Di Antara Rusuhan Dan Demonstrasi: ’Tidak Faham’ Yang Disengajakan

Oleh: Rizal ’Syeikhryz’ Hamdan

Perhimpunan menuntut pilihanraya bersih dan adil yang akan dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) atau lebih dikenali sebagai BERSIH 2.0 akan diadakan pada 9 Julai 2011.  Lebih kurang daripada 5 hari dari sekarang (saat entri ini disiarkan), Kuala Lumpur akan dibanjiri oleh ratusan ribu rakyat yang datangnya dari segenap pelusuk Tanah Air. Demonstrasi BERSIH 2.0 ini merupakan rentetan daripada perhimpunan aman yang berlangsung pada 11 November 2007 iaitu hampir 4 tahun dahulu.  Perhimpunan ini, tidak dapat dinafikan telah menimbulkan polemik yang hebat di antara penyokong mahu pun penentangnya.  Sehingga kini, sudah hampir 2000 laporan polis sudah dibuat pihak yang menentang dan beribu-ribu sebaran kempen dan publisiti telah dibuat oleh pihak yang menyokongnya.

Penulis merasa terpanggil untuk memberikan sedikit komentar berkenaan perhimpunan yang bakal dianjurkan ini serta beberapa ’ulasan’ untuk membetulkan salah faham yang terjadi ekoran ’distorted information’  yang sengaja dilakukan oleh sesetengah pihak khususnya regim pemerintah.  Perkara utama yang ingin penulis nyatakan ialah pembetulan kepada pesepsi salah sesetengah pihak berkenaan apa yang dimaksudkan dengan demonstrasi, rusuhan, huru hara dan kekacauan.

KEKELIRUAN MENGENAI DEMONSTRASI & RUSUHAN

Saat ini, kita sering kali disogokkan dengan maklumat yang silap tentang demonstrasi dan rusuhan. Secara umumnya, kedua-dua hal ini mempunyai perbezaan yang ketara.  Rangkaian televisyen di negara yang dimiliki oleh Media Prima Berhad serta stesyen milik kerajaan seperti TV 1 dan TV 2, sejak akhir-akhir ini sering kali menyiarkan fakta yang salah mengenai demonstrasi dan tunjuk perasaan.  Seringkali digambarkan bahawa demonstrasi merupakan suatu hal yang dahsyat, menyebabkan kemusnahan harta benda awam dan persendirian, timbul kekacauan domestik , runtuhnya ekonomi negara dan huru hara.  Selain itu, turut disertakan dalam klip video tersebut, sorotan visual kekacauan yang berlaku di negara luar khususnya di rantau yang bergolak seperti di Eropah Timur dan Asia Barat.  Hal yang sangat melucukan, tiada satu pun daripada klip video ini yang memaparkan kekacauan tersebut berlaku di dalam negara kita yang tercinta.  Perlu penulis tegaskan di sini, kesemua klip video dan gambaran-gambaran negatif tentang demonstrasi tersebut sebenarnya ialah ’rusuhan’.  Dalam bahasa Inggeris, jelas terdapat perbezaan yang ketara di antara perkataan ’demonstration’, rally berbanding perkataan riot.

Lebih merungsingkan, ramai ulama, ahli agama, ahli akademik dan budayawan telah mengeluarkan pendapat yang ’songsang’ tentang demonstrasi.  Rata-ratanya bersetuju bahawa demonstrasi akan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat, budaya asing, bertentangan dengan nilai agama dan membawa kemusnahan kepada negara.  Penulis merasakan bahawa kesemua pendapat ini akibat terkeliru atau sengaja mahu mengelirukan masyarakat tentang apa yang dimaksudkan dengan demonstrasi.

Demonstrasi, unjuk rasa atau tunjuk perasaan, bukanlah suatu hal yang janggal dalam kehidupan bermasyarakat.  Jika dapat dinilai daripada maksud yang luas, perarakan keagamaan seperti sambutan Maulidur Rasul, pesta San Pedro, perarakan membawa kavadi sempena sambutan Thaipusam dan sebagainya juga boleh dikelaskan sebagai salah satu jenis-jenis demonstrasi dan tunjuk perasaan.  Bahkan, sambutan yang bersempena meraikan semangat nasionalisme seperti perarakan menyambut hari Merdeka pada 31 Ogos setiap tahun, acara senam robik 1Malaysia secara besar-besaran, marathon, joghaton, walkhaton sempena sambutan perayaan negara juga salah satu daripada jenis demonstrasi dan tunjuk perasaan.  Cuma, dalam kes joghaton sempena hari kemerdekaan negara contohnya, perasaan yang cuba ditonjolkan adalah perasaan gembira, santai, seronok dan sihat berikutan aktiviti riadah tersebut dan tidak bersabit dengan bentuk tindakan politik.  Namun, bukankah ia masih lagi salah satu cara kita menunjuk perasaan?

Bagi demonstrasi politik, jelas sekali para peserta (stakeholder negara iaitu rakyat) cuba memperlihatkan rasa tidak senang, keresahan dan kebimbangan tentang sesuatu isu politik, ekonomi dan sosial.  Jelas sekali ia bukanlah suatu hal yang janggal kerana dalam budaya Melayu sendiri, setiap kali diadakan majlis perkahwinan, si pengantin lelaki dan rombongannya akan berarak ke rumah pengantin perempuan dengan perasaan yang riang.  Apakah ini bukan salah satu contoh ’demonstrasi’ dalam budaya Melayu sendiri? Jelas sekali maksud sebenar demonstrasi, unjuk rasa dan tunjuk perasaan itu sudah dikelirukan dan disalah faham oleh regim pemerintah.

BUDAYA DEMONSTRASI DAN TUNJUK PERASAAN DALAM BUDAYA DAN SEJARAH

Mungkin ramai dari kalangan kita yang tidak memahami sejarah bangsa dengan mendalam. Budaya demonstrasi sendiri sudah lama berakar dan terjadi sejak daripada era Kesultanan Melayu Melaka sendiri.  Jika dirujuk dalam kitab Sejarah Melayu, susunan pengarang DiRaja Tun Seri Lanang dinyatakan bagaimana tunjuk perasaan berlaku.  Merujuk kepada kitab Sejarah Melayu, selengaraan A. Samad Ahmad (ulang cetak tahun 2003:152-153) ada mengisahkan tentang tragedi pembunuhan Tun Besar, anak kepada Bendahara Paduka Raja Tun Perak oleh Raja Muhammad yang merupakan Putera sulung kepada Sultan Mansur Shah.

Selepas tragedi tersebut, kesemua anak-anak buah Paduka Raja berkumpul di hadapan kediaman Tun Perak dengan tujuan menzahirkan rasa marah dan dendam, tetapi telah dihalang oleh Bendahara Paduka Raja.  Namun, hal yang ingin penulis tegaskan melalui naratif di atas ialah bagaimana perkumpulanan anak-anak buah Paduka Raja tersebut menunjukkan bahawa sememangnya demonstrasi dan tunjuk perasaan sudah lama tercatat dalam sejarah kita.

Tunjuk perasaan juga ada dicatatkan dalam kitab Sejarah Melayu melalui tajuk ’tamatnya riwayat tiga Orang Besar Negara’.  Bendahara Seri Maharaja telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh Sultan Mahmud Shah.  Berikutan itu, kesemua anak-anak buahnya berkumpul seramai-ramainya untuk menyatakan solidariti kepada Bendahara Seri Maharaja.  Dinyatakan (A.Samad Ahmad 2003:257):

…”Maka segala anak buah Bendahara dan kaum keluarganya dan segala orangnya semuanya berkampunglah pada Bendahara Seri Maharaja….”

Mungkin ada sesetengah budayawan dan ahli sejarah tidak bersetuju dengan bukti yang penulis nyatakan ini.  Namun, penulis cuba untuk memperlihatkan daripada perspektif ilmu Politik bahawa secara tidak langsung berkumpulnya segala orang di hadapan rumah Bendahara Seri Maharaja tersebut sekurang-kurangnya salah satu bentuk menzahirkan rasa tidak puas hati dan solidariti mereka atas ketidakadilan yang berlaku kepada Bendahara Seri Maharaja.  Bukankah ini juga merupakan salah satu contoh bagaimana demonstrasi itu sudah lama membudaya dalam kehidupan sosial masyarakat? Sekurang-kurangnya ia membuktikan bahawa memang menjadi tabii manusia untuk menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap sesuatu perkara dan isu.  Manusia merupakan makhluk berakal dan mempunyai perasaan.  Berikutan itu, sememangnya menjadi kebiasaan mereka melahirkan perasan yang terbuku di hati.

Zaman moden dalam sejarah negara juga ada mencatatkan peristiwa demonstrasi dan tunjuk perasaan yang dilakukan oleh rakyat.  Kita tidak seharusnya lupa bagaimana pada tahun 1913 apabila Kerajaan British menganugerahkan pingat Knight Grand Cross of the Victorian Order (GCVO) kepada Sultan Perak, Al Marhum Sultan Idris Shah.  Sambutan sempena majlis penganugerahan pingat tersebut dihadiri oleh ribuan rakyat dari segenap pelusuk negeri Perak.  Berkumpulnya segala hamba rakyat ini tidaklah lain dan tidak bukan untuk ’menunjukkan perasaan’ bangga dan megah mereka kerana Raja mereka menerima pengiktirafan dari kuasa besar dunia ketika itu (era Pax Britania).  Bukankah kebanjiran segala hamba rakyat itu dalam ’erti kata yang luas’ bermaksud ’demonstrasi’ dan ’tunjuk perasaan’ mereka?  Mereka cuba menunjukkan rasa ’gembira’ mereka kerana mempunyai seorang Raja yang hebat.  Sudah semestinya ia bukanlah suatu bentuk ’rusuhan’!

Mungkin akan terdapat sesetengah daripada pembaca yang tidak bersetuju dengan contoh-contoh yang diberikan di atas.  Mungkin akan ada yang beranggapan kesemua contoh tersebut tidak bersifat ’politikal’.  Adakah kita sudah lupa bagaimana Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR@UMNO) pernah mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan Malayan Union (namun saya percaya demonstrasi tersebut berjaya kerana didukungi oleh kekuatan Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang merupakan pertubuhan terbesar dalam UMNO ketika itu).  Tunjuk perasaan menentang penubuhan Malayan Union ini merupakan salah satu contoh bagaimana rakyat perlu ’menunjukkan perasaan’ ’sifat prihatin’ dan ’tanggung jawab’ mereka tentang situasi semasa politik disekeliling mereka agar pihak pemerintah mampu bertindak dengan lebih responsif dan efektif dalam mentadbir negara kerana merasakan mereka ’dipantau’ oleh rakyat.

BUDAYA DEMONSTRASI DALAM NEGARA DEMOKRASI

Demonstrasi bukanlah suatu tindakan yang asing dalam wacana dan paktik demokrasi. Selain daripada peti undi, demonstrasi juga merupakan ukuran seberapa efektifkah sistem demokrasi sesebuah negara.  Jika ada yang berpendapat bahawa peti undi sudah cukup untuk menjadi ukuran berkesannya paktik demokrasi dalam sesebuah negara, secara ikhlasnya mereka tidak begitu memahami apakah yang dimaksudkan dengan demokrasi.  Demokrasi-pilihan raya (electoral democracy) bukanlah penanda aras yang mutlak dalam menentukan tahap demokrasi dalam negara, kerana sebagai satu mekanisme, ia tidak terlepas daripada dimanipulasikan oleh pemerintah.  Jika pilihan raya boleh membawa perubahan dalam masyarakat, sudah semestinya ia tidak akan dibenarkan sama sekali.  Walaubagaimanapun, pilihan raya penting bagi menjamin peluang rakyat bagi memilih calon manakah yang dilihat mampu mewakili mereka di peringkat Parlimen.

Dalam usaha mewujudkan budaya participatory-democracy, masyarakat sivil merupakan salah satu elemen utama dalam memastikan sistem pemerintahan negara dapat bergerak lancar dan responsif kepada kehendak dan tuntutan rakyat.  Mobilisasi massa (gerakan rakyat) yang aktif sememangnya begitu diperlukan bagi mengelakkan sesebuah kerajaan berlaku korup, despotik dan autokratik.  Berdasarkan hal ini, masyarakat sivil sememangnya elemen demokrasi yang sangat penting (crucial) sebagai penghubung kerajaan dengan rakyat.

Di antara taktik utama dalam menyuburkan nilai masyarakat sivil dalam negara (walau apa jua nama sama ada Mujtama al Madani ,Civil Society, masyarakat madani ia tetap merujuk kepada nilai-nilai masyarakat yang bertamadun/sivil) ialah demonstrasi.  Demonstrasi atau tunjuk perasaan merupakan salah satu usaha yang paling efektif dalam menghebahkan sesuatu kempen dan isu kepada umum.  Sebagai contoh, demonstrasi membantah pembinaan kilang Lynas di Kuantan merupakan salah satu tindakan sivil yang tidak berbentuk politikal. Demonstrasi bukan hanya bertujuan untuk ’mengetengahkan’ isu-isu politik.

Di negara-negara Eropah, NGO seperti Green Peace sendiri menganjurkan demonstrasi membantah pemusnahan alam sekitar oleh syarikat-syarikat gergasi minyak (Multi International Company) seperti Shell, Texaco, Standart Oil atau apa sahaja syarikat multi kapitalis (dalam bahasa John Perkins disebut corporatocracy).  Pertubuhan hak haiwan seperti PETA juga seringkali menganjurkan demonstrasi bagi membantah pembunuhan dan penganiyaan haiwan oleh syarikat seperti KFC dan lain-lain.  Apa yang ingin penulis sampaikan di sini ialah, demonstrasi merupakan  taktik lumrah bagi masyarakat sivil bagi mengetengahkan sesuatu isu yang sedang mereka perjuangkan.  Melalui demonstrasi inilah, rakyat dapat membuka mata tentang apa jua isu yang tidak mereka sedari walaupun ia berkait rapat dengan kepentingan mereka sendiri.

Berikutan daripada demonstrasi, sebarang kejelikan dan keburukan yang berlegar dalam masyarakat dapat didedahkan.  Sebagai contoh, penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Komunis Poland dapat didedahkan ke mata masyarakat oleh gerakan NGO Solidarity pimpinan Jacek Kuron dan Lach Walesa.  Melalui aktivisme Solidarity, rakyat telah membuka mata betapa tempangnya sistem komunis (yang cuba menawarkan syurga kepada penduduk dunia) yang terlalu rigid dan korup.  Masihkah kita mengingati tokoh hak asasi manusia dari Amerika Syarikat seperti Martin Luther King Jr?  Perjuangan beliau untuk mendapatkan hak sama rata bagi masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat sungguh memberikan kesan yang mendalam ke dalam diri setiap aktivis hak asasi manusia.

Berikutan polisi segregasi seperti dalam perkhidmatan bas yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, khususnya di wilayah-wilayah selatan, pada 5 Disember 1955 seramai hampir 40,000 rakyat berkulit hitam  di bawah pimpinan beliau keluar berdemonstrasi secara aman dan tidak menggunakan perkhidmatan bas awam menuntut agar hak mereka dihormati. Tiada kekacauan yang mereka lakukan dan demonstrasi ini berjaya merubah pesepsi perkauman di Amerika Syarikat untuk tahun-tahun berikutnya sehingga kini.

Masihkah kita ingat lagu yang menjadi anthem perjuangan hak asasi dan kemanusiaan di seluruh dunia suatu ketika dahulu seperti ’Imagine, Give Peace a Chance,Power to the People, Blowin in the Wind dan  Like a Rolling Stones nyanyian Bob Dylan dan mendiang John Lennon? Kesemua ini adalah lagu-lagu yang menjadi pilihan utama ketika menunjuk perasaan khususnya mengenai isu yang berbentuk politik.  Tiada satu pun daripada lagu-lagu anthem demonstrasi ini yang menyeru kepada perpecahan masyarakat, kekacauan, rusuhan dan memusnahkan harta benda.  Berdasarkan hal ini, penulis percaya bahawa demonstrasi merupakan salah satu taktik yang paling efektif dalam menyampaikan sesuatu isu kepada masyarakat tidak kira sama ada yang berbentuk politik dan sivil untuk kepentingan bersama.  Hal ini kerana, jika peranan masyarakat sivil itu di kesampingkan, apa yang tinggal hanyalah pemerintahan yang tidak disemak dan diimbang oleh rakyat.

Penulis merasakan, apa yang cuba disampaikan oleh pihak pemerintah dalam iklan dan berita sama ada di kaca televisyen mahu pun akhbar adalah keburukan rusuhan.  Sesungguhnya demonstrasi dan tunjuk perasaan begitu berbeza sama sekali dengan rusuhan.  Sememangnya tidak dinafikan, rusuhan kadang kala timbul susulan daripada demonstrasi.  Namun, perlu diperjelaskan di sini bahawa sesuatu demonstrasi itu berubah menjadi rusuhan apabila ada pihak yang salling memprovokasi antara satu sama lain.  Sebagai contoh, jika pihak berkuasa seperti Polis, tugas mereka jelas bagi memastikan demonstrasi atau tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh masyarakat sivil dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekacauan.  Namun, jika pihak polis memprovokasi para demonstran dengan sebarang tindakan agressif, sememangnya akan timbul sedikit ’ketegangan’ kerana mereka (demonstran) akan mempertahankan diri.  Ini adalah naluri manusia untuk bertindak apabila mereka diprovok secara fizikal.  Namun, seperti yang penulis nyatakan sejak awal tadi, jika tiada sebarang provokasi, demonstrasi dapat berlangsung secara aman dan damai.

DEMONSTRASI DALAM KONTEKS POLITIK MALAYSIA

Kebebasan berhimpun secara jelas telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia berdasarkan Artikel 10 (1) (B) yang membenarkan rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan tidak bersenjata.  Walaupun Artikel 10 (1) (B) ini tertakluk kepada fasal 2 (A) dan (B) iaitu ”apa-apa sekatan yang didapati perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan.  Secara jujurnya, penulis tidak melihat bahawa demonstrasi aman bagi menuntut sesuatu perkara yang berasangkutan dengan hal politik dan sivil sebagai mengancam keselamatan negara.  Selagi peserta perhimpunan itu tidak bersenjata atau bertujuan untuk mencetuskan suasana huru-hara, maka hak rakyat untuk berhimpun tidak seharusnya dinafikan.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa Seksyen 27 khususnya seksyen 27 (A) Akta Polis 1967 melarang sebarang perhimpunan awam tanpa permit.  Namun, persoalan utama yang ingin penulis lontarkan ialah:

  1. Apakah Artikel 10 (1) (B) Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan ’sub –seksyen’ kepada Akta Polis 1967?

  2. Apakah Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memperuntukkan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal akta yang berbentuk pencegahan (pre emptive) sesuai dijadikan hujah untuk menggagalkan kebangkitan menuntut hak politik dan sivil oleh rakyat?

Tindakan pihak polis yang menahan ramai aktivis di bawah Ordinan Darurat 1948 (Emergency Ordinance) merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima secara rasional.  Akta ini yang sering kali digunakan kepada para gangster dan samseng.  Ia merupakan sebuah akta yang ’seibu sebapa’ dengan Akta Dadah Merbahaya (Langkah langkah pencegahan awal) dan Internal Security Act 1960 adalah merupakan akta berbentuk ’pre emptive’ yang digubal berdasarkan Bahagian 11, Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.  Ia merupakan artikel khas di dalam Perlembagaan negara kita untuk mencegah perbuatan subversif yang mengancam keselamatan negara dan awam.  Permasalahan utama di sini ialah, erti kata ’subversif’, ’ancaman’ dan ’keselamatan’ tidak diperjelaskan secara terperinci.

Definisi keselamatan dan ancaman yang terlalu luas ini menyebabkan ia boleh ditafsir oleh pihak pemerintah menurut kefahaman mereka sendiri.  Apakah dengan menuntut hak sivil dan politik kepada kerajaan boleh ditafsirkan sebagai memberikan ancaman kepada negara dan keselamatan awam? Di sinilah maksud ’keselamatan’ , ’ancaman’ dan ’subversif’ perlu diperincikan lagi tafsirannya.  Sebagai sebuah negara yang bertamadun dan progressif, Malaysia seharusnya tidak mentafsirkan demonstrasi aman sebagai salah satu ancaman kepada negara.  Selagi mana para peserta demonstrasi tidak membawa senjata, ia tidak boleh ditafsirkan sebagai memberikan ancaman kepada keselamatan awam.

Sejajar dengan Artikel  20 Universal Declaration of Human Rights (UDHR 1948) yang diratifikasi oleh negara Malaysia sejak awal kemerdekaannya, hak untuk berhimpun dan berdemonstrasi tidak seharusnya dinafikan.  Artikel 20 UDHR 1948 secara jelas mencatatkan:

….”Everyone has right to freedom of peaceful assembly and association, no one may be compelled to belong to an association”…

Bersandarkan hal ini, pihak pemerintah wajib memberikan hak berhimpun kepada rakyat tanpa sebarang tindakan agressif daripada alat paksaan negara yang sah (coercion power) seperti Polis mahu pun Tentera.

Dalam konteks politik Malaysia, disebabkan oleh pesepsi yang salah berkenaan hak berhimpun, demonstrasi sering kali disama ertikan dengan rusuhan.  Penulis melihat banyak pihak yang ‘mengaku’ dari NGO tertentu yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan demonstrasi dan apakah yang dimaksudkan dengan rusuhan.  Sebagai contoh, kenyataan pemimpin ‘ultra etno-nasionalis’ seperti Dato Ibrahim Ali yang menyamakan perhimpunan BERSIH 2.0 sebagai ancaman kepada ketuanan Melayu adalah tidak masuk akal sama sekali.  Beliau juga dengan jelas menyamakan demonstrasi, tunjuk perasaan dan unjuk rasa dengan rusuhan dan kekacauan domestik.  Sama ada beliau lupa, tidak faham atau sengaja melupakan sejarah silam, beliau juga merupakan salah seorang yang lantang menuntut rakyat diberikan hak berhimpun suatu ketika dahulu (mungkin beliau sudah lupa ’peranan’ beliau dalam perhimpunan bersih yang terdahulu dan demonstrasi Mahasiswa 1974).

Aktiviti politik memerlukan pengunaan ruang awam (public sphere) yang maksimum.  Tanpa sebarang aktiviti di ruang awam, aktiviti politik tidak dapat dilakukan secara efektif.  Aktiviti politik yang penulis maksudkan bukanlah terhad kepada politik partisan sahaja, bahkan juga bermaksud aktivisme hak asasi manusia untuk rakyat.  Tanpa mengira apa jua isu, hak berhimpun secara aman perlu diberikan kepada rakyat.  Selaras dengan saranan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), hak kepada ruang awam oleh rakyat perlu dihormati pihak pemerintah.

Tanpa mengira sama ada yang mahu menganjurkan perhimpunan itu adalah pihak pro kerajaan atau pembangkang, ia harus dihormati.  BERSIH 2.0, PATRIOT-PEMUDA UMNO atau PERKASA sekali pun perlu diberikan hak untuk menganjurkan perhimpunan awam secara aman.  Selagi mana mereka tidak melanggar undang-undang seperti membawa senjata, memecah dan merosakkan harta awam serta persendirian atau berkempen yang bertujuan menghasut, maka hak ini harus dihormati dan diberikan.

PENUTUP

Demonstrasi bukanlah suatu hal yang pelik dalam wacana dan praktik demokrasi.  Kita sering diberikan maklumat yang salah tentang demonstrasi dan tunjuk perasaan.  Apa yang sering disiarkan oleh regim pemerintah ialah rusuhan.  Rusuhan dan demonstrasi mempunyai banyak perbezaan yang fundamental.  Demonstrasi merupakan naluri semula jadi manusia untuk menzahirkan perasaan gembira, tidak puas hati mahu pun kecewa.  Perlembagaan Persekutuan Malaysia, melalui Artikel 10 (1) (B) memperuntukan kebebasan berhimpun kepada setiap rakyat Malaysia.  Artikel ini disokong lagi dengan peruntukan Artikel 20 UDHR 1948 yang turut memberikan hak berhimpun kepada setiap manusia.  Sebagai sebuah negara yang berasaskan undang-undang (the rule of law), hak untuk kebebasan berhimpun tidak seharusnya dinafikan oleh pihak kerajaan Malaysia.

Hujah yang mengatakan bahawa demonstrasi bukanlah budaya kita merupakan satu hujah tempang yang tidak berlandaskan fakta yang betul.  Kitab Sejarah Melayu sendiri ada mencatatkan beberapa peristiwa yang boleh ditafsirkan sebagai tunjuk perasaan oleh rakyat.  Berasaskan fakta ini, penulis percaya para pengkritik demonstrasi merupakan golongan yang tidak memahami sejarah negara dan hanya mengeluarkan pendapat tanpa melakukan kajian yang rapi.  Penulis menyarankan agar pihak kerajaan menghormati hak asasi rakyat.  Perlu diingati bahawa, tanpa kewujudan masyarakat sivil yang kuat, negara akan terjerumus ke tangan pemimpin yang tidak amanah kerana tiada suatu kuasa yang dapat menegur dan memantau pentadbiran mereka.

Penulis akhiri artikel ini dengan petikan lagu daripada mendiang John Lennon (1940-1980) yang bertajuk ’Power to the People’ untuk kita hayati bersama .

……Power to the people, power to the people right on….

3 Responses

  1. demonstrasi adalah tunjuk rasa, tunjuk perasaan dan pandangan yg dilakukan dgn ikhlas dan sukarela seperti contoh atau sejarah yg dinyatakan, tetapi, demonstrasi BERSIH tempoh hari melibatkan org tua, dan muda yang x tahu ape tujuan mereka mengadakan demonstrasi tersebut, kerana kebanyakan yang dtg, adalah dibayar, yang dr utara, dibayar RM200, di KL/Shah Alam dibayar RM50…adakah itu demonstrasi atau pun rancangan/helah politik yang ingin mengalihkan pandangan masyarakat terhadap kelemahan pemimpin pembangkang??

  2. selama mana parti yang bukan pemerintah boleh bayar manusia seramai itu..dan tentang nilai, tidak semua dapat diukur dengan duit..jika benar demonstran bersih dibayar, buktikan..

  3. Salam saudari Zilah yang dihormati,

    Pertamanya,ingin saya tegaskan bahawa artikel ini tidak menyebelahi mana-mana pihak,baik yang pro kerajaan mahupun yang pro pembangkang….Malahan, artikel saya ini berlandaskan hak asasi manusia seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara kita dan UDHR 1948…..Kita mengakui bahawa kita negara demokrasi yang berasaskan ‘rule of law’,jika kita tidak menghormati hak asasi manusia seperti yang tercatat dalam perlembagaan negara (the paramount/supreme law of the country) maka tiadalah gunanya….Kita tidak tinggal dalam negara fasis atau autoritarian…maka,harus kita menjunjung undang negara kita…

    Berkenaan soalan saudari di atas,BERSIH 2.0 merupakan reaksi masyarakat sivil (civil society) dan bukan bertunjangkan parti politik…Kebetulan parti-parti politik turut sama serta dalam demonstrasi tersebut..tuntutan sivil dan politik tidak membataskan penyertaan mereka walaupun dari parti politik…Mereka juga rakyat negara kita kan?…Berkenaan bayaran,bolehkah dibuktikan BERSIH 2.0 membayar pesertanya dengan ganjaran duit?…Kita tidak boleh main ‘tembak’ sesuka hati…Perlu ada bukti..Seperti jua himpunan PATRIOT UMNO,belum tentu peserta mereka dibayar oleh UMNO….Mungkin mereka juga ikhlas demi menyatakan tuntutan mereka bahwa pilihan raya itu bersih dan adil…

    Jika peserta demonstrasi dibayar,setakat RM50-200,saya kira tidak berbaloi untuk hadir contohnya dari segenap pelusuk Tanah Air ke KL…Untuk tempat tinggal sahaja bayarannya melebihi wang yg ditawarkan..hahahha….Persoalannya setakat mana parti yg tidak mempunyai kuasa memerintah dan dana pun dikutip dari awam dapat membayar peserta seramai lebih 60 ribu orang?…Saya tinggalkan persoalan ini untuk saudari jawap dan kemukakan bukti sahih…

    Tidak kisahlah mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang,jika mahu berhimpun sekalipun mereka harus diberikan hak itu…Paling penting,ia aman….sebab itu dinamakan demonstrasi aman wahai saudari yg mulia…Mohon dibaca artikel ini sehingga habis untuk penjelasan lebih lanjut berkenaan apa itu demonstrasi aman…

    Terima kasih,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: