Kaum dan budaya (Cina) yang terhina dan durjana

“…The Russian people is right. It sees in writers of Russia its only leaders, defenders, and saviours from the darkness of Russian autocracy, orthodoxy, and nationalism. It can forgive a bad book, but not a harmful one.”

-Vissarion Belinsky, Letter to Nikolai Gogol, 1847-

Dalam karyanya Black Skin White Masks, Frantz Fanon menceritakan sejarah dan proses bagaimana golongan yang berkulit hitam diperhambakan dan ditindas untuk sekian lama oleh kaum kolonialis Eropah. Tahap pemikiran dan kepercayaan yang dipegang sebegitu merendahkan mereka sehingga – hanya kerana mempunyai warna kulit yang berwarna hitam – tidak dilihat sebagai manusia yang mempunyai hati nurani moral dan perasaan bahkan dipandang sebagai binatang. Kumpulan haiwan yang paling dekat dengan saudara-maranya: kera, gorilla dan monyet.

Bagi Fanon, tindakan ini berpunca daripada pelbagai faktor, dan antaranya adalah akibat daripada cara pandang golongan ini yang memandang hina dan serong terhadap sejarah dan kebudayaan mereka sendiri.

Oleh itu apabila kita terbaca tentang undangan Barisan Nasional Pulau Pinang kepada Psy untuk datang ke Pulau Mutiara bagi mempertontonkan rakyatnya sempena sambutan tahun baru Cina, kita bertanya adakah kita semua disumpahi untuk menghadapi kitaran abadi memperlekehkan perkongsian kebudayaan kita bersama? Bukan cara hidup orang lain, tetapi budaya nasional rakyat tanah air kita sendiri.

Maka apabila pengumuman acara ini dibuat dengan riuh rendahnya dan diheboh-hebohkan melalui  media massa kita sudah dijanjikan dan pasti bahawa apa-apa titisan jiwa dan budaya yang tertinggal telah lenyap sama sekali.

Adakah dengan cara begini, menjemput pelakon sandiwara komersial berpentas, untuk meraikan sejarah dan memori bersama rakyat Malaysia? Melalui perkiraan faedah mata wang, pelancongan dan publisiti?

Ketika ini apabila rakyat massa bertarung di kota-kota konkrit untuk mengerjakan pendapatan supaya mak dan ayah apabila sampai di rumah nanti dapat menyediakan pinggan nasi dan sayur untuk anak-anak kecil yang tunggu di rumah?

Tidakkah si penguasa kecil dan sang penguasa besar di Putrajaya sedar tentang pergelutan hari-hari rakyat terbanyak dan bahaya yang perlu dihadapi setiap hari di jalan raya yang kian sesak dan melemaskan semua yang menggunakkannya?

Bagaimana dengan anak-anak muda yang hutang keliling pinggang perlu membayar hutang PTPTN, menyara keluarga, orang tua mereka, beli rumah dan kereta supaya yang tercinta dapat perolehi taraf hidup yang selesa dan membangun?

Di saat apabila di Eropah pemerintahan-pemerintahan di sana cuba sedaya upaya untuk mengurangkan dan minimakan perbelanjaan yang berlebihan, si penguasa kecil di sini dengan dukungan sang penguasa besar melihat ada perlunya untuk menyambut tahun baru di sini dengan sebegini rupa? Ini ideologi pemikiran yang dipatuhi oleh pemerintahan di sini untuk sekian lama: kalau ada masalah, belanja dan belanja lagi untuk mengembirakan semua. Walaupun pada hari esoknya, hidup kekal terseksa dan diperkosa.

Kita pada hari ini telah hilang segala hala tuju untuk mengangkat budaya dan luahan kebudayaan sebagai alat bagi memperdayakan rakyat massa. Untuk menanam sifat menghayati nilai-nilai kemanusiaan dan martabat manusia. Supaya kita dapat berhenti seketika, dalam pada masa meraikan dan menziarahi teman-teman bumi tercinta ini, bagi merenung dengan ikhlasnya sejenak kepayahan dan penderitaan mereka yang miskin, dipijak dan ditendang sana-sini.

Seperti yang disuarakan dalam Sahabatku oleh Usman Awang, antara petikannya:

Sahabatku,

Suatu bangsa merdeka yang kita impikan

Terasa masih jauh dari kenyataan

Kemarahanku menjadi kepedihan

Bila kita dipisah-pisahkan

Jarak itu semakin berjauhan

Aku dapat gelaran ‘bumiputera’ dan kau bukan

Percayakah?

Aku dapat pula mendengar detak jantungmu

Detak jantung yang dulu

Kehidupan baru untuk masyarakat baru

Impian suatu bangsa merdeka

Kebenaran dan keadilan yang sama

Sebagaimana pesan nenek moyang:

‘Hati kuman sama dicicah

Hati gajah sama dilapah’.

Dan jangan kita lupa bagi mereka yang denyutan masa sudah dihentikan dan terhenti, dan membuat ‘tahun baru’ tidak bermakna apa-apa lagi: keluarga Sugumaran, keluarga Kugan, keluarga Aminul Rashid, keluarga Sarbaini, keluarga Teoh Beng Hock, dan yang lain-lain lagi.

Selamat Tahun Baru Cina semua.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: