Analisa Keputusan Kes Liwat 2 Anwar Ibrahim: Satu Perangkap?

     

“Pelanduk selalu melupakan perangkap tapi perangkap tidak pernah melupakan pelanduk”. Malahan pelanduk yang pernah terkena perangkap mungkin gagal untuk belajar dari pengalamannya itu dan mula bertindak sambil lewa dan membiarkan dirinya diperangkap lagi. Atau mungkin juga perangkap yang sudah dipasang dan sudah mengena itu dibiarkan terbuka kembali untuk melepaskan pelanduk supaya pelanduk masuk ke dalam perangkap yang lebih kukuh dan tak mungkin lepas lagi.

Keputusan mahkamah membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat memang suatu keputusan yang tidak dijangkakan. Malahan ia mengejutkan semua orang. Ramai yang menjangkakan Anwar akan dimasukkan ke dalam penjara sekali lagi. Tetapi ternyata keputusan Hakim Datuk Mahomad Zabidin Mohd. Diah telah menyebelahi Anwar. Mungkinkah keputusan ini satu perangkap? Atau secara ringkasnya mungkinkah pembebasan Anwar Ibrahim ini adalah satu perangkap untuk Anwar dimasukkan semula ke dalam satu perangkap lain yang lebih kukuh, padu dan kuat?

Analisa ini dibuat berdasarkan kepada strategi dan taktik pemerintah (baca: UMNO) yang lepas. Secara spesifiknya strategi dan taktik yang digunakan oleh Najib di dalam “Kenapa Adun Bota Lompat Dua Kali”. Strategi dan taktik yang sama dengan skrip yang lain ini mungkin digunakan kembali untuk memerangkap Anwar dan Pakatan Rakyat.

Kemungkinan besar tatkala penyokong-penyokong Anwar bersorak riang dengan keputusan mahkamah membebaskan Anwar dari tuduhan liwat, pemain-pemain utama di dalam permainan politik di pihak Najib dan UMNO sedang tersenyum sinis melihat bahawa pelanduk yang terlepas akan masuk kembali ke dalam perangkap kedua yang lebih kukuh yang tak mungkin pelanduk dapat melepaskan dirinya lagi!

Bagaimana keputusan pembebasan Anwar dikatakan sebagai suatu perangkap dan kenapa ianya berkemungkinan merupakan satu perangkap yang paling licik yang pernah direkayasa?

Seperti mana yang telah dihuraikan di dalam tulisan “Kenapa Adun Bota Lompat Dua Kali” perkara yang paling pokok di dalam pertarungan merebut kuasa adalah keabsahan atau legitimasi. Kuasa memerlukan legitimasi daripada rakyat. Tanpa legitimasi kuasa yang ada akan kehilangan dukungan rakyat. Rakyat di sini bermaksud seluruh rakyat Malaysia bukan sekadar lima-enam ribu orang yang turun menyatakan sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim pada 901 yang baru lepas.

Legitimasi dari sebahagian besar rakyat Malaysia yang tidak turun ke perkarangan mahkamah pada 901 yang baru lepas itulah yang lebih penting untuk diperolehi. Keputusan mahkamah membebaskan Anwar pada 901 adalah satu senjata yang cukup strategis di dalam merebut legitimasi, keabsahan, kepercayaan dan keyakinan rakyat (rakyat terbanyak) terhadap institusi kehakiman negara.

Memang benar kepada penyokong-penyokong tegar Anwar, keputusan mahkamah ini tidak akan memberi kesan terhadap legitimasi dan keyakinan yang mereka berikan kepada institusi kehakiman negara. Bagi mereka sistem kehakiman negara tetap tidak bebas walau pun keputusan mahkamah memihak kepada mereka. Tetapi mereka ini bukanlah sasarannya strategi ini. Sasaran utama keputusan mahkamah ini adalah kepada rakyat terbanyak khususnya mereka yang berada di atas pagar, mereka yang bukan pembaca tegar malaysiakini atau media alternatif, mereka yang tak peduli politik, mereka yang tak kisah tentang hal-hal politik dan mereka yang masih belum punya pendirian politik (khususnya golongan muda).

Kalau kita rajin membaca buku-buku teoritis analisa politik kita akan dapati bahawa di dalam sesebuah masyarakat itu umumnya hanya sekitar 30% sahaja daripada masyarakat yang benar-benar aktif berpartisipasi di dalam kehidupan politik negara. 10%-15%  di sebelah pemerintah dan 10%-15% juga di sebelah pembangkang. Dari jumlah 10-15% ini yang aktif melakukan protes politik mungkin lebih rendah (ini dapat dilihat dari jumlah mereka yang turun ke Jalan Duta pada 901 yang baru lepas hanya sekitar lima ribu orang sahaja – suatu jumlah yang relatifnya kecil).

Manakala 70% yang lain umumnya adalah mereka yang tidak aktif dengan pendirian politik yang tidak tetap serta berubah-ubah. Inilah yang menjadi kelompok sasaran utama strategi Najib dan UMNO di dalam keputusan mahkamah membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat. Jika kelompok masyarakat 70% sebelum ini turut merasa tidak pasti terhadap sistem kehakiman negara yang mungkin mereka persepsikan sebagai tidak bebas dan tidak adil, sekarang dengan keputusan mahkamah ini terbukti bahawa sistem kehakiman negara tidaklah rosak dan tercemar seperti mana yang dipropagandakan oleh pembangkang.

Keputusan membebaskan Anwar ini memberi makna (kepada rakyat terbanyak khususnya mereka yang berada di kelompok 70%) bahawa sistem kehakiman Malaysia masih boleh diyakini dan masih punya legitimasi serta keabsahan. Inilah yang ingin dicapai di dalam strategi dan taktik yang cukup licik serta teliti ini. Jadi kita masih punya satu soalan yang belum dijawab iaitu – di mana perangkap untuk Anwar?

Cukup mudah. Apabila legitimasi sudah diperolehi daripada rakyat terbanyak dan keyakinan terhadap sistem kehakiman negara dapat dikonstruk semula ke dalam persepsi rakyat terbanyak hasil daripada keputusan mahkamah membebaskan Anwar ini, maka perangkap yang lebih kukuh, kuat dan kejap yang sudah siap terpasang akan dihulur untuk memerangkap Anwar sekali lagi. Apakah perangkap kedua ini?

Melanggani “pelacur China Doll”! Ini adalah perangkap yang sudah siap terpasang yang lebih kuat, kukuh dan kejap yang masih belum dihulurkan lagi. Kemungkinan besar kes liwat ke atas Saiful Bukhari hanyalah satu umpan untuk menarik Anwar masuk ke dalam perangkap yang lebih kejap – perangkap kes “melanggani pelacur”.

Apabila legitimasi sudah diperolehi dan keyakinan rakyat terbanyak terhadap sistem kehakiman dapat dikonstruk semula, maka lebih mudahlah untuk kes “melanggani pelacur” dihulurkan di mahkamah untuk dihakimi. Tidak seperti kes liwat Saiful Bukhari yang bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga tidak punya bukti sokongan selain daripada testimoni Saiful sendiri dan bukti DNA yang diragui prosedur pengambilannya, kes “melanggani pelacur” ini kelihatannya lebih kukuh.

Kes ini kelihatan lebih kukuh kerana terdapat bukti video yang dirakamkan yang menunjukkan seorang individu yang mirip Anwar sedang melakukan hubungan seks dengan seorang pelacur, seorang saksi yang menguruskan transaksi hubungan seks tersebut (Datuk Shazryl Eskay), saksi daripada pelacur itu sendiri yang melakukan hubungan seks, jam Omega yang masih menjadi misteri dan juga bukti forensik digital video untuk mengecam individu yang melanggani pelacur tersebut.

Jika di dalam kes liwat Saiful Bukhari ini, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai cukup bukti sokongan untuk mensabitkan pertuduhan ke atas Anwar, di dalam kes “melanggani pelacur” ini bukti sokongan lebih mudah diperolehi kerana wujudnya saksi-saksi, bahan bukti dan video rakaman yang akan membuatkan kes ini akan lebih kukuh berbanding dengan kes liwat Saiful Bukhari yang terlalu banyak lubang-lubang penipuan yang tak dapat ditutup.

Kali ini jika perangkap kedua ini dihulurkan dan mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepada Anwar, maka penyokong tegar Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi boleh menuding jari mendakwa sistem kehakiman negara tidak bebas dan tidak adil kerana keputusan kes liwat Saiful Bukhari yang diputuskan pada 901 yang baru lepas ternyata memihak kepada Anwar. Malahan yang mungkin lebih parah lagi ialah apabila rakyat terbanyak yang sudah diraih kembali keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman negara mungkin akan menerima keputusan mahkamah yang mensabitkan Anwar di dalam kes “melanggani pelacur” ini (jika ianya dibawa ke mahkamah) tanpa sebarang protes.

Jika ini berlaku cita-cita Anwar dan PR untuk menawan Putrajaya mungkin tidak akan kesampaian. Justeru itu, ramai daripada penyokong tegar Anwar dan PR mungkin bersorak dengan pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat ini tetapi jalan di hadapan khususnya buat Anwar Ibrahim dan PR masih berliku-liku penuh ranjau dan duri. Jangan sampai sorakan gembira itu membuatkan Anwar dan PR alpa sehingga menurunkan senjata dan perisai. Senjata dan perisai perlu sentiasa disiap-siagakan untuk menghadapi perangkap kedua yang lebih kukuh dan kejap ini.

Jika perangkap kedua ini dihulurkan, Anwar Ibrahim dan PR mungkin memerlukan rakyat lebih daripada rakyat memerlukan mereka.

3 Responses

  1. Kes video seks bukan merogol, jadi apa yang didakwa?? Suka sama suka… tak gitu??

  2. Mahkamah malaysia tidak akan dipercayai selagi BN masih berkuasa.Betul kata saudara dengan pandangan tersebut.Tapi anwar bukan calang manusia. Dia boleh turn over yang 70% tu meyakinkan mahkamah malaysia memang mahkamah penipu, kerana asyik dia seorang sahaja yang kena dakwa.Pemimpin2 BN semua lepas.Rakyat sudah boleh baca otak lembu pemimpin BN.

  3. Rakyat tak mudah utk diperbodohkan, Anwar ibrahim bukannya isu…jika benar anwar tiada kredibiliti utk mentadbir m’sia dgn baik mengapa pemimpin2 umno begitu gerun dgn Anwar…kesimpulan awal yg leh di ambil adalah “apabila org cuba menjatuhkan kamu,itu bermakna anda punya kelebihan mengatasi dia” jadi dr satu sudut kita telah dpt menilai kenapa n mengapa??

    Dgn faktor logiknya semua org dpt melihat realiti yg berlaku…mengapa isu lembu n kondo xdiendahkan tanpa sbrg tindakan,penyelewengan wang zakat,kes video seks pemimpin2 tertinggi,semuanya tidak diambil tindakan segera bahkan pemimpin yg telah ditolak oleh rakyat dlm pilihan raya terdahulu masih diangkat memegang jawatan n disanjung…apakah umno ketandusan pemimpin yg lebih berkaliber ini semua gara2 masing2 mahu menjaga kepentingan peribadi…isu melanggan dgn merogol adalah 1 kesalahan yg berbeza…andai ia benar sekalipon mengapa perlu dipenjarakan…hanya krn dia insan bernama “Anwar”…rakyat tidak buta n tidak bisa dibutakan lagi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: