Amir Farid : Panggilan Untuk Perhimpunan Mahasiswa Negara UKM.

Ada satu perkara bodoh yang tak dapat diselesaikan oleh mahasiswa UKM. Ianya berkenaan dengan perbezaan politik mahasiswa yang digeneralisasikan kepada : 1 penyokong kerajaan, 2 penyokong pembangkang. Penyokong kerajaan adalah mahasiswa yang masuk dalam Aspirasi dan penyokong Pembangkang dalam GMUKM. Adapun mereka adalah mahasiswa yang sama ada atau tidak mempunyai kecenderungan untuk menyokong atau menyatakan simpati kepada mana2 parti, pada hakikatnya mereka tidak bertindak untuk mempengaruhi parti ataupun dipengaruhi parti. Kalaupun mereka bertindak seolah-olah dipengaruhi oleh parti, itu Cuma pada dasar idealnya bukan pada saranan berautoriti dalam parti.
Masalah besar adalah mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka adalah mahasiswa yang sama tarafnya dan tiada manfaat untuk membezakan diri sama ada menyokong kerajaan atau pembangkang. Keadaan yang sekian lama membelenggu mahasiswa ini menyebabkan ada diantara mereka payah untuk menerima pandangan pihak bertentangan pada sesuatu isu yang tercetus dalam kampus. Kepayahan ini bukanlah bermaksud mereka berpegang teguh kepada ideologi condong parti yang mereka ada, tetapi berasal dari kegagalan untuk duduk semeja berbincang dan menerima perbezaan sebagai suatu tanda hidup.  Hasilnya ada dua kerosakan yang diperolehi : 1 mahasiswa berbeza pendapat gagal memahami pandangan masing-masing, 2 mahasiswa tidak menyumbang kepada pendirian organisasi penaung. Justeru itu, organisasi penaung tiada pendirian dan sesiapa yang berada di dalamnya setelah menang pilihanraya kampus akan menemui jalan buntu dalam melaksanakan ideal mereka.
Pada tradisinya golongan GMUKM bermarkas di Fakulti Pengajian Islam dan digerakkan oleh mahasiswa dari fakulti itu diikuti dengan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Manakala Aspirasi pula bermarkas di Kamsis-kamsis dengan berselindung di sebalik nama Jaksa Kolej. Untuk makluman, Jaksa Kolej bukanlah satu badan mahasiswa yang bernaung dibawah PMUKM dan tidak berdaftar dengan JPPel. Bagi menambahkan kecelaruan, pertandingan dalam Pilihanraya Kampus tidak membenarkan perlawanan berparti justeru membuatkan kedua-dua kumpulan ini sentiasa melanggar peraturan dan jika mereka menang, kemenangan itu boleh dikira tidak sah.
Akibatnya, apabila GMUKM menang pada pilihanraya kampus yang lalu, mereka dikenakan pelbagai tekanan dan ternyata tidak ada persatuan mahasiswa dalam kampus yang mahu membantu. Kesan dari perkara ini dapat difahami apabila pihak Universiti menafikan hak PMUKM sebagai badan penaung kepada semua persatuan mahasiswa UKM untuk berada dihadapan Mahasiswa baru. Tidak cukup dengan itu, badan penaung mahasiswa ini dihina dengan penampilan 15 minit di atas pentas bagi menjelaskan tanggungjawab serta peranan mereka.
Walaupun telah berada dalam kepala otak setiap mahasiswa yang Aspirasi itu diberi layanan lebih baik oleh universiti kerana mereka menjadi Mr. Yes kepada Universiti, itu tidak menjadikan mereka layak di cap sebagai punca masalah di kampus atau penghalang kemajuan organisasi mahasiswa. Mahasiswa yang tidak bersetuju dengan tindakan mereka bebas melakukan apa sahaja dalam lingkup kebolehan mereka untuk menerangkan kesalahan yang telah dilakukan. Justeru bukanlah semata-mata menjadi pembangkang seperti wujudnya parti pembangkang di luar sana dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi di kampus.
Harus juga dijelaskan di sini bahawa di kampus tiada pembangkang. Cuma yang ada hanyalah persepsi masyarakat kampus yang mudah menyekutukan sesuatu yang kritikal terhadap dasar dan tindakan autoriti sebagai pembangkang. Apabila penyekutuan itu berkesan mengambil tempat, individu yang terkait dalam golongan digelar itu mudah mengasosiasikan diri dengan panggilan dan menjadi seperti mana yang telah digolongkan. Dengan itu mereka menerima diri sebagai pembangkang dan tiada usaha keras untuk menafikan pelabelan itu. Padahal kritis terhadap pentadbiran itu satu usaha murni bagi pembaikan dan ia adalah tanggungjawab bagi setiap mahasiswa untuk melaksanakannya. Mengapa pula melaksanakan tanggungjawab ini dikelaskan sebagai pembangkang? Apakah anda boleh menerima tanggungjawab untuk patuh, setia dan tunduk dan menafikan tanggungjawab yang lain? Bolehkah anda dikira bertanggungjawab apabila melaksanakannya separuh-separuh?
Usaha murni GMUKM yang berusaha membawa perjuangan mahasiswa UKM ke arah yang lebih segar dihargai oleh ramai simpatisan. Mereka berjaya menang dengan menawarkan satu ideal mahasiswa  berimej anti establishment yang bakal membawa perubahan apabila memegang jawatan. Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi. Tiada apa perubahan yang dapat dilakukan oleh pihak PMUKM sekarang. Sebahagian besar tugas dan peranan PMUKM sekarang sekadar meneruskan legasi peninggalan yang diamalkan oleh pengurusan Aspirasi terdahulu.
Legasi tersebut termasuklah bersembunyi di sebalik pejabat tanpa ada kerjasama serius berpanjangan yang dijalankan dengan persatuan-persatuan yang dinaunginya. Saya mencadangkan satu perhimpunan mahasiswa se UKM yang menghimpunkan mahasiswa sedar yang celik dan peka dengan siasah kampus. Jika mahasiswa jujur dengan hati mereka pasti faham dasar dan tindakan PMUKM hari ini tidak mendapat pandangan dari mahasiswa. Persoalan tentang tujuan dan matlamat PMUKM sehingga hari ini tidak jelas kalau dilihat semata-mata dari tindakan mereka. Hendak dikata wakil kepada mahasiswa soalnya mungkin timbul tentang apakah saranan mahasiswa yang diangkat sehingga ke pihak pentadbiran dan dari siapa atau persatuan mana ia datang? Dan adakah ia berhasil menyebelahi mahasiswa? Kalau hendak dikata orang tengah kepada pentadbiran, apa pula halnya kita menganggap mereka sebagai wakil mahasiswa? Bukankah lebih elok kita memanggil mereka wakil pentadbiran sama seperti sifatnya pengawas di sekolah?
Mohd Amir Farid bin Ruslan
Speaker Perhimpunan Mahasiswa Negara
Timbalan Presiden 1 Persatuan Mahasiswa Pusat Pengajian Sejarah, Sains Politik dan Strategi
Mahasiswa Sains Politik Tahun 3 UKM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: