Antara Warung Kak Ana dan McD: Kembara Mencari Makan.


Oleh: Isz D’Barney

“…Only a life lived for others is a life worthwhile…”

(Albert Einstein, 1879-1955)

16 April 2012 – Hari ini, masharakat mempunyai banyak pilihan makanan untuk dinikmati. Pelbagai juadah tradisi, moden mahupun post moden boleh di dapati di mana-mana sahaja saban hari. Bak kata Adnan Sempit, “…di mana ada kemahuan, di situ ada highway…”. Warung Kak Ana adalah warung yang menjual makanan tradisi seperti nasi lemak, kuih-muih, Lempeng Kelapa dan lauk-pauk yang sangat enak dan boleh dinikmati oleh seisi keluarga di Bangi (khususnya bagi penduduk Seksyen 2).

Selain itu, McD pula, merupakan ‘kedai makan’ yang mempunyai cawangan di merata tempat. Sama ada di highway, Shopping Mall, kawasan Taman perumahan, kawasan Kampung, Lapangan Terbang dan di mana-mana sahaja yang menjadi tumpuan utama masharakat Malaysia yang pemurah ini. Kesimpulan awal, McD menjadi pilihan utama masharakat Malaysia berbanding Warung Kak Ana yang sentiasa terpinggir lagi dipinggirkan oleh masharakat Malaysia yang terlalu asyik dengan kemajuan. Apakah ini kesimpulannya? Fikirkan bersama!….

Latarbelakang Warung Kak Ana:

Lokasinya terletak di Seksyen 2 Bandar Baru Bangi. Menjadi pilihan bagi anak muda yang kool dan yang cenderung menjadi gagalist. Warung ini menjadi pilihan bagi diskusi kecil-kecilan dan port anak muda di Bangi, untuk membincangkan isu-isu semasa, presentation artikel-artikel baru (khususnya tokoh-tokoh yang jarang dikenali seperti Carl Smitt), presentation proposal PhD, juga strategi bermain bola, strategi mengayat awek dan strategi menumbangkan rejim yang berkuasa.

Ah!...Sembang je la lu!...

Warung Kak Ana adalah milik penuh (100% diusahakan oleh Bumiputera) Kak Ana, seorang Puteri UMNO dan ibu tunggal yang mana dahulunya membuka warung di kawasan Flat kediamannya, tetapi dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), kerajaan tempatan di bawah pentadbiran Negeri Selangor berikutan desakan Ketua Blok Flat PKNS (juga Ahli UMNO cawangan seksyen 2) disebabkan berlakunya Conflict of Interest antara Ketua Blok dan Kak Ana. UMNO sesama UMNO bergaduh, Kerajaan Pakatan Rakyat yang merobohkan warung, manakala anak muda dan penduduk setempat menjadi mangsa ekoran kedai makan yang paling sedap, murah dan dekat telah dirobohkan. Perkara yang amat dikesali sepanjang bermastautin di bangi.

Latarbelakang McD:

McD atau nama berdaftarnya McDonalds adalah sebuah perusahaan kapitalis berjaya yang diuruskan oleh warga tempatan yang terdesak dengan pekerjaan, yang perlu menyuapkan sesuap nasi untuk anak, bini mahupun suami yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Kewujudan McD di Negara-negara terpilih merupakan suatu mitos yang kononnya apabila adanya McD maka, Negara berkenaan aman dan damai. Apakah??? Meneruskan kembara mencari makan, McD dengan promosi juadahnya serendah RM5.95 untuk McLunch dan McDinner telah menambat hati warganegara yang pelbagai latar samada di peringkat pekerja kolar putih, kolar biru mahupun kolar berdaki.

Justeru, bagi meneruskan legitimasi menjadi pilihan populis dalam kalangan warganegara, McD telah memberikan hak untuk penggunaan perkataan “Mc” ini apabila kalah di mahkamah bagi penggunaan perkatan tersebut. Akhirnya McCurry dibenarkan beroperasi dan kemunculan beberapa jenama tempatan yang turut sama menggunakan perkataan seperti KFC (Kelantan Fried Chicklen) dan (Kedah Fried Chicklen) yang cukup sinonim di provinsi Bangi. Diteruskan lagi berkenaan perusahaan kapitalis McD, tawaran yang diberikan serendah Rm 5.95 ini telah menyebabkan selera masharakat di Malaysia terhadap “nasi” mengalami penurunan manakala yang menaglami peningkatan pula ialah obesity dan penyakit yang kurang kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Akibat terlalu banyak melantak McD

Hal ini disebabkan oleh, tawaran harga yang rendah terhadap menu yang dipromosikan telah menolak permintaan masharakat untuk memakan nasi. Sebagai contoh, kos untuk makan tengah hari sahaja buleh mencecah melebihi Rm 10 sekali makan (nasi= Rm 2, lauk ayam, ikan, daging= Rm 4 tidak termasuk udang mahupun sotong, sayur= Rm 2, pelbagai minuman= purata Rm2 dan keatas). Terus, jumlah secara total melebihi Rm 10 berbanding sajian McLunch McD (Burger/ayam/bubur +kentang goreng+ air berkarbonat = Rm 5.95) sahaja. Justeru, hal ini telah menyebabkan permintaan dan kemurahan harga yang diberikan menjadi pilihan bagi masharakat warganegaranya.

Siapa Mendapat Apa, Bila dan Bagaimana?

Pertembungan Warung Kak Ana dan McD seharusnya menjadi teladan bagi semua lapisan masharakat. Hal ini berlaku disebabkan 3 sebab yang boleh difikir oleh mahasiswa tahun 1 di IPTA. Pertamanya, Kerajaan Yang Tidak Ambil Peduli. Dalam, hal ini kerajaan terlepas pandang terhadap peniaga-peniaga kecil seperti Kak Ana dalam membantu merealisasikan hasrat, punca rezeki dan cita-cita mereka untuk menjadi seorang peniaga. Seperti contoh, Pihak Berkuasa Tempatan (Kerajaan Pakatan Rakyat) seharusnya tidak mengambil tindakan seperti mendenda dan merobohkan warung yang diusahakan oleh Kak Ana yang menjadi sumber utama beliau menyara kehidupan keluarga yang dihimpit dengan pelbagai masalah yang kita sendiri tidak tahu dan ambil peduli.

Lantaran itu, pihak-pihak berkenaan seharusnya mencontohi apa yang berlaku di Indonesia (tidak pasti provinsinya) apabila Hakim Marzuki menjatuhkan hukuman kepada seorang nenek tua diatas kesalahan mencuri ubi kayu.[1]  Apa yang pasti undang-undang masih dipelihara dengan baik namun secara alaminya, undang-undang itu bersifat mengawal dan bukan mengongkong. Kes ini seharusnya menjadi contoh teladan buat kerajaan dan masharakat semua agar nasib sebegini tidak terlepas pandang oleh semua pihak dan keadilan sosial untuk semua juga haruslah ditegakkan. Masharakat marhaen juga adalah masharakat. Tiada upaya untuk kita sisihkan apatah lagi tidak ambil peduli akan nasib yang menimpa mereka.

Keduanya, Pasaran Kapitalis Mencantas Peniaga Kecil Sederhana. Berikutan itu, ekonomi secara pasaran bebas secara tidak langsung telah menekan daya saing dan upaya peniaga-peniaga kecil sederhana ini untuk mencari sesuap rezeki. Seperti juga Kelab Terkaya di dunia mahu pun dirantaunya, Real Madrid dan Manchester City telah melumpuhkan hasrat kelab-kelab proletar seperti West Ham United, Portsmouth, Arsenal, Felda United, Shahzan Muda mahupun Diskopi FC dan lain-lain yang punyai cita-cita menjuarai Liga, mendapatkan segulung sijil penghargaan dan mendapatkan pemain yang berkualiti agar boleh bersaing secara sihat.

Semua tempat ada cawangan..Macam Nazi..

Namun apa yang pasti, dominasi dan monopoli pasaran harga telah menyebabkan golongan-golongan atau pasukan seperti ini terkesima bagaikan melukut ditepi gantang. Apabila berlakunya dominasi dan monopoli di dalam pasaran, maka persaingan di dalam pasaran menjadi tidak sihat dan pada pengakhirannya membawa peniaga-peniaga kecil seperti Kak Ana gulung tikar.

NO 10 Downing Street pun ada McD!

Ketiganya pula, Permintaan dan Penawaran. Dalam hal ini, seperti yang telah diterangkan di dalam pengenalan Warung Kak Ana dan McD, khususnya Mcd, tawaran serendah Rm 5.95 telah menyebabkan peniaga warung seperti Kak Ana dipinggirkan masharakat khususnya golongan-golongan berpendapatan tinggi dan golongan elit. Berdasarkan hal ini, peniaga kecil seperti Kak Ana tidak dapat bersaing dengan sihat dengan peniaga-peniaga lain disebabkan berlakunya permintaan dan penawaran di dalam ruang pasaran pada hari ini. Hal ini baru sahaja melibatkan faktor permintaan dan penawaran dan belum lagi diukur dengan faktor-faktor lain seperti iri hati pesaing, campurtangan oleh tangan-tangan ghaib yang mungkin tidak diketahui, ketirisan parti politik yang memegang kuasa mahupun keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan.  Permintaan yang tinggi terhadap tawaran yang diberikan seperti McD bukan sahaja memberikan impak terhadap pasaran ekonomi tetapi juga melibatkan peningkatan kadar penyakit yang berisiko seperti obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan keguguran rambut.

Siapa banyak makan fast food..Gemuk Macam polis ini..

M.Nasir di dalam lagunya “Suatu Masa” melirikkan, “…bagaimana harusku mula, dan apakah kata-kata, yang indah untuk diabadikan, tiap wajah berkisah, tiap madah bererti, manakah ilhamku…” Jadi, dalam artikel sulung bagi tahun ini, penulis melihat bagaimanakah permulaan yang sesuai untuk memerihalkan masalah yang dihadapi oleh masharakat marhaen seperti Kak Ana dalam meneruskan kehidupan mencari rezeki, dan bagaimana pula nasib bagi seorang anak muda seperti mahasiswa yang melaungkan slogan “Mansuhkan PTPTN” “Berkhemah di Dataran Merdeka!” dan “Pendidikan Percuma!!!” serta “Kerajaan Zalim” untuk meneruskan kehidupan yang semakin kompleks ini. Jadi dalam hal ini, penulis menemukan kebuntuan dengan kisah Antara Warung Kak Ana dan McD untuk memulakan dan mengakhirkan cerita disamping dapat memikirkan apakah cara yang terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan ini. Justeru, penulisan ini memerlukan kritikan dan jalan keluar yang sewajarnya yang boleh membimbing dan memberikan cahaya kepada Kak Ana dan mereka yang sebaris dengan Kak Ana untuk mendapatkan ruang dan peluang sekaligus memberikan keadilan sosial kepada mereka.

“…If you judge people, you have no time to love them…”

(Mother Teresa, 1910-1997)


[1]               Pertuduhan Kes Nenek Tua Vs Hakim Marzuki. Rujuk laman sesawang http://gerakantimur.blogspot.com/2012/03/mesti-baca-kisah-seorang-nenek-vs-hakim.html

8 Responses

  1. Kita buka warong 1malaysia.orang susah makan free.Minta bantuan Najib dan Petronas.ha ha ha

  2. Sebuah artikel yang menarik! Ini baru penulisan yang merakyat dan membumi!

  3. Menarik tulisan mail ni. Witty tanpa menenggelamkan isi-isi penting tulisan.

  4. kak ana ni pun sorang, nk meniaga tu apply la lesen… lepas tu salahkan pakatan rakyat tak jaga kebajikan. lepas tu, mengadu kat budak2 ni.. salah sendiri tapi cuba cari salah pakatan rakyat pulak. time umno dulu tak komplen? opps….

  5. Admin. Agak menyedihkan aku bila meratapi artikel ini hingga ke akhir dakwat penulisannya. Tiada kesimpulan dan seoalah-olah penulis juga atas pagar dan rasa serba tak kena untuk menyimpulkan satu penulisan ringkas padu ini. Anggaran aku, anda keliru nak menyifatkan kapitalis atau kurang pendidikan yang berada di pihak yang lebih deras. Tajuk ini seharusnya dikupas lebih mendalam. Mungkin ada susulan kedua, ketiga? Anda seorang pembaca buku dan perungkai literature review yang sangat baik. Bubuh sedikit sebanyak cadangan atau pandangan tak salah dengan niat untuk membetulkan pemikiran kurang optimis masyarakat malaysia. Termasuk aku.

    • KO ni ckp banyak la, suka hati dia la atas pagar ke bawah pagar. hah!. ni cadangan aku, ko buat je lagi wahai is artikel atas pagar..so banyak lagi berfikir dari atas pagar dan bukannya di bawah pagar yang menjadi mangsa kena tahi orang atas pagar.

  6. Buat Jembalanque,

    Aku rasa artikel ini sudah sangat-sangat bagus. Tidak banyak mahasiswa di Malaysia yang boleh menulis macam Isz D’Barney. Tulisan ini pada aku telah sukses mengabungkan nilai-nilai prosa yang menarik dengan lakaran penceritaan yang menawan. Kalau ko membaca the New Yorker, pasti ko tahu bahawa tulisan ini sangat berseni. Lainlah kalau ko tak tahu standard tulisan popular antarabangsa.

  7. Kenapa kak ana tak berjumpa dengan shafie makruh oops silap shafie apdal???…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: