Karipap-Karipap Cinta Kita

Apabila kita merasakan sesuatu itu hak kita kerana berasal daripada kita, maka fikirkan semula, termasuklah dalam hal seremeh hidangan minum petang. Berkenaan hidangan minum petang, setidaknya, ada dua jenis kuih yang sebelum ini, semasa kecil, penulis fikirkan memang berasal daripada negara ini – karipap dan juga donut. Bagi penulis, jika karipap dan donut bukan sesuatu yang ‘sangat Melayu’ setidaknya pasti kedua makanan kegemaran rakyat Malaysia ini sangat ‘sangat Malaysia’. Namun, apabila penulis menonton filem Terminator lakonan Arnold Schwarzenegger (kurang pasti sequal yang keberapa) penulis mula menyedari bahawa donut juga ‘sangat Amerika’. Lebih daripada itu,  donut atau doughnut (di Amerika donut merujuk kepada variasi doughnut, manakala di UK donut merujuk kepada doughnut versi Amerika!) merupakan antara confectionery yang sangat popular di seluruh dunia – dan tiada apa-apa yang sangat Malaysia pun dengan donut, melainkan kuih keria; bentuk seakan donut yang diperbuat daripada keledek dan disira dengan gula. Sebaik menyedari hakikat ini, penulis menerima donut bukan lagi (semata-mata) hak orang Melayu atau Malaysia.

karipap

Namun, untuk sekian lama selepas itu, penulis masih merasakan karipap atau epok-epok memang berasal daripada negara ini atau paling tidakpun daripada rantau ini – Malaysia, Indonesia, Singapura atau paling jauh pun India (kerana perkataan kari itu). Penulis sangat yakin kerana nama epok-epok itu hanya digunakan di belah selatan semenanjung, di Johor khasnya. Maka, mudahnya pastilah karipap atau epok-epok ini berasal daripada belah sini. Tak akan boleh silap lagi kali ini!

Malangnya, betapa pun penulis enggan mengakuinya, penulis ternyata tersilap lagi. Epok-epok boleh dijumpai sejauh La Pampa di Argentina – sebuah negara di Amerika Latin! Cuma namanya sahaja berbeza, sebagaimana kita di sini – epok-epok atau karipap, kuih gulung atau kuih ketayap, jemput-jemput atau cucur. Sedangkan kita yang duduk dalam satu negara dan berkongsi bahasa ini pun boleh menerbitkan banyak nama untuk kuih yang sama, apatah lagi jika karipap tersebut jaraknya di balik bumi.

Di Argentina, karipap disebut empanada. Bentuknya hampir sama seperti karipap di sini dan sangat popular. Malah di bandar Famaillá di wilayah Tucumán, setiap bulan September akan diadakan Fiesta Nacional de la Empanada atau Festival Empanada Kebangsaan. Peserta festival akan mempertandingkan empanada buatan tangan masing-masing untuk merebut gelaran Empanada de Oro atau Empanada Emas – Epok-Epok Emas! Anugerah buat menghargai empanada dengan inti terbaik, kulit yang rapuh dan rangup.

Resepi Empanada ini juga terdapat dikebanyakan negara di Amerika Latin dengan nama yang berbeza. Di Brazil dan negara kepulauan Cape Verde, resepi ini dinamakan Pastel atau pastéis. Di Costa Rica pula,‘epok-epok’ dipanggil patí manakala di Aruba, Bonaire & Curaçao dan Republik Domica pastelitos atau catibías. Umumnya, bentuknya hampir sama, cuba berbeza daripada segi inti, sama ada lebih pedas atau sebaliknya. Cara penyediaannya juga hampir sama, digoreng. Terdapat juga variasi yang menyediakan resepi ini dengan membakarnya dalam ketuhar – seperti penyediaan pizza. Sebelum kita semua mula percaya bahawa empanadas atau karipap berasal daripada Amerika Latin, izinkan penulis menyambung kisah ini.

Khabarnya, empanada di bawa oleh masyarakat Galicia di Portugal ke Argentina. Kenyataan ini ada asasnya, kerana bangsa Eropah pertama yang tiba di Argentina adalah bangsa Sepanyol – bersebelahan dengan Portugal. Malah, di kebanyakkan negara Eropah, terdapat versi epok-epok mereka sendiri! Umpamannya di Scotland, epok-epok mereka disebut bridie, manakala di Britain disebut pasty, dan di Itali pula epok-epok dipanggil calzone.

Empanada ini boleh dikesan kemunculannya semenjak zaman Andalusia lagi – wilayah terletaknya Sepanyol, Portugal, Gibraltar dan Perancis kini. Sebuah buku masakan pada tahun 1520 dalam bahasa Catalan yang berjudul Libre del Coch karangan Ruperto de Nola, menyatakan bahawa empanada adalah pastri (tepung yang diuli dengan air) yang dilipat dengan inti yang berbagai – ayam, daging, sayuran, dan makanan laut. Ada pandangan yang mengatakan resepi ini berasal daripada Samosa di India. Akan tetapi, jika kita ke Vietnam, pasti kita akan berjumpa dengan ‘epok-epok’ sebagaimana di Malaysia bentuknya, cuma di sana makanan ini dipanggil Bánh xếp.

Rupa-rupanya epok-epok berada di mana-mana sahaja di seluruh dunia, maka pastinya sukar untuk mendakwa epok-epok lebih asli daripada empanada atau calzone. Makanan, sebahagaimana produk lain kebudayaan – tarian, pakaian, dan lain-lain – merupakan hasil daripada pertembungan dan perkongsian kebudayan yang berbeza. Budaya tidak pernah tunggal atau statik. Sepanjang pengamalan sejarah, manusia bertemu, berkongsi dan saling berbagi rasa serta makna. Begitulah halnya dengan karipap. Jika kita boleh bersetuju berkenaan karipap ini, maka akan lebih mudah untuk membincangkan persoalan kebudayaan yang lebih sulit – kerana asasnya adalah sama, tiada yang seluruhnya milik kita.

Apa yang lebih penting daripada mencari tempat asal-usul epok-epok ini adalah untuk menikmati dan merayakan semuanya – karipap, bridie, pasty, calzone, pastelitos dan catibías serta Bánh xếp.

Selamat menjamu selera, bon appetit! 

 Artikel ini pertama kali diterbitkan di http://prisma.com.my/

2 Responses

  1. boleh tak buat entri pasal cekodok plak? hehe

  2. thank you…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: