Sastra untuk Masyarakat

“We must not stand with folded arms admiring it, but do all we can to make it possible for others to live better in the future, since we could not possibly live.”

-V.G. Belinsky, Selected Philosophical Works

“Ditinjau dari sudut pandang ini, pemberontakan seni berarti seni menjadi media bagi terciptanya kebebasan. Dalam struktur masyarakat yang menindas, seni diciptakan sebagai media penyadaran bagi rakyat menindas, dan seni semacam ini jelas sekali keberpihakannya terhadap rakyat”, demikian ujar Eka Kurniawan dalam tulisannya tentang Pramoedya. Mungkin ada antara mereka yang tidak setuju sisi pandang seni sebegini, bahkan boleh dikatakan sebagai mendesak dan melampau.

Tetapi ia mengingatkan kita kembali kepada suatu tradisi yang pada satu ketika dahulu telah berakar di tempat ini sebelum dicabut dan ditelan masa. Perkembangan ekonomi dan fizikal yang dikecapi oleh negara seperti satu sumpah yang melanda tanah air tercinta ini. Di bawah kelipan cahaya kota dan kesibukan masyarakat bergiat berlaku keruntuhan – satu kecelaruan dalam makna dan hala tuju hidup sebagai sebuah masyarakat.

Bahawa ini terjadi tidak lain tidak bukan lahir daripada pegangan kita terhadap budaya secara keseluruhannya, dan seni dan sastera atau penulisan secara khususnya.

Budaya, apabila terbantut dan dirosakkan, menyebabkan seni dan sastra menjadi mandul dan seterusnya bisu ketika berhadapan dengan penindasan, ketidakadilan dan pemecahan solidariti yang berleluasa dalam masyarakat.

Kemandulan ini berlaku apabila, pertama, ia mendekati diri dengan kekuasaan dan dipergunakan untuk mempertahankan status quo, yakni kedudukan mereka yang memegang tampuk pemerintahan dan dengannya kekayaan ekonomi. Keduanya apabila ia dihasilkan semata-mata untuk melayani tingkah laku konsumerisme dan pasaran massa. Ada yang akan mengatakan bahawa ia tidak semestinya begitu dan setiap aliran mempunyai sasaran atau tumpuan yang khusus. Namun, penerbitan seperti ini membawa kesannya yang tersendiri seperti yang pernah dinyatakan di ruang dan tempat lain.

Dan ia mengalih tumpuan kita daripada kepercayaan bahawa seni dan sastra mempunyai peranan yang khusus, yakni fungsinya sebagai medan pertembungan idea dan saluran untuk membangkitkan kesedaran masyarakat. Mengambil sastra, ataupun apa bentuk tulisan, sebagai contohnya, ia mesti mempunyai ideologi. Ia harus mengambil pendirian – pendirian yang menjurus kepada kebersamaan dengan mereka-mereka yang dipinggirkan.

Dalam mengambil pendirian, maka wujudnya sastra yang melawan, sastra yang memberontak terhadap segala jenis norma, pemikiran, tingkah laku, dan kekuasaan yang mengekang dan membendakan manusia dan masyarakat. Dalam soal melawan dan memberontak ini ia tidak bererti pergelutan dalaman atau psikologi seseorang individu itu semata-mata. Semestinya bukan penceritaan psikonalisis dan ungkapan metafora-metafora penyeksaan dalaman hati dan minda yang berapung-apung di awangan. Tidak sama sekali. Dan ternyata sekali bukan naratif-naratif kisah harian seseorang Don Juan dengan gadis-gadis yang berjaya dijinakkannya dan dalam proses itu menemui dan berjaya merungkai erti makna Phenomenology of Spirit.

Tidak setakat itu. Di sini sastra berpihak kepada golongan yang ditindas, golongan yang dipijak, golongan yang mengalami ketidakadilan, dan golongan yang dilarang daripada bersuara. Ini komitmen sosial sastra kepada masyarakat. Satu ideologi sastra yang komited terhadap kondisi manusia.

Sastra yang dihasilkan mesti memegang kepada dan menegakkan suatu lingkungan minima nilai-nilai universal, yakni nilai-nilai keadilan sosial, kesetaraan manusia dan kesetaraan gender. Dalam konteks Malaysia, ini bermakna menyatakan pendirian kita untuk menolak segala jenis; layanan dan dasar yang berlandaskan kaum, keistimewaan yang dikuasai hanya oleh kaum bangsawan, pentakrifan agama yang sempit, dan diskriminasi berasaskan gender.

Sekiranya ada pemberontakan atau revolusi, mesti ada individu-individu dan kelompok-kelompok yang mendorong gerakannya. Di Russia, sekitar kurun ke-19 adanya Vissarion Belinsky, Alexander Herzen, Nikolay Chernyshevsky, Mikhail Bakunin, dan Ivan Turgenev. Kalau di Indonesia pada 1940an dan sekitarnya ada Sutan Alisjahbana, Chairil Anwar, Pramoedya Ananda Toer dan Sitor Situmorang.

Di tanah air ini, pada suatu ketika dahulu, wujud juga kelompak ini. Golongan muda yang mempunyai keberanian moral dan semangat untuk mengibarkan panji kebebasan dan keadilan melawan golongan feudal-beraja, penjajah dan ketidaksetaraan masyarakat. Antaranya Keris Mas, Ahmad Boestamam, Asraf dan Usman Awang.

Meskipun begitu, kita telah lupa akan tradisi ini. Betapa jauhnya dan dalamnya kita telah hilang memori melawan yang berpangkal dalam budaya masyarakat Malaysia dari dulu lagi. Banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk menghasilkan tulisan-tulisan yang cergas, bertenaga, melawan, dan berselera – bukan untuk mengejar nama, populariti atau kekayaan, tetapi kerana itu satu-satunya pena sahaja yang ada di tangan kita.

One Response

  1. Reblogged this on truleeunique.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: