Meninjau PRU13 Siri 2: Seks Di Dalam Politik Melayu

Image

Seks Sebagai Senjata Di Dalam Politik Melayu

Siapa yang tak suka seks? Mungkin ada manusia yang aseksual tetapi mereka ini tentunya minoriti. Aseksual adalah mereka yang memiliki minat dan rangsangan yang sangat rendah terhadap aktiviti-aktiviti seksual. Namun rata-ratanya manusia punya minat, rangsangan, suka, gemar, ingin dan berahi yang tinggi terhadap seks. Termasuklah manusia Melayu. Ini tentunya dapat dilihat daripada penambahan jumlah peratusan kelahiran bayi-bayi Melayu yang relatifnya lebih tinggi daripada etnik-etnik lain di Malaysia ini.

Melayu bukan sahaja suka seks tetapi suka menggunakan seks sebagai senjata politik untuk mematikan karier lawan politik mereka. Pernyataan ini bukanlah untuk mengatakan bahawa etnik-etnik lain di Malaysia tidak menggunakan seks sebagai senjata politik. Mereka juga menggunakannya seperti di dalam kes video seks Presiden MCA Chua Soi Lek tetapi bukti-bukti nyata menunjukkan bahawa orang Melayu relatifnya lebih kerap menggunakan seks sebagai senjata politik.

Ini jelas dapat dilihat daripada munculnya cerita-cerita skandal seks pemimpin-pemimpin politik Melayu di ruang awam. Baik penyokong parti pemerintah mahu pun penyokong parti pembangkang kedua-duanya turut terlibat menyebarkan cerita dan seterusnya menggunakan cerita seks ini sebagai senjata politik untuk menjatuhkan lawan masing-masing.

Cerita Najib pernah meliwat Altantuya lah, Najib khalwat dengan Ziana Zain lah, Rais Yatim rogol pembantu Indonesia lah, Shafie Afdal jadikan Zahida Rafik perempuan simpanan lah, Anwar Ibrahim kongkek pelacur China Doll lah, Anwar Ibrahim biseksual lah, Azmin Ali dikulum zakarnya lah, Husam Musa bawa China Doll lah dan yang terbaru Mustafa Ali kongkek pelacur di hotel. Cuba perhatikan cerita-cerita yang belum tentu saheh ini semuanya melibatkan pemimpin politik Melayu!

Bukan setakat cerita malahan imej, gambar dan video yang menunjukkan aksi-aksi fizikal yang intim yang dilakukan oleh orang-orang yang menyerupai pemimpin-pemimpin politik Melayu ini turut dilambakkan di ruang siber untuk tontonan umum. Sama ada imej, gambar atau video ini tulen, sahih atau dimanipulasi melalui komputer bukanlah menjadi fokus kepada tulisan ini. Fokus tulisan ini adalah untuk memahami kenapa seks menjadi senjata politik yang kerap digunakan oleh orang Melayu?

Seks sebagai senjata politik bukanlah suatu perkara yang baru di dalam masyarakat Melayu. Kalau ditelusuri garis sejarah, ratusan tahun dahulu Pateh Karma Wijaya salah seorang daripada pembesar Melaka telah menyebarkan fitnah permukahan Hang Tuah dengan dayang-dayang istana untuk membunuh karier politik Hang Tuah.

Begitu juga di dalam lagenda Mahsuri, jika dilihat daripada sisi yang kritis, persaingan “politik nama” antara keluarga “borjuis baru” Pandak Mayah dengan keluarga “borjuis lama” Datuk Pekerma Jaya mendorong Wan Mahora untuk menabur fitnah permukahan antara Mahsuri dengan Deramang.

Tuduhan permukahan yang merupakan aktiviti seksual terlarang di dalam kedua-dua cerita sejarah ini adalah penanda bahawa seks sebagai senjata politik sudah lama dipraktikkan di dalam masyarakat Melayu.

Sejarah politik kontemporari moden Melayu yang terdahulu juga tidak sunyi daripada penggunaan seks sebagai senjata politik. Di tahun 70an misalnya terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak menjalin hubungan dengan Sarimah, seorang pelakon Melayu popular ketika itu. Malahan menurut khabar angin itu lagi kematian Tun Abdul Razak secara mengejut di London sebahagiannya adalah kerana kejutan jantung setelah gambar beliau dengan Sarimah jatuh ke tangan musuh politik beliau. Sejauh mana khabar angin ini saheh tidak lah diketahui tetapi ia tetap digunakan sebagai senjata untuk memalit lumpur kepada sosok Tun Abdul Razak dan juga Parti UMNO.

Begitu juga pada tahun 80an sebuah video pesta-pestaan yang melibatkan percampuran lelaki-perempuan yang sedang “berseronok” telah bocor ke pengetahuan awam dan digunakan sebagai senjata politik untuk menjatuhkan Syed Nahar Syed Sheh Shahabuddin, Menteri Besar UMNO di negeri Kedah pada waktu itu. Video yang popular dengan nama “video skandal Montoya” itu menyaksikan Menteri Besar Kedah berpakaian ala-Mexico sedang “berseronok” di dalam satu pesta peribadi.

PAS sebagai seteru politik UMNO pada waktu itu telah menggunakan sepenuhnya isu video skandal Montoya itu sebagai senjata politik untuk memperlekehkan moral peribadi dan seterusnya menyerang Syed Nahar di pentas-pentas ceramah dan tulisan mereka sehingga akhirnya beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Begitu juga dengan kes Abu Hassan Omar, bekas Menteri Besar Selangor yang terpaksa meletakkan jawatan beliau dan mengakhiri karier politiknya setelah khabar angin tentang beliau mempunyai anak luar nikah bertiup kencang ke pengetahuan umum. Tidak ketinggalan kes Rahim Thamby Chik, bekas Ketua Menteri Melaka yang dituduh melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur yang turut menguburkan karier politik beliau.

Berbeza dengan kes Syed Nahar yang punya bukti video, kes skandal seks Abu Hassan Omar dan Rahim Thamby Chik ini hingga sekarang tidak dapat dibuktikan kesahehannya. Namun tetap sahaja ia digunakan oleh lawan-lawan politik mereka semaksimanya sebagai senjata untuk membunuh karier politik mereka dan ternyata ianya berjaya. Kedua-dua tokoh UMNO itu nama mereka sudah hampir lenyap di persada politik nasional kecuali untuk disebut sebagai bahan cemuhan oleh lawan politik mereka.

Di hujung tahun 90an pula siapa yang dapat melupakan kes liwat Anwar Ibrahim yang digunakan oleh Mahathir Mohamad sebagai alasan untuk memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kes sensasi itu kemudiannya mencetuskan gelombang reformasi 1998. Agak ironis dan kepelikan bila suatu kebangkitan gerakan rakyat dicetuskan sebahagiannya daripada ketidakpercayaan orang ramai kepada kemungkinan Anwar Ibrahim melakukan seks lubung jubur! Satu manifestasi kejijikan masyarakat Melayu terhadap seks lubang jubur!

Justeru itu imej dan video terkini yang melibatkan orang yang menyerupai Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Mustafa Ali adalah suatu kesinambungan dari sejarah yang panjang bagaimana seks digunakan oleh orang Melayu sebagai senjata untuk membunuh karier politik lawan mereka. Soalnya sekarang ialah kenapa seks menjadi senjata politik yang kerap digunakan oleh orang Melayu?

Jawapan mudahnya ialah kerana ia berkesan. Ternyata dari bukti-bukti yang lepas, karier politik pemimpin-pemimpin Melayu yang terpalit dengan skandal seks hampir semuanya berkubur. Tetapi jawapan ini tidak cukup lengkap kerana ia tidak menjawab soalan seterusnya iaitu kenapa ia berkesan?

Untuk menjawab persoalan yang rumit ini kita perlu memahami bentuk kawalan seksual yang dikenakan oleh orang Melayu ke atas anggota masyarakatnya, wacana kawalan seks yang disebarkan kepada masyarakat Melayu dan nilai moral yang diletakkan oleh masyarakat Melayu ke atas perlakuan seksual.

Bentuk kawalan, wacana kawalan seksual dan nilai moral yang diletakkan oleh masyarakat Melayu ke atas perlakuan seksual banyak dipengaruhi oleh agama Islam. Agama Islam menetapkan batas-batas yang tertentu di dalam perlakuan seksual. Bukanlah tujuannya di sini untuk menyatakan bahawa sebelum kedatangan Islam masyarakat Melayu tiada batasan-batasan di dalam mengawal perlakuan seksual. Sebelum kedatangan Islam, batas-batas perlakuan seksual di dalam masyarakat Melayu tentunya sudah sedia ada.

Cumanya kedatangan Islam membawa suatu sistem aturan hidup yang diabsahkan oleh kuasa Ilahi yang kudus. Sistem aturan hidup ini turut merangkumi pengaturan ruang seksual peribadi. Perlakuan seksual bukan sahaja diatur kawalan dan batas-batasnya di ruang awam tetapi turut diatur di ruang peribadi. Terdapat hukum-hakamnya yang jelas tentang apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.

Contoh kawalan seksual di ruang peribadi ialah perlakuan melancap. Terdapat hukuman Ilahi yang jelas yang dikonsepkan di dalam bentuk dosa jika seseorang itu melancap walau pun di ruang peribadinya sendiri. Malahan jika tidak mampu menahan nafsu syahwat untuk melancap, seorang individu muslim itu dianjurkan untuk berpuasa. Betapa di ruang peribadi sendiri pun tingkah-laku seksual dibatasi seketat yang mungkin.

Manakala tingkah-laku seksual antara lelaki dan perempuan pula hanya diizinkan di dalam hubungan perkahwinan. Berpegang tangan sekali pun tidak dibenarkan dan dianggap dosa jika tiada hubungan perkahwinan kerana bersentuhan antara lelaki-perempuan yang bukan muhrim dihujahkan sebagai boleh menaikkan syahwat dan berkemungkinan menjerumuskan seseorang itu ke perlakuan seks yang terlarang.

Jika di dalam hubungan heteroseksual sebegini pun sudah terlalu ketat kawalan dan batasan-batasannya apatah lagi hubungan yang berbentuk sejenis atau homoseksual yang tentunya suatu perlakuan seksual yang dianggap paling terkutuk oleh masyarakat Melayu secara umumnya.

Yang lebih menarik lagi berbeza dengan Indonesia yang juga merupakan sebuah negara majoriti muslim di mana perlakuan seksual tidak dikawal oleh negara, kawalan dan batasan seksual di dalam masyarakat Melayu-Muslim di Malaysia ini didukung oleh institusi-institusi kuasa dan penguatkuasaan agama yang diabsahkan oleh negara. Dengan kata lain negara melalui institusi-institusi agama diberi legitimasi dan hak untuk mengawal tingkah-laku seksual manusia Melayu di Malaysia.

Tugas institusi-institusi agama ini bukan sahaja mengeluarkan hukum-hakam, menetapkan kod tatalaku seksual dan membuat undang-undang tingkah-laku peribadi tetapi juga diberi kuasa oleh negara untuk melakukan serbuan, tangkapan, bicara dan hukuman kepada manusia Melayu yang melanggar batasan kod tatalaku seksual yang telah ditetapkan itu.

Mereka yang melanggar kod tatalaku seksual yang ditetapkan ini bukan sahaja berdepan dengan hukuman negara tetapi juga hukuman masyarakat. Umumnya mereka yang dihukum ini akan dicemuh, diperlecehkan, dihina, distigmakan, dimalukan dan dipinggirkan oleh masyarakat. Selain daripada kesan emosi dan psikologi yang perlu ditanggung oleh mereka akibat daripada hukuman masyarakat, mereka juga berkemungkinan menghadapi risiko hilang jawatan dan pekerjaan khususnya bagi ahli politik dan penjawat awam yang beragama Islam jika sekiranya mereka ditangkap terlibat di dalam aktiviti seksual contohnya zina atau khalwat.

Malahan bukan sahaja penjawat awam, pekerja swasta Melayu yang menjadi public figure juga menghadapi risiko dibekukan jawatan mereka atau ditekan supaya meletakkan jawatan, contohnya personaliti terkenal TV3 Nurfarahin Jamsari yang terus lenyap penampilannya di kaca televisyen setelah beliau ditangkap khalwat.

Kawalan oleh negara dan masyarakat ini kemudiannya diperkukuh dan dipermantapkan lagi oleh usaha-usaha parti politik Islam, badan-badan NGO muslim, sekolah-sekolah agama dan juga individu-individu muslim seperti guru-guru agama, tok-tok guru dan imam-imam menyebarkan wacana kawalan seksual ini ke peringkat akar umbi masyarakat Melayu.

Kalau diteliti bagaimana bahasa wacana kawalan seksual ini dikonstruk kita akan dapati ianya cenderung memberi penghakiman moral terhadap pelaku seksual terlarang. Bukan sahaja penghakiman moral diberikan tetapi perlakuan seksual itu dikonstruk sebagai suatu aktiviti yang perlu dijauhi oleh orang Islam kecuali di dalam hubungan perkahwinan.

Hendak dekat dengan seks pun tidak dibenarkan (wala taqrabu zina – sila google kata ini dan lihat wacana-wacananya – menarik dan menakutkan!) apatah lagi kalau seseorang itu melakukan tingkah-laku seksual di luar batas-batas yang ditetapkan tentulah ianya mengundang kemurkaan Allah.

Wacana tentang kemurkaan Allah dengan penggunaan bahasa-bahasa yang sangat menakutkan seperti kemaluan dituang besi cair yang panas, dibakar berkali-kali hingga rentung di dalam neraka jahanam dan sebagainya ini adalah antara wacana popular yang digunakan di dalam masyarakat Melayu untuk mengawal tingkah laku seksual manusia Melayu.

Justeru itu, dengan bentuk kawalan seksual yang sangat ketat yang dilakukan oleh negara dan masyarakat ditambah pula oleh wacana-wacana seksual yang cenderung memberi penghakiman moral dan ugutan-ugutan akhirat yang menakutkan, maka nilai moral yang diberikan oleh masyarakat Melayu kepada perlakuan seksual bolehlah dianggap sebagai sesuatu yang sakral (suci).

Hanya sesuatu yang dianggap sakral sahaja yang punya kawalan dan batasan yang ketat tentang apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan ke atasnya. Dengan meletakkan nilai sakral kepada perlakuan seksual, maka pelaku yang melanggarnya dianggap sebagai melakukan dosa yang sangat besar dan dosa ini bukan sahaja diyakini akan dihukum oleh Tuhan di hari akhirat nanti tetapi juga dihukum oleh negara dan juga masyarakat itu sendiri.

Oleh kerana itu masyarakat Melayu umumnya menganggap pelaku seksual terlarang sebagai orang yang sangat rendah moralnya kerana telah mencemar sesuatu yang dinilai sebagai sakral. Sebarang pencemaran terhadap sesuatu yang sakral akan dibalas dengan api neraka oleh Tuhan, dihukum dengan penjara atau denda oleh negara dan dicemuh dengan nista oleh masyarakat. Maka logik sahaja orang seperti ini di dalam sistem moral yang sebegitu rupa dianggap tidak layak menjadi pemimpin politik negara kerana telah melanggar tabu yang diletakkan ke atas suatu perlakuan yang dikonsepsikan sebagai sakral.

Justeru itu, dengan sistem moraliti seksual yang sebegitu rigid, ketat dan mencengkam tidaklah menghairankan jika seks muncul di dalam masyarakat Melayu sebagai senjata yang cukup ampuh dan berkesan untuk digunakan bagi membunuh karier politik lawan.

Seks sebagai senjata politik jarang digunakan di dalam masyarakat yang kawalan seksualnya lebih longgar. Contohnya di dalam masyarakat Cina di Malaysia ini amat jarang kedengaran pemimpin-pemimpin politik mereka diserang dengan senjata skandal seks. Malahan cubaan untuk menggunakan seks sebagai senjata ke atas Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek ternyata gagal apabila beliau tetap dipilih sebagai presiden di dalam pemilihan umum parti walau pun beliau dengan jujur mengakui bahawa lelaki di dalam video seks itu adalah dirinya.

Jika ditinjau pula di negara-negara Scandinavia yang tahap kualiti hidup masyarakat mereka adalah antara yang terbaik di dunia ternyata kawalan seks di negara-negara tersebut cukup minima sekali. Dengan kawalan tingkah-laku seksual yang longgar dan sistem moraliti seksual yang terbuka di dalam masyarakat Scandinavia, seks tidak pernah dijadikan sebagai senjata di dalam persaingan politik di dalam masyarakat mereka kerana seks dan politik celah kangkang bukanlah isu bagi mereka.

Kenapa di dalam masyarakat yang longgar kawalan seksualnya, seks jarang dijadikan sebagai senjata politik ialah mungkin kerana sistem moraliti seksualnya tidak mensakralkan aktiviti-aktiviti seksual. Kalau seks digunakan sekali pun sebagai senjata politik ia tidak membawa sebarang kesan. Ini bukanlah menandakan mereka tidak punya sistem kawalan atau batasan di dalam perlakuan seksual cumanya kawalan dan batasan yang mereka kenakan ke atas masyarakat mereka lebih longgar dan lebih bersifat perlindungan contohnya kepada kanak-kanak atau golongan minoriti seksual.

Mungkin pada pandangan umum masyarakat ini moraliti seksual adalah sesuatu yang bersifat peribadi dan tidak mempengaruhi keupayaan seseorang itu untuk mengurus dan mentadbir negara dengan baik, jujur dan bebas rasuah.

Di Malaysia ini pula pada pandangan saya seks akan terus dan tetap digunakan sebagai senjata politik di dalam masyarakat Melayu selagi sistem moraliti seksual orang Melayu diatur dengan rigid serta ketat dan dikawal dengan cengkaman yang kuat. Semakin mencengkam, rigid dan ketat kawalan yang dilakukan ke atas perlakuan seksual manusia Melayu akan semakin kerap seks digunakan sebagai senjata dan akan semakin berkesan pula senjata seks ini untuk mengakhiri karier politik lawan masing-masing.

Justeru itu, pelonggaran kawalan seks yang rigid, ketat dan mencengkam serta sistem moraliti seksual yang lebih terbuka adalah sesuatu yang boleh difikirkan, dibahaskan dan didebatkan untuk memastikan persaingan politik di negara kita ini tidaklah jatuh ke tahap politik celah kangkang yang mengaibkan martabat dan maruah manusia.

Mungkin jika selepas difikir, dibahas dan didebatkan pun masih terdapat kecenderungan yang kuat di dalam masyarakat Melayu untuk tetap mengawal tingkah-laku seksual dengan aturan yang rigid, ketat dan mencengkam maka langkah yang terbaik untuk menyelamatkan politik Malaysia yang obses seks ini ialah dengan mencari pemimpin politik Melayu yang aseksual!

4 Responses

  1. revolusi > seks

  2. yg jdi punca kpd kegilaan guna seks utk bunuh career politik lawan ni adalh PAS. sjak dari zaman tunku abd rahaman lagi PAS sibuk nak jaga dlm kain org melayu. PAS yg byk bwk isu moral pribadi ni. pastu bila kena batang hidung sendiri, tak nak mengaku. tipu-lah, fotoshoplah, cgi-lah, mcm2 alasan. giler hipokrit!

  3. Sebagai respon artikel diatas, link ini mungkin berkaitan, http://matrojak.blogspot.com/2012/12/ahli-politik-dan-skandal.html

  4. bILA UMNO semua tak betui,apa org pakatan malaikatka?kalu dah buat salah mengaku sajala…jangan putar belit fakta dan bukti.Tak takut dosa ka?lebih baik la tobat jangan tau buat saja!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: