Sunni, Syiah dan Ramadhan

Oleh: Alfian Zohri  (Anak muda yang meminati Malek Nor dan Remy Ishak, kini berkelana di Korea Selatan, menghayati K-Pop)

Saban hari semenjak tercetusnya revolusi di dunia Arab, tidak pernah lekang dari muka akhbar akan cerita tentang rakyat dan pemerintah. Cerita pembunuhan dan perlawanan antara kedua dua kelas tersebut. Dunia dikejutkan dengan kematian Kolonel Gaddafi dan berita perbicaraan Husni Mubarak. Akan tetapi intipati ceritanya kini telah berubah, cerita baru ini telah membawa rakyat dunia kepada kasus Sham (Syria) yang kian meruncing.

Ramai dari umat Islam khususnya dari Malaysia yang masih lagi beranggapan kasus di Sham adalah penentangan antara kelas mazhab Sunni dan kelas Syiah. Ini dapat dilihat dari laman sosial Facebook secara jelas ada yang memuat naik artikel artikel dan gambar gambar berkaitan dengan konflik antara kedua-dua mazhab tersebut. Ini adalah bacaan politik yang salah, secara realpolitik-nya konflik di Sham tercetus bukan kerana perbalahan mazhab, diulangi bukan kerana mazhab.

Benar, majoriti rakyat negara bekas mandat Peranchis itu bermazhab Sunni manakala pemerintahnya dari kalangan Alawis yang kita ketahui berfahaman Syiah adalah minoriti. Mengatakan konflik ini adalah komplot puak Syiah yang mahu menghapuskan pengaruh puak Sunni adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Bagaimana pula dengan Saddam Hussein seorang Sunni, yang mengeluarkan arahan membunuh seberapa ramai golongan Syiah sewaktu hayatnya di Iraq? Adakah dengan menyalahkan perbezaan mazhab antara satu sama lain dapat menyelesaikan konflik di kota kuno itu?

Di sini marilah kita berlaku adil. Dari bacaan akhbar telah kita ketahui munculnya gerakan “Free Syrian Army”. Tentera tentera ini adalah tentera kerajaan Sham yang bertindak mengundurkan diri dari terus membunuh rakyat Sham diatas arahan Bashar dan saudara kandungnya Maher selaku komander elit divisyen ke-4 askar Sham. Golongan Free Syrian Army ini terdiri dari pelbagai pangkat dari kelas atas dan bawah, kebanyakkannya dari bani Alawis. Jadi mengapa mereka bertindak keluar dari askar kerajaan sedangkan majoriti yang mati dibunuh adalah golongan Sunni?

Ini kerana tidak kira fahaman Sunni atau Syiah, kita semua adalah manusia, manusia yang dilahirkan dengan perasaan dan nafsu. Golongan yang bertindak keluar dari askar kerajaan Sham telah sedar bahawa pembunuhan massa yang sedang berlaku di kota kota seperti Homs dan Tremseh adalah perbuatan orang gila kuasa. Apakah adil menyalahkan segelintir golongan Syiah hanya kerana perbuatan pemerintah yang mabuk kuasa?

Adakah faktor Iran, Amerika dan Israel memainkan peranan di dalam konflik Sham pada ketika ini? Menyalahkan Amerika dan Israel adalah satu percubaan jalan singkat. Di dalam bahasa pasarnya disebut ‘potong line’. Peranan Amerika dan Israel di dalam konflik Timur Tengah seperti Palestin dan Lebanon sememangnya diketahui umum, Noam Chomsky dan Gilbert Achcar telah mengarang ‘Perilous Power’ mengenai dasar luar Amerika di negara negara teluk, oleh itu berkemungkinan wujudnya campur tangan Amerika ketika ini.

Akan tetapi sekali lagi marilah kita berlaku adil. Secara realpolitik-nya rakyat Sham telah bangkit menentang regim zalim Bashar dek kerana tempias revolusi Arab yang bermula dengan Tunisia. Rakyat Sham telah sedar bahawa masanya telah tiba untuk mendobrak kerajaan keluarga Assad dan rakyat Sham sendiri telah menerima pukulan yang maha hebat oleh kerana cubaan menggulingkan legasi Assad. Ribuan massa tidak kira usia telah mati dibunuh secara kejam saban hari. Ini adalah tidak lain hanya untuk melemahkan gerakan rakyat.

Gerakan rakyat yang mengambil jalan raya sebagai pentas politik adalah gerakan asli atau ‘genuine’. Tuntutan mereka jelas, lakukan pembaharuan di dalam sistem negara yang sudah porak-peranda. Sehubungan itu, menuduh konflik di Sham sebagai campurtangan Amerika dan Israel adalah sama seperti menidakkan kebangkitan rakyat yang dahagakan pembaharuan sekaligus adalah tidak adil bagi rakyat Sham kerana mereka telah berjuang dengan darah dan keringat bagi menuntut hak hak yang telah dirampas

Adapun tulisan ini dikarang bukanlah untuk membela Amerika mahupun negara haram Israel ataupun memenangkan mana mana mazhab. Cukup untuk berlaku adil serta tidak menyalahkan mana mana pihak secara membabi buta.

Sayugia diingatkan, proses pendemokrasian tidak boleh dicapai sekelip mata dan usahlah bermimpi untuk bertemu syurga dengan jalan ringkas hanya dengan menyalahkan mazhab itu dan mazhab ini.

Semoga Ramadan ini bakal menerangi.

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: