Hanya Nombor

Saya masih ingat lagi. Waktu kami kerap bergaduh. Kami masih kecil lagi pada masa itu. Tahunnya 1998. Semuanya gilakan nombor 10 kerana itula nombor jersei Zinedine Zidane, pemain tersohor negara Perancis. Ya, selain melahirkan penulis-penulis besar seperti Camus, Foucault dan Balzac negara ini juga terkenal untuk pasukan bola sepaknya. Tapi kita tidak minat dengan mereka-mereka ini. Penulis? Saya, dan kawan-kawan yang lain lebih berminat dengan nombor.

Di negara ini tulisan dan perkataan tidak penting. Yang lebih penting lagi adalah nombor. Ia kerana dikatakan kunci kepada bidang-bidang kritis lain seperti sains dan teknologi maklumat. Secara peribadinya, saya tidak pernah suka nombor. Walaupun saya gila-gilakan Zinedine Zidane dan pasukan Perancis. Mungkin juga kerana semua kaum kerabat ancient regime ‘dipisahkan’ kepala mereka semasa Revolusi Perancis. Tapi saya masih terlalu kecil untuk fahami semua itu.

Nombor-nombor ini mengikuti saya sepanjang hidup saya. Ya, saya teringat ada sekali. Amat sakit dipukul oleh mak saya kerana gagal dalam ujian matematik di sekolah. ‘Kalau nak jadi kaya dan miliki syarikat besat seperti towkay-towkay Cina, belajar dan hafal betul matematik yang cikgu ajar’. Mungkin mak saya tidak tahu. Towkay Cina ini bukan kaya sebab hafal matematik cikgu di sekolah, tetapi sebab pandai bahasa bodek dan dekat dengan orang-orang Melayu tertentu. Tapi saya terus diam sahaja. Kerana saya masih kecil pada masa itu.

Meskipun begitu saya masih keliru sehingga ke hari ini. Saya ada seorang kawan. Nama dia Kalai. Dia bercerita kepada saya semasa di sekolah dia dimarahi oleh cikgunya. ‘Listen, listen, listen !,’ dikatakan kepadanya. Ini yang membuat saya bingung. Kami tidak pernah digalakkan untuk pelajari bahasa. Apatah lagi bahasa Inggeris. ‘Bahasa penjajah feudal,’ pernah sekali kata pak Mochtar kepada saya. Orang-orang di kampung menasihati saya supaya jangan dengar cakap pak Mochtar itu. Gila orang tua itu kata mereka.

Banding dengan kami, pak Mochtar tidak suka dengan nombor. Dia suka bercakap dan menulis. Pernah satu kali di rumahnya saya terdengar seorang lelaki bercerita. Namanya Eka Kurniawan, menceritakan tentang seorang lagi, bernama Pramiedya atau Pratuya, tidak berapa jelas. Katanya sastera dalam masyarakat sangat penting. Di masa masyarakat ditindas sastera harus mengungkapkan kebenaran dan keadilan bagi mereka yang miskin dan menderita.

Citra nilai kemanusiaan ini tidak asing. Seperti watak Natasha dalam karya One Autumn Night oleh Maxim Gorky, yang berkongsi roti dengan dan memanaskan badan si pencerita pada malam yang teramat dingin walaupun langsung tidak mengenalinya sebelum itu.

Keadilan? Kebenaran? Kemanusiaan? Perkataan-perkataan ini semua asing bagi kami. Yang hanya tahu mengira dan mengenali nombor. Angka. Mata wang. Modal. Untung. Saham.

Pernah sekali juga saya dimarahi dengan teruk kerana mencuri baca tulisan Usman Awang. Saya tidak ingat semua, tapi sebahagiannya berbunyi begini:

“Saya memilih dan memihak kepada golongan serta gerakan yang ingin mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan, menegakkan perdamaian sejati, yang memperjuangkan pembebasan serta keadilan bagi bangsa dan masyarakat yang tertindas…Penyair yang…bukan juga…menganggap dirinya pahlawan, tetapi kerana dia tiada…jalan lain dan tidak ada pilihan lain untuk menulis puisinya.”

2 Responses

  1. kalau no 7 acane?

  2. no 7 biasanya kaki perempuan..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: