The Malaysian Vendetta

Selamat Petang Kuala Lumpur,

Saya, seperti juga anda menghargai keselesaan dalam rutin, keselamatan benda-benda biasa dan keamanan dalam pengulangan. Saya suka lepak di mamak dan tonton tv di rumah seperti mana manusia normal yang lain. Dan dalam semangat menyambut tahun baru ini saya fikir kita patut buat suatu yang istimewa dan meletakkan makna baru kepada tarikh 31 desember. Continue reading

Siri Wacana Diskopi

Negara, Masharakat Warga Dan Moral – Sejauh Mana Tugas Negara Dalam Soal Moral

Tajuk Wacana: Negara, Masharakat Warga dan Moral — Sejauh mana tugas negara dalam soal moral
Panelis: Ahmad Fuad Rahmat dan Wan Ahmad Fayhsal
Tarikh: 28 Disember 2011 (Rabu)
Waktu: 08:30malam – 10:30malam
Tempat: Distro Buku, UKM

Malaysia, realitinya, memiliki berbilang etnik, bahasa, ugama, gaya-hidup, dll. Ini, mahu atau tidak, sebuah realiti kompleks yang harus kita akui. Dengan beragam latar belakang ini, tentu mudah mengundang perbezaan dalam masharakat. Walau bagaimanapun, semua yang berbeza ini tetap saja memerlukan pentas untuk hidup bersama. Kerana itu, negara diperlukan, sebagai wadah buat semua. Namun, bagaimana pula negara ini harus bersikap dalam soal keragaman latar belakang (juga keragaman pandangan-alam) ini? Apakah negara harus dibiar untuk menguasai moral warga, seluruhnya, tanpa tersisa untuk ruang peribadi sekalipun? Atau, ada batas antara ruang peribadi dengan ruang awam? Selain itu, bagaimana pula peranan masharakat warga (civil society) dalam mengimbangi antara wilayah negara dengan wilayah masharakat tersebut?

Justeru, melihat ke hadapan, maka adalah penting untuk mewacanakan kembali persoalan antara fungsi negara, masharakat warga dan moral ini. Tanpa ada usaha untuk menjernihkan persoalan ini, maka diyakini masharakat-kompleks kita ini akan terus berada dalam kekaburan sistem-bersama. Diam-diam, dalam kekaburan inilah totalitarianisme akan mengambil-alih, sekaligus menenggelamkan batas intersubjektiviti antara masharakat dan negara. Kesannya, psikologi massa yang bersifat totalitarian ini bukan semata mengubah seluruh aktiviti hidup individu; tapi, seperti tegas Hannah Arendt, turut mengubah secara sekata apa yang masharakat fikirkan (malah, rasakan!) dalam benak mereka. Akhirnya, lahirlah apa yang disebut sebagai “the banality of evil”; hingga memunculkan manusia-manusia Eichmann yang baru.

Sehubungan dengan itu, Diskopi sebagai perkumpulan yang cintakan negara, cintakan masharakat, cintakan apa yang dinamakan sebagai wacana sehat, menganjurkan sebuah perbincangan “santai tapi serius” berkenaan persoalan menarik ini.

Dengan itu, Diskopi menjemput semua warga yang “santai tapi serius” untuk turut sama menyumbang fikiran dalam wacana ini. Mungkin saja, sumbangan fikiran dari para audien, itu lebih penting dari panelis. Santai bermakna, hadhirin harus duduk bersila. Tapi wacana tetap dijamin serius.

Antara Kita dan Mereka

Satu bangsa itu tak akan sempurna majunya andaikata kesenian dan kebudayaannya masih jauh tertinggal di belakang- Usman Awang

“moral judgement & moral theory certainly apply to public question, but they are notably ineffective. When powerful interests are involved it is very difficult to change anything by arguments, however cogent, which appeal to decency, humanity, compassion & fairness. These considerations also have to compete with the more primitive moral sentiments of honor & retribution & respect for strength. The conditions under which moral argument can have an influence are rather special, and not very well understood by me. They need to be investigated thru the history & psychology of morals, importants BUT underdeveloped subjects much neglected by philosophers since Nietzsche. It certainly is not enough that the injustice of a practice of the wrongness policy should be made glaringly evident. People have to be ready to listen, and that is not determined by argument”

Kenyataan ini disepakati Spivak, sebagai seorang filsuf dekonstruksi dan sekaligus dianggap pascakolonialis. Ia juga cukup untuk menggambarkan kebingungan yang dihadapi rata-rata masyarakat Malaysia. Baru-baru ini, isu yang menyakiti perasaan dan menghantui pikiran ialah isu homoseksualiti – LGBTX. Hal yang diangkat oleh kelas menengah atas nama membela ‘yang-lain’. ‘Yang-lain’ dalam erti kata yang tertindas atau sengaja ditindas. Continue reading

Die Mündigkeit dan AUKU

Oleh: Bukan Ameng Spring

Muhammad Idzuan Jamalludin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia sidang 2011/12

Pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakfahamannya yang dipikulnya sendiri. Ketidakmatangan merupakan ketidakupayaan seseorang untuk menggunakan kefahaman (fikirannya) tanpa bantuan (pedoman) orang lain. Beban ketidakmatangan ini bukanlah datang daripada ketidakfahaman, melainkan kerdilnya azam dan keberanian untuk menggunakan akal tanpa panduan orang lain.

Sifat malas dan pengecut ini merupakan sebab mengapa sebahagian besar mahasiswa masih ingin berada sepanjang hayat dalam keadaan tidak matang; sehingga mudah untuk pihak lain (baca: khususnya HEP) tanpa tentangan (malah dialu-alukan) menjadi ‘penjaga’ mereka. Ya, apa salahnya? Bukankah sangat selesa untuk berada dalam ketidakmatangan?

Saya mempunyai HEP dan biarlah mereka yang putuskan apa yang baik dan tidak untuk saya. Apa gunanya berfikir jika ada orang lain mahu melaksanakan kegiatan yang melelahkan itu?

Malah, HEP  yang selama ini telah menguasai (maha)siswa dengan ‘baik’ berjaya memastikan majoriti (maha)siswa – termasuk para pemimpin mereka – menganggap usaha menuju kematangan (kemampuan berfikir sendiri) adalah suatu yang amat susah dan merbahaya pula. Tidak percaya? Maka rujuk tulisan Muhammad Idzuan Jamalludin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia sidang 2011/12, yang bertajuk Usah Ganggu Siswa Dengan Isu Politik (Berita Harian 2011/11/10):

Saya tidak ada masalah dengan 15(1) dan 15(4) tetapi persoalan utama, siapa yang boleh beri jaminan IPT tidak akan digunakan oleh mana-mana parti politik sebagai markas dan medan politik mereka jika 15 (1) dan 15 (4) dihapuskan. Adakah jaminan ini diberikan Naib Canselor atau ahli politik BN, ketua pembangkang atau siapa? Tiada sesiapa mampu memberi jaminan tidak akan ada kekacauan oleh parti politik untuk masuk ke dalam kampus. Continue reading

More of Adam Adli Rocks!

Cuba teka siapa dalam gambar ini dan apa yang sedang mereka lakukan?

Integriti Dalam Dunia Akademik

Oleh Prof  Mohamed Yusoff Ismail

LUMRAHNYA golongan akademik adalah komuniti yang dianggap kudus, berintegriti, berakhlak tinggi, serta boleh dipercayai dari segi menjana dan mengukuhkan khazanah ilmu. Hanya akhir-akhir ini komuniti tersebut telah dicemari dengan unsur-unsur negatif yang berpunca daripada pelbagai faktor, sama ada kerana permainan ranking atau faktor-faktor lain, sehinggakan ada yang sanggup melakukan apa sahaja ‘kecurangan akademik’ demi mengejar pangkat dan kedudukan.

Istilah ‘kecurangan’ atau ‘jenayah akademik’ merujuk kepada perilaku segelintir pensyarah universiti yang melanggar etika dan amalan baik profesion perguruan tinggi melalui penyelewengan kuasa atau membuat dakwaan palsu.

Jenayah akademik dapat dibahagikan kepada tiga jenis: pertama, pembohongan dalam penulisan biodata; kedua, penipuan dalam penerbitan; ketiga, salah laku dalam tugas pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan.

Biodata yang sangat hebat

Etika asas penulisan Curriculum vitae (CV) ialah kejujuran dan keikhlasan, tetapi penyelewengan maklumat di dalamnya sering berlaku dengan memasukkan apa yang disebut dalam bahasa Inggeris half truth.

Maklumat yang dimuatkan kadang-kadang tidak tepat dan boleh mengelirukan. Satu contoh klasik ialah bagaimana seorang pensyarah membuat dakwaan palsu bahawa beliau pernah menjadi penyelia Phd di sebuah universiti terkenal di England.

Pensyarah berkenaan kebetulan menjadi pelawat selama enam bulan di universiti tersebut. Dalam tempoh tersebut beliau telah dikunjungi oleh seorang pelajar Phd yang ingin mendapatkan pandangannya.

Apabila pensyarah itu pulang ke tanah air beliau telah mengemaskini CVnya dengan memasukkan maklumat bahawa beliau telah dilantik sebagai penyelia Phd di universiti tersebut. Sungguh hebat!

Pengakuan “separuh benar” itu sangat menarik. Pertama, beliau berbuat demikian kerana terdesak. Permohonan menjadi profesor menghendaki seseorang itu menjadi penyelia Phd terlebih dahulu. Maka dirangkumnya pelajar di England itu sebagai calon Phd di bawah seliaannya.

Kedua, nak dipanjangkan cerita, siasatan telah dibuat oleh pihak dekan. Terbukti berlakunya pembohongan terang-terangan dalam CV berkenaan. Bahkan calon Phd yang dikatakan diselianya itu telah membuat pengakuan bertulis menafikan bahawa pensyarah itu adalah penyelianya. Continue reading

Negara Bukan ibu bapa kita

……universiti umpama ibu bapa, bayangkan jika ibu bapa memberikan seluas-luas kebebasan kepada anaknya? Adakah ini baik? Universiti mengawal dan mengehadkan kebebasan kerana sayangkan (maha)siswa, bukan sebaliknya sebagaimana ibu bapa menyayangi anak-anak mereka…

Pengenalan

Kita sering ditemukan dengan hujah songsang (atau cuba menyongsangkan?) jalan fikir seperti pernyataan di atas. Dalam taxonomi falasi, kesesatan berfikir ini disebut sebagai argumentum ad populum – pernyataan yang kelihatan benar kerana disebut ramai dan sering pula diulang-ulang. Hujah begini juga boleh jadi  argumentum ad ignorantiam, dua premis yang tidak pernah diuji sebagai silap maka diterima sebagai benar. Oleh itu, mari kita selidiki kenyataan ini agar, kesesatan ini menemukan pedomannya.

Baiklah, pertamanya universiti dan ibu bapa adalah analogi yang tidak simetri – tak sepadan. Universiti (awam) merupakan sebahagian daripada negara dan ibu bapa merupakan sebahagian daripada keluarga, ruang peribadi. Maka, peranan universiti tidak akan boleh sama dengan peranan ibu bapa kerana negara tidak berhak untuk masuk ke ranah peribadi seseorang. Contohnya, negara melalui mekanisma manapun tidak berhak untuk menentukan jam berapa seseorang itu boleh keluar bermain bola sepak bersama rakan-rakannya. Tapi ibu bapa punya tanggungjawab untuk menasihati tingkahlaku si anak jika lewat azan maghrib pun masih di padang, contohnya. Apakah mungkin, negara menggunakan aparatusnya untuk memastikan anak-anak pulang ke rumah sebelum jam 6 petang, mandi dan makan malam bersama keluarga. Gila! Begitu juga negara tidak berhak menentukan hidangan meja makan. Jika si anak pulang lewat, keluar dengan kawan-kawan yang tidak disenangi oleh ibu bapa, maka itu tangungjawab ibu bapa untuk menegur anaknya, bukan negara. Continue reading