Plato yang kerinduan

Oleh Jack Frost

Ribuan tahun dahulu; ketika Athens masih merupakan negara kota yang makmur dan tidak dibelenggu hutang, Plato dengan lantangnya menempelak realiti. Kata beliau, dunia dan segala isinya tidak lebih sekadar bayang-bayang kabur yang terpecah-pecah gambarnya tanpa ada satu pun yang boleh diperkatakan sebagai ‘hakiki’.

Dunia merupakan sebuah padang pasir yang kosong dan tak mampu untuk dimaknakan. Manusia merupakan suatu kehampaan yang sering saja lemas dalam khayalan-khayalan yang dibina oleh mereka sendiri. Keberadaan manusia itu sendiri tergantung melalui cerapan-cerapan indera mereka yang sama sekali terbatas dalam menanggapi kewujudan; baik manusia, alam atau tentu saja Tuhan.

Bahkan, dalam usaha manusia untuk cuba mencari hakikat kewujudan mereka, ia langsung tergantung dengan sebuah keterikatan terhadap suatu ‘bentuk yang ideal’. Plato menamakannya sebagai Idea Absolut atau boleh saja dikatakan sebagai hal yang hakiki.

Lalu kita tertanya-tanya, bagaimana atau apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kewujudan berdasarkan telahan gila yang dilontarkan oleh Plato itu? Mungkin saja idea beliau yang begitu pesimis ini terbit berikutan daripada kematian gurunya – seorang cendekiawan – yang dihukum bunuh oleh masyarakat yang pada ketika itu masih gentar dengan gelojak akal yang telah tercetus.

Di sini, Plato telah memberikan sebuah analogi yang cukup mudah untuk difahami tetapi sama sekali susah untuk diterima oelh akal. Kata beliau, manusia sepertinya diikat di dalam sebuah gua yang gelap dengan wajahnya dipalingkan menghadap dinding gua. Satu-satunya sumber cahaya yang ada hanya lah yang datang daripada pintu gua. Justeru, dinding yang dipandang itu bertukar menjadi sebuah layar yang memaparkan gambaran-gambaran objek di luar gua tersebut. Misalnya kuda. Melalui bayang-bayang kuda yang berlari di dinding gua, manusia dapat mencerap bentuknya; berkaki empat, pantas berlari dan mempunyai telapak huf.

Nah, di sini terlihat bagaimana yang dimaksudkan oleh Plato sebagai Idea Absolut dan objek dunia. Beliau mengatakan bahawa kuda yang kita lihat – yang berkaki empat, pantas berlari dan mempunyai telapak huf – itu sebenarnya tidak lebih sekadar sebuah projeksi daripada suatu idea tunggal yang hakiki. Kuda yang ‘ideal’ itu tidak dapat ditanggapi oleh indera manusia yang terbatas dan Kuda tersebut tentu saja sempurna jauh melampaui kuda-kuda yang berlari di dunia ini.

Manusia dalam usaha yang sangat sia-sia, cuba mencari Kuda Ideal tersebut melalui imaginasi-imaginasi yang diterbitkan. Misalannya boleh dilihat melalui unikorn(kuda yang mempunyai tanduk spiral di dahinya) dan pegasus(kuda yang mempunyai sayap dan boleh terbang). Namun, tambah Plato lagi, pada akhirnya, manusia akan bergelut dengan khayalannya sendiri kerana manusia sama sekali tidak mampu untuk menyentuh Yang Hakiki.

Namun, Plato sepertinya bergelut dengan sebuah kehampaan yang langsung menelannya sehingga tidak tinggal suatu apa pun! Beliau barangkali terlupa akan kecintaannya terhadap gurunya. Kecintaannya terhadap pengetahuan. Lalu dengan tanpa belas kasihan, beliau meredam kata ‘cinta’ itu sendiri jauh ke dasar hatinya sehingga tidak mampu lagi untuk ditarik keluar kembali.

Justeru, beliau terlupa bahawa cinta bukan lah sebuah kehampaan. Malah, cinta merupakan hal yang terbit dari kehampaan sekaligus melenyapkannya. Seorang pencinta yang setia boleh jadi sunyi tetapi dalam kesunyian itu, pencinta tersebut tidak berasa terasing dengan dirinya sendiri. Cinta pasti saja menyemai keresahan-keresahan yang tidak terkira banyaknya. Pun begitu, resah yang dinikmati oleh seorang pencinta merupakan suatu ketenteraman yang sama sekali mendamaikan.

Dalam menyanggahi Plato, kita juga melihat bagaimana cinta bukan lah sebuah projeksi seperti bayang-bayang kuda yang berlari di dinding gua. Malah, cinta merupakan sebuah perjalanan manusia dalam menemukan hakiki. Keberadaan manusia ditandai dengan imaginasi-imaginasi yang terbit dari akal fikirannya.

Plato sama sekali silap. Manusia wujud adalah kerana mereka dengan beraninya cuba mencari makna kewujudan mereka dengan menanggapi hal-hal yang tidak dapat dimaknakan. Ia bukan sia-sia!

3 Responses

  1. “Plato sama sekali silap. Manusia wujud adalah kerana mereka dengan beraninya cuba mencari makna kewujudan mereka dengan menanggapi hal-hal yang tidak dapat dimaknakan. Ia bukan sia-sia!”

    silap tu.. manusia wujud kerana Allah swt ingin menguji siapa yg baik amalannya dan siapa yg tiada seperti yg dinyatakan dalam bahagian awal surah Al-Mulk. wallahualam.

  2. pikir kool ni mesti tak baca buku

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: