‘Feminisme’ di Alam Melayu Abad 16-19

Dari segi perjuangan ‘feminis’, nyahbinaisme[1] menawarkan feminisme alat untuk menganalisis, cara baru mentafsirkan dunia, iaitu mencabar pemikiran binar dan proses ini membolehkan wujudnya masa depan yang mengandungi bentuk feminin dan maskulin/ rijal[2] . Oleh itu, pendekatan nyahbinaisme memainkan peranan penting untuk menunjukkan bahawa tidak boleh ada makna sejagat dalam tradisi sastera. Derrida ingin melampaui batasan binar. Beliau tidak bermaksud menjungkirbalikkan hierarki untuk memihak pada feminin. Sebaliknya, nyahbinaisme mahu memadamkan sempadan antara kedua-duanya dan menunjukkan nilai-nilai pihak kedua tidak tegar. Salah satu teks penting pertama yang menyuntik kehidupan baru dalam teori sastera ialah Some Notes on Defining a Feminist Literary Criticism (1975) oleh Annette Kolodny. Menurutnya, terdapat beberapa prasangka atau salah sangka tentang perempuan yang menjejaskan bacaan kita terhadap penulisan perempuan. A Room of One’s Own esei lanjutan daripada Virginia Woolf menjelaskan hal yang serupa. Beliau menunjukkan apakah yang berlaku terhadap Brontes dan George Eliot pada abad ke-19. Mereka tidak melibatkan diri sepenuhnya dalam masyarakat sementara Tolstoy mengelilingi dunia dan menghasilkan ‘War and Peace’ yang mustahil ditandingi penulis wanita seperti karya ‘Lear’ pada tiga abad sebelumnya. Charles Dickens berjaya berjuang, Balzac bertungkus-lumus melangsaikan hutang-hutangnya – penulis lelaki ini berjaya melepasi cabaran yang gagal dihadapi penulis perempuan. Lalu, penulis perempuan Barat memilih untuk mengikut atau dipaksakan ke dalam penanda aras seni yang asing; Emily Bronte atau George Eliot telah menulis dalam gaya yang diterima maskulin. Cuma Jane Austen yang luar biasa, menulis sepenuhnya sebagai seorang perempuan. Ini boleh disusur kembali kepada Aristotle, yang memiliki pandangan yang sendeng pada perempuan. Oleh itu, terdapat tugasan besar bagi penulis perempuan melawan peminggiran mereka dalam sastera. Ia juga merupakan pemberontakan kesedaran perempuan terhadap imej negatif yang ditaburkan lelaki terhadap identiti dan pengalaman perempuan.

Perempuan dalam bacaan karya moden, sering dijadikan sebagai subjek yang diam, seperti dalam Salina (A. Samad Said), Gadis Pantai(Pramoedya Ananta Toer), Tok Guru (Shahnon Ahmad), Perempuan Berkalung Sorban (Abidah el Khalieqy) bagaimanapun menurut sajak ‘Melayu’ oleh Usman Awang; diam kerana marah. Bagi Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Atjeh terdapat serangkaian cerita yang melibatkan perempuan [juga lelaki] sebagai objek maupun subjek. Perempuan disimbolkan dengan tanda-tanda kebesaran. Ia biasa bagi lelaki,Sejarah Melayu dengan Nila Pahlawan (Sang Si Perba) bersaudara sementara Hikayat Raja Pasai dengan Meurah Gajah yang ditemui Raja Ahmad di atas gajah. Kecantikan ini menjadi musuh kepada dirinya sendiri, lihatlah apa yang terjadi pada anak bendahari Sang Rajuna Tapa, Tuan Jana Khatib, Hang Kadim, Hang Tuah. Namun, di sisi lain, ia menunjukkan tanda penghormatan dan kemuliaan. Jantina perempuan ‘dilindungi’ bukan kerana ia lemah tetapi mulia. Pengiktirafan atas jantina perempuan dan lelaki, yang dianggap setara. Pesanan ini diulang berkali-kali secara tidak langsung dalam hikayat ini, “..dudukkan masing-masing pada martabatnya.” (HA: 109, 111, 103). Perempuan dalam hikayat Melayu klasik mempunyai kedudukan mereka sendiri. Jika keseimbangan ini terganggu, perempuan Melayu tidak duduk diam, sebaliknya, mencuba mendapatkan tempatnya semula. Perempuan di zaman ini sentiasa ‘beringat’ dan mengambil cara yang sederhana agar dapat didengar atau difahami. Kelakuan seperti ini ditonjolkan Tun Fatimah, Tun Teja dan Puteri Gunung Ledang yang berani protes pada norma yang tidak menyebelahi dirinya. Tun Fatimah melakukan protes dengan menggugurkan kandungan, tindakan yang mirip dalam mitos Philomela, Siti Zubaidah dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina Cik Apung dalam Hikayat Siak. Perlawanan PGL terhadap Sultan Mansur Shah/ Sultan Mahmud yang sedia terkenal dalam Syair Seratus Siti (2004). Autonomi yang ada pada Puteri Gunung Ledang, juga dimiliki oleh dua puteri Majapahit — Radin Galuh Kesuma/ Puteri Nai Kesuma (Hikayat Atjeh) dengan Tuan Puteri Gemerencang (Hikayat Raja Pasai) yang menentukan suami mereka sendiri. Kenyataan ini kemudian diperjuangkan oleh Tuti dalam Layar Terkembang dan Salmah dalam Iakah Salmah atau Rachel Bespaloff yang sangat peduli pada perempuan-perempuan dalam karyanya, Illiad. Bukanlah karya Hikayat Faridah Hanom kerana membawa pengalaman Timur Tengah—karya saduran.

Selain protes, perempuan dalam hikayat Melayu klasik menggunakan strategi penyamaran untuk menyuarakan suara hati mereka. Badrul Muin, puteri dalam Hikayat Syamsul Anuar (1999) dengan nama Afandi Hakim mengajak empat puteri lain (tiga daripadanya puteri raja) berpakaian cara lelaki dan ke luar istana. Ketiga-tiga puteri ini mempunyai autonomi atas diri mereka, tidak mampu dipaksa oleh sesiapa jika tidak berkenan di hatinya dan tanpa kerelaannya. Usaha penyamaran yang dilakukan pengarang bukan sahaja cuba meletakkan kedudukan setara atau seimbang antara lelaki-perempuan tetapi juga meruntuhkan stereotaip perempuan yang diberi masyarakat melalui peranan Puteri Ratna Kemala (Hikayat Nakhoda Muda) dan Afandi Hakim. Usaha Raja Aishah Sulaiman juga dilakukan pengarang perempuan lain seperti Raja Zaleha, Raja Safiah dan Tuanku Ampuan Mariam. Pencarian identiti oleh penulis perempuan dan feminis Barat seperti Charlotte Bronte, Marry Ann, Evans Cross itu telahpun berjaya diperoleh tanpa berasaskan model androsentrik. Hal ini dapat disiasat dalam Syair Khadamudin (1987). Sifat perempuan sejati itu ialah boleh memimpin, gagah berani, wirawati, bijaksana, cantik rupa paras, bersuara merdu. Hal ini cukup menunjukkan perempuan sejati pada faham Melayu itu tidak sama dengan ‘perfect lady’ dan ‘superwomen’ ciptaan Eropah. Lelaki tidak diajak memahami perempuan, sebaliknya, perempuan masih sahaja disuruh menjadi begitu dan begini oleh aturan-aturan di luar dirinya. Ideologi ini hanya menjadikan perempuan seperti lelaki, amat sesuailah dengan citra ‘individualisme’ Barat itu. Walhal, lelaki dan perempuan harus memikul tugas dan tanggungjawab bersama-sama. Selain itu, teks Hikayat Syamsul Anuar ini juga kaya dengan isu seksualiti, poligami, perkahwinan budak perempuan pada usia 9 tahun dan perempuan sebagai imam.

Selain protes dan penyamaran, keterbalikan peranan juga ditulis jelas dalam hikayat. Hikayat Raja Pasai ada Tun Beraim Bapa yang ‘mesra gender’, Hikayat Atjeh menawarkan watak Djohan Alam yang sangat pengasih pada orang sekelilingnya. Nilai/ kualiti yang dikatakan ada pada perempuan ini diangkat, tidak direndahkan. Sifat lembut juga dipandang tinggi, dan kekerasan bukan selamanya sifat yang disanjung dan ‘perlu ada’. Sifat stereotaip ‘menangis’, ‘emosional’ yang selalu sahaja dilekatkan pada perempuan juga terdapat pada lelaki. Sifat berani yang ada pada perempuan juga ditonjolkan kuat dalam Hikayat Bahktiar, melalui peranan Siti Denar yang berani membela kebenaran suaminya di depan sultan walaupun diancam akan berdepan dengan kematian. HRP dan HA menunjukkan pada kita bahawa sesuatu sifat itu bukan diwarisi, ia boleh ada pada perempuan atau lelaki. Bukan itu sahaja, Hikayat Hang Tuah cuba memaparkan bahawa hukum atau norma juga dikenakan pada lelaki. Teks-teks ‘feminis’ selalu menetapkan perempuan dipaksa tunduk pada aturan masyarakat (agar membenarkan sebarang tindakan dominasi oleh perempuan pula di kemudian hari). Lelaki juga dipaksakan mematuhi norma masyarakat yang mendatangkan mudarat pada dirinya sendiri. Walaupun kesannya tidaklah besar seperti dihadapi perempuan, tetap ada, begini bunyinya; “adakah adat laki-laki yang demikian? Yang sudah diperbuat itu menyesal” kata Tuah (HHT: 229). Sebagai kesannya lihatlah apa yang terjadi pada Laksamana Tuah (Hikayat Hang Tuah), Sultan Malikul Mahmud dan Sultan Ahmad (Hikayat Raja Pasai), Sultan Mahmud Syah/ Sultan Mansur Syah (Sejarah Melayu) dan Malik Barman (Hikayat Syamsul Anuar).

Tiap-tiap hikayat harus dibaca dengan pemikiran dan wawasan yang bersih, bukan secara literal melihatkan peranan sastera itu sendiri sebagai kritik sosial maupun dokumen sosial, malah pengarang berkata melalui Raja Pahlawan, “Lain surat, lain bacanya..” (SM: 207) yang diulang dua kali dan “..masing-masing dengan zamannya” (SM: 155). Pengulangan atas dua jenis ayat yang telah dinyatakan menunjukkan unsur penekanan yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Di samping mengambil sikap kritis pada budaya setempat, untuk berlaku adil, harus juga kritis pada idea luar yang cuba dipaksakan ke daerah ini. Oleh itu cara yang lebih sederhana adalah dengan kritis pada budaya luar – yang dipinjam dan tidak prejudis pada budaya sendiri. Hal ini perlu agar kita tidak terus memandang rendah pada kemampuan budaya sendiri menghasilkan pemikirannya sendiri, mengutip Meng Tse, ‘Pada masa satu bangsa menghina dirinya, pada masa itulah bangsa lain akan menghinanya’.

[1].Kata ‘nyahbinaisme’ , nama lain bagi deconstructionism dikenalkan oleh Shaharir Mohammad Zain dalam bukunya Pembinaan Semula Teori Kepimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu (2010: 94), edisi kedua.
[2].Kata ‘rijal’ ialah nama lain maskulin, (Shaharir. 2010).

4 Responses

  1. Gila panjang!

  2. hahaha!!
    tak tahu nak ketepikan bahgian mana dah..
    Selamat membaca~

  3. Kabur. Tak jelas huraian yang dibentangkan oleh penulis. Kaitan antara satu teks dgn satu teks yang lain gagai dihubungkaitkan dengan tersusun dan baik, Mungkin penulis sendiri tidak punya pemahaman yang jelas dan sistematis. Apabila penulis sendiri kabur tentang apa yang ingin dihuraikan, maka ianya akan terlihat dari susun-atur ayat-ayatnya. Suatu tulisan yang bukan sahaja panjang tetapi melelahkan untuk memahaminya kerana terlalu kabur.

  4. Buat sdr Hang Nadim Revolusioner Muda,

    Benar, hal yang sama juga dlm pikiran saya. Barangkali didorong kelakuan yang tergopoh-gopoh. Bukanlah pemahaman yang kacau. Saya sendiri masih mengulang-ulang pembacaan yang ini kerana belum cukup puas hati.
    Tulisan di atas cuba dipendekkan dari esei berjumlah 70 helai. Jadi, ia memang nampak berselerak.
    Akan diusahakan agar talian tiap-tiap teks kelihatan harmoni bersama-sama.

    Terima kasih

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: