AUKU dan Krisis Pengetahuan (I)

Pendidikan haruslah berorientasi kepada pengenalan realiti diri manusia dan dirinya sendiri – Poulo Freire

Tidak perlu untuk berbasi-basi lagi, tulisan ini ialah respon kepada tulisan saudara Mohd Azizuddin Mohd Sani (Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi), yang disiarkan dalam Berita Harian pada 18 November 2011 bertajuk ‘AUKU tidak sekat kebebasan berfikir mahasiswa’.

Seingat saya, sejak diperkenalkan isu mengenai AUKU ini tidak pernah kunjung selesai . Barangkali juga, tujuan tulisan yang ditulis oleh saudara Mohd Azizuddin adalah untuk menjernihkan kembali kepada khalayak ‘cita-cita murni’ AUKU dilaksanakan.

Sebelum lebih jauh, elok sekiranya kita melihat pesan-pesan penting tulisan saudara Mohd Azizuddin berkenaan dengan AUKU ini. Pada perenggan awal tulisannya, beliau menegaskan bahawa tujuan AUKU diwujudkan adalah sebagai pendorong mahasiswa fokus terhadap bidang pelajarannya. Tulis beliau ;

“AUKU diwujudkan apabila mahasiswa universiti pada akhir 1960-an tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan lebih banyak menjadi kumpulan pendesak yang terbabit dengan aktiviti luar yakni politik nasional dan antarabangsa melalui tunjuk perasaan dan sebagainya”

Melalui petikan ini, kita melihat hujah saudara Mohd Azizuddin bahawa kononnya AUKU diwujudkan bagi mengurus fokus mahasiswa terhadap pelajarannya. Fokus dalam erti kata tidak lagi terbabit dengan aktiviti luar kampus. Di sini mari kita ulang fikir dengan menimbulkan beberapa pertanyaan, apakah makna pendidikan? Di mana letaknya realiti sosial (hal-hal yang berlaku di luar) dalam sistem pendidikan? Dan yang lebih penting, apakah fungsi universiti atau institusi pendidikan dalam sistem masyarakat?

Sejujurnya, hujah yang dikemukakan oleh saudara Mohd Azizuddin di atas telah membahagikan bahawa pengetahuan itu hanya boleh didapati lewat bilik kuliah, di dalam pagar sebuah universiti, dan jika paling luas sekalipun ialah melalui aktiviti-aktiviti yang telah ditentukan secara instrumental.

Justeru, persoalan ini wajar membawa kita cuba menoleh kepada perkara yang paling mendasar dalam sistem pendidikan, iaitu ‘pengetahuan. Hal yang paling intim yang terdapat dalam kata ‘pengetahuan’ ialah ‘kesedaran’. Kesedaran terhadap realiti. Kesedaran terhadap hal-hal yang nyata.Tanpa meleburkan diri dalam ranah masyarakat, bagaimana kesedaran terhadap sesuatu kenyataan hidup ini akan timbul?

Tak salah untuk kita meminjam perspektif daripada Habermas bahawa ketirisan kesedaran inilah yang mendorong kepada krisis ilmu pengetahuan. Bertolak daripada filusuf Fenomenologi, Edmund Husserl, Habermas melihat ilmu pengetahuan mengalami krisis apabila ilmu pengetahuan tidak memberi apa-apa pedoman kepada kita – akibat ilmu pengetahuan berpisah daripada amal hidup sehari-hari.

Untuk lebih mendalam, krisis ini harus dikaitkan dengan konsep teori. Mengapa? Kerana dalam soal pengetahuan, teori menduduki tempat penting dalam menjelaskan realiti. Pengetahuan dirumuskan dalam dan diperoleh melalui teori. Malangnya dalam ilmu pengetahuan moden, kata ‘teori’ sudah kehilangan makna aslinya.

Lalu Habermas melakukan penelitian genetis tentang konsep teori. Teori dikembalikan kepada kata asalnya, theoria.

Berkenaan Theoria itu bermakna kosmos atau realiti. Kata ini sangat tua dan berakar pada kosmologi dan tradisi religius Yunani Purba. Dengan melakukan perenungan, si pemerhati akan menatap kosmos yang bergerak teratur dan membuat lukisan-lukisan di dalam dirinya. Kita mampu meniru kosmos, atau melakukan memesis (meniru). Melalui kaedah itu, teori atau kosmos itu mempengaruhi tingkah laku si pemerhati.

Tapi, apa kaitan kita jauh-jauh berbicara soal teori ini dengan tulisan Mohd Azizuddin tersebut? Hubungannya adalah pada soal praxis. Ternyata, AUKU suka atau tidak, telah membataskan mahasiswa untuk larut dalam gelombang masyarakat. Kalau adapun persentuhan mahasiswa dengan masyarakat, maka apakah benar persentuhan tersebut tulen, atau lagi-lagi sebagai sebuah nemesis?

Jika jawapan yang diberikan ialah merujuk kepada pengetahuan sedia ada yang ditetapkan oleh universiti dan negara, maka kita boleh lupakan kata ‘kesedaran’ yang ada dalam pengetahuan. Sebab kesedaran tidak pernah bermula dengan “wahyu manusia”, dengan sebuah akta.

Selain itu Mohd Azizuddin juga berhujah untuk merasional AUKU dengan mengungkapkan;

“sejak akta ini diwartakan pada 1971 dan pindaan pada 2009, kerajaan sudah cuba mewujudkan suasana harmonis dan kondusif bagi pembelajaran di universiti. Yang lebih penting, sentimen dan eksploitasi politik luar kampus dapat dibatasi daripada menguasai pemikiran pelajar yang masih dalam proses berjinak-jinak dengan aliran pemikiran dan ilmu sejagat sifatnya.” (Perenggan keempat)

Manakala dalam petikan lain:

“AUKU tidak mahu mahasiswa menjadi aktivis kepada politik luar yang seterusnya menggugat keterbukaan pemikiran yang harus dibentuk di universiti. Sekiranya pengaruh politik luar dibawa ke universiti, dibimbangi akan membentuk sifat kejumudan di kalangan mahasiswa dan universiti pula menjadi tempat pertembungan dan persaingan politik nasional dan antarabangsa.” (Perenggan keenam)

Melalui dua petikan itu mari kita telaah betul-betul bagaimana AUKU telah diperkakaskan. Jelas AUKU diwujudkan untuk membatasi sentimen dan eksploitasi politik luar kampus daripada menguasai pemikiran pelajar yang baru berjinak-jinak dengan aliran pemikiran dan ilmu.

Dan apa yang kita saksikan sebelum ini memang AUKU digunakan untuk menghalang mahasiswa menjadi aktivis kepada politik luar yang menggugat pemikiran yang harus dibentuk di dalam universiti.

Kita harus sanggah percubaan untuk meremehkan mahasiswa ini, yang menurut Mohd Azizuddin seolah tugas untuk membentuk pemikiran mahasiswa hanyalah tugas universiti semata. Sementara, di luar universiti, konon itu bukan lagi pengetahuan yang menjadi kepentingan mahasiswa. Kita sanggah kerana hujah ini sangat bermasalah. Ini kerana, hujah tersebut telah mendikotomikan pengetahuan yang terdapat dalam universiti sebagai benar, manakala pengetahuan (ideologi) di luar kampus adalah nilai yang patut dielakkan.

Saudara Azizuddin secara sembarangan cuba meletakkan pengetahuan yang ada dalam kampus sebagai pengetahuan yang objektif, manakala pengetahuan (ideologi) parti politik yang berada di luar kampus sebagai pengetahuan yang berbahaya. Kita harus sedar pembahagian yang dangkal inilah mengundang kepada krisis pengetahuan yang kita bicarakan awal tadi.

Bahkan inilah kritik Husserl terhadap ilmu pengetahuan moden yang telah jatuh pada objektivisme – cara pandang yang melihat dunia sebagai susunan fakta objektif dan tentuistik. Di sini Husserl melihat setiap pengetahuan yang diangkat sebagai pengetahuan tulen bermuara kepada Lebenswelt (dunia kehidupan). Maknanya, ketulenan sesebuah teori itu bagi Husserl bertitik tolak daripada pengalaman manusia sehari-hari.

Dalam konteks pelajar, pengalaman sosial di luar kampus yang dihadapi hari-hari merupakan pengetahuan yang mendasari perspektif mahasiswa dalam memahami realiti. Malangnya ini tidak seluruh tulisan Mohd Azizuddin langsung tidak mempertimbangkan hal ini.

Malah, tindakannya yang menafikankepentingan pengalaman harian dari ranah Lebenswelt ini, sekaligus telah menghalang penglibatan mahasiswa untuk bergulat dengan politik, sama ada secara partisan mahupun tidak. Kesannya, mahasiswa akhirnya terputus dengan realiti. Lebih mendukacitakan lagi, lahir pula kalangan mahasiswa yang mendukung realiti yang dikhayalkannya sendiri. Jika ini berlaku, ini adalah dua kali malang.

Jika Azizuddin merasakan bahawa pengetahuan yang ada dalam kampus ini sebagai pengetahuan sejati, objektif, bebas-sentimen, serta tunggal, lantas adakah pandangan ini disepakati oleh Habermas? Tentu tidak. Tak seperti Husserl, Habermas tidak setuju bahawa tujuan akhir dari pengalaman keseharian mestilah melahirkan teori tulen, seperti yang diyakini Husserl tersebut. Bagi Habermas, terdapat hal di balik selubung “objektif” dan “tulen” itu. Ini sebuah kritik idealogi dari Habermas.

Ini kerana, menurut Habermas, teori tulen (yang dilekatkan Mohd Azizuddin hanya dalam konteks pengetahuan yang ada dalam universiti semata), telah beranggapan bahawa segala unsur subjektif mestilah disingkirkan. Pada Habermas, pandangan ini bermasalah. Sebagaimana Mohd Azizuddin merasakan bahawa ideologi atau pengetahuan yang berada di luar kampus mempunyai kepentingannya, namun tidakkah Mohd Azizuddin sedar bahawa apa yang disebutnya sebagai “kepentingan” itu sendiri juga merupakan sebuah kepentingan!?

Di saat Mohd Azizuddin menuduh di pihak berseberangan dengannya penuh dengan kepentingan, maka apakah Mohd Azizuddin atau AUKU itu sendiri bebas kepentingan? Ini harus kita pertanyakan betul-betul.

Sebab, persoalannya, bagaimana Mohd Azizuddin tahu bahawa kepentingannya adalah sebuah kepentingan murni, manakala kepentingan yang lain adalah kepentingan berbahaya? Seolah, tuduhan Mohd Azizuddin bahawa pengetahuan yang di luar kampus itu adalah ancaman kepada seluruh pengetahuan. Fikiran dangkal seperti ini sangat memalukan, dan bahkan tak layak untuk dianggap sebagai separuh-masak sekalipun.

Lebih lanjut, Mohd Azizuddin terus menegaskan:

‘Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohamed Noor, antara orang yang bertanggungjawab merangka serta melaksanakan AUKU pada 1971 pernah menjelaskan bahawa: “…terus terang saya katakan, tiada niat dalam hati kami (yang merangka AUKU) untuk mengongkong mahasiswa daripada bergerak aktif kerana kami juga asalnya daripada universiti.”.’

Sekali lagi, mari kita baca baik-baik kutipan tersebut. Benarkah ungkapan “tiada niat” dari Murad Mohamed Noor memang tak menyimpan niat yang lain? Tidakkah kata-kata Murad Mohamed Noor itu sebetulnya berniat untuk meletakkan AUKU sebagai sebuah operasi instrumental yang mahu digunakan untuk mengoperasikan sesebuah sistem? Tidakkah begitu? Sebab jelas sekali, kata-kata yang lunak, dari apa pun pangkat mereka, tak bererti bahawa mereka itu kudus, dan jujur pada pengetahuan.

Berkaca pada Habermas, AUKU ini telah jelas bertindak sebagai sebuah rasional instrumental yang mahu memaksakan kehendak dari langit pemerintah, demi untuk memelihara kepentingan pemerintah itu sendiri. Kepentingan ini terang, lagi bersuluh. Sebab, AUKU, cuba menyembunyikan kepentingan kekuasaannya sendiri. Sebagai contoh, AUKU selama ini telah digunakan sebagai pekakas untuk memperhambakan mahasiswa, dan menghalang mahasiswa dari berfikir (dan bertindak) lebih dari luar “pagar ternakan” universiti. Ini niat sebenar AUKU, yang konon “tiada niat” tersebut.

Tapi, sebuah perhambaan tentu sekali tak punya legitimasi. Mana-mana perhambaan pun. Di sebalik perhambaan AUKU ini, perjuangan untuk emansipasi akan hadir. Hanya persoalan cepat atau lambat saja. Itu sudah tertera sebagai janji zaman.

Berharap pada Habermas lagi, emansipasi padanya adalah sebentuk perlawanan bagi setiap kali krisis berlaku, bagi setiap kali legitimasi dipertanyakan. Emansipasi adalah sebuah perjuangan yang berterusan, tanpa henti, tanpa akhir. Dalam tulisan Mohd Azizuddin itu jelas, persoalan emanisipasi ini sangat kabur. Yang tersisa dari tulisannya hanya sebuah kecenderungan kepada tanggungjawab sosial, yang didefinisikan secara instrumental.

Dengan cuba memberikan rasional instrumental pada AUKU tersebut, tulisan Mohd Azizuddin langsung tak memperkayakan kemampuan mahasiswa itu sendiri. Kita harus ingat, mahasiswa itu bukannya tiada dimensi kognitif. Mahasiswa bukan robot. Mahasiswa bukan tumbuhan. Sama sekali tidak. Berkali-kali kita akan terus mengingatkan para generasi tua kita ini, bahawa “alam fikiran” mahasiswa itu sebetulnya jauh lebih luas “kepentingan kekuasaan” generasi tua itu sendiri.

Dan, kita juga tak letih untuk terus mengingatkan mereka. Bahkan, melawan mereka! Sesungguhnya, inilah praxis hakiki dari kata “mahasiswa” itu sendiri.

Tulisan ini pertama kali tersiar di JalanTelawi.com.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: