Bola Sepak, Malaysia dan masa depannya

OLEH : LOQUE (PENYERANG UTAMA PASUKAN BOLA DISKOPI DAN SERING DIGANDINGKAN BERSAMA MESIN CETAK)

Bola sepak, salah satu sukan yang saya rasa merupakan nadi kepada sukan-sukan yang lain. Sehinggakan pingat sukan bola sepak bagi tema yang besar seperti Olimpik, tidak sempurna tanpa pingat bola sepak. Persejarahan bola sepak dikatakan bermula pada abad ke-3 (SM) di Tanah Besar China. Cuma bezanya pada waktu itu, bola sepak dimainkan untuk hiburan Maharaja sahaja. Selain itu, bola sepak juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan Tanah Besar China dengan negara jajahannya.

Malaysia, salah sebuah negara yang pernah dijajah oleh 4 buah negara asing yang sekarang ini menjadi antara negara bola sepak yang amat digeruni di pentas dunia. Jepun sahaja dianggap Brazil Asia begitu juga dengan Portugal yang amat terkenal dengan lagenda mereka Eusebio dan pemain termahal dunia yang beraksi dengan kelab terkemuka Sepanyol,Real Madrid iaitu Cristiano Ronaldo. Belanda pula megah dengan status finalis Piala Dunia 2010 dan sekarang ini merupakan ranking pertama dalam Coca-cola Fifa Ranking. British pula kita boleh bahagikan kepada kepada 3 iaitu Scotland, England dan Wales yang sudah kita ketahui mutu permainan mereka. Persoalannya,selepas kita dijajah selama 446 tahun oleh keempat-empat negara ini, sukan apa yang kita warisi dari mereka? Bola sepak? Rugby? Polo? Rasanya tidak ada dan perkara ini menarik minat saya untuk menulis perkara ini, khususnya bola sepak.

Seingat saya,pada lewat tahun 60an, Malaysia merupakan negara gergasi bola sepak di benua Asia selain Iran dan Korea Selatan pada ketika itu. Era kegemilangan negara berakhir pada pertengahan tahun 90an dimana beberapa pemain terlibat dengan skandal rasuah. Pada era 60an, Malaysia terkenal dengan kejaguhan Abdul Ghani Minhat yang digelar ‘Raja Bola’, Arthur Koh, Edwin Dutton dan ramai lagi. Perlawanan antarabangsa pertama Malaysia ialah pada 13 April 1953 menentang Korea Selatan dan Malaysia tewas dengan negara K-Pop itu 2-3. Ketika itu, Korea Selatan merupakan antara negara gergasi bola sepak Asia. Kemenangan terbesar Malaysia yang pernah dicatatkan ialah ketika menentang Filipina pada 27 Ogos 1962 dengan jaringan 15-1 manakala kekalahan terbesar yang pernah dicatatkan pula ketika menentang New Zealand pada 16 November 1967 dengan jaringan 2-8. Malaysia juga pernah mencipta sejarah tersendiri selepas melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972 setelah menawan negara-negara Asia seperti Jepun, Korean Selatan, Taiwan dan Filipina. Ketika itu, Malaysia dibarisi pemain-pemain seperti Namat Abdullah, Shaharuddin Abdullah, Wong Fook Chuan, N. Thanabalan, Zulkifli Norbit dan ketua pasukan, Abdullah Nordin. Selepas itu, Malaysia sekali lagi layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, tetapi atas semangat solidariti, Malaysia memboikot Moscow 80 kerana pada ketika itu Soviet Union menceroboh Afganistan. Kegemilangan bola sepak negara diteruskan oleh legasi era Allahyarham Mokhtar Dahari atau Supermokh. Ketika itu, kapten Korea Selatan ketika itu, Hung Jum Moo sering mempertanyakan samada Supermokh akan beraksi atau tidak. Persepsi yang dilontarkan oleh Hung Jum Moo itu seakan-akan Korea Selatan pada waktu itu sangat kerdil jika dibandingkan dengan Malaysia. Begitu juga dengan Iran, jurulatih Iran amat kagum dengan kepantasan Serbegeth Singh (atau Shebby Singh seperti dikenali sekarang) yang merupakan orang pertama yang melakukan larian ‘overlapping’ di dunia. Bayangkan era kegemilangan Malaysia pada waktu itu sehinggakan ada yang berpendapat bahawa Malaysia menggunakan khidmat pawang yang handal. Tidak lupa juga dengan Lim Teong Kim yang pernah beraksi untuk Hertha Berlin pada 1988. Ini membuktikan bahawasanya Malaysia bukan negara calang-calang. Malaysia juga pernah disegani satu ketika dahulu. Saya masih ingat ketika saya berumur 5 tahun, bapa saya sering menceritakan kepada saya yang Asia Tenggara mempunyai 3 orang ‘naga buas’ yang sering dahagakan goal iaitu Mokhtar Dahari dari Malaysia, Fandi Ahmad dari Singapura, dan Piyapong Pue-On dari Thailand. Sehinggakan Sultan Bola sendiri bertitah,”Sekiranya digabungkan 3 orang ini dalam 1 negara, Piala Dunia cuma selangkah lagi”.

Semangat bola sepak tidak pernah di hati peminat Asia Tenggara. Senantiasa berkobar-kobar menantikan siapa negara pertama dari Asia Tenggara yang layak ke Piala Dunia. Sebenarnya, kalau diikutkan cerita lapuk 1938, Indonesia pernah pernah layak ke Piala Dunia 1938 yang berlangsung di Perancis. Tetapi, pada waktu itu, Indonesia tidak menggunakan nama Indonesia tapi Dutch East Indies dan cuma 3 orang sahaja warga asli Indonesia. Tapi pada era modern ini, tidak ada 1 negara pun dari Asia Tenggara yang berjaya melangkah ke Piala Dunia.

Sejak berlakunya skandal rasuah pada tahun 1994 dimana 2 orang pemain terkemuka negara digantung seumur hidup(Matlan Marjan dan Azizol Abu Hanifah),maka bola sepak Malaysia merundum jatuh. Ranking terakhir terbaik Malaysia adalah pada Ogos 1993,ranking ke 75 diatas Turki dan Afrika Selatan. Kita pernah mengecapi zaman gemilang bola sepak, kenapa tidak berterusan? Kenapa pasukan kita tertinggal dibelakang? Kenapa kita tidak setaraf lagi dengan Jepun dan Korea Selatan? Bukankah pada dahulunya kita ‘menganjingkan’ mereka? Soalan ini terbuku dalam sanubari setiap orang yang prihatin terhadap bola sepak negara. Pasti kita terfikir ‘kenapa?’.

Ramai yang menganggap bahawa zaman kejatuhan bola sepak bermula wujudnya skandal rasuah . Tetapi pada pandangan saya tidak. Bagi saya,skandal rasuah hanyalah kesan perubahan format liga. Pada pandangan saya, momen kejatuhan bola sepak negara bermula sejak liga bola sepak professional negara diperkenalkan pada tahun 1994. Pasti ramai yang bertanya kenapa? Untuk pengetahuan sidang pembaca, sebelum beralih kepada bola sepak professional, liga bola sepak negara digelar liga semi-pro. Semi-pro ini bermakna seorang pemain bola sepak hanya menganggap bola sepak cuma sekadar minat sahaja, bukan mata pencarian. Disitu, tidak bermakna seorang pemain bola sepak tidak dibayar. Mereka dibayar tetapi bayaran tersebut tidak dipanggil gaji, tetapi elaun. Pada siang hari, mereka bekerja seperti biasa cuma ‘special’ nya mereka ini, mereka keluar lebih awal dari pekerja lain untuk menjalani latihan bola sepak. Pada era semi-pro, mereka tidak risau akan periuk nasi mereka kerana mereka punya pekerjaan tetap. Tetapi, realitinya sekarang apabila format mula berubah dan liga semi-pro dimansuhkan, mereka(pemain bola sepak) terpaksa berhempas pulas untuk bermain kerana bola sepak adalah pekerjaan mereka. Sebagai pemain bola sepak professional,mereka harus fokus 110% untuk menang dalam pertandingan yang disertainya. Selain kepuasan, bola sepak juga merupakan sumber pendapatan untuk dapur mereka. Ya,2 dalam 1. Tetapi seperti mana yang Abraham Maslow tekankan, manusia perlu memenuhi kehendak fisiologikal terlebih dahulu seperti nasi,rumah dan sebagainya. Bagaimana manusia ingin memdapatkan kehendak ini? Sudah tentu dari duit. Duit itu datang daripada gaji mereka sebagai pemain professional. Ketika itu, gaji seorang pemain lebih kurang RM1500-RM4000 sebulan. Itu pun bergantung pada jumlah perlawanan yang melibatkan mereka. Bertolak dari perkara ini, akan timbul lagi 1 persoalan, adakah bayaran yang dibayar oleh majikan itu setimpal dengan keringat mereka?

Pada 2005 semasa saya bermain untuk Sabah U-19 dalam Piala Belia FAM, saya sempat bertanyakan perkara ini kepada Abdullah Awang Hadi yang pada ketika itu menjadi jurulatih kepada pasukan Under-19 Sabah. Saya bertanya adakah gaji pada ketika itu cukup untuk menampung keluarga beliau? Jawapannya tidak. Beliau memberitahu saya, pada waktu itu, boot bola kena dibeli sendiri oleh pemain. Tidak ada sponsor. Bayangkan, gaji seorang pemain bola sepak sebanyak RM1500 sebulan, boot bola kelas A berharga lingkungan RM425.00(Adidas Copa Mundial dan Puma King), belanja dapur, persekolahan anak-anak,itu dan ini lagi. Tidak cukup. Lihat sahaja,RM1500-RM425.00-belanja dapur-belanja persekolahan. Agak-agak berapa bakinya? Saya dengan yakin, tidak sampai RM300. Sesetengah pemain mendapat tangga gaji yang berlainan dengan pemain yang lain, itupun jika dia pemain permanen untuk negara di peringkat antarabangsa. Rasa saya, pendapat ini sudah menjawap kenapa pemain mengamalkan rasuah. Saya yakin, rasuah yang diambil oleh pemain itu bukan disengajakan tetapi dalam keadaan terpaksa. Ingin meminta kenaikan gaji, mereka terikat dengan kontrak,ingin memohon gaji yang lebih tinggi, mereka perlu ada title ‘Malaysia’. Yang memburukkan lagi keadaan, mereka yang terlibat dengan rasuah digantung seumur hidup dari bermain bola seperti yang terjadi kepada Matlan Marjan. Bukankah saya katakan tadi,mereka merupakan pemain professional dan bola sepak merupakan sumber pendapatan mereka, selepas dibuang, apa pekerjaan mereka? Ya, jelas kawan. Mereka hilang mata pencarian. Oleh itu, kejatuhan bola sepak Malaysia bukan disebabkan skandal rasuah tetapi perubahan format liga. Sekiranya diberikan pilihan antara bola sepak dan kerja, saya yakin, mereka akan memilih kerja kerana menurut saya, bola sepak hanya dapat menampung kehidupan pemain sehingga mencecah umur 35 tahun sahaja, itu juga bergantung pada kekuatan fizikal yang dimiliki tetapi dengan adanya pekerjaan tetap, mereka dapat menampung kehidupan mereka sehingga mereka tua.

Sewaktu berlangsungnya liga semi-pro Malaysia, delegasi Jepun datang melawat negara kerana tertarik kepada format liga semi-pro negara yang banyak melahirkan pemain yang berkaliber seperti Azizol Abu Hanifah, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Yap Wai Loon dan ramai lagi. Delegasi Jepun datang ke Malaysia bertujuan untuk meniru format liga yang dilangsungkan di Malaysia. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menjalankan format semi-pro pada ketika itu dan ketika itu, Jepun belum mempunyai Liga bola sepak sendiri. Liga bola sepak Jepun bermula pada tahun 1992 setelah mengkaji dengan teliti keberkesanan liga bola sepak Malaysia dan hasilnya adalah seperti yang kita lihat sekarang. Jaguh benua Asia. Sebenarnya, Jepun menjadikan Malaysia sebagai negara contoh untuk pembangunan bola sepak negaranya..Tetapi apa yang berlaku sekarang ? Dunia sudah terbalik. Kita menjadikan Jepun pula sebagai contoh. Disini bukanlah saya mengatakan bahawa pembangunan bola sepak negara kita tidak bagus, tetapi bagi saya kurang mantap. Dari segi pembangunan, infrastruktur, sistem kejurulatihan dan sebagainya. Kita kurang mantap sebenarnya jika dibandingkan dengan Jepun dan Korea Selatan.

Saya masih ingat, sewaktu saya tingkatan 3, saya terpilih untuk memasuki Akademi Bola Sepak Negeri Sabah. Di situ, saya dan beberapa lagi teman saya yang berasal dari daerah yang berlainan antaranya Keningau, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, dan Kudat. Seramai 18 orang yang terpilih untuk digilap bakatnya. Pada awalnya, kami diberikan semuanya serba percuma. Tidak berbayar sesen pun. Tetapi, itu sahaja. Saya disini bukanlah bermaksud ‘bajet star’ tetapi apa yang kami dijanjikan tidak dilaksanakan dengar sewajarnya. Kami tidak pernah mendapat tajaan boot bola seperti yang dijanjikan. Kami tidak ada pun mendapat sebarang kemudahan asas untuk bola sepak. Persoalannya, dimanakah bajet yang disediakan untuk kami itu dibelanjakan? Bertolak dari perkara itu, ramai yang terpilih untuk ke Akademi Bola Sepak tidak lagi menunjukkan minat untuk masuk menjalani latihan kerana takut akan kebajikan mereka diabaikan. Kes yang sama juga berlaku sebaik sahaja saya mewakili negeri Sabah untuk Piala Belia dan Presiden pada tahun 2006 dan 2007. Pada ketika itu, saya mendapat khabar dari Buletin Utama bahawasanya FAM menyediakan bajet untuk pembangunan bola sepak untuk setiap negeri. Saya sangat teruja ketika mendengarnya. Tetapi kami cuma mendapat elaun pemain sebanyak RM400 sebulan. Sama seperti kes diatas tadi, boot beli sendiri. Meskipun makanan harian ditanggung sepenuhnya oleh pihak pentadbiran bola sepak negeri, tetapi itu masih tidak cukup untuk seorang pemain bola sepak. Mereka perlu membeli jogging shoes,boot,alat kelengkapan yang lain dan barangan untuk diri sendiri. Tetapi, itu untuk negeri Sabah sahaja. Kedah dan Sarawak lain pula ceritanya. Ketika perlawanan Sabah VS Sarawak,Sarawak didapat menghadirkan diri kerana masalah kewangan. Bukankah FAM ada menyediakan bajet untuk pembangunan bola sepak negeri? Duit itu disalurkan kemana? Itu persoalannya. Bagaimana kita ingin melahirkan seorang pemain yang berkualiti sekiranya kebajikan mereka kita abaikan? Kalau di England, kebajikan pemain amat diutamakan. Sekiranya pemain itu cedera, pemain itu akan diberi rawatan agar memastikan pemain tersebut dapat beraksi semula di kancah liga. Di Malaysia tidak. Di Malaysia, pemain yang tercedera hanya diberikan cuti sahaja tetapi rawatan tidak diberikan. Perkara ini telah melanggar akta Employement Act 1955 kerana pada waktu ini, bola sepak merupakan pekerjaan. Ya kawan, terdapat korupsi dalam pentadbiran bola sepak negeri. Itu merupakan sebab yang konkrit mengapa kita tidak dapat develop pemain yang setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan.

Ketika Jepun menentang Malaysia untuk kelayakan Olimpik 2012 yang menyaksikan Malaysia tumbang 2-0 kepada Blue Samurai, saya menyaksikan perlawanan tersebut dengan teliti. Dan sebenarnya, permainan Malaysia dengan Jepun tidak jauh bezanya Cuma dalam permainan bola sepak, siapa yang melakukan kesilapan, akan dihukum dengan jaringan goal. Itu sahaja. Saya memerhatikan dari setiap sudut tidak kira pemain, pengadil, penyokong, stadium dan apa sahaja..Apa yang saya hairankan disini adalah, Stadium yang digunakan untuk perlawanan itu merupakan stadium yang dimiliki oleh kelab bola sepak divisyen 3 Liga-J, Sagan Tosu FC. Apa yang saya ingin kritik disini adalah, padang yang digunakan untuk perlawanan antarabangsa itu dimiliki oleh kelab divisyen 3, tetapi mendapat pengiktirafan kelas-A dari badan induk bola sepak dunia FIFA..Stadium Nasional Bukit Jalil? Stadium kebanggaan negara yang menelan belanja berjuta-juta ringgit tapi FIFA hanya memberi kelas-C sahaja. Sekali lagi saya ulangi, STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL. Untuk pengetahuan sidang pembaca, selain kebolehan individu, padang juga merupakan antara penyebab utama jatuh bangunnya bola sepak negara. Dengan memiliki padang yang berkondisi baik, kita dapat menjalankan latihan intensif secara serius dan pemain juga dapat melatih kemahiran mereka. Mungkin banyak yang akan menyelar saya kerana mungkin ada yang berpendapat kononnya dahulu kondisi padang kita lebih teruk jika dibandingkan dengan sekarang. Ya, saya setuju. Tetapi cuba kita bayangkan, padang seteruk itu, pemain dapat bermain dengan bagus walaupun kelihatan kawalan bola terkadang mengecewakan dan bagaimana sekiranya mereka bermain di padang yang berkondisi baik, saya rasa, Manchester United juga mungkin tidak setanding dengan Malaysia. Ini membuktikan kondisi padang juga memainkan peranan penting dalam bola sepak. Ya, saya mengaku saya merupakan penyokong kuat Liverpool FC tetapi saya tidak suka ‘sandarkan pada kenangan’.Apa yang saya lihat dan teliti, penyokong bola sepak Malaysia masih lagi ‘sandarkan pada kenangan’. Tidak melihat jauh. Bagi saya, kenangan bola sepak gemilang negara kita hanya sekadar kenangan dan tidak akan membawa apa-apa perubahan terhadap bola sepak negara selain memberi semangat kepada anak muda. Semangat sahaja tidak cukup bagi saya. Apa yang penting adalah perubahan.

Liga Bola Sepak Inggeris, Itali, Sepanyol, Belanda, mahupun Perancis, mereka memiliki perlawanan yang sangat kompetetif. Perlawanan kompetetif ini bermaksud perlawanan liga yang cukup mencabar dimana sebuah pasukan kemungkinan akan beraksi sebanyak 44 perlawanan dalam 1 musim atau lebih. Ini yang digelar liga kompetetif. Sebagai contoh Barcelona, mereka beraksi untuk La Liga, Piala Raja sepanyol, UEFA Champions League dan Piala Kelab-kelab Dunia. Bayangkan sekiranya kesemua pertandingan yang mereka sertai berjaya ke Final, berapa perlawanan mereka perlu jalani??Hampir 70 perlawanan 1 musim. Mungkin ini memenatkan pemain tetapi inilah yang digelar liga kompetetif atau professional. Di Malaysia tidak, setiap pasukan Cuma beraksi tidak lebih daripada 30 perlawanan tidak kira liga-M, Piala FA dan Piala Malaysia. Bagi saya ini tidak cukup untuk seorang pemain professional. Bagi saya,30 perlawanan sesuai untuk liga-liga kampung yang berstatus amatur sahaja. Untuk mencapai taraf professional, kita sekurang-kurangnya melengkapkan 44 perlawanan kompetetif. Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi prestasi pemain kita sebenarnya. Mencapai taraf professional sebenarnya bukannya mudah..Ia memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak, bukan sekadar nama sahaja. Bagi saya, sekiranya kita meneruskan liga professional ini, kita tidak akan kemana-mana. Kita hanya akan berada distandard yang sekarang. Kita tidak akan maju kehadapan. Disini juga saya rasa kenyataan Setiausaha FAM itu adalah perkara yang amat lucu dengan membandingkan ranking Malaysia dengan Bangladesh. Ranking kita jauh lebih baik daripada Bangladesh. Persoalannya, kenapa membandingkan dengan negara yang ‘ayam’? Kenapa tidak membandingkan dengan Belanda,Sepanyol atau paling tidak Jepun. Adakah dengan membandingkan dengan Bangladesh, kita dapat meningkatkan mutu bola sepak kita? Rasa saya jawapannya tidak.

Rasanya, berapa jauh lagi perjalanan kita untuk ke Piala Dunia? 20 tahun? 30 tahun? atau 40 tahun?Saya juga tidak dapat menjangka dengan tepat bila agaknya kita dapat melangkah ke Piala Dunia. Tetapi pada pendapat saya, sekiranya wujudnya perubahan seperti yang saya nyatakan tadi, tidak mustahil satu hari nanti Malaysia akan layak ke Piala Dunia,cuma bila itu kita tidak tahu. Bagi saya, rombakan besar-besaran perlu dilakukan untuk memastikan bola sepak negara ini maju setapak kedepan agar setanding dengan negara Asia yang lain. Kita perlu melakukan perubahan dari akar umbinya iaitu langkah pertamanya, Sultan Bola harus turun takhta dari tampuk kepimpinan. Terus terang saya katakan, Sultan Bola ini tidak tahu apa-apa tentang bola sepak. Dia Cuma tahu menang atau kalah sahaja. Itu tidak diperlukan kerana apa yang diperlukan adalah pentadbiran yang sistematik. Lagipun, dia sudah berdekad memegang jawatan sebagai presiden tetapi masih lagi memacu bola sepak Malaysia untuk disegani. Disegani di Asia Tenggara tidak cukup rasanya. Bagi saya, biarlah orang yang tahu tentang bola sepak yang memegang tampuk kepimpinan bola sepak negara kerana mereka lebih tahu apa yang patut dibuat untuk memastikan kita merupakan salah 1 negara yang disegani kelak. Sultan Bola, Anda perlu berehat. Berilah peluang kepada generasi muda dan yang tahu apa itu bola sepak untukmemegang tampukkepimpinan. Percayalah, Malaysia dapat bangkit!

5 Responses

  1. Good article!…Gua sokong,memang pperubahan format liga yang menyebabkan prestasi kita jatuh..Ah,senang cerita,selagi puak-puak feudal ini pegang kepimpinan sukan,tak kira la bola sepak ke,hoki ke,galah panjang ke,konda kondi ke,semua akan jatuh merudum..kadang kala,gua tertanya-tanya juga,bila kali terakhir Sultan bola,menyepak bola sepak?..kahkahkah..

    • Rizal: kah kah kah..ntah la jal..aku rasa,sultan bola langsung tak tahu apa2 tentang bola ne…dia hanya tahu, macam mana nak selamatkan genting..kah akh ah

  2. steady bro…lu memang berjiwa bola sepak. selagi korupsi masih berleluasa di Malaysia ni..semua benda tak akan berjaya..sebab semua perbuatan itu tidak ikhlas..hanya pada wang semata-mata..

  3. great article bro ..

  4. Terbaeek bro!!! Lu mmng bjiwa bola sepak,kalo sistem pentadbiran bola sepak yg baru mcm lu ckp tdi dilaksanakan,aku rase kene buli lagi lah jepun dn korea selatan tuuh ngan malaysia…. Go…Go…Go..Malaysia boleh!!!!!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: