Hidup Mati Barisan Nasional atau Bangsa?

Apa yang dilakukan oleh manusia untuk hidup? Seperti biasa yang ditemukan tentulah makan dan minum. Tapi soalan itu menanyakan dan memerlukan sesuatu yang lebih mendasar – manusia akan berbuat apa-apa sahaja demi memastikan kelangsungan hidupnya (survival). Apa-apa sahaja. Perkara inilah yang ditunjukkan oleh parti Barisan Nasional – sejak Tun Dr. Mahathir lagi – mencantas lawannya sebelum mereka ini dapat menggugat di peti undi dalam Pilihan raya umum yang bakal menjengah tidak lama lagi. Dan mereka ini pastinya bukan penganut Darwinisme kerana bagi mereka sosialis dan komunis itu kafir.

Melanjutkan keinginan untuk hidup atau keinginan berkuasa, di bawah pemerintahan DS Najib – yang satu waktu dulu memenangkan kubu Tun Dr Mahathir dengan berpaling dari kubu Tengku Razaleigh – BN menggunakan aparatus kerajaan, mengadu domba rakyatnya dan mengenakan fitnah pada parti yang melawannya. Politik ini ialah cara berpolitik yang diwarisi zaman kesultanan Melayu Melaka – Hang Tuah pernah difitnah bermukah dan Hang Nadim dibunuh kerana cemburu. Dan ia berlanjutan sehingga zaman ‘moden’ ini dengan fitnah yang melibatkan antaranya Burhanuddin Helmy-Ibu Zain, Anwar Ibrahim-Saiful, Tuan Guru Nik Aziz sambil mendiamkan isu pembunuhan Altantuya, perlecehan amah, gosip Ziana Zain dan Zahida Rafik.

Ternyata perubahan kerajaan 5 tahun sekali itu tidak meninggalkan Mahathir dan Mahathirisme. Belum pun berbicara soal persaingan di padang rata, parti BN dilihat tidak mampu menghadapi lawannya walaupun di gelanggang sendiri (kita juga sedia maklum mereka gentar apabila diajak berdepat walaupun adanya Piala Debat Perdana Menteri). Kelakuan mereka yang menyuguhkan kepada khalayak video pornografi, manifesto tiruan dan penglibatan ROS dengan tidak mengiktiraf CEC DAP dua hari sebelum penamaan bukanlah politik baru seperti [cuba] dianjurkan Saifuddin Abdullah – jauh sekali politik idea. Dalam acara permainan begini, adakah parti politik ini dapat dipercaya menjuarai isu rakyat sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk menduduki tampuk pimpinan, setelah 55 tahun menakutkan Melayu dengan “pembelaan nasib Melayu”, “ketidakstabilan ekonomi”, “pertelagahan kaum”? Semua ini harus ditulis semula bagi menggambarkan kepentingan UMNO itu bukan kepentingan Melayu dan rakyat seluruhnya, yang dimaksudkan mereka adalah “pembelaan nasib bangsawan”, “ketidakstabilan status quo” dan “pertelagahan poket-poket kroni”.

Tanpa perlu menduga-duga, parti yang terdapat dalam BN ini akan terus mementingkan survival diri sendiri dengan mematikan lawannya, walaupun nanti akan mengorbankan pula rakyatnya.Mungkin ramai akan mengaitkan kejadian ini dengan diktum terkenal oleh filsuf Itali “matlamat menghalalkan cara” (the ends justify the means) tetapi ini sama sekali tidak tepat melihatkan konteks pengucapan Machiavelli waktu itu dan kenyataan sekarang. Setidaknya Machiavelli ingin menyatukan bangsanya – jika benar – tetapi karya The Prince itu lebih dianggap sebagai satira politik bukanlah pesannya sesungguhnya. Sedangkan UMNO pula terus-terusan meniup prasangka dan sentimen primordial kepada warga Malaysia yang saling menyayangi.

Usman Awang pada 1965 dalam puisinya Suasana juga mengingatkan kita bahawa perbezaan tidak memestikan konflik. Mereka yang berbeza budaya, faham dan kepercayaan mampu berdialog walau hanya melalui kuih pau dan ketupat. Kerukunan hidup bersama tidak bakal hancur dengan bertukarnya kerajaan, malah mereka yang berbeza ini bersatu kerana merasa nasib yang sama. Selain BERSIH yang menghimpunkan rakyat dari latar hidup yang pelbagai, pilihan raya kali ini membuktikan sekali lagi bahawa soal perjuangan, keadilan dan kehormatan tidak dibatasi warna kulit maupun warna bendera parti. Kelihatannya perjuangan parti-parti Pakatan seperti PKR, DAP dan PAS tidak bergantung pada logo yang dipakai. Soal kezaliman dan penindasan ialah soal semua orang bukan satu dua elit. Justeru, rakyat punya tanggungjawab penting yang sama pentingnya ketika kerajaan British memandang rendah bahawa rakyat Tanah Melayu tidak mampu ke arah berkerajaan sendiri – kini berdiri sudah Malaysia. Begitu juga apabila bekas kerajaan BN mengatakan rakyat tidak boleh mengubah kerajaan sedia ada. Kita pernah berubah atas keyakinan bersama dan sekali lagi perlu berubah atas keyakinan yang masih ada.

Dengan mendekatnya tanggal 5 Mei, rakyat pasti menginginkan perubahan yang mampu menjamin masa depan anak-anak dan menjaga hari tua mereka. Jadi, di mana kita harus berpijak dan ke mana kita harus berpihak? Namun, sebelum memutuskan sesuatu dan memuktamadkan pilihan, lihatlah pada bayi yang baru lahir, nenek yang meniti hari tuanya dalam ketidakpastian, makcik yang menjalankan kewajipannya sehari-hari, pak cik yang menghabiskan masanya di pondok jaga dan abang adik yang masih di bangku sekolah. Adakah kelompok ini mendapatkan hak mereka yang paling asas iaitu hak untuk hidup dan merasa bahagia – seperti dilaungkan Thomas Jefferson, “We hold these truths to be self evident: that all men are created equal; that they are endowed by their Creator with certain unalienable rights; that among these are life, liberty, and the pursuit of happiness”? Saya tinggalkan persoalan ini untuk pertimbangan saudara saudari yang budiman.

*Tulisan ini diterbitkan di Projek Dialog

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: