenomena calon bebas yang ramai pada PRU13 kali ini dengan menumpukan kepada kelemahan struktural sistem pilihanraya di Malaysia.

Menurut laporan dari portal berita Bernama terdapat 275 kawasan DUN dan Parlimen yang akan menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru ini. Salah satu sebab kenapa berlakunya pertambahan pertandingan pelbagai penjuru pada kali ini ialah kerana parti-parti kecil (seperti Parti Berjasa, Parti Bersama, Parti Cinta Malaysia dsb.) meletakkan calon mereka di beberapa kawasan DUN dan Parlimen. Namun begitu daripada semakan di daftar calon Suruhanjaya Pilihanraya, ternyata calon bebas adalah punca utama kepada berlakunya pertandingan pelbagai penjuru ini.

Proses penamaan calon PRU13 yang telah berlangsung pada 20hb April 2013 yang lalu memperlihatkan pendaftaran jumlah calon bebas yang tinggi. Lebih tinggi daripada jumlah calon bebas yang didaftarkan pada PRU12 pada tahun 2008 yang lalu. Berikut adalah perbandingannya:

 

Tahun Pilihanraya Umum

 

 

Jumlah Calon Bebas

PRU12 – 2008

115

 

PRU13 – 2013

 

 

270

Daripada jumlah 270 calon bebas yang didaftarkan pada PRU13 ini, pecahan bahagian kawasan pilihanrayanya di mana calon-calon bebas ini akan bertanding adalah seperti berikut:

 

Bahagian Kawasan Pilihanraya

 

Jumlah Kerusi Yang Ditandingi Calon Bebas

 

DUN

191

Parlimen

79

Calon-calon bebas ini pula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

  1. Calon bebas anggota parti politik
  2. Calon bebas yang bukan anggota parti politik

Umumnya calon bebas dari anggota parti politik adalah terdiri daripada mereka yang tidak disenaraikan sebagai calon pilihanraya oleh parti mereka. Marah, kecewa dan tidak berpuas-hati kerana tidak dicalonkan oleh parti, mereka mengambil keputusan untuk bertanding di atas tiket bebas. Mereka bertanding di atas tiket bebas mungkin kerana mereka berasa yakin bahawa sosok mereka sebagai individu sudah cukup untuk menarik pengundi tanpa perlu sokongan daripada parti.

Bagi mereka yang dahulunya adalah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negri pula, tidak tercalon menyebabkan mereka akan kehilangan pekerjaan, gaji bulanan dan elaun kewangan sebagai wakil rakyat. Ini tentunya akan memberi kesan terhadap kehidupan mereka.

Namun begitu yang membuatkan mereka terasa lebih kehilangan ialah kuasa dan keistimewaan yang datang bersama kuasa serta jawatan wakil rakyat yang mereka pegang dahulu. Kuasa untuk menentukan, kuasa meluluskan projek dan kontrek, kuasa membuat keputusan, kuasa yang membolehkan mereka rasa dihormati, disanjungi serta diraikan oleh masyarakat, kuasa yang membuatkan mereka rasa penting dan kuasa yang menjadikan mereka rasa wujudiah mereka bermakna.

Kehilangan kuasa yang berbentuk  material dan simbolik ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan material mereka tetapi juga memberi kesan sosio-psikologi kepada diri mereka. Ketakutan kepada kehilangan-kehilangan inilah menyebabkan mereka sanggup mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas walau pun mereka tahu ianya berisiko tetapi risiko yang berbaloi untuk diambil.

Mungkin juga tindakan mereka untuk bertanding di atas tiket bebas itu didorong oleh rasa untuk mensabotaj parti mereka sendiri kerana mereka merasakan bahawa segala pengorbanan yang telah mereka lakukan tidak dibalas dengan adil dan setimpal (tidak dilantik sebagai calon) oleh parti mereka. Moto kepada tindakan mereka ialah “kalau aku jatuh aku akan tarik kalian yang tidak menghargai pengorbanan aku untuk jatuh sekali bersama-sama aku biar padan muka kalian”.

Selain daripada itu ada juga anggota parti politik yang bertanding sebagai calon bebas ini dengan tujuan untuk menahan lukah – iaitu menunggu supaya ada tawaran wang ringgit yang akan sampai daripada parti untuk meminta mereka menarik diri. Setelah berunding dan mereka berpuas hati dengan tawaran wang ringgit yang diberikan itu, mereka pun kemudiannya menarik diri daripada bertanding.

Spesies menahan lukah ini turut terdapat pada calon bebas yang bukan dari parti politik. Mereka adalah individu-individu penahan lukah bermusim yang tujuannya adalah semata-mata untuk memperoleh habuan material. Individu yang bukan anggota parti politik ini akan mencalonkan diri mereka sebagai calon bebas dengan tujuan untuk “dibeli” kemudiannya. Modal awal sebanyak RM5,000 khususnya di kawasan pilihanraya DUN tidaklah begitu besar berbanding dengan tawaran yang akan mereka perolehi daripada parti-parti yang tidak mahu mereka menjadi “spoiler” atau pecah undi.

Namun begitu adalah dipercayai (tetapi sukar dibuktikan) majoriti daripada calon bebas yang dari jenis bukan anggota parti politik ini adalah terdiri daripada mereka yang telah “dibeli” untuk diletakkan oleh parti-parti politik utama yang bertanding di dalam sesuatu kawasan DUN atau Parlimen sebagai sebahagian daripada strategi dan taktik kotor mereka. Tujuan calon bebas “belian” ini diletakkan di kawasan DUN atau Parlimen yang tertentu adalah untuk memecah undi dan mensabotaj lawan politik mereka. Kawasan DUN atau Parlimen di mana calon bebas “belian” ini diletakkan selalunya adalah kawasan yang pertarungannya dijangka sengit.

Modal untuk meletakkan calon bebas untuk tujuan strategi dan taktik kotor ini relatifnya murah berbanding dengan jutaan ringgit yang akan mereka perolehi jika mereka menang. Strategi dan taktik kotor ini dipercayai dilakukan oleh parti-parti politik utama dari kedua-dua belah pihak khususnya mereka yang punya dana kewangan yang besar.

Sebenarnya agak sukar untuk memberikan jumlah yang tepat berapa ramai daripada 270 calon bebas ini dari anggota parti politik dan berapa ramai pula yang bukan anggota parti politik kerana ketiadaan maklumat yang pasti. Cumanya kita boleh mengambil beberapa berita dan dari berita-berita itu dibuat andaian tentang pembahagian jenis calon bebas ini.

Portal berita Harakah Daily melaporkan seramai 22 anggota UMNO telah mendaftarkan diri mereka sebagai calon bebas pada PRU13 kali ini. Manakala di portal internet Berita Harian pula melaporkan seramai 16 anggota Pakatan Rakyat yang mendaftarkan diri mereka sebagai calon bebas.

Daripada 16 orang ini, tujuh calon bebas anggota PKR, empat calon bebas anggota PAS dan lima calon bebas anggota DAP. Manakala jumlah anggota-anggota komponen BN yang lain seperti MCA, MIC, PPP, Gerakan, IPF dan parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak yang bertanding di atas tiket bebas tidak pula diperolehi maklumatnya.

Ringkasan maklumat dari berita-berita portal ini membolehkan kita untuk membuat jumlah anggaran kasar jenis calon bebas seperti di bawah:

 

Calon Bebas Dari Anggota Parti UMNO, PKR, PAS dan DAP

 

38

 

Calon Bebas Bukan Anggota Parti Politik

 

232

 

Jumlah

270

Manakala pecahan calon bebas dari jenis anggota parti mengikut parti-parti yang bertanding adalah seperti di bawah:

 

Parti Politik

 

 

UMNO

 

PKR

 

PAS

 

DAP

 

Parti-Parti Komponen BN Yang lain

Jumlah

22

7

4

5

Tiada maklumat diperolehi

Dari maklumat di atas sejumlah 270 orang calon bebas akan bertanding pada PRU13 kali ini dan majoriti daripada jumlah itu adalah terdiri daripada calon bebas yang bukan anggota parti politik iaitu sebanyak 232 orang. Soalannya sekarang ialah kenapa lambakan calon bebas ini boleh berlaku? Seperti mana yang telah dinyatakan tulisan ini hanya akan memfokuskan kepada persoalan struktur proses pilihanraya di Malaysia untuk memahami kenapa fenomena ini boleh berlaku.

Fokus dilakukan ke atas persoalan struktural kerana pada pandangan saya struktur sistem pilihanraya Malaysialah yang menyebabkan berlakunya lambakan calon bebas ini. Walau pun dinamika dan intrik dalaman masing-masing parti politik turut mendorong kepada penambahan jumlah calon bebas tetapi tanpa kelemahan di tingkat struktural lambakan calon bebas takkan berlaku. Kelemahan di tingkat struktural inilah yang menjadi punca kepada berlakunya fenomena lambakan calon bebas pada PRU13 kali ini.

Secara strukturalnya untuk bertanding di dalam pilihanraya Malaysia adalah mudah. Proses dan undang-undangnya adalah longgar. Sesiapa sahaja yang mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan, dia layak untuk bertanding secara sah. Dia tidak perlu menjadi anggota parti atau menggunakan tiket parti untuk bertanding.

Jika seseorang individu dewasa warganegara Malaysia itu punya seorang pencadang, seorang penyokong, wang deposit sebanyak RM5,000 (untuk DUN) atau RM10,000 (untuk Parlimen) dan memenuhi syarat-syarat kelayakan bertanding, maka pencalonannya adalah sah dan perlu diterima oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

Syarat-syarat kelayakan bertanding sebenarnya agak mudah untuk dipenuhi. Sila rujuk buku panduan calon di mukasurat 12, bahagian IV – Kelayakan dan Hilang Kelayakan Sebagai calon.

Kelonggaran di tingkat struktural inilah yang menjadi punca utama kenapa fenomena lambakan calon bebas boleh berlaku. Jika di tingkat strukturalnya lebih ketat, fenomena lambakan calon bebas ini takkan mungkin berlaku kerana undang-undang yang ketat itu akan membatasi lambakan calon bebas.

Kelonggaran ini bagi pandangan saya adalah suatu bentuk kelemahan struktural yang hanya boleh diperbaiki melalui pindaan undang-undang. Selagi pindaan undang-undang tidak dibuat untuk mengetatkan lagi syarat-syarat kelayakan menjadi calon, selagi itulah fenomena lambakan calon bebas akan berlaku.

Mungkin bagi sebahagian orang fenomena lambakan calon bebas ini adalah sebagai suatu tanda yang sihat buat demokrasi. Bagi mereka kehadiran ramai calon bebas menunjukkan bahawa demokrasi hidup di Malaysia kerana hak individu untuk bebas bertanding pilihanraya tidak dibatasi dengan ketat. Manakala pengundi pula mempunyai pilihan yang lebih rencam dan tidak tertakluk hanya kepada calon BN atau calon PR semata-mata. Dengan wujudnya calon bebas maka wujudlah juga pilihan-pilihan alternatif yang lain dan rakyat tidak didominasi hanya oleh calon-calon dari dua parti besar semata-mata.

Dari satu sudut, hujah ini memang ada logiknya. Memberi hanya dua pilihan kepada rakyat tentulah tidak wajar dan juga tidak adil kerana jika kedua-dua pilihan itu adalah pilihan yang teruk, maka rakyat ditinggalkan dengan tiada pilihan alternatif selain daripada dua yang teruk itu. Ini tentulah berlawanan dengan konsep demokrasi dan keadilan itu sendiri. Justeru itu, calon-calon alternatif lain daripada parti-parti lain termasuklah calon bebas perlulah diberikan peluang melalui sistem pencalonan pilihanraya yang lebih longgar.

Saya secara umumnya bersetuju dengan hujah di atas tetapi mengajukan perlunya ada keseimbangan antara sistem pencalonan pilihanraya yang longgar dengan keseriusan di dalam mendaftar calon-calon yang benar-benar tulen atau genuine.

Pilihanraya adalah suatu perkara yang sangat serius. Melalui pilihanraya lah masa depan kita sebagai individu dan masa depan negara sebagai unit kolektif yang didiami bersama-sama akan ditentukan nasibnya. Sama ada gelap atau cerah, bersih atau kotor, rasuah atau bebas-rasuah, adil atau diskriminatif, saksama atau berat-sebelah, bahagia atau sengsara sebahagian besarnya adalah bergantung kepada pilihan yang dibuat oleh kita semasa pilihanraya.

Oleh kerana itulah kita memerlukan parti-parti politik dan calon-calon yang juga serius, tulen dan genuine di dalam pilihanraya. Masa depan kita, anak-anak kita, cucu-cicit kita dan tanah air kita ini bukanlah untuk diperjudikan oleh mereka yang tidak serius atau mereka yang berniat untuk melakukan sabotaj calon atau pecah undi.

Di dalam pertarungan pilihanraya yang sengit dengan ratio kemenangan kurang lebih 50-50, kehadiran calon bebas yang tidak serius dan yang diletakkan atas tujuan untuk sabotaj calon atau pecah undi boleh menyebabkan calon-calon yang benar-benar serius, genuine dan lebih berkemampuan untuk mewakili rakyat di kawasannya tewas. Ketewasan calon-calon yang sebegini yang disebabkan oleh undi terpecah dengan kehadiran calon-calon bebas yang tidak serius ini tentunya akan merugikan rakyat dan juga negara.

Justeru itu, perlu ada keseimbangan antara sistem pencalonan pilihanraya yang longgar dengan keseriusan di dalam mendaftar calon-calon yang benar-benar tulen atau genuine. Untuk mencari keseimbangan ini tentunya memerlukan penelitian yang lebih mendalam dan perbahasan yang panjang yang perlu melibatkan kesemua pihak-pihak yang berkepentingan.

Penelitian terhadap sistem pencalonan pilihanraya di negara-negara lain boleh dilakukan untuk mengambil sisi-sisi yang baik dan positif untuk diterapkan ke dalam sistem pencalonan pilihanraya di Malaysia ini bagi mengelakkan wujudnya calon-calon bebas yang tidak serius, palsu dan diletakkan semata-mata untuk memecah undi dan mensabotaj calon.

Mungkin salah satu pindaan yang boleh difikirkan ialah dengan memastikan hanya calon dari parti politik sahaja yang boleh bertanding. Calon di atas kapasiti individu tidak dibenarkan bertanding. Langkah ini secara automatik akan menghalang kewujudan calon-calon bebas dari kalangan individu-individu bukan parti yang diletakkan untuk tujuan memecah undi dan mensabotaj calon. Pada masa yang sama pindaan ini juga akan mengelakkan mereka yang tidak dicalonkan oleh parti mereka daripada mensabotaj calon parti mereka sendiri dengan bertanding di atas tiket bebas.

Cadangan di atas ini bukanlah untuk menyatakan bahawa mereka yang tidak menjadi anggota parti politik tidak serius dan genuine di dalam berpolitik. Ramai yang tidak menjadi anggota parti politik juga turut serius di dalam politik dan rancak menjalankan aktiviti-aktiviti politikal. Namun begitu hakikat politik adalah bersifat kolektif. Di dalam usaha untuk mendapatkan kuasa seseorang itu memerlukan sokongan dan dukungan yang bersifat kolektif. Tidak ada entiti yang lebih kolektif daripada parti politik kerana survival kalah-menang mereka bergantung kepada sejauh mana sepadunya kolektivisme mereka itu.

Di dalam konteks politik Malaysia, individu yang bergerak secara berseorangan atau di dalam kelompok-kelompok kecil umumnya tidaklah seefektif parti politik di dalam mendapatkan pengaruh dan kuasa. Ini wajar sahaja kerana dengan rangkaian sistem berorganisasi yang lebih besar dan kompleks, parti politik mampu memberi sokongan di dalam bentuk organisasi, sumber manusia, fasiliti politik, jaringan yang lebih luas, kewangan dan juga idealogi kepada anggota-anggotanya yang memenangi pilihanraya. Sokongan kolektif dari parti ini akan memudahkan calon-calon yang menang untuk menguruskan masyarakat yang diwakilinya itu.

Justeru itu, di dalam konteks politik Malaysia calon dari parti politik yang menang relatifnya akan lebih berkesan di dalam tugas menguruskan masyarakat yang diwakilinya itu daripada calon bebas yang bergerak secara individu tanpa sokongan organisasi parti politik.

Berdasarkan kepada hakikat politik ini, saya berpandangan sebenarnya tiada keperluan untuk terus mengekalkan undang-undang yang membenarkan sesiapa sahaja individu yang layak menjadi calon di atas tiket calon bebas untuk bertanding di dalam pilihanraya. Undang-undang seperti ini bukan sahaja bersifat redundant atau tiada fungsinya lagi di dalam konteks politik hari ini tetapi juga hanya akan memperbanyakkan lagi unsur-unsur pecah undi dan sabotaj seperti mana yang dapat kita saksikan dengan lambakan calon bebas pada PRU13 ini.

Namun begitu bukan sahaja individu yang boleh dibeli untuk diletakkan sebagai calon bebas dengan tujuan untuk memecah undi dan mensabotaj calon. Parti-parti kecil bermusim yang hanya muncul di musim pilihanraya yang namanya pun sebahagian besar daripada rakyat Malaysia tidak tahu turut terdedah kepada “jual-beli calon politik” di dalam kerangka struktur undang-undang pilihanraya yang longgar ini.

Parti-parti politik besar dengan kemampuan kewangan yang juga besar punya upaya untuk menawarkan wang ringgit kepada anggota-anggota parti kecil yang tidak berprinsip bagi tujuan pecah undi dan sabotaj lawan politik mereka. Bagi parti politik dengan dana kewangan yang besar deposit sebanyak RM5,000 dan RM10,000 itu sebenarnya tidaklah besar berbanding dengan keuntungan jutaan ringgit di dalam bentuk peruntukan, kontrek dan projek yang akan mereka perolehi jika mereka menang sesuatu kawasan DUN atau Parlimen.

Justeru itu, untuk mengelak pecah undi dan sabotaj di dalam bentuk ini, hanya parti-parti politik yang tulen, genuine dan telah menjalankan kerja-kerja politik yang serius sahaja yang seharusnya dibenarkan bertanding. Ketulenan dan keseriusan sesebuah parti itu di dalam menjalankan kerja-kerja politik boleh diukur melalui penerimaan dan sokongan rakyat terhadap mereka.

Penerimaan dan sokongan ini pula boleh dinilai daripada undi yang mereka terima pada pilihanraya yang lepas. Contohnya jika di dalam pilihanraya yang lepas mereka hanya menerima kurang daripada 2% kuota undi di setiap kawasan yang mereka bertanding, ini bermakna penerimaan dan sokongan rakyat terhadap mereka sangatlah rendah. Ini juga menunjukkan sebagai parti politik mereka tidak serius dengan kerja-kerja politik. Kewujudan mereka mungkin hanya bertujuan untuk digunakan oleh parti-parti besar untuk pecah undi dan sabotaj lawan politik masing-masing.

Justeru itu, mungkin suatu peraturan yang lebih ketat boleh dibuat untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku contohnya dengan mengenakan syarat bahawa setiap parti yang ingin bertanding perlu mendapat sekurang-kurangnya 2% sokongan undi daripada rakyat di kawasan yang mereka tandingi pada pilihanraya yang lepas. Jika di pilihanraya yang lepas parti-parti ini gagal mendapatkan sekurang-kurangnya 2% kuota undi di kawasan-kawasan yang ditandingi mereka, maka pada pilihanraya kali ini mereka tidak layak bertanding.

Dengan peraturan sebegini, setiap parti politik akan didorong untuk menjalankan kerja-kerja politik dengan lebih serius dan gigih. Pada masa yang sama juga “politik jual-beli calon” akan dengan sendirinya terhapus kerana parti-parti politik kecil bermusim ini tidak akan dibenarkan meletakkan calon mereka untuk “dibeli” kerana mereka gagal untuk memenuhi kuota sokongan 2% yang telah ditetapkan itu. Jumlah kuota 2% ini hanyalah contoh. Kuota jumlah undi yang perlu diperolehi perlulah dibincangkan dengan semua pihak yang berkepentingan untuk mendapatkan jumlah kuota undi yang munasabah.

Sama ada lambakan calon-calon bebas ini akan mempengaruhi keputusan PRU13 hanya akan kita ketahui pada 6hb Mei 2013 nanti. Tetapi dengan lambakan calon-calon bebas yang membentuk pertandingan pelbagai penjuru pada PRU13 kali ini sedikit sebanyak pasti akan membuatkan undi terpecah dan calon-calon dari parti-parti utama tersabotaj. Agak malang jika sekiranya calon-calon daripada parti-parti yang lebih berkemampuan untuk membawa perubahan kepada negara kita ini tewas akibat daripada lambakan calon-calon bebas yang berpunca daripada kelemahan struktural sistem pilihanraya Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: