Realisme dan Humanisme dalam Penulisan

Truly great literature loosens the tongue of the dumb and opens the eyes of the blind. It makes man conscious of himself and of his destinies.”

-George Lukacs, Gorki’s Human Comedy

Menggambarkan sesuatu yang nyata dalam sajak-sajak dan cerita-cerita pendek mahupun novel belum bererti satu ciptaan yang mengandung realisme…Kekejaman daripada masyarakat yang tidak adil menjadi perhatian. Perbezaan kelas dan keburukan rakyat murba menjadi bahan cerita.”

-Asraf, Esei Sastera ASAS 50’

Sesungguhnya manusia selalu menjadi mangsa tebusan kepada kehidupan, atau ‘realiti’. Pengurungan ini semakin mencengkam dan melemaskan apabila kita melintasi ke alam kedewasaan dan selanjutnya.

Fitrah manusia seperti satu proses perjalanan logik, yang pada akhirnya hanya sama ada akan menjadi mesin atau binatang, atau kedua-duanya. Manusia sebagai mesin di mana fungsinya sebagai tenaga buruh yang keterasingan dalam struktur ekonomi kapitalis dan consumeris. Ataupun kondisi seorang wanita yang mendiamkan diri dan bertahan dengan tingkah laku pasangannya yang bebas membahagikan perasaan cintanya dalam masyarakat yang patriaki.

Tetapi kondisi manusia yang sebegini ternyata jauh sekali daripada apa yang benar. Ia tidak boleh dengan senangnya dijadikan realiti. Sebaliknya apabila sesuatu tulisan ingin menceritakan dan menjelaskan realiti maka unsur-unsur sebegini yang digambarkan, yakni manusia yang mempunyai kewajipan dan fitrah yang asasi sedemikian.

Penulisan, jika berdasarkan garis ini, menjadi dangkal dan tumpul.

Dalam ruang realiti, mesti ada dialektik. Jika ada yang ditindas, mesti ada yang menindas. Sekiranya ada yang miskin, mesti ada yang kaya. Dan kalau ada kemiskinan, mesti ada kekayaan. Sama juga dengan ketidakadilan, mesti ada keadilan. Apa yang adil, dan apa yang tidak adil.

Kerana itu dalam mengambarkan sesuatu realiti, perlu ada keberpihakan. Satu pendirian di mana solidariti, atau kepedulian untuk golongan yang dibungkam perlu diambil dan dipertahankan. Penulisan perlu mengambil peduli dan mempunyai kepedulian dengan berpihak kepada mereka yang miskin, tidak berkuasa dan tiada keistimewaan sosial.

Melalui dialektik dan keberpihakan, lantas akan mencetuskan unsur kesedaran dalam penulisan dan pembaca tentang kondisi masyarakat yang tidak adil, rasis, patriarki, feudal dan moralistik.

Kebangkitan kesedaran perlu ada dalam semua penulisan. Kerana itu yang memberikan jiwa, cita rasa dan keindahan kepada suatu hasil gambaran realiti. Ini mengungkapkan bahawa adanya daya tahan dan sifat kemanusiaan dalam masyarakat kita untuk memperjuangkan dan merebut nilai-nilai keadilan, kesamarataan dan pemeliharaan martabat manusia.

Proses dialektik dalam gambaran realiti, turut menempatkan sama elemen pernentangan dan protes dalam isi penulisan. Oleh itu proses dialektik bukan sahaja menimbulkan nilai kesedaran, tetapi juga menghasilkan nilai estetika, gaya dan isi dalam penulisan yang lebih kreatif dan ke depan.

Keinginan dan kebolehan untuk menulis dan mengambarkan realiti dalam bentuk sebegini hanya dapat wujud sekiranya kita mengambil kerangka pemikiran dan pendekatan menulis yang khusus yang tentunya membina dan mempunyai tahap yang tinggi, yakni mempunyai etika dan prinsip yang betul dan jelas.

Rata-rata ini terdapat kecenderungan untuk mengangkat dan mencontohi, atau berfikir dan menulis, sama ada secara sedar atau tidak sedar, mengikut pemikiran dan penulisan eksistentialisme. Walaupun mungkin penting dan mempunyai relevannya di tempat yang lain, di sini pemakaiannya tidak kena, terlalu santai dan sekilas lalu. Fahaman eksistentialisme ataupun pasca-moden ini mengabaikan keperluan dan gerakan massa dengan memberi perhatian kepada self-ego, bersifat individualistik dan berkisar mengelilingi masalah-masalah yang tidak berpaksikan materialisme.

Oleh itu apabila penulisan mendasari kerangka ini, dengan tujuan untuk memberi gambaran realiti yang sebenarnya, hasil dan akitbatnya adalah untuk mencorakkan suatu realiti yang lebih terpisah, terasing dan suram. Dengan kepercayaan bahawa jika ini dilakukan manusia akan lebih rapat dengan realiti dan kondisinya, dan seterusnya lebih bebas dan asli.

Golongan yang setiap hari ditindas tidak perlu diingatkan tentang penindasan ini melalui pembacaan. Mereka yang miskin tidak perlu diingatkan bahawa mereka miskin. Kumpulan yang tidak mempunyai tempat dalam hierarki ekonomi dan sosial tidak perlu diingatkan dan diajukan pemikiran mereka terhadap keadaan ini yang mereka lalui setiap hari.

Kerana itu, dalam soal ini hatta perlu ada pegangan kepada ideologi humanisme.

Ideologi yang meletakkan manusia sebagai individu yang dapat berfikir dan mempraktikan refleksi-diri  Dengan adanya refleksi-diri ini jadi wujudnya juga sifat kritikan-diri. Ini menjadi tunjang kepada kepercayaan bahawa manusia dapat menentukan hala tuju dan nasib dirinya sendiri dan masyarakat sekelilingnya. Kehidupan dan realiti, bukan diterima sahaja dan diceritkan kembali dalam bentuknya yang kasar, lucah, dan merendahkan serta menjatuhkan martabat manusia.

Tetapi untuk mengisahkan dan merencanakan bahawa walaupun dalam setiap keadaan manusia yang tragis, menyedihkan, penuh dengan kebencian, pergaduhan, penghinaan, buntu, dalam ketakutan, kegelisahan, dan ketiadaan harapan, masih terdapat pegangan dalam hati dan jiwa seseorang individu itu dan masyarakatnya. Pegangan yang mempercayai bahawa kehidupan ini adalah bermakna dan dalam kemiskinan, kezaliman dan kegelapan yang bagaimana dahsyat dan buruk sekalipun, adanya nyalaan semangat ketabahan dan daya tahan manusia untuk memperjuangkan dan menegakkan yang adil, yang benar, dan yang indah.

Dunia dan realiti yang sedia ada adalah milik kita dan harus diubah. Semua pemikiran yang membantutkan gerakan dan perkembangan masyarakat perlu dilawan, tidak kira fahaman eksistentialisme, fahaman taat membuta tuli kepada golongan raja, sikap taat setia  mutlak kepada lelaki, dan ideologi yang mengukuhkan kebergantungan kita kepada kuasa modal serta golongan agamawan yang rasis dan otoriter.

Dan dalam soal ini, kita berpegang kepada ideologi humanisme revolusioner tanpa segan silu dan tanpa rasa apologetik.

One Response

  1. Reblogged this on truleeunique and commented:
    This is precisely what I meant to say in the Forum, and everything else prior and after. Thank you, Ken.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: