Tentang Catitan dan Cinta

Oleh: Arjuna Dharmawijaya

Atas nama tuhan – pada setiap bermulanya kejadian.

Cinta itu pengharapan.  Barangkali, itulah hal yang menyorot kita untuk menjadi semakin berubah.  Aku percaya, kemanusiaan tidak akan hilang dengan cinta. Cinta mengajak kita menerokai ruang-ruang yang paling intim dalam proses yang semakin menjadi – memanusiakan manusia dan pada hal yang lain, memberi kata hayat tentang hubungan waktu dengan alam. 

Cinta, pada satu sudut yang lain – mengajar manusia untuk memaknai segenap persoalan alami. Misalnya, memberi keyakinan bahawa erti hidup ini menjadi erti.  Itupun, kalau kita sedar bahawa hidup adalah untuk mencari jawapan yang serba ketidakpastian. Jadi, pada cinta – kita sandarkan segodam pengetahuan yang memaknai hidup ini supaya dengan harapan, kita masih punya inkuiri untuk berubah.  Lagikan pula, kita sering merasakan bahawa cinta adalah hal yang perlu dikerjakan. Mungkin, pada ranah kemanusiaan – cinta adalah suatu hakikat yang memisahkan manusia pada kata yang lain. Namun, aku percaya bahawa cinta bukan sekadar kata-kata indah, kerana lebih daripada itu, ia berkunjung dari noktah kepada noktah yang lain. Jadi,  tafsiran pada ‘cinta’ itu sendiri bertingkah pada ruang dan waktu. Lantas, merencanakan kemahuan manusia untuk sedia berubah. Dan, itu adalah suatu kepastian yang jelas.

‘Innama A’amalu Bin Niat’ –  Dan segala amal itu bertitik daripada ‘niat’ menuju noktah. Pramoedya Ananta Toer pernah sekali berpesan – ‘Menulis itu mencipta keabadian’. Di saat manusia alpa dengan keseharian hidup yang masing-masing, tulisan hadir seperti jasad untuk manusia saling mengingati. Maka, ada benarnya kata Pram. Tulisan bergerak pada setiap ruang yang ‘rentas-masa’. Lantas, ia diturunkan pada hayat-hayat seterusnya. Tanpa tulisan, kita bukanlah siapa-siapa. Jadi, coretan ini setidaknya memberi pengertian bahawa kita masih lagi bercitrakan manusia selama-mana kita menulis.

Menulis pada bingkai yang lain, adalah romansa cinta yang pernah hilang bagian jasadnya. Jadi – Ada apa dengan menulis?  Sampai di suatu ketika, kita pasti akan resah pada kunjung masalah yang tiba dan terus tiba. Setidaknya, penulisanlah yang memberikan kata  kejujuran – selagi mana kita bernama manusia, catatan seorang penulislah yang sedia mengingatkan kita pada hal-hal yang lampau. Mungkin,  bisikan WS Rendra ‘perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata’ boleh dipecah-pecahkan kepada dua dimensi persoalan yang berbeza. Pertama, engkau dan aku tentu tertanya-tanya: kata-kata manakah yang mahu dilaksanakan?  Kedua, pelaksanaan manakah pula yang mahu dikata-katakan? 

Begitulah rumitnya menulis – pada sudut yang lain, itulah kerumitan bercinta. Jadi, apa kena mengena antara tulisan dan cinta? Hal ini sering membuatkan aku termenung. Dalam banyak hal lain yang belum selesai, aku sejenak runsing memikirkan apakah ada hubungan sakral pada dua keadaan ini – cinta dan tulisan. Sebelum itu, baik kita kembali membina makna tulisan pada cinta. Dan, dari segala hal yang lanjut – bukankah Al-Quran, wahyu yang dipinjamkan tuhan juga adalah risalah cinta yang paling teragung bermuara dari ‘kata-kata’. Malah, ayat pertama yang diwahyukan tuhan pada utusanNya berbunyi ‘ (Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Lanjut, kita ketahui bahawa Tuhan sendiri mengajari manusia pada pena dan tulisan (dengan tafsir literal) tentang apa yang tidak diketahuinya. Di sini – Tuhan seolah-olah memberi isyarat langsung pada manusia, samada sedar atau tidak bahawa ‘pena’ adalah simbolik pada cinta yang paling mahabbah.  Barangkali – Rainer Maria Milke adalah contoh terbaik yang paling memuaskan kita untuk meredam persoalan ‘tulisan’ dan ‘cinta’. Duino Elegies(1922) – kumpulan sajak dan syair yang ditulis Rainer Maria Milke sepanjang tahun 1921-1922 ditanggapi sebagai salah satu ‘tulisan cinta’ yang menakjubkan pernah dihasilkan pada abad ke 20 di Eropah. Malah –William H.Gass  -seorang esais, novelis, dan filsuf terkenal (juga seorang penterjemah) dari Amerika – telah memperlihatkan seni dari penerjemahan suatu karya sastera, sekaligus Duino Elegies karya Rainer Maria Rilke – sebagai karya yang sangat luar biasa untuk dihadam (untuk inzal barangkali).

                Rainer Maria Milke di dalam tulisannya seraya puisi-puisi romantisnya – memimpin kita untuk menelusuri kepada alam penghidupan yang arbai’e(empat). Pertama, Rainer menjejakkan pembacanya untuk mengerti bahawa hidup tidak selamanya indah – lantas, ketidakindahan hidup itu sebenarnyalah adalah jelmaan cinta. Ini dipetik menerusi Wer, wenn ich schriee, hörte mich denn aus der Engel Ordnungen?” (Who, if I cried out, would hear me among the angelic orders?).  Milke barangkali ekspresif di dalam bait ini. Dia merasakan keresahan pada kesedihan yang beliau amati – mungkin tiada tara bagi mereka yang lain, kalau menurut fahamnya tentang kesedihan. Duino Elegeis – khususnya pada bait-bait yang  dipetik di atas – membina makna dalam dua.  Pertama, Milke tampil secara ekspresif menyatakan kesedihan (Who, if I cried out -dengan menganggarkan perbuatan yang menangis itu) dan kedua, beliau menyatakan pengharapan ( would hear me among the angelic orders? –aduan pada para malaikat untuk mendengar rintihnya).

                Kedua, Milke menarik kembali tangan para pembacanya untuk sama-sama saling memahami bahawa cinta juga dekstruktif. “Denn das Schöne ist nichts alsals des, Schrecklichen Anfang, den wir noch in der Lage zu ertragen,und wir verehren es so, weil es gelassen verschmäht,uns zu zerstören.”   [For beauty is nothing but, the beginning of terror, that we are still able to bear,and we revere it so, because it calmly disdains,to destroy us.] Sepertimana dilihat, Milke menggugah faham cinta itu sendiri pada tingkat yang paling nihil (kecewa) pada harapan yang serba tak diketahui. Milke seakan-akan datang mengendeng, lalu menjerit bahawa ‘tiada apa yang lebih menakutkan selain cinta’. Jadi, pada tulisan inni, Milke sekali lagi memukau dengan gelonjak perasaannya pada [C]inta.

                Ketiga, Milke menintakan bahawa setiap detik percintaan itu pasti ada pengharapan pada setiap pengakhirannya, ini dapat dicium menerusi bait – “Werfen die Leere aus den Armenzu den Räumen, die wir atmen hinzuzufügen, vielleicht die Vögel,wird die Ausdehnung der Luft, in intimer Flug fühlen.” [Throw the emptiness out of your arms, to add to the spaces we breathe;  maybe the birdswill feel the expansion of air, in more intimate flight.]. Milke, dalam bait ini membuang keresahan pada ‘cinta’. Dia memerhatikan bahawa ‘Ada’ pada cinta itu, membukit pada ranjau tetapi di sebaliknya itu – ia kekal pada keadaan yang membawa ketenangan. Dan begitulah Milke, beliau mampu mendobrak pemahamannya pada suatu noktah yang paling negatif, kemudian dia membangun faham pada ekspresi yang baru.

                Keempat, Milke mentafsir cinta sebagai ‘kelahiran semula’. Ini diperhatikan menerusi – ‘beginnen, immer neue, lobte das Unerreichbare: denken: der Held verlängert sich, auch seine fallen, war nur ein Vorwand für Wesen, seine neueste Wiedergeburt.’  [Begin, always as new, the unattainable praising: think: the hero prolongs himself, even his falling was only a pretext for being, his latest rebirth.] Di sini, sekali lagi Milke mengotakan imaginasi beliau tentang cinta sebagai kelahiran semula. Cinta – barangkali mahu disampaikan oleh Milke sebagai nafas yang ditiupkan semula ruh ke dalam sebuah jasad. Shahdan, cinta bagi Milke di dalam bait ini diumpamakan seperti ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’. Dalam bisik lain, apa makna zeitgeist(semangat-zaman)  pencerahan (Enlightenment) kalau bukan muaranya penggelapan (Inquistion) pada abad ke-16 di Eropah. Seolah-olah begitu. Bukan!!

                Jadi,  pena – membawa kita pada suatu hal yang lain. Samada memaknai cinta sekaligus membunuhnya. Aku, kalau punya pilihan. Tentu sahaja, aku memilih pada yang pertama. Mungkin aku belum punya apa-apa keberanian yang lain selain daripada menulis. Menulis bagi aku, bukan mencipta keabadian tetapi membenarkan keabadian untuk diraih – pada cinta atau sebaliknya. Sekali, menulis juga mengajar kita untuk saling berpesan dan mengingati, bahawa setiap detik daripada hidup ini adalah pengharapan. Maka, dosa manusia paling besar tentu bukan membunuuh fizikal mahupun jasad, tetapi adalah membunuh harapan.  Noktah.

Buat FF,

 Tentang harapan,

Samada hidup menuju mati – di tengahnya ada kita untuk saling memaknai.

Salam dari N.                                                                                                                                     

3:03 4/10/2012

One Response

  1. perghh buat FF tu… hahaha

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: