Tatkala Pembebel Masuk ke Bilik Senat

Oleh Tukang Tonyoh

Syarahan Perdana, adalah pentas mulia. Ini adalah medan untuk membuktikan kesarjanaannya bagi seseorang pembentang. Kerana itu, medan ini juga dinamakan sebagai syarahan pengukuhan profesor.

Dalam sejarahnya, UKM ternyata memiliki tradisi Syarahan Perdana yang boleh dibanggakan. Bermula dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang membentangkan tentang “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”. Ini setidaknya, adalah sebuah tesis yang menarik untuk dipertimbangkan dalam khalayak Malaysia. Dalam rentang waktu yang berlalu, terdapat juga beberapa syaharan terkenal lain, terutamanya dari Shaharir Mohammad Zain, Abdul Rahman Embong, Shamsul Amri Baharuddin dan lain-lain. Masing-masing berani mengemukakan tesisnya yang mencabar dan mengajak hadirin berfikir. Kalau deksriptif sekalipun, tentu mereka disusuli dengan fakta-fakta analitik yang mantap. Umumnya, syaharan perdana adalah sebuah acara kemuncak yang benar-benar menobatkan keilmuan pembetangnya.

Hari ini, 13 April 2012 di Bilk Senat UKM, Syarahan Perdana kembali. Kali ini menampilkan Idris Zakaria, seorang profesor dari Fakulti Pengajian Islam (FPI). Tajuknya syarahan yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM ini memancing sekali: “Falsafah Politik Islam dan Kepentingannya di Malaysia”. Tajuk ini seakan bermula dengan harapan yang baik: untuk merangka sebuah gagasan kefalsafahn dalam merungkai pergolakan realpolitik di Malaysia. Ini hasratnya. Ini maksudnya. Tapi ini juga akhirnya menjadi sebuah masalah.

Dengan bermula secara deskriptif, syarahan ini memaparkan mengenai biografi ringkas beberapa filsuf Islam, seperti al-Ghazali, al-Farabi, Ibn Khaldun dan sebagainya. Tidak dinafikan latar mereka penting, sepertimana yang ditegaskan juga oleh pembentang. Namun malangnya, itu mati pada latar. Bukan hanya itu saja. Bahkan termasuk juga latar bidang keilmuannya. Memang ada tesis-tesis dari keilmuan filsuf ini dikemukakan, seperti al-Farabi dengan konsep negara yang baik. Tapi, untuk taraf Syarahan Perdana, adakah cukup untuk menceduk dari al-Farabi semata? Kenapa tidak dipermasalahkan al-Farabi tersebut? Dan, knapa tidak dikritiknya al-Farabi tersebut, atau setidaknya ditunjukkan pembaharuan yang boleh dilanjutkan dari teorinya? Ini semua pupus dari ucapan pembentangan tersebut!

Malah, apa yang diutarakan ini bukan semata merujuk kepada pengucapan, sebaliknya juga dari teks syarahan tersebut! Dalam teks yang diedarkan setelah acara selesai, jelas sekadar memuat dekripsi mengenai filsuf Islam. Sedar atau tidak, mereka yang hadir ibaratnya sedang bertandang ke sebuah kelas sejarah, yang sebenarnya kita boleh peroleh di mana-mana.  Tiada dimensi kritis dan analitis, walhal bukankah ini yang menjadi ajaran penting dari filsuf Islam? Jadi, kita harus berasa hairan, bagaimana boleh seorang yang membentang tentang filsuf kritis, tapi pembentang pula gagal untuk bersikap kritis? Ini sebuah kehairanan yang sangat menjolok. Apakah kita sudah kehilangan rasa segan terhadap nama ilmu? Atau, apakah kita sudah lali dengan keadaan demikian, sehingga telah gagal untuk mempraktikkan apa yang kita sebut? Mungkin kita sehari-hari memang selalu hidup dalam hipokrit , sehingga membutakan kita terhadap apa yang kita sifatkan sebagai “ilmu”.

Bukan hanya saja masalahnya. Lebih dari itu, kita pada awalnya tentu sekali mengharapkan bahawa syarahan ini dapat menjalinkan pandangan dari filsuf Islam tersebut dengan konteks politik Malaysia, sesuai dengan temanya.  Sebab ini idea yang menarik. Tapi, malangnya, pembentangan ini sekadar mengemukakan beberapa idea umum, seperti perlunya kebahagiaan, pentingnya orientasi kepada Tuhan, fungsinya falsafah politik, gesaan dirapatkan ulama-umarak dan penekanan akhlak. Pertanyaannya: apakah ini sebuah tesis? Adakah ini sebuah fakta yang penting? Adakah ini kalimat akbar dari Syarahan Perdana ini? Padahal, tanpa memerah akal sekalipun, apa yang dikemukakan ini sebetulnya dapat diperoleh di luar dari Syarahan Perdana. Berlambak buku PTS yang boleh kita peroleh nasihat-nasihat sebegini. Bahkan, kita bukan saja boleh membaca buku-buku Islami untuk mengukapkan kepentingan akan “kepentingan falsafah”, tapi juga buku-buku bukan-Islami. Jadi, apa istimewanya Syarahan Perdana yang bertajuk “Falsafah Politik Islam dan Kepentingannya di Malaysia? Istimewanya, maaflah, barangkali cuma satu: menjadi sebuah pentas untuk berlagak!

Bukanlah sebuah hal yang berlebihan untuk dikatakan berlagak. Dengan menyindir suasana politik kepartian, terutamanya gerakan parti pembangkang, pembentang juga telah mencemarkan suasana kesarjanaan dari Syarahan Perdana. Kini, di tangannya, Syarahan Perdana tiada bezanya lagi dengan ceramah politik. Perkataan liwat, sokong Israel, adalah tidak perlu. Tapi, ini disumbat habis-habisan dalam Syaharan Perdana, seolah ingin mengambarkan apa yang dilakukan oleh pemerintah sudah betul. Apakah ini ciri seorang yang berbicara tentang falsafah? Rukun pertama menjadi filsuf ialah sentiasa bersikap kritis, termasuk kepada diri sendiri. Sedihnya, daya kritis ini langsung tidak ditampilkan dalam Syarahan Perdana ini!

Ini bukanlah sebuah tuduhan. Kita ambil saja rumusan dari teks pembentangan. Seharusnya, rumusan ditulis dengan berhati-hati kerana ini menjadi lambang kepada keseluruhan tesis dari Syarahan Perdana. Dari teks Idris Zakaria, disimpulkan bahawa “ramuan idea dan teori mereka sangat mustahak untuk ditelusuri kembali sambil mengambill manfaat idea dan buah fikiran yang sesuai untuk menangani persoalan-persoalan brbangkit dalam politik kontemporari di Malaysia.” Mari kita tanyakan: lalu apa ramuan idea dan teori mereka itu? Lalu, apa apa persoalan berbangkit dalam politik kontemporari di Malaysia? Lalu, mana contoh kasusnya? Lalu, mana jalan penyelesaiannya? Lalu, adakah jalan penyelesaian dapat ditemukan dengan berkata, “idea falsafah islam mesti dimanfaatkan di Malaysia!?” Ini bukannya kata-kata yang bertaraf Syarahan Perdana! Memalukan! Tapi, adakah kita memang merasa malu? Itu juga satu persoalan. Jangan-jangan kita sendiri sudah merasakan setiap yang diungkapkan adalah benar, betul, dan jangan dipersoalkan lagi! Kalau ini keadaannya, memang wajarlah falsafah tidak tumbuh di Malaysia!

Kita, memang tidak dapat berharap banyak, dari suasana kemuraman falsafah di Malaysia ini. Tapi, kalau yang berbicara soal falsafah pun dengan feel begini, maka harapan apa lagi yang dapat kita harapkan? Walhal, Syarahan Perdana sebegini adalah gelanggang untuk mencorak idea penting dari filsuf Islam dan diterapkan dalam konteks sebuah pemasalahan politik di Malaysia.

Misalnya, masalah perbezaan idealogi dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dewasa ini? Bagaimana filsuf Islam dapat menyelesaikan situasi kompleks dan berbau moden ini? Apakah pembentang dapat menjelaskan sebuah pendirian yang “rasional” untuk menanganinya, sepertimana yang diseru oleh filsuf Islam? Tidak! Bau pun tidak! Memang pembentang mengambil contoh, tentang keruntuhan rumahtangga di Malaysia dan cuba dikaitkan dengan penegasan Ibn Sina tentang peri-pentingnya insitutsi kekeluargaan. Persoalannya: mengapa institusi keluarga runtuh di Malaysia itu sama sekali gagal dijelaskan secara tuntas! Jadi apa yang perdananya dari syarahan ini? Ringkasnya, contoh yang dikemukakan ini terlalu simplistik, sehingga tidak melihat masalah-masalah modeniti dalam upaya pencarian sebuah ramuan penyelesaian baru.

Kini, sudah 40 tahun tradisi Syarahan Perdana dilanjutkan. Awalnya sangat menjanjikan: sebuah syarahan yang bermutu, syarahan yang memartabat bahasa kebangsaan, syarahan yang kemudian berpotensi memangkin polemik dalam masyarakat. Tapi, tahun demi tahun, syarahan ini telah menjadi sebuah kerumuman untuk mendengar tukang bebel. Budaya bebelan semakin tebal, sampai mereka yang serius dengan ilmu pun dianggap sebagai ancaman kepada kestabilan. Adalah sesuatu yang menyayatkan bagaimana kita melihat begini kesudahan perjalanan dari Syarahan Perdana. Sebuah kegentingan yang seharusnya kita resah, sebaliknya kini kita raikan dengan penuh meriah. Bahkan berbangga lagi!

7 Responses

  1. Assalamualaikum wr. wbt.

    Dalam menganalisis secara kritis dan bersifat filsafat, pertama-tamanya mestilah memahami dan hadam makna/takrif falsafah, politik dan Islam itu sendiri.

    Dalam menganalisis, jika beri premis/alasan/sandaran sama menyokong atau menolak, bersetuju atau tidak, membuka kebenaran atau kepalsuan mestilah dengan tertib sebab akibatnya. Jika benar Ibnu Khaldun begitu begini, maka harus ada sandarannya mengapa ia begitu begini. Jika Al-Farabi begitu begini, mesti juga ada sandarannya begitu begininya. Paling penting, pernyataan sandaran itu harus datang dari pemikiran dan pemahaman Tuan Profesor yang asli.

    Jika kesimpulan (konsekuen) segala hujahan dalam syarahan tersebut berbunyi “idea falsafah Islam mesti dimanfaatkan di Malaysia”, hujahan sudah bernada sempit dan membina dinding. Apa sandaran/premis bahawa idea falsafah Islam itu mesti dimanfaatkan di Malaysia? Adakah Malaysia mengalami situasi yang sama dengan ciri-ciri atau idea falsafah tersebut?

    Jika idea falsafah Islam itu dapat dimanfaatkan di daerah Ibnu Khaldun et. al, adakah idea itu akan berjaya di Malaysia juga?

    Wassalam,
    Sarki

  2. budak2 diskopi kerjanya menonyoh saja! cuba pergi bentang syarahan perdana nak tengok sket! baru tahu mana bumi mana langit!!!

    sekurang2nya profesor idris zakaria boleh juga bentang dari tak bentang langsung. so belajarlah dari apa yang ada!!

  3. nak analisa, analisa saja. tang tajuk tu matang sikit

  4. sepatutnya tak layak pun untuk ajar di universiti, apatah lagi bagi syarahan! malukan nama dan fungsi universiti

  5. Budak diskopi umur baru setahun jagung sudah angkuh mengkritik profesor! Bajet bagus!!

  6. sekurang-kurangnya budak diskopi ‘berfikir’ dan ‘menganalisis’ sebelum mengrikit.daripada senyap dan duduk senyap kritik tidak menganalisis pun tidak..

  7. tahukah tukang tonyoh bahawa ..

    4:148 Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

    maka umpatannya pada orang lain yang tidak menganiaya dirinya bakal menjadi sesuatu yang amat dikesali.

    104:1 Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela

    sedangkan tukang tonyoh tahu menyebarkan keaiban orang lain bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan..

    49:12 Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.

    alangkah baiknya jika tukang tonyoh menggunakan kebolehan menulis untuk mengajak orang lain kepada kebaikan, daripada usahanya mempromosikan kelemahan?

    41:33 siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?”

    wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: