Meninjau PRU13 Siri 1: “Takpinism” Di Dalam Politik Malaysia

Image

Seorang Jantan TAKBIN Sedang Menggeletar

Image

Fenomena TAKPIN Di Malaysia

“Takpin” bukanlah “takbin” walau pun bunyi sebutan untuk dua kata ini hampir sama. “Takbin” adalah singkatan kata yang dilabelkan kepada jantan-jantan yang takut bini (takbin). Walau pun saya ini berwajah garang dan bengis tetapi masih tetap juga dilabelkan oleh mereka yang mencemburui kebahagiaan saya dengan label “takbin”. Walau pun kerap kali saya nyatakan yang tindak-tanduk saya sebenarnya mencerminkan “saybin” (sayang bini) tetapi mereka yang cemburu ini tetap sahaja menuduh saya sebagai “takbin”. Tak apa lah. Biarlah mereka mencemuh saya dengan kata “takbin” sedangkan hakikatnya saya adalah seorang manusia yang sangat “saybin”.

Manakala “takpin” pula adalah suatu konsep yang tidak ada kena-mengena langsung dengan “takbin”. “Takpin” adalah singkatan daripada kata “taksub + parti + pemimpin”. Fenomena takpin ini saya perhatikan sudah wujud sekian lama di Malaysia ini. Cumanya ia menjadi semakin merebak dan menebal di waktu-waktu demam pilihanraya umum.

Takpin saya takrifkan sebagai suatu bentuk tingkah-laku yang dijelmakan oleh para penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik melalui perbuatan, praktik, tindakan, kata-kata dan tulisan yang tidak kritis yang melihat parti/pemimpin politik sokongan mereka sebagai entiti/sosok yang hampir tiada cacat-celanya manakala parti/pemimpin politik lawan dilihat hampir semuanya salah dan sebarang kritikan terhadap parti/pemimpin politik sokongan mereka akan ditanggapi dengan penolakan dan penafian yang keras tanpa penilaian yang kritis.

Takpinism pula adalah sebuah ideologi atau keyakinan sepertimana yang ditakrifkan di atas yang dipegang oleh mereka yang takpin khususnya para penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik.

Penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik di Malaysia rata-ratanya punya ketakpinan yang tinggi terhadap parti/pemimpin mereka. Ini dapat dilihat dari tindak-tanduk, hujah, tulisan dan pernyataan mereka di ruang publik khususnya di alam siber. Apa yang parti/pemimpin mereka lakukan hampir semuanya betul. Hampir tidak ada yang salah. Tetapi sebaliknya pula apa yang parti/pemimpin lawan mereka lakukan hampir semuanya tidak betul. Hampir semuanya salah. Manakala apa sahaja tuduhan yang pihak lawan lontarkan kepada parti/pemimpin mereka, akan mereka bidas, tolak, nafikan dan serang-balas dengan sekeras-kerasnya.

Mereka akan bermati-matian mempertahankan parti/pemimpin mereka ini sehinggakan bukti yang terang lagi bersuluh pun mereka cuba nafikan dengan berbagai alasan yang direka, dicipta, dimanipulasi dan kadang-kala sehingga sanggup mengemukakan bukti-bukti palsu pula untuk menyokong hujah mereka yang penuh ketakpinan itu.

Fenomena takpinism ini mungkin terhasil daripada pelbagai punca. Antaranya ialah sistem pemikiran feudal yang masih membelenggu sebahagian daripada pemikiran masyarakat kita sehinggakan parti/pemimpin politik dilihat sebagai “entiti/sosok suci” yang tidak mungkin berbuat silap. Pemikiran feudal ini boleh disoroti melalui penelitian terhadap perkembangan sesuatu masyarakat itu.

Masyarakat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khususnya masih di dalam proses transisi pemikiran daripada sistem berfikir pemerintahan feudal beraja yang memonopoli kuasa memilih kepada sistem berfikir pemerintahan demokrasi berparlimen yang secara relatifnya memberi autonomi kepada individu untuk memilih. Sistem pemikiran feudal ini hadir bersama-sama institusi feudal yang membentuknya. Namun begitu pengurangan kuasa institusi feudal tidak semestinya akan memadamkan pemikiran feudal yang sudah lama tertanam itu.

Malaysia (baik di Semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak) sebelum kedatangan penjajah beratus-ratus tahun dahulu adalah sebuah politi tradisional Melayu dengan sistem pemerintahan beraja dengan ciri-ciri feudalnya yang jelas. Pilihanraya umum yang pertama hanya bermula pada tahun 1959 untuk Semenanjung dan pada tahun 1967 untuk Sabah dan 1969 untuk Sarawak.

Kalau dicongak, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia ini belum sampai 60 tahun ianya dilangsungkan. Relatifnya masih baru. Malahan institusi raja yang umumnya feudal masih dikekalkan dan membentuk pula sebahagian daripada tiang-tiang seri politik negara yang berbentuk hybrid, gabungan antara sistem politik tradisional Melayu dengan sistem politik moden yang diperkenalkan oleh British.

Oleh kerana itu selain daripada punca-punca kuasa yang diperolehi daripada mandat rakyat yang membentuk badan legislatif, eksekutif dan kehakiman, institusi raja yang diwarisi adalah sebahagian daripada tiang seri yang tidak dipilih oleh rakyat yang masih kekal dan diberi kuasa tertentu pula oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri beraja.

Proses transisi sistem berfikir daripada tradisional ke moden yang masih berlangsung, perjalanan proses sistem demokrasi berparlimen yang relatifnya masih baru dan terikatnya institusi beraja di dalam sistem politik negara adalah antara beberapa faktor yang boleh dikutip untuk memahami kenapa masih wujudnya sistem pemikiran feudal yang sebahagiannya melahirkan pula fenomena takpinism ini.

Selain daripada sistem berfikir yang relatifnya masih feudal, kemungkinan juga fenomena takpinism ini muncul daripada sengitnya pertarungan politik antara pihak-pihak yang berkepentingan sehinggakan tiada langsung ruang kelabu di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Kesengitan pertarungan politik ini menyebabkan masyarakat terbelah dua, sama ada bersama “kita/us” atau bersama “mereka/them”. Di dalam belahan yang sebegini ruang kelabu terpaksa diketepikan. Ruang kelabu di dalam pertarungan politik adalah manifestasi sebuah keraguan.

Keraguan di dalam pertarungan merebut kuasa hanya akan menguntungkan pihak lawan dan menyukarkan jalan ke puncak kuasa. Oleh kerana itu ruang kelabu ini haruslah dipadamkan. Justeru itu, yang wujud buat penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik adalah ruang hitam dan putih sahaja manakala kelabu yang mewakili keraguan tiada tempatnya di dalam sistem berfikir mereka kerana ruang kelabu khususnya di saat-saat pertarungan sudah hampir ke garis penamatnya hanya merugikan perhitungan politik mereka.

Di dalam konteks fikiran yang sebegitu, tidak hairanlah jika sekiranya kita dapati mereka (di ruang publik khususnya di alam siber) dengan penuh takpin akan mempertahankan sehabis-habisnya apa sahaja yang parti/pemimpin mereka lakukan, membelasah parti/pemimpin lawan seteruk-teruknya dan sebarang tuduhan yang dilemparkan ke atas parti/pemimpin mereka pula akan mereka nafikan sekeras-kerasnya walau pun bukti tuduhan yang dikemukakan oleh lawan politik mereka itu sudah ternyata jelas.

Fenomena takpinism ini juga boleh turut dikaitkan dengan pertaruhan yang menjadi rebutan di dalam pertarungan kuasa ini. Pertaruhan di dalam mana-mana perebutan kuasa politik khususnya di tingkat nasional adalah sangat besar.

Status sosial, jawatan, nama, pangkat, kerja, gaji, layanan yang akan diterima, penghormatan yang akan diberi, dan tentunya juga kontrak-kontrak dan projek-projek dengan nilai jutaan dan billionan ringgit adalah antara yang menjadi pertaruhannya. Kemenangan akan memastikan pihak yang menang memperolehi kuasa untuk menentukan “siapa dapat apa, bila dan bagaimana”.

Memandangkan pertaruhannya adalah sangat besar yang melibatkan perebutan kuasa untuk menentukan, perolehan nilai simbolik status sosial yang berbentuk hierarkikal, serta penguasaan nilai material yang berjumlah jutaan dan billionan ringgit, maka para penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik cenderung untuk melarutkan diri mereka di dalam praktik takpinism.

Mengambil posisi yang kritis di dalam kondisi politik yang pertaruhannya sangat besar ini kemungkinannya dilihat oleh para penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik sebagai pendekatan atau strategi yang hanya akan mengundang bukan sahaja kekalahan tetapi juga kehilangan pertaruhan besar yang segala macam itu.

Memandangkan para penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik adalah juga agen mempengaruhi undi maka mereka juga terlibat di dalam mengkonstruk imej, persepsi, keperibadian dan wajah parti/pemimpin mereka dan juga parti/pemimpin lawan mereka.

Konstruksi yang mereka lakukan terhadap parti/pemimpin mereka dan parti/pemimpin lawan mereka ini baik di dalam bentuk tulisan, kata-kata, imej atau video baik di ruang awam mahu pun di pelbagai saluran media sosial turut membantu di dalam mencipta mitos sama ada positif atau negatif buat parti/pemimpin ini. Mitos (fakta yang ditokok-tambah atau maklumat palsu) tentang parti/pemimpin yang dikonstruk ini kemudiannya disebarkan pula kepada masyarakat awam.

Justeru itu, di dalam proses ini mereka bukan sahaja melarutkan diri mereka di dalam takpinism tetapi juga turut menarik orang lain untuk turut larut bersama-sama takpinism mereka melalui konstruksi dan penciptaan mitos yang mereka sebarkan kepada masyarakat yang menjadi sasaran untuk mereka pengaruhi supaya menyokong parti/pemimpin politik mereka.

Di dalam proses yang sebegini pembentukan takpinism menjadi semakin merebak dan semakin menebal sehinggakan parti/pemimpin mereka dilihat oleh masyarakat yang terpengaruh dan tidak kritis sebagai “entiti/sosok bersih” manakala pemimpin lawan dilihat sebagai “entiti/sosok kotor” – suatu pemisahan binari hitam-putih yang cenderung meredam kehadiran ruang yang lebih kritis dan inkuisitif.

Proses pembentukan takpinism yang dilakukan secara sedar mahu pun tidak sedar oleh para penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik di dalam perebutan kuasa khususnya di PRU13 ini berkemungkinan menjadikan fenomena takpinism semakin kukuh dan mapan di dalam masyarakat jika sekiranya tiada tenaga pengimbang yang kritis hadir untuk menempatkan dirinya di tengah-tengah binari hitam-putih ini.

Untuk mengharapkan para penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik menjadi tenaga pengimbang tentunya kurang wajar kerana di dalam huraian yang sudah dibentangkan di atas kondisi politik yang wujud di Malaysia pada hari ini terlalu sengit dengan pertaruhan yang sangat besar sehingga mereka ini terpaksa membuat pilihan politik yang tegas iaitu memilih antara “kita/us” atau “mereka/them”.

Lagi pula sebagai penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik kesetiaan mereka tentulah kepada parti/pemimpin mereka. Apatah lagi bila sebahagian daripada penyokong, pendukung, anggota dan pekerja parti politik ini adalah agen-agen yang dibayar sama ada oleh parti-parti politik itu sendiri atau pun pemerintah di tingkat negara atau negeri melalui pembentukan kelompok-kelompok propagandis atau institut-institut pemikir.

Dengan menjadi agen politik berbayar kepentingan mereka sama ada kepentingan yang bersifat abstrak dan ideal (seperti keinginan kepada “keadilan”, “kesaksamaan” “kebenaran” dan seumpamanya) mahu pun yang bersifat peribadi (seperti jawatan, kerja, gaji, pendapatan dan seumpamanya) sudah diikat bersama-sama dengan agenda parti politik atau pemerintah negara/negeri yang menjadi majikan mereka.

Di dalam hubungan yang terikat sebegitu tentulah sukar untuk mereka menjadi kritis. Mereka tentunya dituntut oleh majikan mereka (parti politik dan pemerintah negeri/negara) untuk setia, patuh dan bertindak selari dengan agenda merebut kuasa atau mempertahankan kuasa yang menjadi raison d’etre atau sebab wujudnya majikan mereka itu.

Kesetiaan, kepatuhan dan keselarian tindakan dengan agenda parti politik dan pemerintah negara/negeri yang memberi mereka makan itu perlu mereka balas dengan mempraktikkan takpinism di dalam tindakan, hujah, kata-kata, tulisan dan pernyataan mereka khususnya di ruang publik. Justeru itu, adalah sukar untuk mengharapkan mereka mengisi ruang kritis ini.

Di dalam senario yang sebegini adalah menjadi tanggungjawab kepada mereka yang masih punya nurani dan komitmen terhadap pencarian kebenaran untuk melawan daripada turut larut sama di dalam fenomena takpinism ini bagi mengisi ruang kritis di dalam kondisi politik Malaysia hari ini yang cenderung membentuk garis binari “kita/us” atau “mereka/them”.

Persoalan mendesak yang perlu dijawab di dalam kondisi politik sebegini ialah apakah kebenaran perlu dikorbankan untuk memberi laluan kepada matlamat besar untuk menjatuhkan regim yang dikatakan korup? Tidakkah dengan mengorbankan kebenaran kita hanya akan menyuburkan lagi takpinism? Persoalan-persoalan yang saya sendiri sedang bergelut mencari jawapannya.

Akan tetapi yang saya pasti buat masa ini ialah takpinism yang tak terbendung adalah juga suatu bentuk pembodohan buat masyarakat.

3 Responses

  1. tulisan ini melambatkan revolusi.

    • macam la revolusi tu akan jadi cepat kalu tak dak tulisan ni. revolusi mana ada dah zaman la ni. kat tunisia, libya dan mesir yang demokrasi teruk tahap gaban, ekonomi hancoq tahap neraka dan beratus orang mati masa demonstrasi pon masih tak jadi-jadi revolusi…ini pulak tulisan yg tak ramai org baca mcm ni.

    • kalau macam tu pls hantar tulisan yg cepatkan revolusi. nak baca la. lepas baca tulisan macam tu bole tak revolusi tu berlaku dalam setahun? dah tak sabar nak revolusi ni! muahahaha

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: