MILITAN & POLITIK: MENGAPA GERAKAN PEMBEBASAN-MILITAN GAGAL?

Perubahan politik tidak hanya bermaksud melalui turut serta dalam pergulatan sistem itu sendiri. Lebih daripada itu, kadang kala perubahan juga berlaku dalam situasi yang melibatkan penggunaan militan dan kekerasan politik (militancy and political violence). Hal ini (penggunaan kaedah militan) turut terakam dalam sejarah bila mana Fidel Castro dan gerila komunis Cuba, berjaya menumbangkan Junta tentera pimpinan General Fulgencio Batista yang didukung oleh imperialis Amerika Syarikat pada malam tahun baru 1959. Perkara yang serupa juga turut tersemat dalam sejarah China moden, bila mana militan komunis di bawah pimpinan Mao Tse Tung berjaya menguasai Tanah besar China pada tahun 1949 dan mengecilkan penguasaan parti Kuomintang hanya di pulau Taiwan. Dua peristiwa ini merupakan salah satu bukti bagaimana ‘revolusi’ melalui kaedah militan berjaya dilaksanakan.

Tidak dapat dinafikan, contoh di atas memberikan inspirasi kepada kemunculan banyak gerakan pembebasan (jika mengikut terminologi yang ‘direkayasa’ oleh CIA-USA,kesemuanya adalah gerakan pengganas) di seluruh dunia. Dekad 70-an menyaksikan kemunculan banyak gerakan pembebasan di seluruh dunia. Perlu dinyatakan disini, kemunculan banyak gerakan pembebasan ini terinspirasi dan bergerak aktif dalam kerangka ideologi Marxisme dan beberapa kerangka ideologi ‘left wing’ yang lain. Namun, perlu juga kita fahami bahawa ideologi ini (Marxisme) telah ‘dibumikan’ (localize) dengan mengadunkannya bersama semangat nasionalisme setempat. Namun, catatan ini bukanlah mahu membahaskan tentang peranan Marxisme atau mana-mana spektrum ‘left wing’ sebagai suatu ideologi pembebasan, tetapi lebih membahaskan mengapa kebanyakan gerakan pembebasan menemui kegagalan dalam perjuangannya di seluruh dunia.

Ideologi sebagai teras perjuangan

Kebanyakan gerakan pembebasan/militan mempunyai satu ideologi yang menjadi teras kepada perjuangan masing-masing. Che Guevara (1928-1967) menjadikan Marxisme sebagai teras perjuangannya dalam menyebarkan ‘revolusi’ di Amerika Latin sehingga menemui ajalnya di Bolivia. Irish Republican Army (IRA) juga menjadi ideologi ‘nasionalisme Irish’ sebagai teras utama perjuangan untuk mengusir penjajah British dari Ireland. Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), separatist di Sri Lanka turut menjadikan nasionalisme-Tamil sebagai pegangan utama dalam melawan regim Sinhalese. Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) turut mengadunkan ideologi Marxisme-Lenninisme dengan nasionalisme-Palestine. Hal yang sama juga dilakukan oleh gerakan Japanese Red Army (JRA) di Jepun.

Dalam konteks rantau Asia Tenggara yang dikenali oleh para strategis politik, perang dan keselamatan antarabangsa sebagai ‘the second front’,turut mempunyai gerakan pembebasan yang tersendiri. Di negara seperti Indonesia, Gerakan Acheh Merdeka (GAM) telah lama mendepani perjuangan pembebasan Acheh daripada cengkaman kerajaan pusat di Jakarta. Sementara itu, di Selatan Filipina, kemunculan Moro National Liberation Front (MNLF) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF) memberikan tentangan yang hebat kerpada kerajaan pusat di Manila. Di Thailand pula, gerakan pembebasan pula mempunyai dinamika yang berbeza sekali dengan ‘organisasi’ yang mempunyai matlamat yang sama di serata Asia Tenggara. Kemunculan Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP), Patani United Liberation Organisation (PULO), Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan beberapa kumpulan pecahan (splinter group/cells) yang lain menambahkan lagi warna-warni perjuangan pembebasan di Asia Tenggara.


Kesemua gerakan pembebasan ini, mengadunkan ideologi sama ada Marxisme, Islamisme dan lain-lain dengan nasionalisme setempat. Tanpa ideologi yang jelas, perjuangan mereka seolah-olah tanpa arah yang pasti. Perlu disedari, perkara yang membezakan gerakan pembebasan dengan kumpulan gangster adalah ideologi yang menunjangi perjuangan mereka. Namun, dalam kes Jerman, kumpulan seperti Baader-Meinhof gang (Red Army Faction), bukanlah sekadar kumpulan gangster yang tipikal, kerana kumpulan sebegini merupakan gerakan militan yang berakar kepada kaedah ‘urban guerilla’ dan mendakwa mereka ‘international militant’ yang perlu kita bezakan dengan organisasi yang disebutkan di atas (untuk rekod,mereka juga menganut Marxisme-Lenninisme).

Berbalik kepada perbahasan ideologi, set idea seperti inilah yang ‘mengikat’ keazaman setiap anggota gerakan untuk meneruskan perjuangan pembebasan masing-masing. Sebagai contoh, PFLP di bawah pimpinan George Habash (1926-2008) dan Wadie Haddad (1927-1978) percaya, dengan hanya menggunakan kaedah ‘terrorisme’ maka cita-cita pembebasan Palestin dapat dicapai. PFLP percaya, pergelutan kelas (borjuis-proletariat) bukan hanya dalam konteks rantau Arab sahaja, bahkan perlu dianalisis dari perspektif antarabangsa iaitu Israel dan Amerika Syarikat merupakan ‘primary-borguise’ yang menetapkan peranan kepada ‘secondary-borguise’ di rantau Arab seperti Raja Hussein di Jordan, Raja Arab Saudi dan regim Arab yang lain. Dalam mencapai matlamat revolusi, maka peranan ‘primary-borguise’ ini perlu dijadikan sasaran utama dalam aksi militan mereka. Mereka percaya, tanpa dukungan daripada ‘primary-borguise’, maka ‘secondary-borguise’ tidak akan dapat berbuat apa-apa. Hal ini akan mempercepatkan lagi proses revolusi dan pembebasan di rantau Arab secara am dan Palestin secara khususnya. Ini adalah contoh bagaimana ideologi memainkan peranan utama dalam perjuangan gerakan pembebasan di seluruh dunia. Perbahasan mengenai ideologi dalam gerakan pembebasan akan dibahaskan dalam catatan yang lain.

Mengapa Gerakan Pembebasan/Militan menemui kegagalan?

Dalam membicarakan mengapakah gerakan pembebasan yang mengambil kaedah militan ini sentiasa gagal mencapai matlamatnya (berbanding kes Cuba,China, Timor Leste dan beberapa yang lain), perlu kita soroti kepada 3 analisis utama iaitu organisasi, ekonomi dan personaliti.

Organisasi

Kebanyakan gerakan pembebasan, khususnya yang berada dalam rantau dan berkongsi objektif perjuangan yang sama dilihat gagal dalam melakukan kerjasama dan seterusnya mengkoordinasi perjuangan pembebasan. Kadangkala terdapat lebih daripada 2 organisasi yang memperjuangkan objektif yang sama (Same objective but with different strokes). Tidak dapat kita nafikan bahawa kadang kala, perselisihan ideologi menyebabkan perpecahan dalam perjuangan dan organisasi. Namun, dengan tiadanya organisasi utama yang memayungi perjuangan, kadang kala pertingkahan di antara satu organisasi pembebasan dengan yang lain hanya membawa kerugian kepada perjuangan. Sebagai contoh, di Acheh, matlamat berjaya mereka capai (setakat ini) berikutan adanya satu organisasi yang memayungi dan sekaligus mengkoordinasi aktiviti perjuangan iaitu GAM.

Namun, jika kita analisis dalam kes yang lain, sebagai contoh di wilayah Selatan Thailand, kewujudan terlalu banyak organisasi dan ditambah pula dengan kerencaman ideologi yang pelbagai, hanya menyebabkan keadaan semakin kusut. Di wilayah Selatan Thailand, sekurang-kurangnya terdapat lebih daripada 5-6 buah gerakan pembebasan yang menggunakan kaedah militan seperti PULO, BRN, BIPP (Barisan Islam Pembebasan Patani) dan Gerakan Mujahidin Pembebasan Patani (GMPP). Konflik ini dikusutkan lagi dengan perpecahan dalam organisasi itu sendiri sehingga mewujudkan ‘splinter group/cells’ seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN-Ulama, BRN-Congress & BRN-Coordinate), PULO (PULO-Burung dan PULO-Bintang etc) dan lain-lain, telah menyebabkan skala perjuangan itu yang seharusnya terarah kepada kerajaan pusat Bangkok,berubah kepada percakaran sesama sendiri. Telah ada usaha dilakukan untuk menyatukan kesemua gerakan pemisah ini di bawah satu organisasi induk (Umbrella Organisation) iaitu Barisan Bersatu Pembebasan Patani (BERSATU), namun gabungan yang cuba dibentuk pada tahun 1987 ini hanya dianggotai oleh beberapa buah organisasi yang sudah tidak dominan lagi dan akhirnya lenyap begitu sahaja (hasil temu bual penulis dengan Presiden BERSATU, Dr Wan Kadir Che Man).

Fenomena yang sama juga turut dilalui oleh gerakan pembebasan di rantau Arab. Di Palestin sendiri, PFLP mengalami perpecahan dengan penubuhan Palestinian Popular Struggle Front (PPSF) pada tahun 1967 dan PFLP-General Command pada tahun 1968 di bawah Ahmad Jibril. Pada tahun 1969, ditubuhkan pula Democratic Front for the Liberation of Palestine (DFLP) dan seterusnya pada tahun 1972 iaitu Popular Revolutionary Front for the Liberation of Palestine. Hal ini belum lagi ditambah dengan kepelbagaian organisasi yang menganggotai Palestine Liberation Organization (PLO) seperti Fatah, Palestinian People Party (PPP), Arab Liberation Front (ALF ) dan beberapa yang lain. Hal yang sama turut ‘menjangkiti’ Ireland dengan penubuhan IRA (Irish Republican Army), The Provisional IRA dan the Real IRA.

Kepelbagaian organisasi dalam perjuangan pembebasan, khususnya yang menggunakan kaedah militan menyebabkan matlamat perjuangan yang dikongsi bersama gagal dicapai, berikutan tiadanya koordinasi antara satu sama lain. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada kegagalan perjuangan pembebasan.

Ekonomi

Sumber dana dalam melaksanakan ‘revolusi’ sentiasa menjadi faktor utama yang menyebabkan ‘tersungkurnya’ gerakan pembebasan di seluruh dunia. Ketika era perang dingin (Cold War) telah menjadi suatu ‘open secret’ dalam masyarakat antarabangsa, gerakan pembebasan di seuluruh dunia dibiayai (funded by) oleh dua kuasa besar dunia ketika itu iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union (perlu kita ingati bahawa kedua-dua buah negara ini tidak ‘bertempur’ secara langsung,tetapi menggunakan ‘boneka’ masing-masing). Sebagai contoh, kumpulan Mujahideen di Afghanistan dibiayai oleh USA, manakala gerakan seperti PFLP, ‘Black September’ dan beberapa yang lain menerima dana USSR. Namun, pasca perang dingin menyaksikan banyak organisasi pembebasan mengalami zaman ‘eclipse’ berikutan kekurangan dana untuk membiayai aktiviti mereka.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh penyelewengan dana yang dilakukan oleh pemimpin gerakan masing-masing. Seperti bidalan ‘di mana ada semut,di situ ada gula’, korupsi tidak dapat dielakkan dalam organisasi militan. Berikutan timbunan dana yang begitu mewah, menyebabkan berlaku perpecahan kerana muncul ramai ‘war lords’ yang ingin menguasai pimpinan organisasi. Perlu ditegaskan di sini, dengan menguasai pimpinan, seseorang itu mempunyai kunci kepada ‘perbendaharaan’ kumpulan. Perkara ini bukanlah sesuatu yang menghairankan apa bila Yasser Arafat (1929-2004) dituduh menyembunyikan kekayaan sebanyak USD 1.3 Billion. Kekayaan peribadi ini sudah semestinya didapati melalui dana yang seharusnya disalurkan kepada gerakan pemisah oleh penyumbang dana. Penulis ingin mengingatkan kembali peristiwa ‘tebusan OPEC’ pada tahun 1975 oleh kumpulan yang menggelarkan diri ‘The Arm of Arab Revolution’ yang sebenarnya merupakan cabang organisasi PFLP. Ramai daripada kalangan pejuang pembebasan menuduh ketua operasi tersebut iaitu ‘Carlos the Jackal’ menerima wang sogokan Arab Saudi agar tidak melaksanakan arahan dari pimpinan atasan PLFP (Wadie Haddad) untuk membunuh Menteri minyaknya iaitu Sheikh Zaki Yamani.

Pergelutan sesama sendiri untuk menguasai ‘kekayaan’ telah menyebabkan banyak gerakan pembebasan yang bersifat militan gagal dalam perjuangannya, sekaligus menyebabkan ia tidak lagi releven dalam meneruskan legasi perjuangan masing-masing.

Personaliti

Terdapat 2 hujah utama dalam membahaskan perkara ini iaitu ketiadaan personaliti unggul dan pertelingkahan personaliti di kalangan pimpinan (clash of personality). Personaliti atau figure memainkan peranan penting dalam koordinasi perjuangan. Sebagai contoh, sikap karismatik yang dipunyai oleh Xanana Gusmao memberikan nilai tambah dalam perjuangan pembebasan Timor Timur daripada cengkaman Jakarta. Hal yang sama juga menyumbang kepada kejayaan GAM, apabila semua faksi (faction) yang bertelingkah dalam GAM mampu bersatu di bawah pimpinan Teuku Hasan Di Tiro.
Namun, dalam kes perjuangan pembebasan di wilayah Selatan Thailand misalnya, ketiadaan tokoh yang mampu menyatukan kesemua pejuang menyebabkan gerakan itu terpencar-pencar kepada beberapa organisasi dan seterusnya melemahkan perjuangan. Sebagai contoh, generasi muda pejuang (Juwae) menolak kelompok ‘old guard’ seperti Dr Wan Kadir Che Man atas alasan beliau sudah jauh dari realiti semasa (lost touch). Selain itu pertelingkahan pendapat di antara ‘old guard’ iaitu Kasturi Mahkota dengan Dr Wan Kadir Che Man dan beberapa pimpinan gerakan pejuang yang lain juga menjadi faktor mengapa gerakan pembebasan menjadi semakin melemah. Tanpa pimpinan yang mapan, gerakan pembebasan akan seolah-olah hilang arah dan akhirnya lenyap ditelan zaman.

Dalam merujuk kepada kes PFLP sendiri, populariti yang diraih oleh ‘Carlos the Jackal’ di peringkat antarabangsa telah menimbulkan rasa tidak senang kepada pimpinan PFLP iaitu Waddie Haddad. Implikasi daripada percanggahan personaliti ini akhirnya menyebabkan ‘Carlos the Jackal’ dipecat dari perjuangan gerakan tersebut. Perkara yang sama juga terjadi dalam IRA bilama populariti Michael Collins (1890-1922) menyebabkan Eamon De Valera (1882-1975) berusaha untuk mengurangkan populariti beliau. Pada titik yang paling ekstrim, dikatakan bahawa Eamon De Valera sengaja menghantar Michael Collins yang bukan seorang diplomat, bahkan seorang Jeneral untuk mewakili IRA dalam perjanjian damai dengan British. Berikutan tindakan Collins menandatangani perjanjian damai tersebut, IRA telah mengalami perpecahan dan akhirnya beliau sendiri telah dibunuh oleh pejuang yang dilatih oleh beliau sendiri (kerana dikatakan mengkhianati perjuangan). Kesemua ini secara tidak langsung telah menghantar gerakan pembebasan kepada era ‘eclipse’.

Quo Vadis Gerakan Pembebasan?

Gerakan pembebasan dengan kaedah militan ini di seluruh dunia pernah mengalami zaman keemasan masing-masing. Namun, setelah beberapa ketika, kebanyakan gerakan ini telah sama ada melunakkan perjuangan mereka dengan berkompromi, menjadi kaku atau terbubar sama sekali. Jelas sekali bahawa gerakan militan seperti ini memerlukan ideologi yang satu sebagai faktor pengikat, di samping perlu ‘menilai diri’ masing-masing dengan memikirkan faktor-faktor di atas yang menyebabkan kemusnahan organisasi dan penyimpangan objektif perjuangan. Politik dalaman (Internal politics) yang dialami oleh setiap organisasi mendatangkan seribu satu masalah kepada perjuangan. Penulis menutup catatan ringkas ini dengan quote yang dipinjam daripada dialog antara Archiles dan King Odysseus of Ithaca:

……”War is young man dying and old man talking..You know this..Ignore the politics’..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: